Dalam sehari dua ini media pro kerajaan arus perdana mula membuat serangan ke atas kerajaan negeri Kedah ekoran masalah bantuan banjir di negeri itu. Ini yang membuatkan Menteri Besdarnya agak berang dengan tuduhan itu dan memberikan reaksinya yang sedikit "keras" pada wartawan RTM.
Sememangnya sedari hari pertama lagi kerajaan Kedah telah menggerakkan jenteranya bagi membantu mangsa banjir. Bagaimanapun kita sedia maklum "jentera" kerajaan negeri tidaklah sehebat jentera Persekutuan. Jentera negeri terdiri dari SUK dan Pejabat-Pejabat Tanah serta PBT dan Jabatan Kebanjikan Masyarakat(JKM). Sedangkan Jentera Persekutuan seperti Pasukan Polis,Bomba dan Penyelamat, JPAM, Kesihatan, Pelajaran dan sebagainya yang mempunyai kakitangan logistik yang besar. Kerajaan negeri tidak boleh sewenangnya mengarahkan Jentera Persekutuan. Maka kena ada koordinasi dan selayaknya pihak Majlis Keselamatan Negara(MKN) yang menguruskannya.
Jadi apabila TPM "menyelar" bantuan lambat dan sebagainya terhadap kerajaan Kedah, saya beranggapan itu adalah "kenyataan politik" sahaja memandangkan Kedah diperintah oleh PAS. Dan TPM juga sebenarnya hanya mendengar maklumat dari sebelah pihak iaitu pemuka-pemuka UMNO Kedah sahaja. Maka timbullah tanggapan yang tidak begitu tepat mengenai perkara tersebut, apa lagi TPM berkata demikian itu pada hari ke 7 banjir melanda Kedah.
Logiknya kalau dah masuk hari ke 7, semua pihak telah menjelainkian kerjasama dengan elok demi membantu rakyat terbanyak dalam hal ini, bukannya soal menuding jari mana-mana pihak. Menteri Besar "agak melenting" dengan teguran itu dan juga pertanyaan media kemudiannya mungkin telah hilang "sabar" akibat kerenah media pro kerajaan BN yang membuat laporan berat sebelah. Dan sememangnya itu adalah kerja mereka, dan sepatutnya MB Kedah memberikan jawapan secara "mantik" yang mengenaklan balik para wartawan itu bukannya menunjukkan gaya konfrontasi, yang akan dipergunakan lagi bagi menyerang kerajaan Kedah.
Pihak kerajaan Kedah patut belajar dari Kelantan dalam hal ini dan cuba menjalinkan kerjasama yang baik untuk sama-sama membantu rakyat. Ramai yang memang mengetahui kerja-kerja para pemimpin UMNO Kedah sekarang ini ialah mencari apa sahaja kekurangan kerajaan negeri untuk diserang. Dan mereka juga sering menggunakan media menunjukkan mereka seolah bekerja walaupun hanya sekali sekala sahaja, tetapi apabila ditayang TV dan media seolah mereka begitu rajin. Tetapi percayalah rakyat di kawasan itu tahu apa yang sebenarnya berlaku. Mereka yang jauh dari kawasan itu mungkin boleh tertipu sekali sekala, tetapi pengundi sebenar kawasan itu tahu segalanya.
Untuk itu diharapkan semua pihak menjalinkan kerjasam baik dalam usaha membantu rakyat yang mengalami kesusahan ini. Tak usahlah memacakkan bendera parti dalam apa jua usaha membantu mangsa banjir ini termasuk juga pemimpin yang memakai "topi BN" semasa melawat mangsa atau memberi bantuan. Nampak sangat nak bermain politik, biarlah sama sama kerajaan negeri dan pusat saling bantu membantu mangsa banjir. Pusat juga ada peranannya kerana rakyat Kedah juga dipungut hasilnya oleh kerajaan Pusat.
Untuk itu usahlah bertelagah dan banjir baru pusingan pertama, mungkin lepas ini ada lagi pusingan kedua dan seterusnya dan perlu bekerjasama demi membantu rakyat jelata.
(dibawah , petikan dari harakah)
Kedah belanja RM2 juta bantu mangsa banjirAli Hashim
ALOR SETAR, 11 Nov: Kerajaan Negeri Kedah telah membelanjakan hampir RM2 juta bagi membantu mangsa banjir yang terlibat dalam bencana yang menimpa negeri Kedah baru-baru ini.
Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada sidang media di sini semalam.
Menurut beliau lagi sumbangan bagi mangsa banjir tersebut telah disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi penyediaan segala bentuk keperluan seperti makanan dan seumpamanya.
"Selain dari bantuan tersebut, tenaga kerja dan logistik turut disediakan bagi membantu banjir yang berpindah ke tempat perpindahan. Namun begitu bagi mereka yang tidak berpindah kemungkinan bantuan dalam bentuk lain akan dipertimbangkan.
"Sebelum ini adanya dakwaan mangsa banjir yang tidak menerima bantuan datangnya dari mereka yang enggan berpindah ke pusat pemindahan yang telah ditetapkan, " katanya lagi.
Azizan juga berkata, sehingga semalam jumlah mangsa banjir yang telah pulang ke rumah adalah seramai 45,583 mangsa yang terdiri dari 11,840 keluarga.
Manakala seramai 12,185 mangsa yang terdiri dari 3181 keluarga masih lagi ditempatkan di 23 buah pusat pemindahan.
Katanya lagi antara pusat pemindahan yang telah ditutup ialah dalam daerah Padang Terap, Pokok Sena dan Pendang.
Sementara itu 11 pusat pemindahan di Kubang Pasu dan 12 di Kota Setar masih lagi beroperasi sehingga keadaan dipastikan selamat sebelum mangsa banjir dibenarkan pulang kerumah masing-masing.
Beliau juga menyelar Kerajaan Pusat yang cuba mempolitikkan isu bantuan kepada mangsa banjir apabila mendakwa kerajaan negeri tidak mampu untuk menyalurkan sumbangkan kepada mangsa yang terlibat.
"Sebenarnya kita tidak pernah memohon bantuan dari Kerajaan Pusat bagi membantu mangsa banjir di negeri ini. Kita hanya meminta bantuan dari Perak. Manakala Pulau Pinang dan Selangor pula menawarkan bantuan yang berupakan minuman dan bekalan air bersih.
"Perak menyalurkan bantuan yang berupa logistik, lori tangki serta 120 sukarelawan bagi membantu melicinkan perjalanan membantu mangsa banjir. Kita juga berterima kasih kepada mereka kerana sanggup untuk mengenepikan perbezaan fahaman ideologi demi kemanusiaan, " ujarnya lagi.