Wednesday, August 12, 2009

Tilawah Al-Quran Antarabangsa Ke-51, Malaysia Johan Qariah


Dalam Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa Ke-51 yang baru selesai sebentar tadi, Malaysia telah mendapat Johan peringkat Qariah. Cik Sharifah Khasif Fadzillah Binti Syed Mohd. Badiuzzaman Al-Yahya yang mewakili Malaysia telah mendapat 94.75 % markah dan menjadi Johan Qariah. Tempat kedua dimenangi oleh Natipa Manasia dari Thailand, ke 3 Dayang Hajjah Nurul Akmalina dari Brunei, ke 4 Rosita Amran dari Indonesia dan ke 5 Attiqah Suhaimi dari Singapura.

Manakala peringkat Qari, Usama Bin Abdullah Qari dari Iraq telah muncul sebagai Johan dengan memperolehi 91.6% markah. Naib Johan dimiliki oleh Qari dari Iran, Jaafar Hadi Fardi Aghchy, ke 3 Azhar Darma Djunaidi dari Indonesia, ke 4 Mohd. Sadid Abdul Latif dari Singapura dan ke 5 Haji Awang Fahmi Mat Husin dari Brunei Darussalam.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh DYMM Sultan Kedah dan Sultanah Kedah dan diiringi oleh YAB Timbalan Perdana Menteri dan isteri serta YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir serta isteri.

Mampukah Datuk Lee Chong Wei menggalas kejuaraan


Badminton Kejohanan Dunia sedang berlangsung di Hyderabad, India. Dalam posting saya 30 Julai lalu ada menyentuh tentang unggulkah badminton kita di kejohanan dunia ini. Nampaknya setakat ini beliau telah melepasi 2 halangan, sementara beregu veteren Lee Wan Wah dan Chong Tan Fook telah pun terkeluar awal iaitu seawal pusingan pertama apabila tewas pada lawan.

Turut mengiringi di pusingan ke 3 pemain veteran Chong Han dan dua beregu lelaki negara. Namun esok bakal menentukan apakah mereka layak untuk ke pusingan seterusnya. Manakala pemain dunia lain juga melepasi halangan seperti Juara Dunia Lin Dan , Taufik Hidayat dan Peter Gade,serta Sonny Dwi Koncoro. Kita harapkan Lee Chong Wei akan mempersembahkan yang terbaik bagi menemui Lin Dan dan seterusnya membawa balik Kejuaraan Dunia yang berprestij itu. Walaunpun pemain dunia ramai yang tidak meletakkan Chong Wei bakal beraksi di pentas akhir bertemu Lin Dan, saya percaya pentas akhir nanti akan menemukan dua pemain terbaik ini memandangkan Taufik Hidayat agak merosot permainannya akhir-akhir ini, sementara Peter Gade sendiri semakin kurang kudratnya dimamah usia.

Friday, August 7, 2009

H1N1@Selsema Babi; PM sifatkan ancaman serius selepas 15 mati

Wabak penyakit Selsema Babi semakin menjadi-jadi malah semakin menjadi "gila babi" (gila khinzir?) dan sehingga kini 15(7 Ogos2009) orang telah menjadi korban. Setelah sampai tahap ini PM telah mengumumkan bahawa wabak ini kini ancaman serius terhdap negara. Dengan campurtangan PM sendiri diharapkan Kementerian Kesihatan akan mengambil langkah yang lebih bersungguh-sungguh lagi.

Pada hari ini ahad 9 Ogos seramai 8 orang lagi menjadi korban menjadi 26 semuanya.
Wabak ini semakin menunjukkan tanda-tanda ia akan memakan korban lebih ramai lagi. Alhamduliullah, kesedaran telah timbul. Bagi masyarakat beragama Islam adalah digalakkan melalukan Solat Hajat memohon doa kepada Allah agar dihindarkan dari wabak ini. Di Kelantan, di masjid-masjid telah dilakukan dan minggu ini nampaknya masjid di Selangor pun sudah memulakannya. Menteri ayang menguruskan berkaitan agama Islam YB Datuk Jamil Khir juga telah menyuarakan agar dilakukan Solat Hajat dan pada minggu hadapan seluruh Masjid di WP akan membaca khutbah khas berkenaan perkara ini.

Selain memohon doa kepada Allah , kita juga disuruh berikhtiar dan berusaha untuk mengawal wabak ini. Untuk itu peranan kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan juga agensi agensi lain yang berkaitan termasuk PBT harus bergabung tenaga bagi mengawal daripada merebaknya penyakit ini. Kempen besar-besaran patut dilakukan di seluruh negara dan di semua peringkat.

AlFatihah buat Pak WS Rendra


Tokoh budayawan dan penyair tersohor Indonesia, WS Rendra telah kembali ke rahmatullah pada malam 5 Ogos disebuah Rumah Sakit di Jakarta, Indonesia setelah lebih sebulan Allahyarham mendapatkan rawatan sakit jantung.

Rendra, 74 tahun meninggalkan 11 orang anak daripada 3 orang isterinya, dua daripadanya telah diceraikan. Pak Rendra telah memeluk agama Islam pada tahun 1970 dan menukar namanya kepada Wahyu Sulaiman Rendra daripada nama asalnya Willibrodus Surendra Broto Rendra. Allahyarham terkenal sebagai penyair bukan sahaja di Indonesia bahkan di Malaysia dan seluruh Nusantara. Allaharham juga pernah dianugerahkan Penghargaan Adam Malik 1989, SEA Writes Award 1996 dan Penghargaan Achmad Bakri 2006.

Rendra juga seringkali diundang membaca puisi di Malaysia dan beliau adalah seorang penyair yang amat berpengaruh sehingga sajak-sajaknya dikatakan turut ditakuti oleh pemerintah Indonesia lantaran kritikan kerasnya terhadap pemerintah.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin

Saturday, August 1, 2009

Selsema babi, sudah 6 mati

Selsema babi masih menghantui. Hingga hari ini 2 Ogos telah memakan korban 6 orang semuanya. Terbaru kanak-kanak yang berusia 11 tahun di Johor Bahru telah meninggal dunia akibat jangkitan selsema babi ini. Peningkatan semakin terjadi dari sehari ke sehari dan apakah kita hanya menunggu untuk mati? Adalah dianggarkan 5500 hingga 28,000 orang rakyat Malaysia akan mati ekoran wabak selsema babi ini iaitu anggaran 20% daripada jumlah penduduk Malaysia dijangkiti. Daripada 20% ini iaitu kira-kira 5.5 juta orang yang dijangkiti dan dianggarkan kdar kematian 0.1% hingga 0.5% sahaja' ia akan melibatkan 5500 hingga 28000 mati. Itu anggaran dari Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. David Quek. Beliau memetik unjuran yang dibuat oleh Pengarah Penyakit Berjangkit Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr.Tee Ah Sian, dalam satu mesyuarat mengenai wabak ini.

Walaupun anggaran itu tak semestinya terjadi, tetapi ia agak cukup menakutkan. Bayangkan selama ini serangan sakit jantung dan kemalangan jalan raya telah menyumbang angka kematian yang besar di Malaysia, kini ditambah pula dengan jumlah angka kematian akibat selsema babi pula. Mengikut pihak WHO juga penawar bagi penyakit ini belum lagi ditemui dan dijangkakan hanya dapat diwujudkan akhir tahun ini.

WHO juga menganggarkan wabak ini akan berterusan sehingga 2 tahun lagi dan akan reda sama ada ianya semakin lemah atau vaksin penawarnya ditemui. Untuk itu dalam jangka masa 2 tahun ini kerajaan perlu bersedia dengan langkah-langkah secukupnya bagi membendung wabak ini dari terus menular.

Bila Tun Dr. Mahathir masih berkata-kata...


Kelmarin semasa berucap dalam satu majlis forum berkaitan kedudukan orang Melayu yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian Serdang di Bangi, Tun Dr. Mahathir telah menyatakan bahawa ahli-ahli UMNO tidak perlu menyokong pemimpin parti secara membuta tuli, jika mahu UMNO berjaya. Menurutnya kegagalan UMNO dalam PRK12 dahulu adalah kerana ahli UMNO gagal memberikan peringatan kepada para pemimpin partinya.

Melalui kenyataan-kenyataannya akhir-akhir ini Dr. Mahathir menunjukkan beliau masih lagi tidak senang dengan beberapa dasar kerajaan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri DS Najib. " kadang-kadang kita membuat keputusan yang kurang bijak seperti membatalkan jambatan bengkok dan mahu membina jambatan lurus ke 3, yang kemudiannya tidak dipersetujui Sultan Johor". Kenyataannya ini seolah-olah beliau masih lagi terkilan projek diasaskannya itu dibatalkan.

Bagaimanapun beliau juga menyatakan bahawa peringatannya bukannya bermakna dia cuba membuatkan pemimpin parti tidak popular, tetapi memberikan pendapat yang betul. Beliau katanya seboleh-bolehnya tidak mahu kelihatan memperendahkan pemimpin parti atau menjadikan mereka tidak popular. Sebelum ini semasa Pak Lah menjadi PM, beliaulah begitu lantang mengkritik pentadbiran Pak Lah yang dikatakan kununnya dikuasai "budak-budak tingkat empat" JPM.

Beliau juga kurang senang dengan pembatalan PPSMI dan pengenalan dasar Liberalisasi ekonomi. Malah berkenaan dengan 1Malaysia beliau memberikan pandangan bahawa beliau sendiri kurang faham apa yang dimaksudkan adakah sama dengan Malaysian Malaysia atau sebaliknya. Adalah mustahil beliau kurang faham, tetapi dipercayai beliau kurang senang juga kerana berkemungkinan boleh menghakis kekuasaan Melayu hanya kerana inginkan sedikit undi kaum minoriti. Sebaliknya beliau memperkatakan tentang Wawasan 2020 iaitu dasar yang diciptanya yang seolah-olah para pemimpin UMNO hari ini tidak lagi menghayati lagi dasarnya itu.

Walaupun Tun Dr.Mahathir telah lama meninggalkan pentadbiran kerajaan tetapi legasinya agak kuat dan sukar bagi para pemimpin lain mengatasinya buat masa ini. Oleh kerana itulah kata-katanya masih "berbisa" di kalangan orang UMNO.

Demonstrasi ISA...


Pada hari ini satu demonstrasi anti ISA telah berlaku di ibu negara yang agak melumpuhkan pegangkutan awam dan urusan di kawasan sekitar demonstrasi. Demo yang pada awalnya dijangka berlaku pertembungan dua pihak iaitu anti dan pro ISA nampaknya tidak menjadi kerana pihak pro akhirnya membatal saat akhir, kemungkinan tidak ramai sambutan. Dilaporkan sekitar 1000 orang lebih sahaja puak pro yang datang berhimpun.

Sementara puak anti ISA seperti anggaran ramai pihak sekitar 50,000 orang lebih walaupun ada yang mengatakan sehingga 80,000 dan ada juga mendakwa 100,000 orang. Bagaimanapun mereka tidak berjaya berarak ke Istana Negara kerana telah dikepong pasukan polis dan ditembak gas pemedih mata serta pancutan air. Maka berlakulah apa yang dikatakan "pertempuran" dan kejar-mengejar antara dua pihak. Sumber terkini menyatakan 589 orang pendemonstran telah ditahan polis dalam peristiwa pada petang 1 Ogos itu. Kedua -dua pihak dikatakan berjaya dalam misi mereka. Pendemonstran mendakwa telah berjaya menggerakkan sehumlah begitu ramai anggota demonstran walaupun gagal berarak ke Istana dan pasukan polis pula berjaya menghalang mereka daripada berarak.

Agak mengecewakan puak pro ISA yang dikatakan awalnya mampu mengerahkan tenaga sehingga 80,000 orang bagi memnunjukkan kekuatan mereka, tetapi hanya mampu mengumpul sekitar 1000 sahaja. Mana perginya jumlah diwar-warkan itu.

Bagaimanapun impak daripada peristiwa ini tidak nampak lagi dalam jangka masa terdekat dan kerajaan dilaporkan masih mengkaji pengubahsuaian terhadap akta ISA ini, tetapi belum diketahui sejauh mana berjalannya. Kalau semasa Tun Razak membentangkan akta ini dahulu tujuannya untuk mengekang kegiatan komunis dan anasir subersif negara. Apakah pengubahsuainnya juga menuju ke arah itu, dan jika ini terjadi masyarakat mungkin dapat menerima seadanya walaupun tuntutan pemansuhan dilakukan.