Friday, October 16, 2009

UMNO Akan Berubah ? Betulkah...


Perhimpunan Agung Khas UMNO telah selesai malam ini dengan penggulungan ucapan oleh presiden parti. Tema perubahan berkumandang selama beberapa hari persidangan dicorong-corong radio dan juga TV kawalan kerajaan mahupun swasta. Adakalanya dalam Berita Perdanapun seperti malam ini hampir 20 minit berkenaan UMNO sahaja, seolah-olah ianya TV UMNO, bukannya TV Kerajaan. Dan mereka yang menonton yang mahu melihat berita sebenar disogok dengan Berita UMNO selama 20 minit pertama malam ini. Apakah ini tanda UMNO akan berubah... atau semakin memanipulasikan...terpulang pada pandangan masing-masing.

Apapun dari pandangan para bloggers, kata-kata UMNO akan berubah hanyalah berupa retorik semata-mata. Beberapa penulis bebas juga berpandangan sama kecuali perlembangannaya sahaja berubah dari kira-kira lebih 2000 orang perwakilan kepada 146,500 perwakilan dan sistem kuota seakan tidak lagi melindungi Ketua-ketua UMNO bagi mengekalkan jawatannya. Itu sahaja yang berubah. Perangai, feel dan sebagainya ramai yang telah menjangkakan sukar untuk berubah kerana telah sebati menjadi darah daging UMNO.

Manakala bagi pemerhati yang sedikit bersimpati dengan UMNO menyatakan perubahan dalam UMNO tidak dapat dilihat dalam sekelip mata sahaja. Tunggu dulu dalam setahun dua...jika ianya tidak berubah juga barulah kita jatuhkan "hukuman" bahawa UMNO sebenarnya tidak berubah dari segi perangai lamanya, hanya sedikit perlembagaan sahaja berubah.

Faktor kemenangan BN dalam PRK Bagan Pinang juga tidak dapat dijadikan contoh bagaimana UMNO telah diterima rakyat . Ini kerana kawasan itu sememangnya menjadi kubu kuat UMNO sejak dahulu lagi. JIka ianya kawasan pembangkang dan dapat dikuasai UMNO, maka itu tanda sebenar rakyat mahukan kepada UMNO dan perubahan diterima rakyat. Tetapi dalam banyak PRK yang diadakan UMNO gagal merampas kerusi yang dulunya dimenangi pembangkang kecuali PRK Pengkalan Pasir 2004 (itupun dimenangi kembali PAS dlm PRU 2008). Sebaliknya kerusi parlimen Kuala Terengganu milik UMNO pula jatuh ke tangan PAS.

Jadi kemenangan UMNO di Bagan Pinang dalam PRK baru-baru ini tidak menjadi modal politik yang UMNO telah berubah dan rakyat telah terima UMNO, apa lagi dengan undi pos yang masih diragui banyak pihak ketelusannya di mana undi pos mewakili kira-kira 40% daripada jumlah pengundinya.

Walau apa pun kita lihat sahaja dalam beberapa bulan akan datang atau sehingga hujung tahun ini apakah betul-betul ada perubahan dalam UMNO atau hanya sekadar kata-kata retorik sahaja bagi memberi semangat kepada ahlinya yang semakin lesu bersama kelesuan ekonomi yang melanda hari ini.

Thursday, October 15, 2009

Krisis MCA semakin parah


Parti kedua terbesar dalam BN, iaitu parti mewakili kaum Cina MCA kini berdepan maslah dalaman yang semakin kritikal selepas EGMnya pada minggu lepas. Presidennya semakin terdesak dan kemungkinan terpaksa melepaskan jawatannya apabila EGM minggu lalu telah mengundi tidak percaya terhadapnya.

Dengan berbekalkan sedikit lagi kuasa yang ada presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat semalam telah memanggil mesyuarat Majlis Presiden dan sumber dalaman menyatakan sebahagian anggotanya telah meminta Ong untuk melepaskan jawatan sebagai presiden MCA. Beliau kini semakin kehilangan penyokongnya yang semakin beralih kepada Datuk Liow Tiong Low, manakala penyokong Datuk Chua Soi Lek tetap tidak berubah dan mahukan satu EGM lagi diadakan.

Nampaknya dalam hal ini Ong Tee Keat terpaksa bersetuju dengan cadangan Soi Lek, malah beliau menyatakan bahawa penyokong Soi Lek profesional kerana mahukan EGM yang kedua bagi meminta mandat sebagai peneraju parti berbanding penyokong Tiong Lai yang seakan mahu Tiong Lai menerajui parti tanpa diadakan EGM kedua. Ini adalah berdasarkan sekiranya diadakan EGM kedua Tiong Lai belum pasti lagi akan menang, walaupun pada malam tadi beliau telah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi memenuhi kekosongan yang "ditinggalkan " Soi Lek.

Sekiranya EGM kedua diadakan sepertimana diarahkan oleh presiden Ong Tee Keat, apa akan terjadi kiranaya tiada pihak yang menang mutlak atau dengan kata lain menang tipis sahaja. MCA tentunya akan terus bergolak lagi dalam mencari pemimpin yang benar-benar dapat memimpin dan mendapat sokongan padu akar umbi. Sekiranya Ong Tee Keat dihambat keluar dari MCA, apakah masyarakat Malaysia umumnya dapat menerima Soi Lek dalam PRU nanti jika beliau terpilih ekoran masalah skandalnya itu.

JIka orang baru terpilih pula iaitu Ting Lai, apakah akar umbi akan memberikan sokongan padu terutama sekali penyokong kedua-dua tokoh Tee Keat dan Soi Lek. Nampaknya krisis MCA akan berpanjangan dan tidak mustahil ianya akan melarat sehingga PRU yang tidak lama lagi. Sekiranya ini berlaku tentu sekali ia menjejaskan BN dalam PRU itu nanti.

Sunday, October 11, 2009

PAS gagal membuat kejutan PRK Bagan Pinang


Di atas kertas dan andaian-andaian tidak mencerminkan keadaan sebenar dalam pengundian. Sejarah masa lalu juga tidak menjadi ukuran pola pengundian sebenar dalam PRK Bagan Pinang. Oleh itu bebrapa andaian sebelum ini telah meleset kerana andaian itu berdasar pola pengundian sebelum ini yang tinggal dalam lipatan sejarah.

TS Mohd. Isa Samad calon BN telah berjaya mengekalkan kerusi BN bagi N31 Bagan Pinang dengan memperolehi 8013 undi berbanding calon PAS Zulkefly Mohd. Omar yang memperolehi 2578 undi dan sebanyak 223 undi rosak. Majoriti Mohd Isa 5435 undi iaitu lebih besar dari PRU 2008 dahulu dengan peningkatan 110%. Tahniah kepada Mohd. Isa dan semoga berkhidmatlah dengan baik untuk rakyat.

Bagi penganalisa politik kemenangan yang begitu besar ini agak mengejutkan juga walaupun telah menduganya kerana faktor undi pos. PAS telah kehilangan undi pos lebih 1000 undi berbanding dengan PRU 2008 lalu. Andaian pola undi pos akan memihak pada BN memang dijangkakan tetapi di sekitar 60:40 atau lebih sedikit tetapi andaian itu tidak terjadi.

Begitu juga dengan andaian peti undi di tiga tempat iaitu Pekan Silliau, Ladang Atherton dan Sua Betong yang dimenangi PAS dalam PRU lalu juga tidak menjadi kenyataan. Para pengundi India di ketiga-tiga tempat tersebut telah beralih arah menyokong BN menyebabkan undi PAS merosot.

Apakah ini signal dari masyarakat India yang mula kembali kepada BN setelah penubuhan parti baru Parti Makkal Sakti. Adalah terlalu awal bagi membuat kenyataan sebegini kerana parti itu baru sahaja dilancarkan. Apa pun andaian berdasarkan pada pola pengundian masa lalu kali ini tidak menjadi kenyataan.
Dan kerana itu PAS gagal membuat kejutan di Bagan Pinang. Bagaimanapun usaha berterusan perlu dilakukan bagi menghadapi PRU 2013 yang akan menyaksikan keadaan sebenar pola pengundian kerana PRK biasanya tidak menjadi ukuran sebenar.

PRK Bagan Pinang: akan berlaku kejutan?


Pada dua malam terakhir kempen saya berkesempatan untuk berkunjung ke Port Dicoson khususnya kawasan Pilihan raya Bagan Pinang. Selama dua hari itu saya membuat tinjauan pada sebelah petang dan juga sebelah malam setelah selesai urusan harian. injauan pada waktu petang menyaksikan deretan pos-pos kedua-dua parti yang bertanding rancak membuat persiapan terakhir dan kelihatan agak meriah.

Manakala pada waktu malam dipenuhi jadual ceramah oleh para pemimpin masing-masing. Semalam saya cuba keluar untuk meninjau ke tempat DS Anwar berceramah tetapi tidak kesampaian akibat kesesakan lalu-lintas. Apabila sampai ceramah Anwar telah selesai dan saya difahamkan beliau hanya berucap pendek sahaja kerana ingin ke tempat lain pula. Bagi PR ceramah adalah antara alat kempennya, sementara BN banyak saluran termasuk media massa yang dikawalnya. Selain mengadakan program di hotel, BN juga ada mengaturkan jamuan makan malam , bagaimanapun sambutannya kurang memberangsangkan. Sementara program di hotel ramai dipenuhi kakitangan kerajaan yang dikerah untuk hadir.

Bagi PR ceramah oleh pemimpin besar mereka pada dua malam terakhir menyaksikan agak ramai yang keluar bagi mendengar ceramah. Tidak seperti malam sebelumnya yang dikatakan kurang ramai, malah ada yang menyifatkan sebagai satu "taktik". Ramai juga yang percaya apabila Anwar datang sendiri, sesuatu akan berlaku khususnya "swing" yang besar akan terjadi sepertimana kemasukan beramai-ramai ahli UMNO ke dalam PKR yang boleh memberi impak ke atas BN.

Malam tadi kami hanya mendengar ceramah di Batu 7 oleh Kapt.(B)Datuk Abu Zahar, EXCO Ronnie Liu dan juga MP PAS Firdaus Jaafar. Banyak imput menarik yang dilontarkan oleh penceramah-penceramah tersebut. Manakala malam sebelumnya Cikgu Bard telah mendedahkan skandal calon BN Isa Samad, semasa menjadi MB dahulu.

Daripada corak pemerhatian saya, kedua-dua parti akan cuba mendapatkan undi golongan muda yang merupakan kira=-kira 30% dari keseluruhan pengundi. Ini kerana bagi pengundi tua, mereka telah tetap pendirian dan sukar untuk berubah sama sekali.
Parti mana yang boleh mendapatkan pengundi muda untuk mengundi mereka, kejayaan akan menjadi miliknya. Pun begitu peranan undi pos masih tetap penentu pada pilihan raya ini kerana bialngann ya agak besar.

Ada pemerhati yang menyatakan jika PAS memperolehi separuh dariundi pos, dan berjaya mendapatkan unbdi golongan muda, nescaya PAS akan menang. INi bersadarkan pengundi Cina dan India tidak berubah dan tetap menyokong PAS sepertimana PRU yang lalu. Apapun kita lihat keputusannya malam ini. Peluang PAS setakat ini masih 45:55 mengikut para pemerhati, tetapi jika berlaku "undi protes" dalam UMNO , PAS akan menang dengan majoriti kecil atau dapat mengurangkan majoriti BN dengan banyak.

Wednesday, October 7, 2009

Alkisah penerbangan MAS MH 1397 Kota Bharu-Kuala Lumpur


Saya ingin berkongsi pengalam sedikit dengan para penjenguk blog saya berkenaan penerbangan MAS semenjak diambilalih pengurusan baru. Mungkin pengalaman ini satu yang terpencil tetapi ianya dapat dielakkan sekiranya satu pengurusan yang baik dilakukan khususnya berkaitan dengan Juruterbangnya. Bagi saya yang hendak ke Kuala Lumpur sahaja tidak begitu terasa tetapi bagi yang ingin menyambung perjalanan ke luar negara amat terasa peritnya.

Penerbangan MH1397 yang sepatutnya berlepas pada jam 4.35 petang dari Kota Bharu telah terlewat sehingga 8.35 malam gara-gara Juruterbang yang akan mengemudi pesawat tersebut telah melebihi masa penerbangannya dan terpaksa digantikan dengan Juruterbang baru. Masalahnaya bagaimana perkara ini boleh terjadi sekiranya pihak pengurusan menelitinya dengan betul. Kalau soal kerosakan teknikal pesawat mungkin boleh dimaafkan kerana ia di luar kawalan. Namun kesilapan "Juruterbang melebihi masa" ini tidak sepatutnya berlaku jika pihak pengurusan merancang dengan rapi jadual tugas para Juruterbangnya.

Memanglah betul tindakan Juruterbang itu tidak dapat mengemudikan lagi penerbangan ke KL kerana telah melebihi masa dan peraturan antarabangsa pun melarangnya. Tetapi apa yang dipersoalkan ialah pelaksaan jadual tugas Juruterbang oleh pihak pengurusan yang lebih mengetahui berapa jam seseorang Juruterbang itu telah bertugas dan hendaklah digilirkan kepada yang baru. Oleh itu kami terpaksa menunggu ketibaan Juruterbang baru dari Kuala Lumpur dan penerbangan ayang sepatutnya jam 4.35 petang telah berubah menjadi 8.35 malam, 4 jam kami semua terkandas. Hanya jam 9.35 tadi kami sampai dengan selamat di KLIA.

Walaupun pihak MAS ada memberikan kupon makan semasa menunggu tetapi bagi mereka yang ingin menyambung penerbangan ke destinasi lain pada malam tadi telah tergendala. Terdapat dua pelajar yang ingin ke Australia dan Mesir juga terpaksa mendapatkan penerbangan esok hari, dan ramai juga antara penumpang tadi pelancong dari China dan juga Eropah. Mungkin pihak MAS akan memberikan kemudahan Hotel dan juga pertukaran penerbangan, tetapi akibat perubahan masa itu mengakibatkan tergendalanya perancangan awal para pelancong tersebut.

Oleh itu diharapkan pihak pengurusan MAS dapat memberikan perhatian serius dalam perkara ini yang boleh di atasi sekiranya lebih peka kepada jadual tugas Juruterbangnya dan juga ianya penting bagi menjaga imej penerbangan utama negara.

PMR bermula hari ini


Hari ini bermulanya peperiksaan PMR untuk anak-anak kita semua dan marilah kita berdoakan ke Hadrat Allah SWT agak anak-anak kita semua dapat melepasi ujian tersebut dengan memperolehi kejayaan yang cemerlang. Ingatlah mereka adalah pewaris kepada kita semua dan kejayaan mereka kelak akan memberi kebaikan kepada negara keseluruhannya. Janganlah hendaknya mereka tercicir ditengah jalan. Mengikut statistik pihak Kementerian Pelajaran seramai 475,182 orang pelajar menduduki peperiksaan PMR tersebut.

Pada ketika ini mereka berusia 14-15 tahun dan mereka adalah aset penting negara dalam masa 10 atau 20 tahun lagi. Oleh itu para ibu bapa hendaklah memain peranan memberikan perangsang kepada anak-anak di samping doa kepada Allah SWT demi kejayaan anak-anak kita semua, Insya Allah.

Thursday, October 1, 2009

Akhirnya Isa terpilih juga PRK Bagan Pinang



Akhirnya nama TS Isa Samad terpilih juga sebagai calon BN dalam PRK Bagan Pinang yang dijadualkan pada 11 Oktober nanti. Timbalan Perdana Menteri TS Muhyiddin Yassin telah mengumumkannya pada petang 29 hb September. Walaupun sebelum ini Tun Dr.Mahathir yang gemar bercakap akhir-akhir ini seakan menyuruh pemimpin UMNO tidak mengambil Isa sebagai calon. Pada hari ini Dr.Mahathir akur dengan keputusan pucuk pimpinan UMNO, namun menyatakan beliau tidak akan membantu kempen di Bagan Pinang.

Manakala PAS diwakili oleh Zulkefli Muhd.Omar yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan sepertimana diumukan Presiden PAS Datuk Hj Abdul Hadi Awang pada sebelah malam 29 September. Pertembungan dua tokoh ini menarik perhatian ramai dan pemerhati politik tanah air. Apakah PAS akan berjaya mengurangkan majoriti BN dengan "agak besar" akan terjawab apabila hari mengundi nanti. Untuk menang rasanya "agak susah sedikit" tetapi tidak mustahil perkara ini boleh berlaku jika swing yang besar terjadi di kalangan para pengundi.

Apapun kita lihatlah pada hari penamaan calon 3 Oktober nanti, apakah hanya 2 calon itu atau ada pihak ke 3 yang turut sama bertanding sebagai calon Bebas. Walaupun berlaku pertandingan 3 penjuru, tumpuan tetap pada BN dan PAS yang cuba untuk mendapat tempat dan bertapak di kawasan pantai barat. Selamat bertanding kepada kedua-dua calon tersebut kita ucapkan.