Tuesday, December 8, 2009

Apa perlunya Chong Wei ke Sukan SEA


Tahniah buat badminton Malaysia apabila pada Ahad lalu menyapu gelaran Juara Grand Prix Super Series Dunia di Johor Bahru bagi perseorangan lelaki dan wanita menerusi Datuk Lee Chong Wei yang mengalahkan pemain Korea Park Sun Hwan 21-17.21-17 dan Wong Mew Choo yang menewaskan pemain Jerman, Juliane Schenk 21-15 dan 21-7.Turut muncul Juara ialah Beregu Wanita bila Wong Pei Tty dan Chin Eei Hui berjaya menewaskan pemain Denmark, Karmilla Rytter - Lena Frier Kristiansen 21-17,21-14.

Gelaran Juara yang dimiliki Malaysia dalam satu-satu kejohanan yang agak banyak setaakat ini, hanya pemain bergu lelaki yang agak malang, jika tidak Malaysia hampir menyapu bersih gelaran di gelanggang sendiri. Namun ketiadaan pemain utama China Lin Dan, memungkinkan Chong Wei lebih selesa. Di sini bukannya saya merendahkan kemampuan Chong Wei, namun hakikatnya beliau sukar menang jika bertemu Lin Dan. Juga bukan soal skill jadi ukuran tetapi lebih pada "ketahanan mental" kerana daripada segi skil permainan tahapnya adalah sama sahaja.

Namun apa yang saya ingin timbulkan di sini bukan soal itu. Soalnya ialah kenapa Chong Wei harus dikerah pula ke sukan SEA di Laos. Apakah pingat di Laos itu yang diinginkan atau pencapaian Chong Wei dalam kejohanan yang lebih besar diutamakan. Saya tidak bersetuju sama sekali Chong Wei dikerah ke Sukan SEA. Biarlah pemain pelapis yang bermain untuk Sukan SEA, lagipun apakah dengan sumbangan pingat dari Chong Wei akan membolehkan Malaysia muncul juara sukan SEA nanti.Rasanya tak mungkin, kalau dalam bidang sukan lain Malaysia kecundang sepertimana bolasepak.

Untuk itu Chong Wei atau Mew Choo patut berlatih dan bersedia untuk Kejohanan All England yang lebih berprestij bagi dunia badminton yang dijangkakan pada Mac nanti. Itu gelanggang sebenar Chong Wei bukannya sukan SEA yang hanya ada Indonesia yang mempunyai pemain bertaraf dunia.

Apabila pada hari ini Chong Wei dilaporkan menarik diri dari Sukan SEA atas sebab kesihatan, saya sangat bersetuju sekali kerana alasan di atas. Beliau perlu menumpukan pada Kejohanan besar dunia bukan sukan SEA yang bertaraf serantau sahaja yang hanya beberapa kerat pemain badminton setarafnya. Kalau beliau menang pingat emas sukan SEA sekalipun bukanlah boleh dibanggakan sangat kerana berlawan dengan pemain Vietnam, Filipina, Laos atau Kemboja.

Untuk itu Chong Wei atau pemain utama negara lain perlu bersiap dari sekarang untuk kejohanan besar dan yang terdekat dari sekarang ialah Kejohanan All England. Sepatutnya BAM menumpukan pada kejohanan ini bukannya sukan SEA.

Friday, December 4, 2009

Rakyat 1 Kelantan Menyokong MB TG Nik Aziz?



Pagi ini, jumaat seperti biasa TG Menteri Besar Kelantan memberi kuliahnya di Dataran Ilmu, Jalan Dato' Pati, Kota Bharu. Ianya merupakan rutin hari jumaat, selepas kuliah subuh di masjidnya di Pulau Melaka. Selepas kuliah subuh biasanya sudah ada puluhan yang membawa bayi bagi TG "membelah mulut" dan mencukur rambut. Kuliah di Kota Bharu itu biasanya bermula 9.30 pagi selama satu jam.

Pada hari biasa pendengar kuliahnya sekitar 3000 orang dan ada yang datang sejauh Gua Musang dan juga Besut, Terengganu. Pada pagi ini kehadiran orang ramai luar biasa sekali. Saya difahamkan oleh kawan-kawan di sana, bandar Kota Bharu penuh sesak dengan orang ramai. Semuanya datang untuk memberi sokongan pada Menteri Besar dan yang datang itu bukan sahaja orang Melayu, juga orang-orang Cina, India dan Siam. Selepas kuliah berakhir, bermula pula demonstrasi menyokong kepimpinan TG Dato' Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan. Demonstrasi ini dihadiri lebih 10,000 orang adalah berpuluh kali ganda lebih ramai dari demonstrasi selasa lalu di depan Kota darulnaim yang menuntut beliau berundur.

Kalau begitu keadaannya, bagaimana dengan war-war media masa bahawa TG Nik Aziz semakin tidak mendapat sokongan rakyat Kelantan? Nampaknya "spin" media massa tertentu tidak berjaya sama sekali "menggoyahkan" pentadbiran beliau, malah tidak mendatangkan sebarang kesan. Hadir sama dalam demonstrasi ini ialah para ADUN PAS termasuk EXCO dan Pesuruhjaya II Datuk Husam Musa. Yang turut berucap dalam perhimpunan ini bukan sahaja Tok Guru, Husam; tetapi juga wakil-wakil masyarakat Cina, India dan Siam.

Dalam perhimpunan ini juga Tok Guru mengulangi tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan. " Selagi tidak bayar royalti, kita doakan sampai pecah perut orang itu". Ini kerana telah melanggar keadilan asasi. Ucapan beliau disambut dengan laungan gemuruh orang ramai. Keadaan menggelikan hati timbul bila wakil masyarakat India berucap menggunakan bahasa Tamil pada permulaannya yang mengundang tawa besar hadirin. Para penjenguk boleh melihat gambar-gambar perhimpunan ini dalam Blog Pinkturtle dan juga Detikdaily yang banyak menyiarkan gambar-gambar sekitar perhimpunan itu.

Pengumuman perhimpunan ini dirancang kelmarin dan dumumkan lewat kemarin juga tapi kehadirannya melebihi 10,000 orang itu bakal melenyapkan sama sekali tanggapan sesetengah pihak bahwa kepimpinan TG Nik Aziz sebagai MB Kelantan semakin tidak mendapat sokongan rakyat Kelantan. Buktinya rakyat 1 Kelantan hadir hari ini.

Thursday, December 3, 2009

Banjir Pusingan ke-3 di Kelantan telah bermula?


Pada pagi 2 Disember, hujan lebat turun mencurah-curah di Kota Bharu. Sebelum ini Kelantan telah dua kali dalam bulan November dilanda banjir. Pada kebiasaannya banjir datang dalam 3 gelombang dan yang ke 3 itu adakah yang telah berlaku dalam sehari dua ini. Tetapi yang peliknya hujan lebat hanya sekitar kawasan pantai sahaja, sebab itu dikatakan hujan pantai.

Kebetulan pada 3 Disember penulis berkereta dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur, menghantar balik isteri dan anak-anak yang balik beraya di Kelantan. Penulis sendiri bekerja di Kota Bharu dan balik sekali seminggu di rumah di Kuala Lumpur. Pada hari balik iaitu hjari Rabu itu hujan tiada henti dalam perjalanan dari Kota Bharu hinggalah sampai ke Kuala Krai bilamana hujan renyai-renyai sahaja dan tiba di Gua Musang tiada hujan lagi. Dari Gua Musang hinggalah sampai di Kuala Lumpur tiada hujan langsung dan cuaca mendung sahaja.

Pada malamnya berita Tv menyatakan banjir telah melanda beberapa kawasan di Tumpat dan Pasir Puteh iaitu di beberapa kawasan rendah dan air sungai utama di Kelantan masih bertahan di bawah paras bahaya. Semalam juga keadaan banjir masih bertahan dan tidak sampai seratus orang yang terpaksa pindah. Kalau ini petunjuknya banjir di Kelantan di Terengganu telah masuk ke gelombang ke 3 dan diharapkan tiada lagi selepas ini kerana pada gelombang pertama dan ke 2 dahulu ribuan orang terpaksa berpindah ke kawasan selamat.

Kalau itu menjadi kenyataan dan tiada banjir lagi menjelang akhir tahun ini, Kota Bharu selamat dari banjir tahun ini. Hanya pada tahun 2004 dahulu bandar Kota Bharu teruk ditenggelami air sedalam 3-4 kaki. Dan selepas banjir beberapa minggu diambil bagi mencuci keadaan bandar yang berselut dan berhabuk bila cuaca panas terik.

Alhamdulillah tahun ini banjir tidak terlalu besar, hanya kawasan yang sememangnya tradisi dilanda banjir seperti Penambang, Tumpat, Rantau Panjang, Pasir Mas, Kuala Krai, Pasir Puteh dan beberapa kawasan rendah dan lembangan sungai kelantan.

Poster Demo sokong Tok Guru Mb Kelantan Esok


Dalam posting terbaru saya tadi, saya andaikan esok selepas kuliah Tok Guru MB di Dataran Ilmu biasanya ada demo jika ada isu tertentu. Apabila saya menjenguk blog Cina Islam, lewat jam 12.00 mlm tadi , ada terdapat satu poster tentang demo itu esok dalam blog tersebut. Untuk makluman pembaca saya siarkan balik poster itu yang asalnya dijumpai dalam blog Cina Islam yang mana saya salah seorang followernya. Telahan itu telah nyata, sayangnya saya berada di KL dan tidak dapat meninjau keadaan demo itu dan saya akan dapatkan dari kawan-kawan di KB, insya Allah.

Ribut Dalam Politik Kerajaan Kelantan Semakin Reda


Ribut yang melanda dalam pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan yang memuncak dalam 2 minggu lepas nampaknya semakin reda. Saya sengaja tidak membuat posting semasa ribut itu pada kemuncaknya kerana yakin isu ini akan selesai dengan sendirinya secara aman. Walaupun dua hari lepas sekumpulan orang ramai yang didalangi Che Johan Che Pa pemimpin Pemuda UMNO mengadakan demonstrasi di depan pintu pagar Kota Darulnaim, namun ianya tidak mendatangkan apa-apa kesan pada pentadbiran kerajaan Kelantan, apalagi untuk mendesak Menteri Besar berundur dari jawtaannya.

Menteri Besar Datuk Nik Aziz sendiri menyatakan beliau tak perlu melayan sekumpulan budak-budak UMNO yang berdemonstrasi itu. Dan esok Jumaat seperti biasa kuliah Tok Guru di Dataran Ilmu pasti akan ada satu demonstrasi aman bagi menyokong Tok Guru oleh pengikut PAS, sekiranya tiada hujan lebat pasti ramai yang datang memenuhi Dataran Ilmu seperti lazimnya sekitar 2000-3000 orang, tetapi jika ada demonstrasi esok pasti jumlahnya bertambah ramai. Biasanya demonstrasi sebegitu di Dataran Ilmu tidak dirancang dan diadakan selepas kuliah berakhir.

Berbalik pada soal keributan tersebut yang berpunca dari masalah "dalaman" Perbadanan Menteri Besar Kelantan(PMBK) yang kebetulan diketuai oleh menantu Menteri Besar Abdul Arif Fahmi. Pada pandangan penulis perkara ini boleh dielakkan sekiranya Arif Fahmi tidak menduduki kerusi itu dari awal lagi. Sebelum ini pun Menteri Besar amat berhati-hati dalam sebarang perlantikan yang melibatkan ahli keluarganya. Malah Ustaz Nik Muhd Abduh tidak diberikan tempat untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya baik DUN atau Parlimen kerana dibimbangi adanya fitnah walaupun dari segi kelayakan Ustaz Nik Abduh sememangnya layak dan berkemampuan.

Mungkin pada masa itu pandangan dan nasihat yang diberikan oleh para pembantu Menteri Besar ketika perlantikan Arif Fahmi itu lebih kepada "malu mata" kalaupun tidak untuk membodek Menteri Besar. Lalu selepas perlantikan dan bila berlaku "berkucah" macam ini penasihat dan pembantu tadi hilang tanpa memberi apa-apa justifikasi, sedangkan masa melantik dahulu justifikasi sebagai "layak" dan berkelulusan "engineer" dijadikan asasnya. Maka berlakulah apa yang kita saksikan, dan ia juga satu rahmat untuk renungan pada masa hadapan agar Menteri Besar berhati-hati dalam soal yang membabitkan ahli keluarga terdekat.

Apabila Menteri Besar mengumumkan bahawa beliau telah menasihatkan Arif Fahmi CEO PMBK untuk meletakkan jawatan selepas diconsult oleh Presiden dan pemimpin atasan PAS dan demi menjaga kedudukan parti dari fitnah, Arif Fahmi juga setuju melepaskannya demi perpaduan dalam PAS sendiri dan mengelakkan fitnah yang berterusan. Peristiwa ini perlu diambil iktibar oleh semua terutama pejuang-pejuang Islam agar berlapang dada dan menerima nasihat yang baik demi kelangsungan perjuangan.

Walaupun pihak media arus perdana dan blog-blog tertentu membuat serangan bertubi kali, nampaknya Menteri Besar Kelantan dapat "menguruskan permasalahan" ini dengan baik dan ianya semakin reda sekarang. Soal penyiasatan SPRM ke atas PMBK itu soal lain dan biarlah SPRM menguruskannya, dan saya pasti sekiranya ada bukti SPRM tidak akan teragak-agak menyeret Arif Fahmi ke mahkamah. Apa lagi ianya melibatkan kredibiliti kerajaan PAS Kelantan!

Saya percaya dan yakin, dalam seminggu dua lagi, insya Allah "keributan" ini semakin dilupakan dalam keghairahan menyambut Tahun Baru 2010 dengan gerak kerja masing-masing sama ada parti pemerintah ataupun pembangkang kerana PRU 13 semakin menghampiri birai waktu.

Hasrat Chin Peng pulang ke Malaysia samar


Isu mengenai hasrat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, bekas orang kuat Parti Komunis Malaya (PKM) berbangkit kembali biarpun Mahkamah telah memutuskan tidak membenarkan beliau pulang ke Malaysia. Ia muncuk kembali tatkala satu majlis memperingati 20 tahun termeterainya Perjanjian Damai PKM dengan Kerajaan Malaysia di Hadyai, Thailand 2 Disember 1989 dulu. Majlis yang diadakan di Hotel Lee Garden, Hadyai itu diadakan secara sederhana dan dihadiri bekas pemimpin PKM termasuk Chin Peng.

Chin Peng melahirkan hasratnya untuk bertemu dengan Perdana Menteri DS Najib apabila PM melawat Thailand dalam bulan Disember ini. Namun awal-awal lagi Najib menyatakan beliau tidak sedia bertemu dengan Chin Peng. Sebelum Najib berkata begitu, beberapa pemimpin kerajaan termasuk TPM TS Muhyiddin menyatakan "tiada maaf" bagi Chin Peng dan hasrat beliau kembali ke Malaysia janganlah diangan-angankan.

Penulis tidak berhasrat untuk menyatakan wajar atau tidak untuk Chin Peng kembali ke Malaysia, ianya terpulang pada pandangan masing-masing. Pihak bekas anggota pasukan keselamatan misalnya, tentunya mempunyai alasan kukuh tidak bersetuju dengan kepulangan Chin Peng. Benar Chin Peng telah meletak senjata, tetapi beliau masih lagi "kukuh" dengan anutan komunisnya. Dan beliau juga menyatakan tidak akan memohon maaf kepada rakyat Malaysia di atas apa yang berlaku dalam perjuangan komunis dahulu, walaupun beliau mengakui ada kesilapan dan rakyat biasa menjadi mangsa. Mungkin atas ketegasan Chin Peng itulah juga kerajaan tidak bersedia untuk membenarkan beliau pulang.

Cuma apa yang penulis ingin bangkitkan ialah tentang isi Perjanjian Damai tersebut. Kandungannya perlu didedahkan supaya rakyat tahu dan dapat menerima penjelasan kerajaan. Ini kerana Chin Peng mendakwa beliau seolah ditipu kerana perjanjian itu katanya membenarkan dia kembali ke tanah air. Apakah benar ada 'klausa' itu dalam perjanjian, ini yang rakyat ingin tahu.

Semalam bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir menyatakan biarlah rakyat menentukan sama ada ingin membenarkan Chin Peng pulang atau tidak. Macam mana hendak tahu sakyat setuju atau tidak, ini kena buat pungutan suara. Bagaimana kalau rakyat setuju, setujukah kerajaan membenarkannya. Di lihat pandangan Dr. Mahathir ini agak menarik juga, seolah dia tahu isi kandungan perjanjian ( sememangnya beliau tahu kerana dia PM semasa Perjanjian ditandatangani).

Apa yang lebih menarik bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor menyatakan Chin Peng patut dibenarkan pulang ke Malaysia kerana ia terkandung dalam perjanjian damai dahulu itu. Ini lagi menarik kerana TS Rahim adalah orang yang terlibat secara langsung dalam menguruskan perjanjian damai itu. Setakat ini tiadsa pemimpin kerajaan mengulas kenyatan TS Rahim.

Saya tidak ingin mengulas persoalan persepsi masyarakat jika Chin Peng pulang ke tanah air sama ada patut atau tidak. Masing-masing ada hujah sendiri bagi menjustifikasikan pendapat. Para penyokong tentu mengambil kira faktor usia 85 tahun Chin Peng sekarang, apa beliau boleh buat lagi dan lain-lain lagi. Manakala yang menentang pun ada kebenaran hujahnya apabila mempersoalkan "kekejaman" komunis dahulu khususnya semasa pengunduran Tentera Jepun 1945 dan pihak komunis bermaharaja lela sebelum British kembali serta keadaan yang terjadi pada zaman darurat.

Pokoknya di sini ialah apa yang disebutkan dalam Perjanjian Damai itu dan perjanjian perlulah dipatuhi. Jika kerajaan tidak mematuhi perjanjian yang diadakan, maka pandangan pihak luar adalah negetif sekali tentang negara. Begitulah juga dengan Perjanjian Petrolium kerajaan negeri termasuk Kelantan dengan PETRONAS, kerajaan wajib mematuhinya seperti mana dalam Perjanjian, jika tidak apa guna ada perjanjian, kalau tidak dilaksanakan. Mungkin atas dasar itulah YBM Tengku Razaleigh tetap bertegas dengan pendapatnya dalam isu royalti minyak pada Kelantan kerana beliau terlibat secara langsung dengan urusan perjanjian PETRONAS itu.

Dalam hal Chin Peng dan PKM ini, apakah TS Rahim Noor juga akan tegas dengan pandangannya itu dan bagaimana pula dengan pandangan kerajaan dalam perkara ini. Segalanya masih samar dan sukar dijangkakan.

Wednesday, December 2, 2009

Demonstrasi Depan Pejabat Kota Darulnaim


Kelmarin, Selasa pagi ratusan orang berkumpul di depan pintu masuk Pejabat Kota Darulnaim yang menempatkan Pejabat SUK dan juga Pejabat Menteri Besar Kelantan serta EXCOnya. Malah boleh dikatakan semua Pejabat Kerajaan Negeri terletak dalam Kota Darulnaim. Kompleks Pejabat Kota Darulnaim ini dibina semasa BN memerintah Kelantan iaitu semasa Allahyarham Tan Sri Mohamad Yaakob menjadi Menteri Besarnya. Tetapi BN hanya sempat menduduki kompleks ini sebentar sahaja bila BN tewas dalam PRU 1990 dan sejak itu ia menjadi pejabat Kerajaan Kelantan dibawah pentadbiran PAS. Di sini bukan isu siapa yang membinanya kerana setiap pentadbiran baru akan mewarisi dari kerajaan lama baik yang bangunan yang dibina ataupun hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan lama juga ditanggung oleh pentadbiran baru.

Berbalik pada soal demonstrasi, Agenda Daily menyebut 1,000 orang berkumpul dan berdemonstrasi itu manakala beberapa blog menyatakan ratusan sahaja. Teman-teman blogger menyatakan hanya sekitar 300-400 orang sahaja tetapi nampak ramai dicampur dengan orang yang menonton di kiri kanan jalan dan kenyataan bahawa rakyat Kelantan telah bangkit berdemo juga tidak berapa tepat. Memanglah semuanya rakyat Kelantan tetapi kepala demo Che Johan Che Pa semua orang tau, Naib Ketua UMNO Pasir Mas dan kebanyakannya yang berdemo itu juga orang-orang UMNO atau cenderung pada UMNO termasuklah Putera dan Puteri UMNO sekali.

Demo ini bukanlah pertama kali semasa Menteri Besar Dato' Nik Aziz mentadbir Kelantan, kerana sebelum ini pernah ada demo serupa berkaitan dengan penswastaan bekalan air di Kelantan suatu masa dahulu yang di dalangi orang-orang dari Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) pimpinan Datuk Ibrahim Ali.

Demo pada pagi selasa itu bagi membantah cadangan "Doa Bala" pada Perdana Menteri jika tidak berikan royalti minyak kepada kerajaan Kelantan. Ini juga dirasakan kebanyakan orang hanya kebetulan sahaja isu itu timbul dan dapat dijadikan batu loncatan bagi mengadakan demo. Sebenarnya mereka yang tidak bersetuju dengan pentadbiran PAS di Kelantan termasuk orang UMNO berhajat untuk mengadakan demo tetapi tiada "justifikasi" sesuai dan bila isu ini timbul maka ada " sebab" untuk berdemo walaupun pada ruang yang lain pemimpinnya mengatakan "demonstrasi bukan budaya kita".

Tidak mengapalah untuk berdemo secara aman adalah dijamin dalam perlembagaan dan sesiapa pun boleh berdemo secara aman, SUHAKAM pun setuju dengan perkara ini. Cuma bagi penganjur demo walau atas nama apa sekali pun baik NGO atau apapun, jika tiada impaknya maka rasanya merugikan masa dan tenaga sahaja. Kalau "agak ramai" yang datang berdemo tu...ada juga impaknya dan boleh menjadi suara pendesak. Sekurang-kurangnya boleh menyedarkan orang yang dituju oleh pendemo itu betapa ramai yang tidak setuju dengan pandangan mereka. Mungkin pada hari itu hujan turun tanpa henti menyebabkan ramai tak ikut serta

Apapun dalam politik demokrasi di Malaysia sesiapa bebas bersuara dan berdemo secara aman dan pihak keselamatan juga perlulah bekerjasama mengawalnya dengan baik sepertimana dalam demo pagi selasa itu.