Monday, January 4, 2010

Sdr Wan Nik Dilantik SUP MB Kelantan


Pada hari ini Sdr Wan Nik Wan Yusuf telah diumumkan perlantikannya sebagai Setiausaha Politik YAB Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat,Menteri Besar Kelantan. Perlantikan beliau adalah bagi menggantikan Sdr Anual Bakri Haron yang telah berkhidmat selama 10 tahun. Sdr Wan Nik adalah bekas Ahli Parlimen Bachok bagi penggal 1999-2004 dan juga bekas Pengarah Pusat Kajian Strategi Kelantan.

Beliau berkelulusan Sarjana Muda(BA Hons)Sosiologi dan Antropologi, UKM 1984 dan Sarjana Sains Politik(MA) 2005 dan sekarang sedang menyiapkan tesis PhD juga dalam bidang Sains Politik. Di kalangan rakan-rakan persekolahan beliau dikenali dengan nama Wan Ibrahim (dalam blog beliau http://greencresent-wanibrah.blogspot.com/- wanibrah merujuk pada nama beliau di kampung, Wan Ibrahim) dan tatkala alam persekolahannya di SMK Kedai Lalat (sekarang SMK Raja Sakti) beliau tinggal bersama neneknya di Pengkalan Petah, Bachok, Kelantan.

Sdr Wan Nik, 49 thn kini merupakan bapa kepada kepada 5 anak kini menetap di Kg. Nipah, Bachok bersama isterinya seorang pendidik. Walaupun beliau tinggal agak jauh dari Pulau Melaka, tetapi beliau sering hadir ke kuliah Tok Guru di Masjid Pulau Melaka. Di kalangan kawan-kawan beliau seorang yang senang didekati dan senang untuk meminta pertolongan serta istiqomah dalam perjuangan. Dalam bidang penulisan beliau amat teliti dan menulis banyak berdasarkan fakta dan analisis yang bernas. Ini mungkin beliau seorang yang rajin mentelaah buku dan juga selaku seorang pakar dalam bidang kajian strategi.

Apapun kita mengucapkan tahniah kepada beliau atas perlantikannya itu dan selamat meneruskan perjuangan dalam bidang politik Islam yang telah diceburinya sejak meninggalkan kampus UKM pada tahun 1984 dulu. Sebagai rakan sepersekolahan dan sekampus saya ucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas.

Sunday, January 3, 2010

Persekolahan sesi 2010 bermula bagi anak-anak kita


Pada hari ini ahad 3 Januari 2010 telah bermula sesi baru persekolahan anak-anak kita. Bagi yang bercuti dan menaiki ke kelas lain tidak menjadi masalah kerana mereka telah biasa dengan suasana persekolahan. Apa yang ingin dicoretkan di sini ialah persekolahan bagi anak-anak kita yang mulai masuk Darjah satu atau kini diberi nama baru Tahun satu.

Bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak, saat ini merupakan satu ujian getir. Beban yang ditanggung adalah besar jika tidak dirancang dari awal. Masakan tidak anak-anak yang baru memasuki alam persekolahan memerlukan segala peralatan termasuk pakaian dan buku serta alat tulis lain. Itu belum masuk lagi peralatan bagi anak-anak yang bersekolah sedia ada.Kalau yang telah sedia ada di sekolah 3 orang dan ada satu atau dua orang lagi memasuki alam persekolahan agat memeritkan juga. Itu belum masuk lagi perbelanjaan yuran sekolah bagi 4 atau 5 anak itu.

Pada tahun lepas heboh juga diperkatakan tentang "yuran percuma" yang kemudiannya ternyata kena bayar juga gara-gara Pak Menterinya yang terlalu terburu membuat pengumuman tanpa perbincangan dan penelitian dengan pihak sekolah dan PIBG. Akhirnya isu yuran itu telah dijadikan senda gurau oleh para ibu bapa kemudiannya selepas mendapat penjelasan dari pihak sekolah.

Pada tahun ini tiada lagi diperkatakan isu yuran, mungkin semuanya sudah memahami dan orang atasan pendidikan juga tidak mahu lagi "mengambil mileage" politik dari isu pendidikan ini. Baguslah begitu...perkara mengenai pendidikan anak-anak kita ini perlu ditangani bersama tanpa mengira bangsa dan agama serta kedudukan seseorang. Perbezaan politik juga harus diketepikan bagi menjamin kejayaan sistem pendidikan dan untuk masa hadapan anak-anak kita yang akan mewarisi kepimpinan negara kita suatu hari nanti.

Saat sebegini jika ada sedikit pertolongan dari para pemimpin politik ataupun golongan korporat bagi persiapan anak-anak ke sekolah amat dihargai sekali. Bagi golongan berpendapatan rendah dan masyarakat kampung dan juga bandar yang miskin seharusnya mendapat bantuan bagi meringankan beban. Pihak Pusat Zakat misalnya hulurlah sedikit bantuan pada keluarga yang kurang mampu tersebut dan janganlah menunggu sahaja di Pejabat untuk didatangi pemohon bantuan; sebaliknya berikhtiar mengenal pasti golongan dan turun ke padang bagi menghulurkan bantuan.

Saya percaya sekiranya kerjasama sebegini dapat dilakukan, anak-anak kita akan mendapat pendidikan yang baik dan sempurna dan inilah harapan kita agar mereka akan muncul sebagai warga negara yang dapat berbakti pula pada negara pada masa hadapan.

Isu kalimah Allah oleh Majalah Herald: Mencari kebenaran atau meraih sokongan


Isu penggunaan nama Allah dalam terbitan Gereja Katolik, Herald yang mana Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu memberikan kebenaran telah mengundang kemarahan umat Islam di Malaysia. Rata-rata masyarakat Islam di seluruh negara telah bangkit menentang keputusan Mahkamah itu sama ada menerusi penulisan ataupun mengadakan demonstrasi aman.

Isu ini agak sensitif bagi kebanyakan umat Islam di negara ini. Dalam penghakimannya Hakim Datuk Lau Bee Lan telah menyatakan "mengikut Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, Herald mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan itu bagi tujuan tunjuk ajar dan pendidikan penganut agama Kristian". Dalam erti kata lain orang bukan Islam boleh menggunakan perkataan Allah bagi tujuan pengajaran agama mereka, walaupun ia menjadi kesalahan kalau untuk mendakyahkan penganut agama Islam.

Berikutan itu timbul pelbagai pandangan dari pihak NGOs dan juga masyarakat serta parti-parti politik. Rata-rata tidak bersetuju dengan kebenaran oleh Mahkamah itu. Pihak kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri akan memfailkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah itu dan telah pun difailkan pada hari ini. Para ulama juga telah bangkit menentang keputusan ini termasuk Persatuan Ulama Malaysia dan lain-lain.

Saya kira sekiranya isu ini muncul di India atau Pakistan telah lama berlaku rusuhan dan serangan ke atas Gereja ataupun para penganut Katolik yang cuba menguji tahap kesabaran umat Islam itu. Namun di negara ini masyarakat Islamnya masih lagi berlembut dan menyuarakan bantahan secara aman sahaja di samping mengharapkan pihak kerajaan mengatasinya. Dan apakah ini menjadi satu wadah bagi pihak pemerintah untuk meraih popularitinya yang semakin merosot itu.

Dalam banyak pandangan saya tertarik dengan pandangan Tok Guru Menteri Besar Kelantan dan juga Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin bekas Mufti Perlis. Pandangan mereka berdua ini agak sama yang mana menurut mereka, pada dasarnya penganut agama Samawi tidak salah menggunakan perkataan Allah tetapi perlu diperincikan garis panduannya bagi mengelakkan kekeliruan kepada umat Islam di Malaysia. Lebih-lebih lagi pihak Gereja Kristian akhir-akhir ini semakin menampakkan usaha "dakwah"(sebenarnya dakyah) bagi menarik penganut Islam kepada agama Kristian. Perkara ini pernah heboh suatu masa dahulu dengan pendedahan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Mana mungkin nama Allah yang difahami oleh umat Islam itu sama dengan konsep triniti dalam agama Kristian. Dalam Islam Allah itu Esa, Tidak Beranak dan Tidak diperanakkan. Sedangkan dalam Kristian ada konsep 3 dalam satu (triniti), anak Tuhan dan sebagainya. Maka sebab itulah ianya sama sekali tidak ada persamaan dengan konsep ketuhanan dalam Kristian yang selama ini menyebut "God" bagi merujuk pada Tuhannya. Mengapa tiba-tiba pula ingin mnegambil nama Allah kalau bukan tujuannya yang ada "udang di sebalik batu".

Pada penulis permuafakatan semua pihak tanpa mengira fahaman politik dalam mempertahankan kesucian agama Islam ini perlu sekali. Musuh-musuh Islam tidak akan berani menguji tahap kesabaran kita sekiranya semua umat Islam bersatu hati dalam perkara ini. Cuma apa yang diharapkan ialah semua usaha-usaha ini dilakukan dengan ikhlas dan tujuannya nyata bagi mempertahankan aqidah dan kebenaran, bukannya mencari populariti dan sokongan.

Mungkin sebab itulah ada pihak-pihak yang agak berhat-hati dalam mengutarakan pandangannya kerana dibimbangi diputarbelitkan. Namun jika kita ikhlas Alalh akan menunjukkan jalan kebenarannya. Pihak Berita TV3 dalam Berita Perdananya malam ini telah membetulkan kesilapannya berkenaan kenyataan Menteri Besar Kelantan dalam isu ini. Ini kerana pada malam semalam ianya memberikan penekanan pada aspek tertentu, sedsngkan Menteri Besar Kelantan menyatakannya dalam konteks yang lebih luas lagi seperti mana yang tersiar dalam Utusan Malaysia hari ini. Ini menampakkan Utusan Malaysia pada kali ini telah memberikan liputan yang profesiaonal berkenaan pandangan Tok Guru Nik Aziz itu.

Sekiranya kita bersungguh-sungguh mempertahankan nama "Allah" itu pada kali ini, hendaknya jangan pula ada pada waktu yang lain kita memperlihatkan kebodohan diri sendiri apabila "tidak mempertahankan hukum Allah" sama ada hukum Allah itu seperti dalam soal judi, zina, minum arak, hudud dan sebagainya. Mana perginya ketegasan kita mempertahakan nama Allah itu, jika kita tidak pula menyokong hukum-hukum Allah.
Semoga permuafakatan pada kali ini membuahkan satu fikrah yang sama dalam menegakkan agama Allah di bumi Malaysia ini. Wallahu a'lam.

Kenaikan harga gula 20 Sen, Hadiah Tahun baru?


Bermula 1 Januari 2010, harga gula telah dinaikkan sebanyak 20 sen bagi sekilogram. Bagi orang kebanyakan kenaikan itu tidaklah begitu membebankan, tetapi dibimbangi kenaikan itu berjangkit pula pada kenaikan harga barangan berkaitan dengannya terutama sekali dalam makanan lain dan juga minuman. Kalau nak diharapkan pada peniaga untuk "menyerapkan" kenaikan ini dalam kos lain, jangan diharaplah.

Berikutan itu lahirlah ungkapan-ungkapan yang kurang enak didengar seperti "hadiah tahun baru dari kerajaan", "rakyat diutamakan, gula dinaikkan" dan pelbagai ungkapan lain yang memperlihatkan satu inovasi yang baik di kalangan masyarakat dalam menyindir pihak-pihak yang berkuasa dalam perkara ini. Cuma yang agak menghairankan pada kali ini bukan sahaja pihak yang disifatkan pro pembangkang membantahnya, tetapi juga sayap parti kerajaan sendiri iaitu Pergerakan Pemuda UMNO turut sama berkongsi pendapat mengatakan kenaikan ini tidak sepatutnya berlaku. Apakah era Pemuda UMNO pada zaman Syed Jaafar Albar dan Dato' Harun Idris telah kembali mengisi jiwa para pemuda UMNO kini?

Maka seperti biasa banyaklah pandangan-pandangan diutarakan sama ada menyokongnya dari puak kerajaan dan menentang kenaikan ini dari pihak pembangkang dan ahli masyarakat yang prihatin terhadap kenaikan ini. Namun seperti biasa pandangan pihak kerajaan agak "klise' iaitu berkenaan subsidi. Sampai bila kerajaan mahu memberi subsidi kepada harga gula ini dan alasan paling biasa ialah "harga gula dalam negara masih rendah berbanding negara lain". Alasan sebegini rasanya telah saya dengar sejak duduk di sekolah rendah lagi, dan sehingga kini alasan itu diulangi lagi buat sekiaan kalinya. Cuma pada kali ini alasan ini diberi nafas baru bersama alasan penggunaan gula berlebihan menyebabkan penyakit kencing manis. Mengikut kenyataan Perdana Menteri DS Najib di Pekan hari ini , "kerajaan membelanjakan hampir RM 1 billion setiap tahun bagi memberi subsidi gula, sedangkan bilangan pesakit kencing manis dalam negara adalah yang tertinggi di dunia".

Adakah ini hanya satu alasan kurang bijak bagi menjustifikasikan kenaikan harga gula itu? Ini kerana kalau alasan itu diambil kira kerana untuk mengelakkan rakyat dari mendapat sakit kencing manis, bagaimana dengan arak dan juga tembakau yang turut menyebabkan pelbagai penyakit kronik lain. Hapuskan terus arak dan kilang arak di Malaysia adalah antara yang terbesar di Asia Tenggara! Hapuskan terus jualan rokok kerana ia juga banyak mendatangkan pelbagai penyakit. Malah kedua-duanya ini lebih banyak sumbangannya pada pelbagai penyakit daripada gula.

Oleh sebab itu kita rasakan alasan itu terlalu dangkal untuk diterima walaupun ianya ada asas. Banyak pihak merasakan ada faktor lain yang menyebabkan keadaan ini berlaku. Dan jangan pula kita lupa bahawa taikun gula telah beralih tangan. Robert Kuok telah meninggalkan indistri gula dan digantikan dengan taikun lain pula. Apakah ini ada kaitannya?

Kalau untuk menjaga kebajikan rakyat kata seorang kawan blogger, ikut alasan ini pengeluaran kereta patut dikurangkan kerana kereta mengeluarkan gas karbon dioksid yang amat merbahaya dan boleh mendatangkan banyak penyakit! Hospital pula kena diperbanyakkan kerajaan bagi merawat pesakit bukannya diswastakan hospital dan banyak lagi yang dikatakan kawan itu. Munasabah juga alasan kawan itu. Pokok perkara katanya "bisnes" dan dalam perniagaan memerlukan keuntungan, itu sahaja katanya.

Oleh itu kita lihatlah dalam masa terdekat ini barangan apa pula yang akan dinaikkan harga atau apabila subsidi dikurangkan. Tetapi saya kira satu perkara yang tidak boleh dikurangkan penggunaannya walaupun jika ia dinaikkan harga iaiitu SIMEN kerana jika dikurangkan penggunaan simen, banyak bangunan kerajaan akan runtuh sebagaimana yang telah banyak berlaku di negeri Terengagnu itu.

Saturday, January 2, 2010

Umpanan Media Tak Dimakan Pemimpin PAS


Dalam ruangan rencana Mingguan Malaysia pada Ahad lepas, wartawannya ada mengulas panjang lebar tentang cadangan anak negeri Kelantan sebagai calon Ahli Parlimen. Dalam beberapa blog sebelum ini termasuk penulis ada menegur cadangan yang dianggap berpatah balik ke belakang itu. Bagaimanapun dalam rencana media di atas ulasannya mudah dibaca hasrat apa yang ingin dipancingnya.

Walaupun beberapa fakta dikemukakan termasuk kebolehan beberapa Ahli Parlimen PAS sekarang yang terdiri dari bukan anak Kelantan seperti Salahuddin Ayub,(Kubang Kerian) Dr.Mohd. Hatta Ramli(Kuala Krai) dan Nasharuddin Mat Isa (Bachok) adalah lebih aktif berucap di Parlimen dan boleh diharapkan bagi mengemukakan pandangan dan mengolah isu-isu yang lebih bersifat ilmiah dan daya fikir yang tinggi. Begitu juga dengan Saifuddin Nasution (PKR- Machang) adalah seorang Ahli Parlimen yang baik dan berwibawa di Parlimen berbanding dengan Ahli Parlimen anak negeri Kelantan sendiri.

Oleh itu kesimpulannya rencana itu menggesa kepimpinan PAS Kelantan supaya membatalkan sahaja cadangan itu dan memberikan alternatif lain iaitu mengambil balik kerusi-kerusi parlimen yang diberikan kepada PKR dalam PRU lalu seperti parlimen Tanah Merah, Ketereh dan beberapa DUN juga. Anehnya rencana itu tidak pula mencadangkan PAS mengambil balik Parlimen Pasir Mas (Bebas atas tiket PAS) yang diwakili Datuk Ibrahim Ali. Mungkin juga pada pandangannya kerusi Pasir Mas itu sememangnya akan diambil PAS ekoran "perbalahan" Ibrahim Ali dengan PAS dan calon yang sedia menunggu ialah Ustaz Ismail Noh, iaitu bekas MP Pasir Mas sebelum kerusi itu diberikan pada Ibrahim. Kalau pun Ibrahim bertanding dna berlaku pertandingan 3 penjuru PAS-UMNO-Ibrahim, PAS akan memenangi kerusi itu.

Acahan rencana itu tidak mendapat sambutan kepimpinan PAS. Malah Ahli Parlimen PAS yang bukan anak Kelantan yang ditemubual media juga enggan bercakap tentang cadangan itu. Cadangan itu asalnya dikemukakan oleh Datuk Mohamad Daud Irag dan diulas oleh Tok Guru Menteri Besar dengan kata-kata " kita boleh kaji" cadangan iaitu. Oleh kerana ianya keluar dari mulut Tok Guru maka media telah mengambilnya sebagai bahan berita penting.

Walau bagaimanapun kita faham usaha media pro BN cuba menggambarkan sesuatu yang bercelaru dalam kepimpinan Kelantan pada masa ini. Ia juga seolah mengacah supaya PAS dan PKR bertembung dalam soal pengagihan kerusi dalam PRU nanti. Benar PKR Kelantan seolah-olah "mati" tanpa aktiviti partinya dan hanya menumpang pada PAS sahaja. Bagaimanapun berdasarkan permuafakatan semasa dahulu ianya perlu diteruskan dan sebarang perubahan perlulah dibawa dalam perbincangan dalam susasan kekeluargaan.

Usaha mengheret pergeseran PAS-PKR di Kelantan ini nampaknya gagal bila Tok Guru MB kemudiannya menjelaskan dalam kenyataannya bahawa beliau hanya mengulas cadangan Mohamad Daud sahaja, dan buat masa ini PAS Kelantan masih memerlukan khidmat Ahli Parlimen PAS yang bukan anak negeri Kelantan. Oleh itu tidak timbul lagi soal hanya anak Kelantan sahaja yang akan menjadi Ahli Parlimen di Kelantan.

Harapan Politik Permuafakatan Tahun 2010


Tahun 2009 telah melabuhkan tirainya dan tahun 2010 mengambil tempat. Dalam tahun 2009 keadaan politik Malaysia mengalami suasana yang agak panas dengan beberapa siri Pilihan Raya kecil selepas PRU 12 dulu yang menyaksikan BN mengalami kekalahan banyak kawasan walaupun masih menjadi Kerajaan di peringkat pusat. Beberapa negeri juga jatuh ke tangan pembangkang seperti Selangor, Pulau Pinang,Kedah dan Perak (Perak dapat dikuasai semula BN tetapai belum stabil). Manakala Kelantan kekal di bawah pentadbiran PAS.

Masyarakat Malaysia yang semakin celik politik masa kini mengharapkan politik bercorak permuafakatan untuk tahun 2010 ini. Ini kerana suasana "pertentangan" tidak akan membawa keuntungan kepada rakyat keseluruhannya. Apa lagi dalam keadaan ekonomi negara yang masih suram di kala ini dan hambatan-hambatan lain ekonomi dunia akan terus memalapkan lagi perkembangan ekonomi negara. Walaupun beberapa kenyataan para pemimpin dan ramalan pakar ekonomi, itu hanyalah untuk menyedapkan hari sahaja dan kebarangkalian kebenarannya masih lagi kabur.

Bagi masyarakat keseluruhannya adalah lebih baik para pemimpin politik mengurangkan "politiking" mereka tidak kiralah dari pihak kerajaan ataupun pembangkang. Carilah jalan permuafakatan tanpa merugikan mana-mana pihak, sebaliknya lebih menguntungkan rakyat. Kalau sesuatu benda itu baik, apa salahnya semua menyokong tidak kiralah pendapat itu dari pihak mana sekali pun.

Misalnya pada hari ini Pergerakan Pemuda UMNO membantah kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilo. Setiausaha Pergerakannya Megat Firdaouz Megat Junid dalam kenyataannya kepada media menyatakan kenaikan ini tidak patut berlaku kerana dibimbangi akan melibatkan kenaikan harga barangan lain yang berkaitan. Oleh itu beliau mengharapkan kerajaan membatalkannya atau menangguhkan kenaikan itu. Isu ini walaupun ditimbulkan oleh Pemuda UMNO, rasanya boleh diambut oleh Pemuda PAS, PKR, DAP dan lain-lain kerana ianya melibatkan pepentingan rakyat. Sekiranya berlaku permuafakatan dalam siu-siu seperti ini boleh menjadi satu "desakan" yang kuat kepada kerajaan untuk mengkaji balik keputusannya itu.

Begitu juga dalam kes lain dan yang mutakhir ialah isu penggunaan perkataan "Allah" oleh pihak Gereja Kristian dalam terbitan keluarannya. Permuafakatan di antara parti-parti politik dalam negara yang majoritinya beragama Islam termasuk UMNO dan PAS serta DAP boleh diadakan bagi mencari jalan penyeledaikan dan mencadangkan kepada pihak berkuasa.

Alangkah indahnya suasana politik demikian jika ianya terjadi. Ahli UMNO atau Ahli Parlimennya bebas mengkritik dan tidak menyokong usul di Parlimen jika ianya tidak menguntungkan rakyat. Sebagai contoh lain YB Tengku Razaleigh Hamzah yang diundang bagi mempengerusikan Jawatankuasa Kaukus di Parlimen berkaitan isu Royalti kepada kerajaan Kelantan, sepatutnya tidak dihalang kerana ianya melibatkan kepentingan rakyat. Syabas kepada YB Tengku Razaleigh atas tindakan "beraninya" yang tidak akan menghiraukan larangan mana-mana pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri selaku Ketua Whip pihak Kerajaan, dan akan terlibat dalam Jawatankuasa itu.

Akan adakah Ahli Parlimen lain yang akan mengikuti jejak beliau, hanya masa yang akan menentukannya. Sekiranya sistem ini diikuti, diharapkan pihak yang memegang tampuk kuasa tidak akan berani membelakangkan kepentingan rakyat jelata yang membayar cukai setiap tahun. Dan kuasa rakyat akan menjadi "kuasa keramat" dalam dunia politik baru ini.

Friday, January 1, 2010

Selamat Tahun Baru 2010


Malam tadi sambutam Tahun Baru 2010 telah diraikan di seluruh dunia. Malah dalam negara kita di bandar-bandar utama di negeri-negeri diadakan acara sambutan baik secara meriah atau sederhana. Namun semuanya dalam suasana gembira menyambut Tahun Baru Masihi 2010 itu. Seingat saya pada tahun 2004 bila mana negara kita juga dilanda tsunami pada 26 Disember 2004, maka pihak Kerajaan telah membantalkan semua acara sambutan kerana turut bersedih dengan bencana alam itu.

Apakah apabila ada "bencana" sahaja maka sambutan Tahun Baru tidak diadakan dan apabila tiada bencana ianya diadakan secara besar-besaran? Persoalan ini hanya dapat dijawab oleh pihak yang berkuasa sahaja. Apapun bagi kita rakyat jembel yang biasa, semua nya sama sahaja samada ia disambut atau tidak.Kita terpaksa juga sentiasa bekerja keras untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga dan membantu emak dan ayah di kampung dalam suasana ekonomi yang suram sekarang.

Bagi kita, kalau setakat menyambutnya dengan berazam meningkatkan lagi segala kerja buat kita dan juga amalan kita kepada Tuhan, serta menginsafi umur kita semakin tua; itulah yang sebaiknya. Tetapi kalau berhibur tanpa batasan pergaulan lelaki-perempuan atas nama sambutan Tahun Baru amat tidak berpatutan sama sekali. Mengapa kalau Sambutan Tahun Baru Islam (Hijrah) kita membaca Yassin dan Doa Awal tahun, sedangkan pada masa Sambutan Tahun Baru Masihi kita berhibur lupa daratan? Inilah yang berlaku dalam negara kita sekarang apabila pandangan para alim ulama diketepikan.

Janganlah kita tertipu dengan budaya barat yang mengagungkan Sambutan Tahun Baru dan "Happy New Year"nya. Budaya mereka bukan semestinya sesuai dengan suasana tempatan kita. Usahlah "setelah terhantuk, baru terngadah" seperti mana ketiadaan Sambutan Tahun Baru 2005 dahulu, kerana bencana Tsunami akhir Disember 2004.

Sambutlah Tahun Baru 2010 secara sederhana dan ajaran agama Islam dan mengikut adat budaya timur kita. Selamat Menyambut Tahun Baru Masihi 2010.