Saturday, September 18, 2010

PERKASA: PM Najib hadapi dilema!


NGO PERKASA yang dipimpin Datuk Ibrahim Ali nampaknya setakat ini telah diberi liputan agak selesa khususnya oleh media masa tertentu. Perjuangannya juga agak menarik minat sesetengah golongan dalam UMNO untuk menyertai juga NGO ini. Malah mengikut kata YB Khairy Jamaluddin, 99% keahlian dalam PERKASA adalah terdiri dari kalangan ahli UMNO.

Pertelagahan antara PERKASA dan UMNO pada masa ini dilihat sesetengah pihak tidak lebih dari masalah dalaman UMNO. Pimpinan Pakatan Rakyat melihatnya sebagai satu 'sandiwara' sahaja dan tidak perlu mengambil perhatian. Ini kerana yang berbalah itu adalah dari 'kapal" yang sama. Betul juga kerana sebelum ini Khairy dan Ibrahim Ali "bertelagah" dan kemudian "berdamai" sementara dan kini "bertelagah" semula.

Pada kali ini Setiausaha Agung UMNO , Datuk Tengku Adnan mansur sendiri mengeluarkan kenyataan supaya pemimpin UMNO mengelakkan diri dari PERKASA dan bekerjasama dengan PERKASA. Di antara pimpinan lain yang agak terkedepan menentang PERKASA ialah Datuk Nazri Aziz, di samping Khairy sendiri.

Manakala sebelah pihak lagi Ibrahim Ali,Datuk Mukhriz Mahathir, Datuk Khir Toyo. Dan jangan lupa Tun Dr.Mahathir yang juga penaung PERKASA adalah orang paling kuat di belakang PERKASA. "Mohamad sendiri telah memberikan amaran bahawa Umno bakal kehilangan sokongan sekiranya ia bertindak memusuhi PERKASA". Bagaimanapun UMNO agak ragu-ragu bekerjasama dengan PERKASA kerana komponen BN nampaknya mencurigai perjuangan PERKASA yang disifatkan perkauman, walaupun PERKASA menyatakan perjuangannya masih dalam kerangka perlembagaan negara.

Pada hari ini Setiausaha Agung PERKASA, Syed Hassan Syed Ali menggesa PM Datuk Najib menjelaskan sejelas-jelasnya 1Malaysia kepada masyarakat. Nampaknya PERKASA sedang menumpukan 'serangan pada PM' berkaitan isu 1Malaysia ini selepas kelmarin PM menyatakan di Sabah bahawa 1Malaysia bukanlah gagal.

Nampaknya PERKASA semakin "gagah" dan para jeneralnya semakin berani 'membantai" orang nombor satu. Dan PM pula nampaknya malu alah untuk menyerang balas PERKASA. Walaupun dalam blognya semalam PM ada menyatakan penentangan kerajaan pada puak pelampau yang orang melihat ditujukan pada PERKASA tetapi PM menyatakan ianya umum untuk semua.

Mungkin sebab Dr.Mahathir ada di belakang PERKASA menyebabkan PM menjadi malu alah untuk tibai balik PERKASA. Dengar khabar juga Ibrahim Ali akan membawa Dr Mahathir ke Kelantan dalam waktu terdekat ini. Kita tengoklah nanti sama ada sambutan diberikan luar biasa atau sebaliknya. Agaknya mungkin ramai ahli UMNO keluar menyambutnya kerana mengikut Datuk Awang Adik, di Kelantan UMNO tiada masalah dengan PERKASA.

Cuma diingatkan supaya aspek keselamatan diperketatkan supaya insiden "sembur pemedih mata" Dr Mahathir suatu masa dahulu tidak berulang lagi.

Friday, September 17, 2010

"Ustaz Kamalanathan" MIC pula di masjid?


Dalam bulan puasa dahulu heboh berminggu-minggu perihal ramai yang memperkatakan tentang bukan Islam memasuki masjid dan dikatakan memberi ucapan yang ditokok tambah oleh setengah media sebagai "tazkirah". Maka isu itu telah dijadikan bola tanggung dan di smash oleh sebuah parti politik Melayu dan juga NGO tertentu.

Serentak dengan itu jugalah maka pihak berkuasa agama negeri turut tumpang semangkok bukan untuk melerai keadaan tetapi memihak pada pihak berkuasa tertentu. Manakala terdapat pihak ulama yang bebas lebih cenderung pada "usaha dakwah" bagi mendekatkan bukan Islam dengan Islam bukannya melarang mereka mendekati Islam. Pandangan uslub dakwah ini bagaimanapun tidak diperkenan pihak berkuasa agama yang terletak di bawah sultan atau Raja di negeri-negeri.

Untuk itu YB Teo telah dikutuk habis-habisan kerana menerima undangan pihak surau dan masjid, manakala ajk surau pula bakal dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Sekoyong-koyong isu itu reda sedikit, timbul pula isu serupa yang lain yang mengundang "padah" buat pihak berkuasa agama untuk bertindak serupa dengan oisu Teo dahulu. Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad telah menyatakan bahawa Ahli Parlimen Hulu Selangor yang digelarnya "Ustaz kamal" juga telah memasuki masjid dan menyampaikan ucapan serta menberikan bantuan cek.

Nah! mana pihak yang beria-ia dahulu menenmpelak pihak tertentu itu hendak meletakkan muka! Mereka terpaksa menelan ludah mereka sendiri, dan hendaklah memberi ulasan sama; jika tidak akan dipandang "serong" dan seolah-olah nampak kesalahan pihak lain sahaja. Peristiwa ini terjadi di Masjid Felda Soeharto dan juga di Sungai Tengi yang merupakan kawasan dalam parlimen Hulu Selangor.

Baik pihak berkuasa agama negeri Selangor atau pun pejabat sultan perlu mengambil pendekatan tidak berpihak dalam hal ini. Kalau dahulu mereka bertegas sekali, maka kali ini juga perlu begitu walaupun ahli parlimen MIC itu dari komponen BN. Janganlah menampakkan ada perbezaan dalam hal ini.

wallahu a'lam. (di bawah dipetik berita dari malaysiakini)


'Ustaz Kamal' MIC pula didakwa masuk masjid

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan Umno tanpa syak lagi "berkura-kura", berpura-pura dan memutarbelitkan fakta berhubung isu bukan Islam dibenarkan memasuki surau dan masjid.

Beliau yang juga anggota biro politik PAS juga malah mendakwa pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pula terus menjadi "kesinambungan wadah kepuraan Umno dalam bersandiwara"
Menulis dalam blognya hari ini, Khalid memuatkan kembali beberapa keping gambar, antaranya menunjukkan pemimpin Umno memberikan 'tazkirah'.

Terdapat juga gambar Kamalanathan - yang didakwanya digelar 'Ustaz Kamal' oleh perayu undi Umno semasa kempen pilihan raya kecil lalu - menyampaikan sumbangan dalam sebuah masjid.

Dimuatkan juga sekeping gambar Kamalanathan dalan sebuah progam gotong royong di Masjid Felda Soeharto, Hulu Selangor yang mana pengerusi MAIS didakwa turut hadir.

"Lebih hebat, 'Ustaz Kamal' bersama pengerusi MAIS menyerahkan khat tulisan kalimah Allah kepada salah seorang peserta.

"Ke mana perginya ahli parlimen berkopiah dan mereka-mereka yang lantang bersuara tempohari kononnya umat Islam telah dihina?" soalnya.

Sebelum ini, tindakan ahli parlimen Serdang daripada DAP memasuki sebuah surau di Kajang mencetuskan perasaan tidak puas hati banyak pihak, terutamanya oleh pemimpin Umno dan BN.

MAIS malah memberikan amaran keras kepadanya ekoran tindakan itu.

Tuesday, September 14, 2010

Episod pembunuhan kejam Datuk Sosilawati dan 4 yang lain


Dalam seminggu ini cerita tentang pembunuhan kejam tersebut pastinya menjadi bualan hangat baik di mana-mana sahaja termasuk kedai-kedai kopi. Bagi masyarakat Malaysia yang waras fikirannya tentu sekali amat terkejut serta mengutuk perbuatan yang tidak berperikemanusiaan itu. Pemimpin politik juga mula kedengaran mengutuk keras perbuatan tersebut baik dari UMNO, PAS, PKR dan juga MIC. Hanya T. Mohan dari MIC yang mengeluarkan kecaman, Datuk Samy Vellu belum lagi mengulas.

Bukannya apa, ini kerana kumpulan yang melakukan jenayah kejam itu adalah dari keturunan India. Semalam Senator T.Murugiah telah meminta kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri(KDN) membanteras "gangsterism" di kalangan belia-belia India. Beliau berkatan demikian semasa melawat kediaman bekas Ahli Perniagaan di Gombak itu.

Secara kebetulan atau apa sekalipun "jenayah" adalah jenayah. Pelakunya mesti dihukum dengan setimpal. Cuma dalam kes ini "mangsa" kebetulan semuanya berbangsa Melayu, manakala pelakunya setakat ini adalah "suspek berbangsa India". Mungkin itulah juga pihak polis ada mengeluarkan ingatan pada media arus perdana agar berhati-hati dalam laporan.

Pada kali ini kita berharap pihak berkuasa "telus" dalam siasatannya dan membawa pelaku jenayah ke muka pengadilan dengan seberapa segera yang boleh. Ini bagi menjamin kredibiliti pasukan polis serta memenuhi hasrat rakyat ramai yang ingin melihatkan keadilan tertegak di bumi Malaysia ini walaupun ianya melibatkan suspek golongan VIP yang bergelar Datuk yang berpengaruh.

DYMM Tuanku Muhammad Faris Petra; Sultan yang dekat dihati rakyat


DYMM Sultan Kelantan yang baru dimasyhurkan, Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra merupakan seorang raja yang berjiwa rakyat dan dekat di hati rakyat Kelantan.

Sebut sahaja kawasan pedalaman mana yang tidak pernah dilawati baginda bagi menyelami suka duka rakyat termasuk ke kampung-kampung penempatan Orang Asli di Gua Musang dan Jeli.

Sering mengenakan jubah atau berbaju "gumbang" (baju Melayu) serta berkain pelikat dan berkopiah putih ketika melawat rakyat jelata menyebabkan tiada siapa yang menyangka lelaki segak itu merupakan pewaris Kesultanan Kelantan yang baru.

Pernah satu ketika di Pantai Damat, Bachok, baginda tidak kekok duduk bersila dan mendengar kisah penderitaan seorang ibu tunggal yang uzur dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mata baginda berkaca ketika mendengar kisah keperitan hidup Azizah Abdullah, 41, membesarkan tiga anaknya.

Membahasakan diri baginda dengan perkataan "kita" menyebabkan baginda dan rakyat seperti tidak ada jurang pemisah yang boleh merenggangkan hubungan rakyat dan raja.

Ketika di rumah Azizah, baginda yang turut menghulurkan sumbangan peribadi, juga sempat memberikan perangsang kepada tiga anak wanita itu untuk berjaya dalam pelajaran mereka.

Tuanku Muhammad Faris Petra merupakan putera sulung Sultan Kelantan sebelum ini, Tuanku Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra.

Pendidikan awal

Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Bendahara Tengku Muhammad Faiz Petra, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A'Ishah Putri.

Baginda mendapat pendidikan awal di Kota Baharu dan di Kuala Lumpur dan seterusnya di Oakham School Rutland, England sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Kajian Diplomatik di Kolej St. Cross dan Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.

Tuanku Muhammad Faris Petra diputerakan pada 6 Okt 1969 dan dianugerahkan gelaran Tengku Mahkota Kelantan pada Oktober 1985 dan sejak pelantikan itu baginda telah menunjukkan kecenderungan untuk mempelajari dan mendalami selok belok pentadbiran negeri.

Baginda mula menarik perhatian seluruh negara dengan liputan meluas media ketika bertitah merasmikan Perhimpunan Perpaduan Melayu sempena Maulidur Rasul 1429 Hijrah di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada 2008.

Ketika bertitah pada majlis itu, baginda secara terbuka mengingatkan usaha penyatuan Melayu perlu diberi keutamaan yang tinggi berikutan kedudukan orang
Melayu dan Islam yang kian tercabar kerana ia boleh menjejaskan keharmonian negara.

Baginda berharap segala perbezaan pendapat dan perbelahan diketepikan melalui jalan yang bijaksana dengan perpaduan ummah harus diutamakan demi agama, bangsa dan negara sebagaimana yang diimpikan oleh semua.

Di masa lapangnya, baginda gemar membaca bagi mengikuti perkembangan semasa di dalam dan luar negara di samping meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan kejohanan kuda lasak.

Selain itu baginda juga menunjukkan minat mendalam terhadap sukan memanah, berkuda, boling serta suka memelihara haiwan kesayangan seperti kuda, kucing, ayam dan burung.

Dalam hubungan dengan rakyat, baginda ternyata mengambil berat kebajikan mereka dan kerap kali dalam diam-diam dan di luar pengetahuan media, baginda menjengah kehidupan mereka yang memerlukan pembelaan.

Komander Askar Wataniah

Baginda juga turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan dan juga aktif berperanan dalam organisasi berkaitan dengan keselamatan dan ketenteraan.

Baginda telah dilantik sebagai Komander 506 Askar Wataniah berpangkat Brigadier Jeneral (Kehormat).

Umum juga mengetahui hubungan yang akrab baginda dengan ayahanda baginda dan kegeringan Tuanku Ismail Petra pada 14 Mei tahun lalu membuatkan baginda diselubungi kesedihan dan berasa tertekan.

Baginda pernah mengimamkan solat hajat bersama-sama rakyat jelata sebelum ini bagi memohon kesejahteraan ayahanda baginda.

Pada 24 Mei tahun lalu, Tuanku Muhammad Faris Petra telah dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan setelah ayahanda baginda mendapat rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Pelantikan itu membolehkan baginda menjalankan tugas Sultan Kelantan mengikut perenggan (b) Fasal (1) dan (3) Perkara 22A Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) yang menurut pakar perundangan mempunyai kuasa yang sama dengan Sultan mengikut Perkara 4 Fasal 1 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan dan Majlis Perajaan Negeri mengikut peruntukan tersebut.

- Bernama

Pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru...Daulat Tuanku!


Pada tengah hari kelmarin kira-kira jam 12.30 tengah hari di Balai Rong Seri, Istana Balai Besar Kelantan telah berlangsung istiadat pemasyhuran Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra, Pemangku Raja Kelantan sebagai Sultan Kelantan yang baru menggantikan ayahanda baginda berkuatkuasa pada tanggal 13 September 2010.

Detik yang bersejarah ini telah berlangsung dalam suasana yang aman dan harmoni. Pengisytiharan pemasyhuran itu diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Nik Abdul Aziz berkata, Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang dipengerusikan Tengku Abdul Halim telah bermesyuarat pada pukul 9 pagi ini di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Darul Naim di sini bagi membuat keputusan itu.

Sebagai mewakili rakyat jelata, Nik Abdul Aziz melafazkan taat setia yang tidak berbelah-bahagi terhadap Sultan Kelantan.

"Sekian hamba rakyat mengaku taat setia dan kepada Allah SWT dipohonkan taufik dan hidayat semoga Tuanku Muhammad Faris Petra dapat memerintah dan memandu negeri agar aman, mewah dan makmur dan semoga Allah SWT menyelamatkan Tuanku di dunia dan di akhirat," katanya sebelum mengakhiri pengisytiharan itu dengan laungan takbir Allahuakbar sebanyak tiga kali.

"Maka dengan ini diisytiharkan mengikut perkara 29 A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan melantik dan mengesahkan Pemangku Raja Kelantan menaiki takhta menggantikan ayahanda baginda berkuat kuasa hari ini," katanya ketika mengumumkan pemasyhuran itu.

Turut hadir Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra, Pengerusi Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang juga Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Almarhum Sultan Ibrahim, Pengelola dan Ketua Istiadat Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, pembesar-pembesar negeri dan semua anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Dalam majlis itu juga Ketua Kerajaan dan para pembesar negeri melaungkan Daulat Tuanku menjunjung tinggi pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru yang amat disayangi segenap lapisan rakyat jelata.

Daulat Tuanku!

Wednesday, September 8, 2010

Selamat Hari Raya Idul Fitri, Maaf Zahir Batin


Saya ucapkan Selamat Hari Raya Idul Fitri Maaf Zahir Batin pada semua penjengok sekalian dan semoga hari raya ini merapatkan silaturrahim antara semua.

Sunday, September 5, 2010

Iklan Raya TV3 Cemarkan Islam!


Memang tidak patut! itulah terpacul perkataan yang sesuai kalau tidakpun perkataan "biadap" sepatutnya kepada pihak TV3 atas penyiaran iklan yang sangat kurang ajar dan menghiris perasaan umat Islam itu. Soalnya di mana peranan CEOnya dan juga pegawai kanan Melayu lainnya. Apakah mereka tidak peka dengan sesuatu yang amat janggal disiarkan itu. Kalau nak dikatakan pembaharuan ...ya ..memang satu pembaharuan tetapi pembaharuan yang menyesatkan dan syirik sifatnya.

Mana perginya suara-suara NGO PERKASA atau Mufti dan tokoh agama yang kuat mempertahankan Islam selama ini. Tidak kedengaran suara-suara merekauntuk menegur TV3. MUngkin ini juga satu "bala" yang ditimpakan ke atas mereka atas keceluparan mereka selama ini yang hanya berani bersuara jika ianya terkena pada pihak lain terutama yang mnereka tidak sukai. Apabila ia terkena -pada TV3 yang sinonim dengan pihak penguasa atau pemerintah, maka terkedu suara-suara berani tadi untuk bersuara.

Tahniah pada Pemuda PAS yang terkedepan dalam isu ini sehingga ianya telah ditarik balik siaran iklan itu bermula malam ini. Rasanya tidak cukup dengan, TV3 juga terutama orang besarnya patut memohon maaf secara terbuka kepada seluruh Umat Islam atas ketelanjurannya itu. Seingat saya ini bukan kali pertama TV3 menarik balik iklan sensitif berkaitan agama Islam, dulu pernah ada iklan yang latar belakang muziknya seakan "suara azan" yang juga telah ditarik balik.

Tatkala umat Islam sedang menjalani ibadah puasa dan mengharapkan keberkatan Lailatul Qadar pada malam 10 yang akhir, tiba-tiba kita ditimpakan dengan satu penghinaan yang menyanyat hati seluruh umat Islam di Malaysia. Wahai umat Islam...bila kah lagi kamu akan bangkit dan sedar dari tidur yang panjang!