Thursday, November 10, 2011

Kelantan hantar amanat Tun Razak kepada PM


8:03PM Nov 10, 2011
Kerajaan Kelantan hari ini menyerahkan sepucuk surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bagi membuktikan kepadanya bahawa dalam jawapan yang diberikan oleh bapanya, Tun Abdul Razak Hussein, di Dewan Rakyat beliau menyokong tuntutan royalti minyak Kelantan.

Merujuk jawapan lisan kepada soalan yang diajukan oleh ahli parlimen DAP Lim Kit Siang yang berusia 34 tahun ketika itu, Abdul Razak yang menyelia pewartaan Akta Petroleum 1974, berkata royalti perlu dibayar walaupun minyak ditemui di luar pesisir.

Jawapan yang diberikan pada 12 November 1975 itu berbunyi:

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5 peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan (onshore) atau di luar perairan (offshore) negeri tersebut, yang dijadual oleh PETRONAS ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontarktornya,".

Sehubungan itu, Kelantan yang diwakili oleh exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa menyerahkan surat atau amanat berkenaan kepada wakil perdana menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di parlimen hari ini.

"Kami berharap dengan pulangnya Haji Datuk Seri (Najib Razak) Perdana Menteri, hati beliau terbuka untuk bayar balik royalti, kerana ini adalah pesanan Tun Razak, ayahanda beliau," kata Husam pada sidang media yang turut dihadiri oleh Ketua Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tuesday, November 8, 2011

Buku: Najib perlu undur sebelum PRU, korban selamatkan Umno-BN


Oleh G ManimaranNovember 09, 2011
KUALA LUMPUR, 9 Nov — Sementara Datuk Seri Najib Razak baru sahaja selesai menunaikan haji manakala Umno pula membuat persiapan mengadakan perhimpunan agung 2011 hujung bulan ini, buku terbaru tulisan seorang ahli parti itu, yang menggesa beliau berundur sebagai presiden dan perdana menteri memasuki pasaran.

Tulisan buku (gambar) itu juga mendakwa kepimpinan Najib sudah tidak boleh diyakini dan dipercayai, dan harus berundur untuk menyelamatkan Umno dan masa depan orang Melayu.

Najib juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Buku setebal 267 halaman dengan judul "Kesilapan-kesilapan Najib" membuat rumusan — "Najib wajar berundur sebelum pilihan raya umum ke-13."

Penulisnya Shahbudin Husin berkata, Najib harus sanggup melakukan pengorbanan besar dengan meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri sebelum pilihan raya umum ke-13 dan menyerahkan kepada pemimpin lain mengemudi parti dan kerajaan.

"Ini kerana Najib sudah tida ada harapan lagi untuk memulihkan sokongan rakyat bagi membawa kemenangan kepada Umno dan BN," kata Shahbudin yang pertengahan tahun ini menghasilkan buku pertama mengenai Najib iaitu "Tak berubah, faktor Rosmah & pola Sarawak petanda BN The End . . . Najib Perdana Menteri Terakhir . . ."

Shahbudin, ahli Umno bahagian Wangsa Maju, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berhujah bahawa pelbagai percubaan dilakukan oleh Najib seperti memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), memberikan gula-gula dalam Bajet 2012, naik bas, naik basikal dan pelbagai cara lainnya seperti tidak membuahkan hasil.

"Beliau tetap dipertikai dan tidak dipercayai," kata penulis.

Dia menambah, "menang atau mendapat majoriti dua pertiga masih jauh dari lingkungan Najib."

Katanya, pilihan raya umum ke-13 hanya memberi makna kepada Najib jika beliau berjaya melepasi garisan dua pertiga majoriti sokongan di Parlimen, "sesuatu yang sangat-sangat mustahil sebenarnya untuk dicapai."

Dengan menggariskan 19 kesilapan Najib menerusi bukunya, Shahbudin berkata, kegagalan memenangi pilihan raya umum ke-13 sudah tentulah akan menyebabkan Umno dan BN hilang kuasa dan Najib akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya jika gagal.

"Orang-orang Melayu dan ahli Umno tidak akan dapat memaafkan Najib kerana merasakan kekalahan itu adalah berpunca daripada kelemahan dan kegagalannya yang menyebabkan melakukan terlalu banyak kesilapan dan kehilangan sokongan," Shahbudin menulis lagi.

Katanya, jika gagal mendapat majoriti dua pertiga pula, pasti akan timbul suara-suara yang akan memintanya berundur kerana setelah diberi peluang sebagai Perdana Menteri, Najib dilihat gagal melakukan yang terbaik.

"Akan wujud desakan supaya pemimpin lain pula mengambil alih teraju kepimpinan parti dan kerajaan.

"Sehingga ini pun sudah kedengaran suara-suara dalam Umno sendiri yang mahu bertindak mendesak Najib berundur jika beliau gagal membawa BN melepasi garisan dua pertiga itu nanti," katanya lagi sambil berkata pandangan itu dikumpulkan menerusi pengamatan dan perbincangan dengan ahli-ahli akar umbi Umno dan BN.

Senarai kesilapan itu disenaraikan di bawah tajuk "1Malaysia Silap Pertama Di Hari Pertama Sebagai PM", "Menghapuskan Kementerian Pembangunan Usahawan", "Mewujudkan Kabinet Kawan-kawan", "Kabinet Lemah dan Ramai Menteri Senator", "Rasionalisasi (Sebenarnya Pemotongan) Subsidi", "Pelantikan APCO", "Gagal Mengawal Karenah dan Gaya Mewah Rosmah", "Gagal Mengurus Parti Komponen dan Anggota Kabinet", "Terlalu Banyak Program Transformasi Tapi Hasil Diragui", "Tidak Tegas dan Flip Flop".

Tajuk-tajuk lain yang menyusul ialah "Manipulasi Media Yang Melampau", "Menjadikan Umno Kurang Melayu", "Terlalu Bergantung Kepada Bekas Panglima Anwar", "Merestui Budaya Politik Jijik dan Lucah", "Membiarkan Amalan Nepotisme dan Kronisme", "Mempunyai Ramai Pegawai Tapi Tidak Membantu", "Tidak Bijaksana Mengendali Bersih 2.0", "Mansuhkan ISA Rugikan Melayu" dan "Terlalu Mengejar Populariti".

Tajuk-tajuk kecil itu merujuk kepada detik dan insiden sepanjang dua tahun lalu khususnya perkembangan sejak awal 2011.

Shahbudin juga menulis, kalau pun desakan untuk berundur lambat muncul, Najib juga sebenarnya harus berundur secara terhormat jika BN gagal mendapat majoriti dua pertiga.

"Rujukan mengenai perkara itu sudah ada dan Najib tidak harus berlengah untuk mematuhinya," katanya lagi.

"Kesimpulannya Najib sedang menuju jalan mati dan pilihan yang terbaik baginya hanyalah berundur bagi mengelakkan Umno dan BN yang dipimpinnya turut sama terhumban ke gaung kekalahan," kata Shahbudin lagi.

Dengan merujuk kepada kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan aktivis Dr Chandra Muzaffar bahawa jalan bagi BN masih belum cerah untuk menang besar, penulis ini menambah, "di sinilah Najib perlu berjiwa besar" demi menjaga nama baik Tun Abdul Razak Hussein, yang juga bapanya dan perdana menteri kedua.

Thursday, November 3, 2011

Kelantan beri RM85 ribu kepada Red Warriors


(petikan dari harakahdaily)
Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 3 Nov: Di atas keperihatinan serta sokongan penuh kepada pasukan bolasepak Kelantan, kerajaan negeri hari ini memberikan RM85 ribu untuk diagihkan kepada semua pemain dan pengurusan The Red Warriors.

Majlis penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Turut hadir exco negeri Abdul Fattah Mahmood dan Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman di jamuan makan meraikan pemain hari ini.

Sementara itu rombongan The Red Warriors pula diketuai oleh Pengurus Pasukan yang juga Setiausaha Agung KAFA Azman Ibrahim.

Abdul Fattah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,Belia, Sukan dan NGO ketika menyampaikan ucapan berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau perjalanan pasukan The Red Warriors.

Walaupun tahun ini gagal ke final Piala Malaysia, namun kejayaan memiliki dua piala iaitu Piala Presiden dan Piala Liga Super sudah cukup memberangsangkan.

“Saya berharap pemain yang menerima sumbangan ini menjadikannya sebagai perangsang untuk meneruskan perjuangan dalam musim akan datang”ujar beliau.

Abdul Fattah juga berkata sebelum ini kerajaan hanya bercadang untuk memberi RM60 ribu tetapi di atas keperihatinan Menteri Besar Tuan Guru , peruntukkan tersebut ditambah menjadi RM84 ribu dan sumbangan peribadi sebanyak RM1 ribu dari Tuan Guru disumbangkan kepada tabung kebajikan pemain.

Sementara itu Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berkata Islam tidak pernah melarang mana-mana umatnya menyertai sukan atau dikenali sebagai Riadah.

“ Dalam Islam, kita boleh lakukan apa sahaja namun ia ada batas-batas tersendiri dan dalam bersukan juga ada batasannya,oleh itu saya berharap pemain The Red Warriors ini sentiasa mematuhi kehendak agama agar tidak terjerumus dalam perkara yang tidak elok”ujar beliau.

Nik Aziz juga mengimbau kembali yang beliau pernah bermain bolasepak di zaman era penjajahan Jepun lagi dan sehingga kini kenangan tersebut masih segar.

“ Saya amat meminati sukan bola sepak ni, sebab tu saya sanggup hadir menonton sendiri perlawanan di peringkat akhir ketika Kelantan layak dulu” ujar beliau.

Bagi Pengurus pasukan The Red Warriors, Azman Ibrahim pula ketika ditemui berkata sumbangan kerajaan negeri kepada pemain ini adalah satu lagi tanda keperihatinan kerajaan kepada sukan bolasepak Kelantan.

“Saya yakin dengan sumbangan yang pemain terima hari ini, mereka akan lebih bersemangat lagi pada musim hadapan dan diharapkan kerajaan akan sentiasa menyalurkan pelbagai bantuan demi pembangunan sukan bolasepak negeri ini,” katanya.

Nik Aziz minta k'jaan halang Seksualiti Merdeka


5:51PM Nov 3, 2011

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau sama sekali tidak menyokong malah mengecam langkah pembabitan bekas presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga dalam penganjuran Seksualiti Merdeka 2011 yang bermula semalam sehingga 13 November ini.

Menteri Besar Kelantan itu meminta pihak kerajaan dan berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjur program itu yang jelas boleh menghancurkan kehidupan beragama di negara ini.

"Ini tidak betul. Kita sokong Ambiga dalam soal lain tetapi dalam program ini (Seksualiti Merdeka) saya tidak sokong (Ambiga) kerana dalam soal agama, kita tidak boleh sokong perkara itu.

"Kerajaan... kalau boleh halanglah, dan ambillah tindakan tegas," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada pasukan The Red Warriors di Kota Bharu hari ini.

Penganjuran program itu dipromosikan melalui lamanweb www.seksualitimerdeka.org yang kononnya bertujuan mempertahankan hak golongan homoseksual agar boleh diterima dalam kalangan masyarakat negara ini.

Antara penaja dan penyokong program yang berlangsung selama 13 hari itu adalah Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia dengan beberapa aktiviti seperti bengkel, perbincangan, filem, pameran dan persembahan.

Nik Aziz berkata soal kebebasan sebenarnya mempunyai had tertentu dan negara ini tidak boleh sama sekali membenar dan mengiktiraf budaya songsang diamalkan.

"Kebebasan secara mutlak sememangnya tidak ada dan saya khuatir tidak lama lagi akan ada yang menyebut tentang soal kebebasan merompak dan menyamun atas nama kebebasan," katanya.

Katanya sesungguhnya Islam tidak menyekat hak asasi manusia tetapi ia hendaklah selari dengan hak asasi yang diciptakan Allah SWT kerana sebarang aktiviti yang bertentangan dengannya akan mengakibatkan keruntuhan terhadap tamadun manusia.

"Saya yakin kerajaan dengan segala kekuatan dan kuasa yang ada mampu bertindak terhadap penganjuran program sebegini tanpa menunggu desakan daripada mana-mana pihak," katanya.

- Bernama

Tuesday, October 25, 2011

PAS ucap tahniah kepada an-Nahdah Tunisia


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Okt: PAS mengucapkan tahniah kepada Parti An-Nahdah yang memenangi pilihan raya Tunisia semalam.

Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) juga berharap kemenangan itu diterima oleh masyarakat antarabangsa walaupun ia dimenangi oleh parti Islam.

Sebenarnya, kata beliau An-Nahdah penah memenangi pilihan raya Tunisia beberapa tahun lalu dengan majoriti yang besar, tetapi kemenangan itu dinafikan dan Parti An-Nahdah diharamkan, pemimpinnya dipenjara dan sebahagiannya terpaksa berhijrah keluar negara seperti Dr Rashid Ganouchi.

“Saya dimaklumkan An-Nahdah boleh memenangi pilihan raya dengan lebih besar jika bertanding di hampir kesemua kerusi. Tetapi An-Nahdah sengaja tidak bertanding di kesemua kerusi bagi memberi peluang kepada parti lain turut sama bertanding,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Marang dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas kemenangan an-Nahdah itu.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas kemenangan Parti An-Nahdhah di Tunisia di dalam pilihanraya umum semalam. Semoga dengan kemenangan ini, Islam lebih bersinar di bumi Tunisia," ujarnya melalui twitter.

Paling penting, katanya keadilan dan kebajikan rakyat terbela di bawah pemerintahan yang adil berteraskan syariat Islam.

"Sesungguhnya di mana saja berlakunya kepekatan malam, akan tiba juga fajar yang menyinsing," ujarnya.

Parti An-Nahdah telah telah memenangi lebih daripada 30 peratus kerusi di perhimpunan 217 kerusi Tunisia, dalam pilihan raya bersejarah negara tersebut sebagaimana dilaporkan agensi berita AFP.

"Keputusan pertama yang disahkan menunjukkan al-Nahda telah mendapat tempat pertama di peringkat kebangsaan dan di kebanyakan daerah," kata pengurus kempen parti al-nahda, Abelhamid Jlassi, pada sidang akhbar, memetik laporan sendiri pemerhati pilihan raya al-Nahdah.

Pemimpin-pemimpin kedua-dua pihak berhaluan kiri, Parti Kongres Republik (CPR) dan Ettakol, berkata, mereka berjuang untuk tempat kedua, manakala pemimpin Parti Demokratik Progresif (PDP) mengakui kekalahan pada petang Isnin.

"Al-Nahda pastinya majoriti, tetapi terdapat dua entiti demokratik lain, Ettakatol dan CPR, yang lemah pada permulaan tetapi kini mendapati diri mereka dalam kedudukan untuk menyumbang kepada kehidupan politik dan menyambut kemodenan rasional dalam Arab-Islam negara, "kata Khalil Zaouia, pemimpin nombor dua parti Ettakatol.

Samir Dilou, ahli biro politik al-Nahda, berkata bahawa partinya telah memenangi tidak jauh daripada 40 peratus undi.

Pada hari mengundi pilihan raya bebas pertama Tunisia kelihatan orang ramai menunjuk-nunjuk jari telunjuk yang disapu dengan dakwat kekal berwarna biru mereka selepas membuang undi, menunjukkan mereka telah melaksanakan tanggungjawab mereka.

Berikut adalah kenyataan penuh Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Berikutan kemenangan Parti An-Nahdah dalam pilihan raya Tunisia semalam, saya mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan tahniah dan bersyukur kepada Allah SWT di atas kurniaan kemenangan yang diberikan kepada parti yang dipimpin oleh Sheikh Dr Rashid Ganouchi.

Sebenarnya An Nahdah penah memenangi pilihan raya Tunisia beberapa tahun lalu dengan majoriti yang besar, tetapi kemenangan ini dinafikan dan Parti An-Nahdah diharamkan, pemimpinnya dipenjara dan sebahagiannya terpaksa berhijrah keluar negara seperti Dr Rashid Ganouchi sendiri.

Kita berharap kemenangan ini diterima oleh masyarakat antarabangsa walaupun ia dimenangi oleh parti Islam.

Kebetulan tiga minggu yang lalu, saya bertemu dengan Dr Rashid Ganouchi ketika sama-sama menghadiri Forum Parti-Parti Islam Sedunia di Istanbul membincangkan krisis Asia Barat.

Saya dimaklumkan An-Nahdah boleh memenangi pilihan raya dengan lebih besar jika bertanding di hampir kesemua kerusi. Tetapi An-Nahdah sengaja tidak bertanding di kesemua kerusi bagi memberi peluang kepada parti lain turut sama bertanding.

Mereka bersedia untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan parti-parti lain bagi menggantikan pemerintahan sebelumnya yang bersifat diktator dan ditunjangi dengan hanya satu parti.

Ini kerana sebagai parti yang menyertai demokrasi, An-Nahdah ingin menampilkan sikap toleransi dan bertolak ansur, walaupun majoriti rakyat Tunisia menerima An-Nahdah.

Ini kerana mereka sangat dekat di hati rakyat melalui kerja-kerja kebajikan yang dilakukan di bawah, jauh sebelum musim pilihan raya lagi, walaupun dalam keadaan parti diharamkan.

Kita berharap kemenangan ini memberi semangat bukan sahaja kepada pendukung parti Islam yang memilih demokrasi tetapi juga kepada rakyat dengan memberi peluang dan sokongan kepada parti Islam memerintah dan memperbetulkan urus tadbir politik, ekonomi dan sosial negara setelah sekian lama berada di bawah rejim sekular yang gagal memerintah Tunisia sehingga digulingkan rakyat.

PAS juga sebenarnya telah menghantar ucapan tahniah kepada An-Nahdah melalui Dr Syed Azman yang menyertai pasukan pemerhati antarabangsa ke Tunisia ketika ini.

Wednesday, October 19, 2011

Sejarah Mat Indera perlu ditulis semula


Posted on Tuesday, October 18 @ 20:00:00 PDT by Paktam
Oleh Haji Abdul Subky Latif

Sejak Mohamad Sabu menimbulkan pandangan baru tentang Mat Indera dan menuntut supaya sejarah kemerdekaan ditulis semula, mulai berkembang persepsi baru tentang kehidupan Mat Indera yang dilebel inteligen Bitish sebagai seorang komunis.

Adik Mat Indera, seorang pesara tentera yang selamanya membisu tentang sebaran nama abangnya yang buruk itu tiba-tiba muncul di khalayak umum membela abangnya bukan seorang pemimpin komunis.



Kemunculannya sama seperti yang berlaku kepada Mat Kilau. Selepas dia dan rakan-rakannya termasuk Dato Bahaman diburu oleh pencerobohan penjajah British di Pahang, mereka melarikan diri.
Setelah kira-kira 13 tahun merdeka, sesudah merasa dirinya selamat, Mat Kilau muncul di khalayak ramai di masjid mengumumkan dirinya Mat Kilau yang dikehendaki polis dulu.

Adik Mat Indera juga begitu. Setelah Mat Sabu menggemparkan cerita abangnya, dia merasa ada suasana kondusif baginya untuk membela abang, seperti keluar dari persembunyian, dia menyokong seruan Mat Sabu supaya ditulis semula sejarah abangnya.

Antara persepsi baru tentang Mat Indera itu, ada keterangan bahawa dia bukan orang yang memimpin pasukan komunis menyerang Rumah Pasong Bukit Kepong.

Sekali pun dia ada hubungan dengan orang-orang komunis kerana sama-sama mahu mengusir penjajah British, dia pergi ke balai polis itu menyelamatkan polis dan keluarganya dari serangan komunis itu.

Dia tidak memimpin serangan itu tetapi dia datang sesudah ada serangan bagi menyelamatkan siapa yang boleh diselamatkan. Tetapi ketika dia sampai, hanya seorang saja yang dapat diselamatkan. Keterangan mata-mata yang diselamatkannya itu ada direkodkan.

Persepsi baru itu pula menyebut Mat Indera adalah seorang yang bencikan penjajah Inggeris dan tidak bersedia untuk bertolak ansur dengan Inggeris dan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menentang Inggeris.

Sikap itu sama dengan sikap Dr Burhanuddin al-Hilmy yang memimpin Partai Kebangsaan Melayu Malaya bersikap non-co atau tidak berkompromi terhadap Inggeris.

Sikap Dr Burhanuddin itu adalah disebabkan terpengaruh dengan sikap Mahatma Gandhi memimpin gerakan kemerdekaan India. Dr Burhanuddin belajar lama di India, terdedah dengan perjuangan Gandhi, bahkan beliau berkenalan rapat dengan dua pejuang kemerdekaan India iaitu Pandit Nehru dan Ali Jinnah yang kemudiannya menjadi bapa kebebasan Pakistan.

Sikap non-co Dr Burhanuddin ini menjadi pegangan PKMM dan Mat Indera adalah seorang aktavis PKMM yang berpengaruh di tempatnya di Muar. Kalau British boleh mendapat kerjasama Dato Onn Jaafar dan penyokong-penyokongnya di Johor, tetapi Mat Indera langsung tidak memberi muka kepada Inggeris. Bahkan Mat Indera boleh menjadi pemimpin lebih ke depan dari komunis dalam menghadapi Inggeris.

Ada masanya Inggeris boleh bermain mata dengan komunis tetapi Inggeris tidak boleh dapat apa-apa dari Mat Indera. Sikap Mat Indera itu mendapat sokongan orang Melayu dan bukan Melayu yang menentang penjajahan. Dasar British adalah jelas melagakan orang Melayu dan Cina. Antara kemarahan orang Melayu kepada Cina ialah rata-rata ketua komunis itu adalah Cina. Ia adalah peluang baik bagi British menenamkan rasa curiga orang Melayu kepada Cina.

Apabila Mat Indera dilebelkan sebagai pemimpin komunis dan mengepalai komunis menyerang Bukit Kepong, maka ia mengubah pandangan orang Melayu kepada Mat Indera. Kebetulan Mat Indera pula hadir di Bukit Kepong dalam kejaadian itu maka ia satu kesempatan terbaik bagi British menamkan sikap bencikan Mat Indera.

Mat Indera tidak peluang untuk membela diri. Dia diburu dan apabila ditangkap, Mat Indera terus dipisahkan dari masyarakat umum khususnya orang Melayu. Ada pandangan mengatakan Mat Indera tidak mendapat perbicaraan adil. Tiada keterangan tentang pembelaan diri Mat Indera. Yang diketahui dia dihukup bunuh saja.

Mengikut Ghani Ismail, penulis bebas yang pernah bekerja dengan Tengku Razaleigh, berasal dari Taiping. Dia tidak jumpa orang Melayu di sekitar Taiping percaya Mat Indera seorang komunis. Bagi mereka dia seorang yang kuat Islam dan terpelajar. Malah ada orang Taiping menganggapnya keramat. Boleh diterima teori mengatakan dia komunis dan mengetuai serangan balai polis Bukit Kepong itu adalah muslihat British bagi menggelapkan perjuangan anti Inggeris Mat Indera.

Tektik Inggeris sama seperti yang dilakukannya terhadap pejuang Palestin terhadap British dan Yahudi sebelum ia ditakluk Israil. Semua Arab yang penentang British di Palestin dilebel sebagai pengganas. Tektik sama digunakan Amerika dan Nato sekarang terhadap orang Islam yang menentang penindasan Amerika dan barat. Semuanya dituduh teroris.

Jika Chin Peng mengesahkan Mat Indera adalah komunis, ia bukan mustahil bagi propaganda komunis untuk membuktikan parti komunis juga disokong oleh orang Melayu dan Islam.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Sunday, October 9, 2011

PAS: Bajet 2012 ‘morfin’ kesan tsunami politik 2008


KUALA LUMPUR, 9 Okt — PAS pusat melabel Bajet 2012 yang diumumkan Jumaat lalu oleh Datuk Seri Najib Razak sebagai “belanjawan morfin” pilihan raya umum sambil mendakwa banyak “buah tangan one-off” yang diumumkan adalah hasil tekanan ekoran tsunami politik 2008.

Sehubungan itu parti komponen Pakatan Rakyat ini mahu rakyat terus mengenakan tekanan dalam pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat, untuk menikmati perubahan lebih menyeluruh.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, seperti yang dijangka, BN telah membentangkan satu “bajet morfin” yang bersifat kesenangan sementara.

Katanya, kesakitan dan keperitan sebenar akan kembali sejurus selepas kesan morfin hilang.

“Dari sudut yang lain, rakyat perlu melihat pembentangan bajet oleh Perdana Menteri ini juga adalah sebahagian daripada kejayaan mereka mengenakan tekanan kepada kerajaan BN dalam pilihan raya umum lalu.

“Kini, Umno BN cuba mendapatkan kembali sokongan rakyat melalui bajet yang kelihatan mengutamakan rakyat; setelah mengabaikan rakyat dengan mementingkan projek mega bagi kroni-kroni berpuluh tahun,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang ini.

Perdana Menteri membentangkan Bajet 2012 dengan dana RM232.8 bilion untuk kegunaan tahun depan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Tuan Ibrahim berkata, kejayaan mengenakan tekanan politik ke atas BN mesti diteruskan kerana seandainya mereka berjaya mengekalkan kuasa selepas pilihan raya umum ke-13, segala berita gembira yang ditabur dalam belanjawan akan ditarik balik dalam bentuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang telah diumumkan dan bakal dilaksanakan tatkala majoriti rakyat masih tidak bersedia untuk menghadapinya.

“Yang pasti sistem percukaian baru GST akan diperkenalkan — kemudian kemungkinan besar beban enam peratus cukai telefon prabayar akan ditolak ke bahu rakyat selepas pilihan raya umum ke-13 dan lebih banyak subsidi akan ditarik balik sekiranya BN kekal berkuasa selepas pilihan raya umum ke-13,” katanya lagi.

Selain itu, kata Tuan Ibrahim, untuk mengelakkan kemarahan rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13, tiada peruntukan yang diumumkan untuk Permata yang diketuai isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan tetapi, rakyat tidak perlu bergembira, yang pasti sekiranya mereka menang pilihan raya umum ke-13, peruntukan untuk Permata akan diumumkan semula dengan nilai yang lebih besar dalam bajet susulan.

Katanya, kerajaan pusat juga menyembunyikan strategi kerajaan pusat mendapatkan dana membiayai aliran perbelanjaan.

Kata beliau, keadaan dijangka lebih parah lagi kerana bajet kali ini tidak disertakan dengan langkah-langkah kerajaan untuk menaikkan pendapatannya untuk menampung perbelanjaan sebegitu banyak.

“Lebih-lebih lagi, dalam bajet kali ini Perdana Menteri juga tidak mengumumkan apa-apa cara untuk mengurangkan ketirisan, gejala rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan kronisme yang selama ini hanya menambah keperitan rakyat bawahan,” kata beliau.

Oleh itu beliau menambah, “duit tidak mungkin jatuh dari langit.”

“Dan, dengan ekonomi dunia yang sedang meleset, adakah kerajaan BN sedang menyembunyikan langkah-langkah drastik untuk mendapatkan dana sehingga selepas pilihan raya umum ke-13?

“Berapakah bajet susulan yang sudah ada dalam perancangan BN yang bakal dibentangkan lagi untuk menampung perbelanjaan morfin ini?” kata beliau lagi.

Kata Tuan Ibrahim, segala apa yang diberi sekarang yang kononnya atas nama “negara berkebajikan ala Umno BN” hanya bertujuan untuk melalaikan rakyat.

“Apa yang diberi akan ditelan kembali selepas pilihan raya umum ke-13 jika mereka terus berkuasa selepas pilihan raya umum ke-13 kerana suka ataupun duka, rakyat terpaksa duduk di bawah kerajaan BN untuk lima tahun lagi sebelum ada peluang untuk mengundi mereka keluar,” kata beliau lagi.

Namun tambah beliau, semua langkah “menelan” ini tidak akan diumum sekarang kerana yang penting rakyat dapat ditipu terlebih dahulu untuk mengekalkan mereka di tampuk pemerintahan, yang lain boleh diumum sedikit demi sedikit kerana selepas itu, rakyat hanya boleh merungut tapi kuasa mereka tidak akan tergugat untuk lima tahun akan datang.

“Pengalaman lampau mengajar kita bagaimana setelah selesai pilihan raya umum ke-13 kerajaan BN akan segera mengisytiharkan kenaikan harga barangan keperluan rakyat.

“Walau apa pun tema belanjawan diberi, rakyat yang telah mengenal tipu muslihat Umno-BN diharap jangan terlalai dalam suntikan morfin ini dan terus menggunakan kuasa dan peluang yang ada pada pilihan raya umum ke-13 bagi membuat perubahan untuk menyelamatkan Malaysia,” kata beliau sambil menambah, rakyat perlu meneruskan agenda perubahan politik negara sebagai kesinambungan pilihan raya umum ke-12.

(petikan dari malaysian insider)