Sunday, June 28, 2009

Isu PPSMI...bila kesudahannya

Semasa Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan PPSMI semasa era pentadbirannya bertujuan bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Bagaimana pun sehingga ke hari ini pencapaian itu amat sedikit sekali berbanding dengan kekalutan dan keciciran para pelajar luar bandar yang dipaksakan PPSMI ke atas mereka. Banyak kajian dan penyelidikan yang dibuat oleh para penyelidik dan pakar-pakar dari beberapa universiti tempatan mendapati impaknya amat kecil sekali yakni pencapaian kemajuan bahasa Inggeris itu sendiri amat kecil di kalangan pera pelajar, sedangkan lebih ramai golongan pelajar khususnya dari luar bandar semakin tercicir.

Tetapi sehingga ke hari ini juga pihak pemerintah masih dalam kajian sama ada akan menghapuskan PPSMI atau melakukan perubahan ke atasnya. Terlalu susahkan untuk membuat keputusan tersebut! Ramai para cendekiawan rata-rata tidak bersetuju dengan PPSMI, malah ahli-ahli politik juga termasuk dari UMNO tidak bersetuju dengannya. Cuma mereka barangkali sedikit segan untuk mengucapkan secara terbuka.

Saya masih ingat lagi seorang tokoh politik di Kelantan iaitu seorang Wakil Rakyat UMNO semasa merasmikan satu Mesyuarat Agung PIBG telah menyatakan rasa tidak setujunya dengan PPSMI di hadapan para ibubapa. Katanya juga beliau telah diarahkan oleh seseorang supaya berucap menyokong PPSMI, tetapi mengambil tindakan sebaliknya kerana hati nuraninya merasakan PPSMI ini telah merugikan anak bangsanya sendiri.

Kita bukannya menentang Bahasa Inggeris malah mengakui bahasa itu penting untuk dikuasai bagi tujuan ilmu pengetahuan tetapi menggunakan bahasa itu untuk pengajaran Matematik dan Sains bukanlah cara terbaik bagi menguasai bahasa tersebut. Banyak cara lain bagi menguasai bahasa itu termasuklah memperuntukkan masa yang lebih bagi pembelajarannya. Saya teringat kata-kata seorang Ustaz yang pernah mengajar bahasa Arab semasa di Universiti dahulu. Katanya bagi menguasai, memahami dan memahirkan bahasa Arab seseorang itu perlu mempelajari sastera Arab itu sendiri. Bagi Bahasa Inggeris mengapa tidak diajarkan sastera Inggeris sebagai salah satu subjek bagi memahirkan bahasa Inggeris, bukannya mengajar untuk Matematik dan Sains. Seperti kata Prof. Diraja Ungku Aziz matematik adalah bahasa angka, simbolik dan semua simbol-simbol. Mustahil seseorang itu akan mahir dalam bahasa Inggeris sekadar menggunakan bahasa itu bagi menyebut simbol dan angka sahaja.

Adalah diharapkan menjelang Julai nanti seperti yang diwar-warkan oleh pihak kerajaan untuk mengumumkan kepuutusan isu ini; pihak kerajaan hendaklah mengambil kira semua pandangan pakar dan penyelidikan yang telah dilakukan sama ada oleh UKM atau UPSI yang telah mendapati PPSMI tidak membantu para pelajar menguasai bahasa Inggeris. Malah ianya akan menjerumuskan para pelajar khususnya pelajar Melayu luar bandar ke arah keciciran yang teruk sekiranya pelaksanaannya diteruskan.

PRK Manek Urai...Calon-Calonnya




Perkembangan PRK Manek Urai semakin menggamit ramai orang untuk mengikutinya. Maklumlah PRK jarang-jarang terjadi di Kelantan dan pertembungannya pula antara dua buah parti politik utama orang Melayu UMNO dan PAS. Setakat ini belum dapat dipastikan ada calon lain yang akan tumpang semangkok atau buat kacau daun saja. Biasanya kalau ada tentu dah "geger" mengatakannya. Mungkin calon Bebas takut hilang wang pertaruhan jika turut ambil bahagian. Parti AKIM pun tak kedengaran untuk turut serta walaupun baru-baru ini ada kedengaran akan menurunkan calonnya.


Ada kawan yang telefon dan SMS saya bertanyakan sama ada calon UMNO yang berkebetulan ada pangkal nama Tuan itu ada kena mengena dengan saya. Saya katakan setakat saya tahu tidak ada kena mengena atau kemungkinan waris. Sebabnya yang ada nama pangkal Tuan ( kalau di Indonesia dikatakan marga seperti Lubis, Nasution dll nama keluarga) itu memangnya asal Kelantan, tetapi ada jurai keturunannya. Saya pun tak tahu Tuan Aziz ini jurai keturunan sebelah mana, sama ada Kubang Labu, Long Ghaffar atau Jembal. Saya adalah berketurunan dari Raja-Raja Jembal yang pernah memerintah Kelantan pada abad 16 dahulu. Pusat pemerintahannya di Kota Jembal (kawasan Kedai Lalat sekarang) dan tinggalan pusara Raja-Raja Jembal masih dijaga dengan baik oleh pihak Pertubuhan Kerabat Diraja Jembal (PKRJ)Kelantan. YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nin Nik Mat Bin Raja Banjar juga adalah keturunan dari titih Raja Jembal.


Calon PAS seperti yang diperkenalkan oleh Mursyidul Am PAS jumaat lalu ialah Mohd. Fauzi Abdullah, Bendahari PAS Kuala Krai yang juga seorang Peniaga Ikan. Beliau telah sekian lama berjuang bersama-sama kepimpinan PAS Kawasan Kuala Krai dan dikatakan amat rapat dengan masyarakat setempat. Ciri-Ciri beliau yang senang didampingi dan mudah kira-bicara ini menjadi salah satu ukuran penting pemilihannya. Kalaupun tidak dapat menyamai ciri-ciri "Mudah Bbaso, Sene Kkira" dan ramah pergaulan Gemuloh Pak Su Weil, bekas Wakil Rakyat PAS dahulu Mohd. Fauzi diharapkan dapat sedikit sebanyak mewarisi feel perangai Gemuloh itu yang disayangi ramai dan dihormati kawan dan lawan.


Manakala Tuan Aziz Tuan Mat adalah seorang Pengurus KESEDAR yang beribu pejabat di bandar Gua Musang. Bagi masyarakat peneroka mungkin mengenali beliau dengan lebih dekat kerana berurusan secara langsung. Namun tidak dapat dipastikan beliau berasal dari kawasan mana sementara Mohd. Fauzi berasal dari Bukit Marak tetapi telah lama menetap di kawasan Kuala Krai.


Pada mulanya bila mendengar nama Tuan Aziz saya terlintas kepada kawan baik saya dari Kuala Besar, sejak Tingkatan Enam di SMIP dulu yang juga Pegawai KESEDAR. Nama dan bin pun serupa; lantas saya teringat Tuan Aziz Bin Tuan Mat kawan baik saya itu telahpun berhenti dari KESEDAR dan kini bertugas sebagai Guru di SMK Sungai Pinang.


Apa pun kita harapkan mereka bertandinglah dalam semangat demokrasi yang sebenar dan dengan tujuan bagi membela masyarakat setempat sesudah bergelar Wakil Rakyat.


Saturday, June 27, 2009

Perginya...Michael Jackson


Kita masih lagi ternanti-nanti bagaimana kesudahan pengkebumian arwah Michael Jackson atau nama Islamnya Mikhaeel selepas arwah meninggalkan alam yang fana ini. Marilah kita bersangka baik terhadap arwah dan sepertimana menurut abangnya Jermaine Jackson yang telah lama memeluk Islam dan kini tinggal di Dubai berkata, "semoga Allah sentiasa bersama Anda". Mikhaeel dilaporkan telah memeluk agama Islam pada November tahun lepas dan abangnya juga dikatakan telah memain peranan utama pengislamannya. Dalam laporan yang tidak dapat dipastikan kesahihahnya menyatakan bahawa seorang jutawan Arab di Dubai yang juga kenalan abangnya telah membantu arwah mengatasi sedikit sebanyak masalah kewangannya.




Lewat petang semalam agensi berita ada menyatakan keluarga Jackson ada bertemu dan berbincang dengan imam Johari Abdul Malek dan ada yang menyatakan imam masjid tempat yang selalu Jermaine solat juga ada membuat perbincangan. Ini memberikan kemungkinan jasad Mikhaeel akan disempurnakan secara Islam. Malah ada juga maklumat menyatakan ianya akan dilaksanakan disemadikan secara Kristian. Oleh itu persoalan ini telah mengundang penantian para peminat Mikhaeel bagi mengetahui selanjutnya memandangkan pengislamannya sendiri tidak dibuat pengisytiharan beliau sendiri semasa hayatnya.




Tetapi yang pastinya berita kematian Jackson seakan telah menggerhanakan berita tentang Iran yang mengambil tempat slot berita sebelum ini. Lebih-lebih lagi masalah demonstrasi di Iran cuba dimanipulasi oleh agensi berita Amerika bagi memberikan gambaran buruk terhadap Republik Islam Iran.




Sama-samalah kita tunggu kesudahannya episod pemergian selama-lamanya Raja Pop Dunia itu. Dan yang pasti ramai pemuja dan peminatnya diserata dunia merasai kehilangannya.

Awas kalau melawat ke Bangkok, Thailand


Pada tahun lepas bagi mereka yang "terkandas' di Bangkok Thailand gara-gara tunjuk perasaan anti kerajaan yang memasuki sehingga ke Lapangan Terbang Swarnabhumi menyebabkan para pelawat tergendala. Hatta, Sidang Kemuncak ASEAN yang sepatutnya berlangsung di Pataya juga terpaksa dibatalkan gara-gara tunjuk perasaan. Ada antara pelawat terpaksa menaiki keretapi pulang ke sempadan Malaysia bagi meneruskan perjalanan.


Kali ini gelombang penunjuk perasaan berbaju merah kembali mewarnai Bangkok. Seperti yang dilaporkan kebanyakan akhbar perdana kelmarin kira-kira 12,000 orang penyokong bekas Perdana Menteri Thaksin Sinawatra yang digulingkan telah berkumpul disuatu lapangan dan di Kota Bangkok. Mereka menganggarkan sekitar 50,000 orang lagi akan menyertai tunjuk perasaan bagi mendesak Perdana Menteri Abhisit Vejjajeva supaya membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya baru.


Persoalannya di sini bukannya masalah politik Thailand yang kita ambil perhatian tetapi masalah para pelancong khususnya dari Malaysia yang akan terkandas kelak jika tunjuk perasaan bertukar ganas dan tidak dapat dikawal. Walaupun pihak kerajaan telah mengerahkan 3000 anggota polis dan 1000 askar bagi mengawal keadaan tetapi jika penunjuk perasaan bertambah ramai akan menyukarkan keadaan. Pada masa ini jurucakap penunjuk perasaan menyatakan mereka akan mengadakan tunjuk perasaan secara aman, akan tetapi segala kemungkinan boleh berlaku jika gelombang para demonstran berlipat ganda jumlahnya. Gelombang para demonstran yang berbaju merah ini mula berkumpul dan memprotes terhadap apa yang disifatkan kegagalan kerajaan Thailand mengatasi masalah kebajikan rakyat. Para penyokong Thaksin ini yang rata-rata terdiri dari rakyat bawahan yang telah mendapat manfaat ketika di bawah pemerintahan Thaksin semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.


Para pelancong Malaysia seharusnya perlu berhat-hati dan sentiasa mengikuti berita keadaan semasa di Bangkok atau jika perlu hindari dari melawat Kota Bangkok, sebaliknya berjunjunglah ke kota-kota lain seperti Chiengmai di Utatara atau ke ke tempat bersejarah di Kanchanaburi. Waspadalah jangan terperangkap dalam suasana kekalutan gara-gara tunjuk perasaan yang dibimbangi akan mencetuskan kekacauan.

Friday, June 26, 2009

Pilihan Raya Presiden Indonesia 8 Julai 2009...Isu Kecil Jadi Besar


Pilihan Raya Presiden Indonesia akan berlangsung pada 8 Julai iaitu kira-kira 13 hari lagi. Kempennya juga semakin panas. Tiga regu yang telah menawarkan diri iaitu Susilo Bambang Yudhoyono-Boediono, Megawati Sukarnoputri-Prabowo Subianto dan regu Jusuf Kalla-Wiranto akan berentap bagi menjadi Presiden dan Naib Presiden Indonesia bagi tempoh 2009-2014. Dalam demam pilihan raya tersebut pelbagai perkara kecil akan menjadi isu besar.

Pada ketika ini media Indonesia masih lagi hangat memperkatakan isu-isu yang menyentuh kepentingan Indonesia berkaitan Malaysia. Apa juga isu berkenaan Malaysia akan cuba dieksploitasikan bagi memberikan gambaran seolah-olah mereka adalah jaguh bagi mempertahankan kepentingan Indonesia. Untuk itu tidak hairan jika isu penderaan pembantu rumah Indonesia di Malaysia, isu Manohara; apa lagi yang menyentuh wilayah kedaulatan Indonesia yang masih dalam pertikaian seperti isu Ambalat. Di antara tokoh calon Presiden tersebut Jusuf Kalla agak terkedepan dalam mengekspliotasi isu berkaitan Malaysia. Beliau dilaporkan pernah berkata (seperti dilaporkan dalam koran Harian Jogja) bahawa "Indonesia sedia berperang" bagi mempertahankan Ambalat.

Kata-kata sebegini agak kurang menyenangkan bagi pembaca di Malaysia, seolah-olah "big brother" sana suka membuli sebagaimana yang pernah dilemparkan oleh pemimpin Singapura kepada Indonesia sebelum ini. Bagi kita di Malaysia, pemimpin kita tidak pernah menggunakan isu berkenaan Indonesia dalam kempen-kempen pilihan raya Malaysia. Mungkin juga kebetulan isu-isu tempatan sudah mencukupi untuk diperdebatkan.

Apa yang perlu bagi kita ialah tidak usah melayan sangat kerenah tersebut apa lagi kata-kata itu timbul ketika kempen pilihan raya. Dipercayai juga kes pemberhentian pengiriman pembantu rumah Indonesia ke Malaysia juga mungkin ada kaitannya dengan demam pilihan raya ini dan kebetulan ada berlakunya peristiwa penderaan tersebut. Ini pastinya memberi "mileage" kepada pemerintah sekarang yang dilihat mengambil berat masalah rakyat Indonesia di seberang laut.

Kita percaya selepas pilihan raya presiden kelak, masalah bersama ini akan dapat dibincang semula dengan pemimpin yang baru dipilih oleh rakyat Indonesia, dan diharapkan semangat bangsa serumpun akan mempertautkan kembali hubungan yang akrab sebelum ini.

Thursday, June 25, 2009

Pemberhentian penghantaran pembantu rumah Indonesia berkuatkuasa serta merta

Pada 14 Jun baru-baru ini saya ada membuat posting tentang kemungkinan besar kerajaan Indonesia akan memberhentikan penghantaran pembantu rumahnya ke Malaysia dalam masa terdekat. Pada masa itu saya baru sehari pulang dari lawatan ke Jogja dan media masa di sana sememangnya setiap hari higlightkan peristiwa penderaan pembantu rumah Indonesia di Malaysia yang menyanyat hati.

Pada hari ini 25 Jun kerjaan Indonesia secara rasmi mengeluarkan kenyataan pemberhentian itu mula berkuatkuasa 26 Jun 2009. Mengikut Menteri Tenaga Indonesia, Suparno pemberhentian itu akan dilaksanakan sehingga pihak berkuasa di Malaysia melaksanakan langkah-langkah keselamatan yang terjamin bagi pembantu-pembantu rumah dari Indonesia. Menurut Suparno lagi delegasi Indonesia dan Malaysia dijadualkan akan mengadakan perbinacngan pada 15 Julai bagi membincangkan perkara-perkara yang dihadapi pekerja-pekerja Indonesia di Malaysia. Dalam pertemuan tersebut pihak Indonesia katanya akan mencadangkan untuk dikaji semula beberapa klausa di dalam MoU kerjasama tenaga kerja yang telah ditandatangani antara kedua-dua negara pada awal tahun lepas. Di antara kaluasa tersebut ialah hak-hak dan perlindungan bagi para pekerja Indonesia dan juga berkenaan gaji atau upah.

Pada masa ini dianggarkan terdapat 300,000 pembantu rumah Indonesia di Malaysia dan setiap bulan kira-kira 3000 orang pembantu rumah akan dihantar bagi memenuhi keperluan di Malaysia. Dengan pemberhentian ini Malaysia nampaknya terpaksa mencari pembantu rumah dari negara-negara lain sekurang-kurangnya buat sementara waktu. Pelaksanaan pemberhentian pengiriman pembantu rumah ini juga dibuat dalam masa pihak berkuasa di Malaysia sedang berura-ura untuk melaksanakan pemberian satu hari cuti seminggu bagi pembantu rumah.

Seperti yang saya katakan terdahulu, pemberhentian ini bukanlah satu masalah besar bagi Malaysia tetapi ianya akan memberikan gambaran suasana hubungan yang tidak berapa baik bagi kedua-dua negara, apatah lagi soal tuntutan Ambalat masih lagi menjadi pertikaian yang belum dapat diselesaikan.

Hal gerombolan komunis tanahair mahu pulang

Pada waktu kebelakangan ini banyak diperkatakan tentang golongan komunis yang telah meletak senjata dan telah menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan ingin pulang ke tanah air. Mereka yang berada di Kampung Perdamaian Sukhirin, Thailand begitu berhasrat untuk menghabis sisa-sisa hidup mereka di tanah tumpah darah mereka sendiri. Dan tokoh yang paling diperkatakan ialah Chin Peng bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya yang terkenal itu.

Bagi mereka yang bersimpati dengan Chin Peng, apalah ada pada lelaki yang telah meletak senjata itu dan telahpun berusia lebih 80 tahun itu. Apa lagi yang dapat dilakukannya pada usia begitu lanjut dan tenaganya juga terlalu lemah untuk kembali berjuang dalam politik tanah air yang sah. Takkan ke mana pun jika beliau memasuki mana-mana parti politik yang sah dalam negara.( itu pun jika kerajaan membenarkan beliau boleh menyertai parti politik)

Bagi golongan yang menentang kembalinya Chin Peng ke tanah air, tentunya mempunyai pelbagai alasan tersendiri mengapa belia harus dihalang dari kembali ke tanahair. Malah menurut Prof Khoo Kay Kim, Chin Peng adalah warga British lantaran kelahirannya di kawasan yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Selat. Golongan bekas tentera dan pasukan polis tentu sekali tidak bersetuju dengan kepulangan Chin Peng. Mereka yang terpaksa melawan kekejaman komunis pada waktu Darurat tentu sekali tidak dapat melupakan peristiwa pahit dan keganasan yang ditimbulkan golongan komunis ini. Perjuangan dari tahun 1948 hingga tahun 1960 itu memakan masa yang lama dan panjang dan tidak hairanlah kebanyakan masyarakat terutama sekali yang telah mengalami suasana pahit getir termasuk kehilangan orang tersayang atau mengalami kecacatan anggota akibat kekejaman komunis tidak sekali-kali akan melupakannya. Malah ura-ura Chin Peng ingin kembali ke tanah air ditentang habis-habisan.

Sejarah juga mencatatkan kebinasaan yang dialami negara ekoran angkara komunis ini. Hakikat ini tidak dapat dinafikan sama sekali. Telitilah rekod-rekod kekejaman pasukan pasukan komunis seperti Bintang Tiga misalnya yang telah menghuru-harakan negara selepas Jepun menyerah kalah tahun 1945. Mereka telah berkuasa dan bermaharajalela selama 14 hari di Tanah Melayu!

Mungkin ada yang mengandaikan bahawa mereka menentang orang Inggeris iaitu penjajah Tanah Melayu dan kebetulan orang-orang yang bekerja dengan Inggeris termasuk orang Melayu akan dianggap tali barut penjajah juga. Tetapi bagaimana pula dengan suasana apabila negara telah mencapai kemerdekaan tahun 1957. Inggeris telah kembali ke England dan negara telah diperintah oleh anak negeri sendiri di bawah kerajaan Parti Perikatan. Tetapi komunis masih meneruskan perjuangan bersenjata menentang kerajaan yang dipilih rakyat secara sah. Di sinilah saya kira rata-rata mereka yang berpandangan sederhana pun tidak dapat menerima perjuangan komunis itu. Apa lagi kalau dilihat dari sudut agama Islam, sememangnya ia harus ditentang sejak awal kemunculannya lagi.

Cuma persoalan berbangkit di sini ialah bagaimana bekas komunis seperti Shamsiah fakeh, Musa Ahmad dan beberapa yang lain itu telah dapat kembali ke tanah air bagi menghabiskan sisa-sisa hidup mereka. Apakah mereka telahpun "bertaubat nasuha" dan telah meninggalkan ideologi yang bertentangan dengan Islam itu dan kerajaan telah menerimanya. Berbalik kepada soal Chin Peng, maklumat menyatakan beliau telah bersetuju untuk meletak senjata dalam Perjanjian Damai dan tidak lagi akan menentang kerajaan. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan apakah dia juga telahpun menanggalkan ideologi komunis yang digenggam erat selama ini dan apakah ada kepastian beliau tidak akan menyebarkannya jika dibenarkan pulang.

Kini terpulang kepada kebijaksanaan pihak kerajaan untuk memutuskannya sama ada beliau dibenarkan pulang atau tidak. Kerajaan juga seharusnya mengkaji sedalam-dalamnya kesan daripada sebarang keputusan yang diambil terutama sekali jika dibenarkan pulang bagi menjaga sensitivi masyarakat yang banyak.