Sunday, August 30, 2009

Selamat menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Ke- 52


Esok tanggal 31 Ogos merupakan hari ulang tahun kemerdekaan negara kita ke 52. Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan saya ucapkan kepada semua lapisan rakyat Malaysia semoga negara akan terus aman, maju dan makmur.

Saturday, August 29, 2009

Indonesia tuduh Malaysia pencuri budaya...


Alkisah timbul lagi tuduhan yang tidak sedap didengar itu terhadap Malaysia. Rasanya telah banyak kali tuduhan demi tuduhan yang dilemparkan kepada Malaysia oleh negara jiran Indonesia itu. Dalam masa lain apabila mereka berdiplomasi dan inginkan sesuatu mereka akan katakan Malaysia dan Indonesia adalah "negara serumpun" dan banyak lagi kata-kata manis yang lain. Namun apabila mereka marah akan Malaysia, lain pula kata-katanya.

Kalau semasa PEMILU Presiden pada JUlai lalu, mungkin ahli-ahli politik mereka ingin menunjukkan kejuaraan dengan memperli Malaysia sehingga ada ahli politik yang mempersoalkan isu Ambalat dengan emosi hatta mengatakan Indonesia sedia berperang dengan Malaysia demi Ambalat. Begitu juga kata-kata pedas dilempar ekoran penderaan tenaga kerja Indonesia di Malaysia sehingga penghantarannya diberhentikan sementara.

Namun Malaysia tetap tidak menunjukkan tindak balas secara emosi tetapi secara berunding demi semangat bangsa serumpun itu. Dalam posting saya yang lalu pada 20 Jun 2009 di bawah tajuk " Berita Dari Seberang 1" ada budayawan Indonesia yang mempersoalkan "Naskhah kuno Indonesia digelapkan ke Malaysia" . Mengikut budayawan itu "pemboyongan cagar budaya asli Indonesia tersebut" telah lama berlaku terutama naskhah-naskhah dari Riau.

Nah, sekarang isu berkenaan timbul semula bila Indonesia mengatakan " Malaysia pencuri budayanya. Ini berikutan dalam promosi pelancongan Malaysia di Discovery Channel yang memuatkan Tarian Pendet yang merupakan satu tarian di Bali. Ahli politik yang juga wakil rakyat Bali lantas menggelar Malaysia " kurang ajar dan pencuri budaya". Agak keras kenyataannya itu dalam konteks hubungan antarabangsa apa lagi ia diucapkan seorang ahli politik pemerintah. Menteri pelancongan Indonesia juga menyatakan akan menyaman Malaysia kerana menggunakan tarian pendet itu dalam promosi pelancongan Malaysia. Bagi kerajaan Malaysia promosi ini bukannya dibuat oleh kerajaan tetapi oleh swasta, tetapi pada masa akan datang ianya juga perlu diperhalusi.

Sebelum ini juga timbul isu serupa iaitu Malaysia dituduh mencuri tarian barongsai, malah masakan seperti masakan padang, alat muzik angklong, pembuatan batek dan sebagainya adalah telat dicuri dari Indonesia. Betulkah begitu? Apa kata kalau India yang merupakan leluhur agama Hindu sehingga kini mendakwa Indonesia juga banyak mencuri budaya India. Tetapi apa yang nyata semasa saya berada di India selama setahun iaitu dari 1990-1991 dahulu, mereka bangga kerana agama Hindu dan adat budaya Hindu diamalkan di Bali, Indonesia.

Janganlah hanya kerana perkara kecil sahaja hendak diperbesarkan. Janganlah Indonesia berbaik-baik dan menganggap Malaysia negara serumpun ketika ditimpa bencana dan musibah sahaja seperti gempa bumi, tsunami dan lain-lain. Apabila memerlukan bantuan sahaja ingin bersahabat. Bagaimanapun dengan lebih 1 juta warga Indonesia yang sedang mencari rezeki di Malaysia dan dibawa pulang, Malaysia tidak pernah mempersoalkannya. Bagaimana dengan jenayah yang dilakukan warga Indonesia di Malaysia sama ada yang mmasuki secara haram atau sah yang semakin menjadi-jadi kini. Fikirkanlah sendiri sebelum membuat tuduhan yang tidak menguntungkan.

Kenangan berpuasa di New Delhi


Berpuasa di rantau orang buat pertama kali kami sekeluarga agak menyedihkan juga. Maklumlah nun jauh di rantau orang dan makanannya juga asing dari kebiasaan. Namun kerana India juga mempunyai ramai penduduknya beragama Islam, masalah makanan tidak terasa. Cuma tinggal lagi kena rajin memasak sendiri sesuai dengan selera masakan Melayu.

Barangan seperti bahan mentah tidak susah didapati. Pergi sahaja ke Ina Market, semuanya ada. Pasarnya tidak jauh tempat kami tinggal setahun di New Delhi iaitu di Green Park Extension. Ayam ada dan boleh kita minta untuk sembelih sendiri ayamnya bagi pastikan halal. Tetapi kalau peniaga muslim memanglah kita yakin halal. Daging kambing jangan dikira kerana rata-rata masyarakat India baik yang beragama Hindu atau Islam gemar memakan daging kambing. Cuma daging lembu memang sukar didapati. Yang ada hanya daging kerbau dan kena rajin ke Pasar di Nizamuddin.

Bila sebut Nizamuddin, teringat tempat berkumpulnya para Jamaah Tabligh( di Masjid Nizamuddin) dan saya sering temui Jamaah dari Malaysia di Nizamuddin. Di sini ada dijual daging kerbau yang tidak jauh bezanya dari daging lembu kerana kerbau yang disembelih adalah kerbau muda. Restoran-restoran di Nizamuddin juga boleh kita jumpai Nasi Briani, Bukhari dan sebagainya.

Bulan puasa di sini amat meriah juga. Pada waktu malam Solat Tarawihnya penuh masjid dan pada kebiasaannya Solat Isya' akan diimamkan Imam Masjid, tetapi bagi Solat Tarawih diimamkan oleh kanak-kanak atau belia yang hafiz quran. Di Malaysia sekarang pun trend menjemput para huffaz menjadi Imam Tarawih telah berkembang. Ahli Jamaah terutama golongan kaya muslim sentiasa memberikan derma dalam bulan berkat ini sama ada makanan atau wang. Pendeknya kemurahan rezeki bulan mulia ini amat dihargai oleh para gelandangan atau fakir miskin yang mendatangi masjid.

Kemeriahan dan pergaulan dengan masyarakat setempat membuatkan hati lupa bahawa kami berpuasa sebulan di New Delhi. Kemesraan semasa bertegur sapa setelah selesai Solat Tarawih benar-benar menjalinkan silatur rahim antara saudara sesama muslim. Sayangnya saya tidak sempat Solat Tarawih di Masjid Jame' Old Delhi iaitu masjid terbesar yang agak jauh sikit dari tempat kami tinggal. Dalam masa sebulan Ramadhan kami hanya solat di Masjid Hauz Khas sahaja. Walaupun agak kecil Masjidnya tetap diimarahkan oleh masyarakat setempat.

Friday, August 28, 2009

Kepala Lembu ...demo bantah kuil


Nampaknya Lembu agak sinonim atau seakan menjadi trade mark pada Selangor akhir-akhir ini. Pernah MB TS Khalid dituduh salah guna kuasa pasal agihkan lembu korban sedikit masa dahulu dan isu itu senyap begitu sahaja. Tidak ada bukti kot sebab ianya diadu pada SPRM dan dibuka penyiasatannya. Kalau ada tentu dah diheret ke muka pengadilan MB Selangor itu.

Kemudian Angkatan Muda Keadilan juga bawa lembu pergi ke pejabat SPRM dan membuat aduan. Kononnya sebagai memperli SPRM yang dikatakan bertindak mengikut telunjuk pihak-pihak atasan politik tertentu sahaja. Lembu yang dibawa hidu-hidup itu dan ditarik tali hidungnya menggambarkan apa yang disifatkan AMK keadaan SPRM.

Kelmarin demo bantah pembinaan kuil hindu di Seksyen 23 Shah Alam juga bawa Kepala Lembu dan diletakkan dipagar Pejabat Kerajaan Negeri Selangor. Demo yang dikatakan disertai kira-kira 50 orang itu tidak dapat dipastikan mewakili penduduk Seksyen 23 atau pihak-pihak tertentu yang dikatakan berusaha menjatuhkan kerajaan negeri Selangor.

Apapun cukuplah menyeret binatang tersebut dalam isu yang melibatkan kita manusia yang berakal waras. Di samping itu ia juga dikatakan berunsur penghinaan pada kaum India dan dikhuatiri akan mencetuskan tindakbalas dan kejadian kekacauan. PM sendiri telah minta KPN untuk menyelesaikan isu ini kerana dibimbangi boleh menimbulkan isu perkauman seperti yang terjadi di Kampung Medan dulu.

Berkenaan pembinnaan kuil itu, perundingan perlu diadakan secara telus dan jika benar masyarakat India tidak begitu ramai di Seksyen 23, mengapa perlu pada kuil jika yang sedia ada sudah mencukupi. Yang penting rundingan secara langsung dengan penduduk dan secara telus, jangan hanya kerana kita wakil rakyat, ada kuasa, nak dipaksakan supaya masyarakat terima sahaja. Itu bukan demokrasi lagi, kitakan negara demokrasi.

Ustaz Ismail Kamus: Usah bergurau mengatakannya meninggal


Ekoran beredarnya sms dan juga dalam ruang sembang blog beberapa hari lalu mengatakan Ustaz Ismail Kamus telah meninggal dunia, ramai yang terkejut bukan sahaja ahli keluarganya tetapi juga para murid dan pengikut guru agama itu. Perkara "kematian" tak usahlah dibuat gurauan, apalgi dalam bulan yang mulia ini.

Nampaknya masyarakat hari ini memang cepat mendapat maklumat walaupun maklumat itu palsu sebenarnya, malah ada yang tanpa usul periksa memberi sedakah fatihah dan sebagainya. Teringat saya bagaimana berita "kematian" TG Nik Aziz semasa beliau mendapat rawatan jantung dahulu. Heboh satu negara mengatakan berita kematiannya yang kemudiannya didapati berita itu palsu dan TG NIk Aziz sehingga kini tetap sihat dan memberikan kuliah agama disamping mentadbir Kelantan dengan baik.

Ustaz Ismail Kamus juga seperti diberitakan adalah sihat walafiat dan sedang mengerjakan umrah di Makkah. Pendapat yang mengatakan kematiannya mungkin disebabkan pemergian seorang lagi tokoh tanahair yang juga bernama Ismail iaitu Prof Datuk Dr. Ismail Salleh tidak dapat diterima. Walaupun namanya juga Ismail tetapi "orang yang menyebarkan khabar angin' itu sebenarnya mencari alasan sahaja. Tujuannya hanya untuk membuat heboh dan kepada mereka ini "ingatlah kepada Allah" dan dalam bulan yang mulia ini tidak usahlah bergurau melampau seperti itu lagi, kelak kamu yang akan mendapat balasan Allah di atas muka bumi ini.

Berbuka puasa di hotel mewah , halalkah makanannya?


Kepekaan umat Islam dalam memilih makanan halal masih lagi ditahap yang rendah. Terutama dalam bulan puasa ini trend berbuka puasa di hotel telah menjadi ikutan semua lapisan masyarakat. Bahkan ada jabatan kerajaan menganjurkan majlis berbuka puasa di hotel-hotel ternama walaupun hotel itu tiada sijil halal.

Sedarkah kita bahawa mengikut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) daripada kira-kira 2000 hotel diseluruh negara, hanya 1.4% sahaja yang mempunyai sijil halal dalam aspek penyediaan makanannya. Mengikut data JAKIM dan Persatuan Hotel Malaysia juga, sehingga Mei 2009, hanya 27 buah hotel sahaja di seluruh negara yang dapur utamanya diiktiraf halal. Yang selebihnya bagamana?

Persoalannya di sini bukannya aspek masakan bercampur yang tidak halal, tetapi aspek penyimpanan bahan mentahnya juga perlu diambil kira. Katalah Tukang masaknya memang tahu dan tidak akan memasak bahan halal bersama yang haram. Senang cakap tukang masak tak akan memasak babi campur untuk hidangan semua pengunjungnya, tetapi bahan mentahnya adakah disimpan bersama dalam peti sejuk bercampur halal-haram, alat memasak juga seperti kuali, periuk dll adakah sama juga. Sampai ke situ sekali diambil kira kalau nak mencari yang halal. Dan sememangnya mencari yang halal itu adalah suruhan agama.

Mungkin ramai orang beranggapan "tak wajib usul" dan pakai "bedal" sahaja lebih-lebih lagi ada yang mempamerkan "Ditanggung halal" walaupun ianya tidak dipastikan benar atau tidak dan siapa yang "menanggungnya". Saya ada dengar cerita bagaimana seorang mengatakan "makanan mee yang dimakannya itu sedap sekali kuahnya, tapi dia tak makan dagingnya (daging babi), hanya makan mee sahaja". Kalau dah sampai tahap tu, tak dapat nak kata apalah...

Kalau pasal penyakit selsema babi ramai yang takut sekali... kerana boleh membawa mati. Dalam mencari makanan halal di hotel-hotel mereka tak kisah pula walaupun ada kemungkinan bahan makanan atau bahan mentah disimpan bersama daging babi.

Oleh itu sayugia kita semua beringatlah, pastikan makanan yang kita berbuka terutama di hotel atau restoran mewah itu adalah halal. Sayangkanlah puasa kita sehari suntuk jika berbuka dengan makanan yang tidak halal.

Al Fatihah buat Prof Datuk Ismail Salleh


Kelmarin 27 Ogos, Negara dikejutkan dengan pemergian seseorang yang amat istimewa bagi saya iatu Allahyarham Prof Datuk Ismail Salleh. Allahyarham adalah contoh seorang OKU yang telah mencapai tahap kejayaan yang tinggi, dari seorang pensyarah ekonomi sehingga menjadi profesor dan pakar ekonomi dan pendidikan negara. Allahyarham juga adalah senator yang pertama dari kalangan OKU di Malaysia. Pemergian Allahyarham satu kehilangan besar pada negara. Semoga roh Allarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

Nostalgia semasa di UKM masih lagi mesra dalam jiwa. Allahyarham semasa itu sebagai pensyarah ekonomi dan abang Allahyarham adalah orang yang memimpin Allahyarham ke bilik-bilik kuliah dan ke aman sahaja di UKM lantaran Allahyarham OKU penglihatan. Bagaimanapun kekurangan ini tidak menghalang Allahyarham menyampaikan kuliah kepada para mahasiswanya.

Sebagai murid Allahyarham saya mengucapkan takziah kepada balu Allahyarham dan ahli keluarganya dan tabahkan hati menghadapi kesedihan dan ujian Allah ini, dan kita doakan Allahyarham diterima Ilahi sebagai hambaNya yang beriman. Amin.