Pada 31 Mac lepas Menteri Pertahanan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan bahawa Sambutan Hari Pahlawan akan diadakan di Putrajaya 31 Julai ini dan tidak akan diadakaN di Tugu Negara lagi. Kenyataan juga menyatakan bahawa ianya sebagai mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengatakan sambutan tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung yang menyerupai manusia.
Semua pihak telah menyamnbut baik pengumuman ini. Pihak Parti PAS juga telah menyambut baik usaha ini dan mengalu-alukannya walaupun ia telah menuntut perkara ini telah lama dahulu. Bekas Mufti Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin juga sebelum ini secara terbuka memyuarakan bantahan sambutan hari pahlawan di hadapan Tugu Negara. Namun walau pun pelbagai pihak membuat teguran dan bantahan, pihak kerajaan tetap melakukannya dan semua Perdana Menteri dari dahulu hingga sekarang telah terlibat dengan sambutan di hadapan Tugu Negara itu.
Walau bagaimanapun alhamdulullah, perkara ini telah ditiadakan lagi dengan pengumuman di atas. Dan kita bersangka baik bahawa hendaknya selepas ini tiada lagi program Hari Pahlawan dan seumpamanya diadakan di hadapan patung Tugu Negara. Harapnya ianya " panas hingga ke petang" dan jangan pula "ada hujan di tengah hari". Ini kerana dulu pernah kita tidak menyambut Tahun Baru Masihi kerana tragedi Tsunami, tetapi kemudiannya diadakan pula.
Lokasi Hari Pahlawan berpindah ke Putrajaya2010/03/31
KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini memutuskan lokasi sambutan Hari Pahlawan yang sering diadakan di Tugu Negara pada setiap 31 Julai akan dipindahkan ke Putrajaya, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, pemindahan lokasi itu adalah sebagai mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini yang menyatakan sambutan itu tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung menyerupai manusia.
"Pada tahun ini kita akan adakan sambutan di satu tempat yang tertakluk kepada Perdana Menteri tetapi dataran tetap akan dibuat atas persetujuan bersama antara Kementerian Pertahanan, Polis Diraja Malaysia dan Jakim.
"Elemen-elemen perayaan kali ini akan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Jakim dan disahkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Zahid berkata, perkara itu turut dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malah beliau meminta permbinaan dataran yang berkeluasan dua hingga tiga ekar itu disegerakan.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata pihaknya akan menimbang cadangan bagi menjadikan dataran itu sebagai tempat perhimpunan yang menepati kehendak Majlis Fatwa Kebangsaan dan pada masa yang sama dapat memberi gambaran kepada masyarakat tentang pengorbanan dan jasa pahlawan negara.
Menurut laman portal Majlis Fatwa Malaysia (http://e-fatwa.intranetportal.my), telah diwartakan dua fatwa mengenai Hari Pahlawan iaitu amalan seperti tiupan "Last Post", bertafakur dengan menundukkan kepala, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan "Rouse" yang dilakukan di hadapan tugu dalam upacara menyambut Hari Pahlawan adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.
Selain itu bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan dengan syarat tidak dilakukan di hadapan tugu atau di tempat atau dalam suasana yang dilarang oleh syarak. - Bernama Adalah diharapkan juga pihak kerkuasa agama menasihatkan pihak pemerintah supaya mengkaji semula perkara-perkara lain yang menyerupai amalan di atas seperti upacara menepung tawar sesuatu seperti kapal terbang baru atau kapal selam baru, bangunan baru dan sebagainya. Ini kerana amalan ini tidak memberi sebarang manfaat dan bimbang juga jika jatuh pada amalan syirik. Kalau tidak syirik pun ianya amalan membazir atau melalaikan sahaja. Elok diadakan sahaja Solat Hajat bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan dari Allah SWT, daripa diadakan upacara Tepung Tawar dan sebagainya.
Sebenarnya masih banyak lagi tinggalan budaya dari zaman Hindu-Buddha yang diamalkan atas nama kebudayaan Melayu. Pihak berkuasa agama harus bertindak dengan bijaksana memberi nasihat kepada pemerintah mengenai perkara ini.
No comments:
Post a Comment