Dalam beberapa perkara dasar terakhir ini pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri Datuk Sri Mohd.Najib Tun Razak telah beberapa kali membuat kenyataan bahawa "kerajaan belum membuat keputusan muktamad" mengenainya. Apakah ini satu trade mark baru beliau bagi menjawab soalan sukar atau soalan "mengena" para wartawan.
Dalam perkara berkenaan Dasar Baru Ekonomi, apabila pertubuhan NGO PERKASA telah membantah keras peminggiran agenda Melayu, Najib menjawab bahawa dasar itu belum lagi muktamad. Begitu juga dalam soal kelulusan Judi bolasepak Piala Dunia juga belum muktamad dan kerajaan masih lagi mengkaji, walaupun ada sumber menyatakan ianya telah diluluskan. Manakah satu yang benar!
Kalau kerap sangat perkara "belum muktamad ini", sampai bila ianya akan menjadi muktamad. Satu persoalan yang perlu pada jawabannya. Isu subsidi juga belum lagi muktamad walaupun kerajaan berhasrat membatalkannya atau sekurang-kurangnya mengurangkan subsidi kerajaan sebanyak RM 74 billion setahun itu. Cadangan mengenakan cukai GST juga masih difikirkan dan belum lagi muktamad apabila rakyat terbanyak menentangnya.
Diharapkan Najib jangan terlalu kerap sangat menggunakan perkataan "belum muktamad" ini, dibimbangi nanti terlekat badinya. Kalau zaman Tun Abdullah dahulu, perkataan "masih dalam kajian, atau belum dapat laporan" banyak diungkapkan dan menjadi sindirin pihak pembangkang. Dalam masa agenda 1Malaysia yang seakan kendur sedikit pada masa ini, janganlah Najib memberikan ruang atau peluang pihak musuh politiknya sama ada diluar atau di dalam menmdapat "bola tanggung" bagi smash balik pada beliau. Dan antaranya ialah perkara "belum muktamad" ini, sehingga ada yang kaitkan perlantikan Datuk Syed Hamid Albar menjadi Pengerusi Lembaga Tabung Haji antara bukti "belum muktamad itu" kerana apabila ada campurtangan orang kedua dalam keluarga, perlantikan itu "terbatal" dan digantikan dengan Sed Hamid dilantik menjadi pengerusi Suruhanjaya lain pula.
Sebagai peneraju kerajaan, beliau perlu membuat keputusan yang tegas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak dan sebarang keputusan hendaklah menyebelahi rakyat terbanyak bukannya para cukong ekonomi atau pengampu politik yang sentiasa mencari peluang memperkayakan diri dan kroni.
Untuk itu agenda pembangunan dirintis Allahyarham Tun Razak bapanya adalah antara model terbaik untuk beliau ikuti bukannya model yang dibisikkan oleh sesetengah para penasihat atau orang disekelilingnya. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment