Saturday, October 30, 2010

Juara Piala Malaysia: Tahniah pasukan The Red warriors


Perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia baru saja selesai dan pasukan Kelantan- The Red warriors telah berjaya muncul Juara baru dengan menewaskan pasukan negeri Sembilan 2-1 di Stadium Nasional, Bukit jalil malam ini. Kemenangan bergaya Kelantan ini dapat mengubat duka tahun lalu yang tewas 1-3 kepada lawan yang sama.

Maka episod kali ini seumpama episod balas dendam dan Kelantan berjaya "membalasnya" bagi kekalahan tahun lalu itu. Kejayaan ini merupakan pertama kali dalam sejarah bola sepak Kelantan. Sebelum ini Kelantan hanya muncul Juara banyak kali tetapi pada Piala Emas Raja-Raja sahaja.

Pasukan kendalian Jurulatih B.Sathianathan ini sememangnya sedari awal diyakini memenangi perlawanan ini. Sepanjang musim ini pasukan Kelantan yang mempunyai pengurusan yang baik dibawah pimpinan Presiden KAFA, Tan Sri Anuar Musa telah berjaya menunjukkan permainan yang baik dan bermutu.

Dari segi corak permainan Kelantan jaub telah maju dan baik dan telah lama meninggalkan corak "robust" suatu masa dahulu. Cuma kelakuan penonton sahaja yang sedikit dirisaukan, tetapi ternyata pada malam ini penonton Kelantan telah menunjukkan disiplin yang baik tanpa insiden yang tidak diingini. Setakat pembakaran mercun itu perkara biasa sahaja.

Mungkin juga pada kelmarin MB Tok Guru sendiri ada berpesan supaya pasukan kelantan bermain dengan baik dan penyokong pula Tok Guru meminta berkelakuan baik serta berdisiplin. Semangat kesukanan yang tinggi perlu ditunjukkan dan Tok Guru berharap Kelantan Insya Allah memenangi perlawanan malam ini. Dan ternyata Kelantan telah menang pada malam ini dan bakal menerima insentif kewangan seperti yang dijanjikan oleh Tok Guru Menteri Besar Kelantan.

Pada malam ini juga Dato' Ahmad yaakob,Timbalan MB Kelantan yang mewakili Tok Guru di stadium Bukit Jalil telah mengumumkan Kelantan cuti pada 31 Oktober iaitu esok hari. TMB menyatakan perkara ini MB telah bermurah hati memberikan "cuti peristiwa" di atas kejayaan Kelantan dan memudahkan urusan balik para penyokong ke Kelantan.

Apapun Tahniah kelantan! Gomo Kelate Gomo!

Friday, October 29, 2010

Bila Tok Guru bercakap pasal bola dan janji kerajaan Kelantan pada Red Warriors


Dalam masa demam bola sepak menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan pada malam ini, ramai orang memperkatakannya. Dan antaranya termasuklah Tok Guru Nik Aziz , Menteri Besar Kelantan. Sebagai Ketua Kerajaan Negeri, beliau telah memberikan semangat pada pasukan Kelantan dan katanya insya Allah Kelantan akan menang dan muncul Juara.

Lebih penting lagi nasihat beliau pada para penyokong pasukan kelantan supaya menjaga kelakuan dan tatatertib dengan tidak menimbulkan sebarang kekecohan seperti masa lalu.

"Dalam pada itu, Nik Aziz turut mengingatkan penyokong Kelantan yang akan hadir ke stadium agar menjaga adab dan tatasusila dan tidak menimbulkan kekecohan.

"Saya nak tengok penyokong jaga tatsusila, jangan ada keganasan, semangat kesukanan kena jaga molek.

"Kita rakyat dan kerajaan negeri Kelantan duduk dalam keadaan tenang, berakhlak dan beradab," katanya penuh harapan.

Beliau bagaimanapun optimis Kelantan mampu membawa pulang Piala Malaysia ke negeri itu pada pertemuan Sabtu ini.

"Saya sebagai rakyat Kelantan berdoa agar kita berjaya..InsyaAllah kita harap kita berjaya," tambahnya.


Pesanan Tok Guru itu penting dan wajar sekali diikuti oleh para penyokong pasukan Kelantan yang bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam ini. Semangat kesukanan yang tinggi perlulah ditonjolkan baik semasa permainan dan juga selepas perlawanan. hendaknya jangan ada peristiwa membakar kerusi atau menimbulkan kekecohan dan sebagainya.

Sementara itu Tok Guru juga ada menjanjikan imbuhan berbentuk kewangan pada Pasukan kelantan nanti. Kalau pada tahun lepas Kerajaan Kelantan membawa para pemain ke Tanah Suci Mekah mengerjakan umrah, tetapi kali ini ganjaran wang tunai dijanjikan. Ini kerana menurut Tok Guru ganjaran wang tunai ini akan turut dinikmati dan dikongsi isteri dan anak-anak pemain juga.

Selamat berjuang untuk pasukan Kelantan dan semoga berjaya.

Kelantan janji wang tunai buat The Red Warriors
Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 29 Okt: Tidak seperti musim lalu, kerajaan negeri Kelantan akan memberi imbuhan berupa wang tunai kepada pemain pasukan bola sepak The Red Warriors Kelantan yang berjaya ke final Piala Malaysia musim ini.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pemberian wang tunai tersebut ekoran kerajaan negeri merasakan ianya lebih sesuai berbanding imbuhan menunaikan umrah yang diberikan musim lalu.

"Imbuhan ada, tahun lepas kita bawa ke tanah suci, tapi dapat dirasai oleh suami sahaja, isteri tak dapat rasa apa-apa.

"Jadi tahun ini kita ubah teknik sikit, kita bagi wang tunai supaya suami sebagai pemain dapat rasa, isteri sebagai penonton dapat rasa, anak-anak pun seronok," katanya kepada stesen radio HotFM semalam.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu berapa jumlah yang akan diberikan kepada setiap keluarga pemain tersebut.

Sabtu, 30 Oktober ini, Kelantan akan berdepan pasukan Negeri Sembilan, pada Piala Malaysia edisi ke-84 di Stadium Bukit Jalil.

Pertemuan ini adalah kali kedua berturut-turut selepas bertemu pada peringkat akhir musim lalu dengan kemenangan milik Negeri Sembilan 3-1.

Dalam pada itu, Nik Aziz turut mengingatkan penyokong Kelantan yang akan hadir ke stadium agar menjaga adab dan tatasusila dan tidak menimbulkan kekecohan.

"Saya nak tengok penyokong jaga tatsusila, jangan ada keganasan, semangat kesukanan kena jaga molek.

"Kita rakyat dan kerajaan negeri Kelantan duduk dalam keadaan tenang, berakhlak dan beradab," katanya penuh harapan.

Beliau bagaimanapun optimis Kelantan mampu membawa pulang Piala Malaysia ke negeri itu pada pertemuan Sabtu ini.

"Saya sebagai rakyat Kelantan berdoa agar kita berjaya..InsyaAllah kita harap kita berjaya," tambahnya.

Ditanya pengalamannya bermain bolasepak, beliau memberitahu meminati sukan itu sejak kecil.

Malah katanya lagi, bahagian lututnya kini masih terdapat kesan kececederaan akibat bermain bolasepak sebelum perang Jepun lagi.

"Saya muda dulu main bola sebelum perang Jepun, ketika itu saya duduk pondok.

"Lepas Asar main bola, kawan saya sepak, kena lutut kanan saya smpai hari ni cedera. Orang tak tahu tu.

Beliau turut memberitahu, selain bermain bola sepak, beliau juga aktif dalam sukan berkuda.

"Ayah saya ada empat ekor kuda, kami empat beradik berlumba kuda.

"Bila saya menang, saya lepas tangan atas kuda tu, tiba-tiba biawak melintas, kuda terkejut dan berhenti mengejut, jatuh la saya.

"Lutut saya rosak sebab bola, belakang saya rosak sebab kuda, jangan main-main," ceritanya.

dari Harakahdaily)

Demam bolasepak dalam Kempen PRK Galas


Dalam suasana PRK di Galas, Gua Musang perlawanan bola sepak final Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan turut mencuri tumpuan. Baik dari pihak PAS dan jjuga UMNO masing-masing memberikan "hadiah" seperti menyediakan bas dan tikiet percuma untuk petugas masing-masing ke Stadium Bukit Jalil. Mungkin ini adalah antara insentif pada petugas masing-masing.

Pihak BN telah memberikan "tiket percuma sebanyak 700 tiket" kepada para petugasnya di samnping menyewa berbelas bas bagi tujuan itu. Begitu juga dengan PAS yang turut menyediakan 5 buah bas dan tiket bagi para petugas parti itu.

Nampaknya baik UMNO ataupun PAS masing-masing memberikan insentif kepada para petugasnya untum turut memberikan sokongan pada pasukan Kelantan. Amalan ini amatlah baik dan terpuji kerana walaupun masing-masing "berlawan" dalam politik tetapi dalam memberi sokongan pada pasukan Kelantan "mereka bersatu" menyokong Red Warriors.

Yang tinggal menjaga pos-pos mungkin para petugas yang berusia, kerana anak-anak muda yang sebelum ini menjadi petugas kemungkinan besar datang ke stadium menyaksikan bola sepak. Bagaimana pun itu hanya sementara waktu sahaja.

"Penasihat jentera pilihan raya kecil PAS di Galas, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, pihaknya hanya berihat seketika untuk turut sama memberi sokongan kepada pasukan Kelantan.

"Kita fokus pada 'bola' dulu, lepas menang, kita balik pada pilihan raya," kata beliau yang juga ahli parlimen Kota Baru.
Bercakap dalam satu sidang akhbar harian di markas PAS di Galas, beliau berkata, parti itu akan juga menyediakan lima buah bas untuk membawa penyokong Kelantan ke Bukit Jalil untuk menonton perlawanan akhir itu. "


Selain itu di bilik Gerakan masing-masing sama ada PAS atau UMNO-BN, skrin besar disediakan bagi menyaksikan perlawanan bola sepak itu. Mungkin malam ini tiada Ceramah atau gerak kerja lain. Semua tertumpu pada bola sepak.

"Sementara itu, suasana itu sudah mula dirasakan di pihak BN apabila Umno Gua Musang mengedarkan tiket percuma perlawanan akhir Piala Malaysia, kepada rakyat Galas.

Pengarah pilihan raya kecil BN bagi Galas, Razaleigh Hamzah mengedarkan tiket percuma itu - dipercayai berjumlah 700 - sewaktu satu pertandingan futsal di Sungai Terah pagi ini."


Ternyata demam bola sepak telah "menggerhanakan" seketika kerancakan kempen PRK Galas dan mungkin esok keadaan akan kembali seperti biasa sehinggalah menjelang hari pembuangan undi pada 4 November nanti.

Thursday, October 28, 2010

Piala Malaysia: Kelantan Vs Negeri Sembilan


Pertama sekali tahniah pada kedua-dua pasukan bola sepak Kelantan dan Negeri Sembilan yang berjaya memasuki Pertandingan akhir yang akan berlangsung esok(sabtu) di Stadium Bukit Jalil. Kejayaan kedua-dua pasukan itu bertemu pada peringkat akhir seolah ulangan pada sesi lalu yang mana tahun 2009 Kelantan juga bertemu Negeri Sembilan tetapi tewas dan Negeri Sembilan muncul Juara.

Saya tidaklah begitu minat sangat bola sepak, tetapi menonton juga di TV. Kalau di stadium tu, amatlah jarang saya pergi kerana berasa tidak selesa apa lagi kalau berlaku sesuatu insiden yang tidak baik. Bagaimanapun sebagai anak Kelantan saya menyokong pasukan Kelantan untuk permainan malam ini dan akan menonton di TV pada malam esok.

Cuma satu perkara sahaja hendak diingatkan pada para penyokong kedua-dua pasukan terutama sekali penonton Kelantan supaya berdisiplin dan tidak menimbulkan sebarang masalah. Pasukan Kelantan juga membawa tema "Permainan tercantik" pada kali ini menjanjikan satu perlawanan yang menarik.

Sukan bola sepak merentasi sempadan kepartian dan walaupun di Gua Musang sekarang ini sedang hebat kempen PRK, dan ada pihak BN menaja 1000 tiket percuma bagi anak-anak Gua Musang menonton di stadium Bukit Jalil; tetapi ambillah peluang itu. Cuma tidak usahlah menampakkan suasana "perlawanan politik" di stadium, dalam ertikata lain "bendera parti-parti politik" baik BN atau PAS tak usahlah di bawa masuk stadium dan dikibarkan.

Biarlah sukan adalah sukan yang mempunyai peminat yang pelbagai dan merentasi kepartian. Selamat berjuang untuk pasukan Red Worriors dan semoga berjaya muncul Juara pada tahun ini.

ETP;Malaysia akan jadi Hub Hiburan Malam Terkemuka!Apakah jadahnya?


Perdana Menteri dilaporkan mahu menjadikan Malaysia sebagai Hub Hiburan Malam Terkemuka bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang sering diwar-warkannya. Ianya akan dilaksanakan dengan penubuhan bebnerapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama,melonggarkan garis panduan penghibur antarabangsa dan "mempakejkan" semula acara antarabangsa seperti MotoGp dan Formula1.

"Menurut perancangan ETP yang dikeluarkan semalam, ia adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan (EPP) yang bertujuan memperkasakan sektor pelancongan agar ketibaan pelancong dapat dipertingkatkan.

Langkah itu dijangka mendapat bantahan golongan konservatif agama yang sebelum ini telah berulang-kali berdemonstrasi membantah kehadiran penghibur antarabangsa. Sasaran terbaru mereka adalah bintang sensasi Amerika - Adam Lambert yang seorang 'gay'.

Satu daripada 12 EPP itu adalah melonggarkan syarat ketat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, yang sekarang ini dikatakan banyak menghindarkan penghibur antarabnagsa ke negara ini.

Mulai suku terakhir 2010, acara antarabangsa yang menampilkan penghibur antarabangsa yang memenuhi tiga kriteria minimum dikecualikan daripada tertakluk kepada syarat-syarat ketat Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal)."

Lantas saya teringat pada komen seorang kawan yang membandingkan hiburan malam yang sedia ada sekarang telahpun "banyak" dan mengikut kawan itu "Malaysia takkan terlawan dengan Thailand". Kalau nak menarik pelancong pun tak usahlah dengan cara itu, lagi pun pelancong asing tak kisah sangat kelab malam, di negara mereka bersepah.

Kalau tak silap saya beberapa tahun dahulu, satu kajian diadakan dan menurut kajian itu faktor utama menarik minat pelancong adalah tempat bersejarah dan juga alam semula jadi.Nah, perbaiki 2 tempat tumpuan pelancong ini, bukannya hiburan malam!

Saya sekali lagi tersengih bila kawan itu menyatakan, " tengok tarian penari Thailand cukup lembut, penari Malaysia juga boleh ikut dan tak kurang hebatnya...tapi bila penari di Thailand buka pakaian...ini yang penari di Malaysia tak boleh lawan." Dalam bab tu kita kalah dengan Thailand katanya".

Untuk itu saya katakan, kita perkuatkan perkara lain yang lebih afdal dan lebih bersih seperti menyediakan tempat lawatan bersejarah yang menarik dan kemudahan alam semula jadi. INi kita boleh lawan dan baik dengan Thailand dan negara mana sekalipun.Apa kejadahnya kita suburkan negara dengan hub hiburan malam yang akan melalaikan rakyat terbanyak.

Walaupun pengwujudan hub hiburan malam terkemuka ini dikatakan akan menjana kewangan dan peluang kerja, tetapi apalah sangat dengan peluang itu jika dibanding dengan "kerosakan" yang diundang nanti.

"Jumlah pelaburan yang diperlukan adalah RM467 juta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan

Lebih mengejutkan lagi EPP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020."

Kalaupun ia mendatangkan pulangan kewangan pada negara dan peluang pekerjaan, tetapi ingatlah kerajaan juga akan menanggung kosnya nanti bagi "menguruskan" segala kerosakan akibat hiburan malam. Mungkin Pusat Serenti akan semakin banyak didirikan, Sekolah perempuan hamil(seperti di Melaka) akan banyak didirikan dan penjara akan diperbanyakkan lagi. Ini semua diperlukan bagi "menampung kerosakan" akibat wujudnya hub hiburan malam itu.

Apalah malangnya terlalu banyak Hub di negara ini. Ada Hub Makanan Halal, Hub Kewangan Islam yang disambut baik masyarakat ; tetapi Hub Hiburan ini rata-rata ditentang banyak pihak termasuk NGO dan pelbagai pihak.

Dan yang terpenting sekali janganlah semata-mata kerana kepetingan ekonomi, kita mengundang kemurkaan Allah, Tuhan seru sekalian alam. Ingatlah di negara jiran Allah menimpakan gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi; apakah Malaysia juga akan menerima bala' yang serupa suatu hari nanti jika kita(tangan-tangan manusia) melakukan pelbagai kerosakan di muka bumi ini. Wallhu a'lam.

Al Fatihah...perginya seorang profesor sejarah, Prof . Dato' Dr. Nik Annuar Nik Mahmud


Pada petang tadi setibanya di rumah kira-kira jam 7.00 mlm dari Kota Bharu, saya menerima sms dari seorang sahabat bahawa Prof Dato' Dr Nik Annuar telah meninggal dunia pada jam 6.50 petang tadi. Saya segera membalas sms tersebut dan meminta sama-sama membaca Al Fatihah untuk arwah.

Dan pada malam ini juga saya ada menerima banyak lagi sms dari kawan dan kenalan yang rapat dengan profesor sejarah UKM tersebut. Pemergian beliau sesungguhnya merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja buat UKM tetapi juga negara khususnya dalam arena sejarah negara. Allahyarham seorang cendekiawan yang begitu rajin membuat penyelidikan dan menghasilkan banyak penulisan. Dan bidang yang paling beliau minati adalah aspek sejarah kebangkitan Tok Janggut di Kelantan 1915 dan juga sejarah Patani.

Dua bidang di atas amat beliau minati dan telah banyak menghasilkan penulisan mengenainya. Malah beliau pernah dihalang memasuki Thailand gara-gara kajiannya mengenai sejarah Perjuangan Melayu Patani yang kurang disenangi pihak berkuasa Thailand. Allayarham juga adalah mempunyai pertalian darah dengan keturunan Melayu Patani dan juga cucu-cicit juga pada pemimpin Melayu Pasir Puteh yang berjuang bersama Tok Janggut menentang Inggeris.

Allahyarham pada bulan lepas membuat pembedahan sakit barah usus di HUKM dan ekoran dari itu berlaku komplikasi lain yang menyebabkan Allahyarham diserang stroke.

Sebagai beklas anak muridnya , saya mendoakan Semoga Allah mencucuri Raahmat ke atas ruh Allahyarham dan menempatkannya di sisi Orang-Orang Soleh. Amin.

Thursday, October 21, 2010

PRK Batu Sapi: Rundingan PKR-SAPP gagal


PRK Batu Sapi di Sabah yang diadakan serentak dengan PRK N.45 Galas, Gua Musang nampaknya akan menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya 3 penjuru antara BN(yang akan diwakili PBS), PKR dan SAPP. Rundingan SAPP dan PKR dikatakan gagal mencapai kata sepakat bagi mengemukakan satu lawan satu dengan BN.

Walau bagaimanapun kemungkinan ia akan banyak penjuru jika pihak Bebas juga akan masuk bertanding dalam PRK itu bagi menguji pengaruh menjelang PRU akan datang. Kedua-dua pihak SAPP dan PKR bagaimanapun diberitakan tidak akan menyernag antara satu sama lain dalam PRK ini dan akan menjadikan medan PRK ini sebagai benchmark bagi tawar-menawar atau "rujukan" dalam pembahagian kerusi yang akan ditandingi apabila berlaku PRU13 nanti.

Walaupun gagal dalam perundingan awal ini, masa masih ada sehingga 26 Oktober ini iaitu hari penamaan calon jika berhajat juga untuk mengemukakan pertandingan satu lawan satu sama ada BN-PKR atau BN-SAPP. Kalau berlaku pertandingan 3 penjuru akan memberi kelebihan pada BN pada kali ini. Ia juga bakal menyaksikan pola pengundian masyarakat Cina di Sabah dalam PRU nanti. Iniu kerana masyarakat Cina di Sarawak telah menunjukkannya dalam PRK Sibu dahulu yang mana BN telah tumbang pada calon DAP

Nampaknya SAPP begitu beria benar untuk meletakkan presidennya Datuk Yong Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri Sabah di era penggiliran Ketua Menteri dahulu dfan masa itu SAPP adalah kerabat BN. Kini sapp telah keluar BN tetapi belum rasmi menganggotai Pakatan Rakyat.

(petikan Malaysiakini di bawah)
Rundingan PKR-SAPP gagal, pertandingan 3 penjuru?
Pilihan raya kecil Batu Sapi dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PKR dan SAPP apabila usaha mencari jalan penyelesaian antara kedua-dua parti pembangkang itu menemui jalan buntu.

Di sebalik usaha supaya kerusi Batu Sapi ditandingi satu lawan satu, kedua-dua PKR dan SAPP berdegil mahukan calon masing-masing diketengahkan.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak berkempen menentang satu sama lain dan menjadikan BN sebagai sasaran bersama dengan harapan pilihan raya kecil itu boleh dijadikan "sumber rujukan" oleh mereka apabila mengadakan rundingan pada masa akan datang.

SAPP akan mengumumkan calonnya Sabtu ini, manakala Leong sekadar berkata PKR akan mengumumkan calonnya "sedikit masa lagi".

BN akan mengumumkan calonnya daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) Ahad ini.

Mesyuarat peringkat tertinggi lebih sejam hari ini diadakan oleh kedua-dua parti itu dengan bendahari PKR mewakili Pakatan Rakyat manakala SAPP pula diketuai oleh presidennya, Datuk Yong Teck Lee.

Bercakap kepada wartawan pada sidang media selepas mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin berkenaan mengakui tiada kata sepakat yang dicapai mengenai Batu Sapi.

Namun, mereka tidak menolak kemungkinan kerjasama pada pilihan raya umum akan datang.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan penamaan calon pada Selasa ini manakala pengundian adalah pada 4 November ini.

Kerusi Batu Sapi kosong, berikutan kematian ahli parlimennya, Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, minggu lalu.

Mendiang menduduki kerusi berkenaan sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenanginya tanpa sebarang saingan.

Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, beliau dicabar oleh calon Bebas, Chung Kwong Wing tetapi berjaya mengekalkan kerusinya dengan mudah dengan majoriti 3,708 undi.

Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.