Thursday, October 28, 2010

ETP;Malaysia akan jadi Hub Hiburan Malam Terkemuka!Apakah jadahnya?


Perdana Menteri dilaporkan mahu menjadikan Malaysia sebagai Hub Hiburan Malam Terkemuka bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang sering diwar-warkannya. Ianya akan dilaksanakan dengan penubuhan bebnerapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama,melonggarkan garis panduan penghibur antarabangsa dan "mempakejkan" semula acara antarabangsa seperti MotoGp dan Formula1.

"Menurut perancangan ETP yang dikeluarkan semalam, ia adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan (EPP) yang bertujuan memperkasakan sektor pelancongan agar ketibaan pelancong dapat dipertingkatkan.

Langkah itu dijangka mendapat bantahan golongan konservatif agama yang sebelum ini telah berulang-kali berdemonstrasi membantah kehadiran penghibur antarabangsa. Sasaran terbaru mereka adalah bintang sensasi Amerika - Adam Lambert yang seorang 'gay'.

Satu daripada 12 EPP itu adalah melonggarkan syarat ketat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, yang sekarang ini dikatakan banyak menghindarkan penghibur antarabnagsa ke negara ini.

Mulai suku terakhir 2010, acara antarabangsa yang menampilkan penghibur antarabangsa yang memenuhi tiga kriteria minimum dikecualikan daripada tertakluk kepada syarat-syarat ketat Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal)."

Lantas saya teringat pada komen seorang kawan yang membandingkan hiburan malam yang sedia ada sekarang telahpun "banyak" dan mengikut kawan itu "Malaysia takkan terlawan dengan Thailand". Kalau nak menarik pelancong pun tak usahlah dengan cara itu, lagi pun pelancong asing tak kisah sangat kelab malam, di negara mereka bersepah.

Kalau tak silap saya beberapa tahun dahulu, satu kajian diadakan dan menurut kajian itu faktor utama menarik minat pelancong adalah tempat bersejarah dan juga alam semula jadi.Nah, perbaiki 2 tempat tumpuan pelancong ini, bukannya hiburan malam!

Saya sekali lagi tersengih bila kawan itu menyatakan, " tengok tarian penari Thailand cukup lembut, penari Malaysia juga boleh ikut dan tak kurang hebatnya...tapi bila penari di Thailand buka pakaian...ini yang penari di Malaysia tak boleh lawan." Dalam bab tu kita kalah dengan Thailand katanya".

Untuk itu saya katakan, kita perkuatkan perkara lain yang lebih afdal dan lebih bersih seperti menyediakan tempat lawatan bersejarah yang menarik dan kemudahan alam semula jadi. INi kita boleh lawan dan baik dengan Thailand dan negara mana sekalipun.Apa kejadahnya kita suburkan negara dengan hub hiburan malam yang akan melalaikan rakyat terbanyak.

Walaupun pengwujudan hub hiburan malam terkemuka ini dikatakan akan menjana kewangan dan peluang kerja, tetapi apalah sangat dengan peluang itu jika dibanding dengan "kerosakan" yang diundang nanti.

"Jumlah pelaburan yang diperlukan adalah RM467 juta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan

Lebih mengejutkan lagi EPP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020."

Kalaupun ia mendatangkan pulangan kewangan pada negara dan peluang pekerjaan, tetapi ingatlah kerajaan juga akan menanggung kosnya nanti bagi "menguruskan" segala kerosakan akibat hiburan malam. Mungkin Pusat Serenti akan semakin banyak didirikan, Sekolah perempuan hamil(seperti di Melaka) akan banyak didirikan dan penjara akan diperbanyakkan lagi. Ini semua diperlukan bagi "menampung kerosakan" akibat wujudnya hub hiburan malam itu.

Apalah malangnya terlalu banyak Hub di negara ini. Ada Hub Makanan Halal, Hub Kewangan Islam yang disambut baik masyarakat ; tetapi Hub Hiburan ini rata-rata ditentang banyak pihak termasuk NGO dan pelbagai pihak.

Dan yang terpenting sekali janganlah semata-mata kerana kepetingan ekonomi, kita mengundang kemurkaan Allah, Tuhan seru sekalian alam. Ingatlah di negara jiran Allah menimpakan gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi; apakah Malaysia juga akan menerima bala' yang serupa suatu hari nanti jika kita(tangan-tangan manusia) melakukan pelbagai kerosakan di muka bumi ini. Wallhu a'lam.

No comments:

Post a Comment