Teka teki sebelum ini sudah terjawab hari ini bila Ku Li yang pulang ke tanah air telah memberikan kenyataan bahawa beliau menerima lantikan sebagai Pengarah PRK Galas. Dan sememangnya ramai pemerhati yakin beliau tidak ada pilihan selain dari menerimanya. Tidak manis beliau menolak, tetapi bagi menjadi calon beliau berhak untuk menolak.
Oleh sebab itu beliau akan bincangkan dengan PM pada isnin 11 Oktober ini bagi membincangkannya. Mungkin dalam pertemuan tersebut ada "tarik tali" atau "give and take" . Sama-sama kita tunggu berita seterusnya. Untuk itu soal menjadi Pengarah PRK sudah selesai dan UMNO tidak boleh menganggap itu telah dapat menjadi modal besar walaupun lihatlah esok akhbar UMNO akan menyiarkan secara besaran persetujuan Ku Li menjadi pengarah PRK.
Bagi saya , hati kecil saya masih lagi berat untuk mengatakan KU LI akan terima untuk jadi calon. Pertamanya seperti katanya dia pun dah jadi calon peringkat DUN pada masa lalu. Ramai pemerhati juga percaya dia yang sudah menjadi Menteri tidak sesuai untuk turun bertanding DUN. Dan kalau pun janji untuk melantik beliau sebagai MB Kelantan jika menang PRU13 nanti, soal nya apakah UMNO yakin menang dalam PRU13 nanti. Jangankan Kelantan, peringkat kerajaan pusat pun masih belum tentu UMNO-BN akan menang selesa.
Pada zaman Dr Mahathir jadi PM, Ku Li pernah jadi Pengerusi Perhubungan UMNO setelah beliau bubarkan Parti Semangat 46 memasuki semula UMNO. Gabungan Semangat 46 yang dibubar dan UMNO juga masih gagal tumbangkan PAS, masakah pada masa ini dapat tewaskan PAS yang dalam keadaan kuat.
Dalam PRU12 2008 baru-baru ini pun undi Ku Li bagi peti undi DUN Galas, Ku Li tewas kira-kira 300 undi pada calon PAS Zulkifli Muhamad bagi parlimen Gua Musang. Hanya undi dari DUN Paloh dan Nenggiri yang kedua-dua DUN dimenangi UMNO yang telah menyelamatkan kerusi Parlimen Gua Musang Ku Li. Jadi kalau pada PRK kali ini KU Li jadi calon pun, bukannya pasti sangat boleh menang!
Untuk itu Ku Li sepatutnya memikirkan semasaknya dan fikirkanlah apa yang UMNO buat dan pinggirkannya selama ini.Pertemuannya dengan PM pada isnin ini tentunya menjadi tumpuan. Ada kawan bloger yang katakan, apa jadi kalau Ku Li berjaya minta PM umumkan nak beri royalti minyak pada Kelantan. Saya katakan jika benar perkara ini terjadi PAS patut beri kemenangan percuma pada UMNO di Galas. Kerajaan PAS Kelantan tetap teguh dengan majoriti selesa kalau pun beri kemenangan percuma itu.
wallahu a'lam.
(petikan Malaysiakini)
Ku Li setuju jadi pengarah pilihan raya BN di Galas
Ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengesahkan menerima pelantikan sebagai pengarah pilihan raya BN bagi dewan undangan negeri Galas.
Beliau berkata demikian setibanya daripada bercuti di luar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pagi ini.
Menurut Razaleigh beliau menerima tanggungjawab itu sebagai anggota Umno dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang selama hampir 50 tahun, selain anggota Parlimen kawasan berkenaan.
Bagaimanapun pemimpin veteran Umno itu berkata, keputusan sama ada menerima tawaran sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu hanya akan diputuskan Isnin ini apabila mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Kita belum mengadakan mesyuaratpun. Kita bincang tadi, mungkin saya akan jumpa Perdana Menteri pada hari Isnin depan.
"Selepas itu, kita akan mengadakan mesyuarat, dan selepas mesyuarat, kita akan mengadakan sidang media, memaklumkan apa yang kita bincangkan dalam mesyuarat itu," katanya.
Pelantikan Razaleigh sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi menghadapi pilihan raya kecil DUN Galas itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akhir bulan lepas, kerana yakin dengan kepimpinan beliau yang amat berpengalaman, berpengaruh serta dihormati pengundi di kawasan itu.
Semalam, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata Ku Li merupakan calon paling layak bertanding di DUN Galas berdasarkan kewibawaan beliau, khususnya di Gua Musang, selain dalam arena politik di peringkat nasional.
Mengenai dakwaan Pas bahawa cadangan menamakan beliau sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu adalah tidak wajar selain merendahkan darjatnya, Ku Li berkata beliau menghormati pandangan parti pembangkang itu.
Tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, ditetapkan pada 4 November ini, manakala tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 26 Oktober ini.
Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 48, dari PAS akibat barah usus pada 27 September lalu.
Pada pilihan raya umum 2008, Chek Hashim mendapat 4,399 undi, menewaskan penyandang dari BN, Mohd Saufi Deraman (3,753 undi) dengan majoriti 646 undi.
Galas terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang yang dimenangi oleh Razaleigh. Selain Galas, DUN Nenggiri dan Paloh juga terletak di bawah parlimen Gua Musang.
No comments:
Post a Comment