Tuesday, March 30, 2010

Dua penghormatan buat Tok Guru MB Kelantan



Pada saat-saat Tok Guru diasak hebat oleh musuh-musuh politiknya baik dari kalangan parti lawan dan juga dari dalam, ternyata tidak sedikitpun menjejaskan penghormatan masyarakat dan juga kepimpinan PAS malah pihak Istana sendiri. Penghormatan yang diterima Tok Guru pada 29 Mac berupa dilantik semula sebagai Mursyidul Am PAS bagi tahun 2010 -2015 dan juga anugerah Darjah Kebesaran oleh YMM Pemangku Raja Kelantan pada 30 Mac 2010.

Saya kira dua penghormatan berturut-turut itu akan menceriakan Tok Guru setelah melalui detik kesedihan diasak dengan pelbagai isu terutama dalam pentadbiran Negeri Kelantan, dan yang terus-terusan mengasaknya para blogger yang pernah disifatkan oleh Tok Guru sebagai "blog celaka".

Dalam hal perlantikan Mursyidul Am PAS, ada penulis yang membuat provokasi awal menyatakan Tok Guru tidak dilantik lagi sebagai Mursyidul Am dan akan digantikan dengan muka lain. Dalam hal ini Tok Guru memperlihatkan sifat tawaduknya dengan menyatakan "kegembiraannya jika tidak lagi dilantik kerana beliau uzur dan sukar untuk menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur".

Bagaimanapun Mesyuarat Majlis Syura yang dipengerusikan Presiden PAS, Tok Guru Abdul Hadi Awang tetap memilih Tok Guru Nik Aziz sebagai Mursyidul Am dan Datok Dr. Haron Din sebagai Timbalan.

"Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat kedua Majlis Syura untuk sesi ini yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut pagi ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata, pemilihan semula Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana kelayakannya dan tidak mahu Mursyidul Am PAS itu bersara dari perjuangan.

“Ramai yang layak, tetapi kita anggap beliau yang lebih layak dari orang lain kerana dalam budaya perjuangan Islam tiada persaraan dalam perjuangan.

“Kita tidak mahu tok guru kita bersara dari perjuangan,” katanya pada sidang media memaklumkan keputusan tersebut di parlimen hari ini.
Turut serta pada sidang media tersebut, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa."


Penghormatan kedua buat Tok Guru pada hari ini 30 Mac 2010, bilamana beliau telah dianugerahkan Darjah Kebesaran bergelar Datuk Bentara Setia oleh YMM Pemangku Raja Kelantan. Beliau menyatakan tidak menyangka pihak Istana menganugerahkan Darjah Kebesaran tersebut yang juga satu penghormatan dari pihak Istana.

KOTA BHARU, 30 Mac: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dengan berlangsungnya istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri 2010 bererti pentadbiran negeri tidak bermasalah dengan istana.

“Ini jelas apabila dilihat kejayaan istiadat pengurniaan kehormatan kebesaran negeri tahun 2010 yang baru sahaja berlangsung dengan sempurna.

“Pengurniaan istana itu merupakan ‘husnu zan’ (sangka baik) terhadap saya dan kawan-kawan, dan saya mendoakan mudah-mudahan ia berpanjangan sampai ke akhirat.

“Insya Allah malaikat bersaksi bahawa di dunia saya diberi oleh istana sangka baik (anugerah) dan mudah-mudahan Allah SWT meminta malaikat-Nya juga agar menolong saya dan kawan-kawan, insya Allah,” ujarnya yang juga Mursyidul Am PAS.

Beliau juga tidak terfikir pihak istana berpandangan baik terhadapnya begitu sekali.

Tuan Guru melahirkan rasa syukur kerana istiadat yang disempurnakan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra itu berjalan lancar.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakyat di negeri ini kerana tidak menimbulkan masalah sehingga hubungan kerajaan negeri dengan istana berlangsung dengan baik.

“Hubungan baik dengan Istana Negeri, di samping rakyat menjunjung taat setianya yang tidak berbelah bagi,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis berkenaan di Istana Balai Besar hari ini.

Pada istiadat itu, Menteri Besar dianugerah gelaran Datuk Bentara Setia dengan mendahului senarai penerima pengurniaan kehormatan negeri 2010.


Kalau dalam bulan-bulan yang lalu merupakan "bulan dukacita" bagi Tok Guru, adalah diharapkan dalam bulan ini merupakan "bulan sukacita" bagi beliau dan Insya Allah boleh menjadi penawar buat Tok Guru memimpin Kelantan menjadi lebih gemilang dan memandu ummmah Malaysia ke arah lebih maju dan diredhai Allah.Wallahu a'lam

Monday, March 29, 2010

Kemelut Istana Kelantan semakin reda dan menuju penghujungnya


Ribut seketika dalam persoalan Istana Kelantan nampaknya semakin reda. Majlis pengurniaan Darjah kebesaran pada hari ini telah berjalan dengan lancar dan telah mencatatkan satu sejarah dalam pengurniaan Darjah kebesaran tersebut. Diharapkan semua pihak dapat merapatkan kembali hubungan silaturrahim sesama kerabat istana supaya keadaan kembali tenang.

Sekiranya semua pihak menjunjung tinggi Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan, tidak seharusnya peristiwa keributan tadi menjelma. Sebenarnya ramai rakyat Kelantan mengetahui duduk perkara sebenarnya tetapi masih menghormati institusi beraja tersebut dan tidak tega untuk memperkatakannya sebarangan hatta menuding jari pada mana-mana pihak. Apapun seluruh rakyat Kelantan menjunjung Taat Setia yang tidak berbelah bagi kepada DYMM Al-Sultan Kelantan dan YMM Tengku Muhammad Faris Petra,Pemangku Raja Kelantan.

Para kerabat serta Persatuan Kerabat seperti Persatuan Kerabat Long Ghaffar dan Persatuan Kerabat Raja Jembal juga menyokong sepenuhnya YMM Tengku Muhammad Faris Petra,Pemangku Raja Kelantan dan juga Al-Sultan Kelantan yang masih gering. Bagi pakar undang-undang yang lebih memahami kedudukan undang-undang, Pemangku Raja yang dilantik dan telah disahkan oleh Mesyuarat Majlis Perajaan Negeri adalah sebenarnya mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri dan tidak seharusnya pihak lain mencabarnya.

Bagaimanapun dalam beberapa blog yang sempat saya jelajah terdapat juga yang tidak faham dan membuat tafsiran sendiri walaupun mereka bukan pakar undang-undang. Tetapi selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran pada hari ini beberapa blog yang membuat tafsiran dan andaian sendiri mula kendur. Mungkin mereka mula memahami duduk perkara sebenarnya dan rakyat Kelantan sendiri sememangnya sayangkan pada Al-Sultan dan juga Tengku Mahkota Kelantan selaku Pemangku Raja.

Adalah besar sekali harapan rakyat agar kekeruhan Istana Kelantan akan kembali jernih selepas ini dan YMM Tengku Muhammad Faris Petra, Pemangku Raja dapat melaksanakan tugas baginda dengan baik tanpa gangguan dari mana-mana pihak.

Datuk Seri Chua Presiden MCA; Kedua-dua Ong tidak "ong"


Maka berakhirlah sudah kemelut pemilihan Presiden MCA yang telah diumumkan pemenangnya bagi jawatan no. 1 ialah Datuk Chua Soi Lek. Kedua- dua Datuk Ong Tee Keat dan Datuk Ong Kaa Ting walaupun nama mereka ermula dengan "ong' tetapi nampaknya tidak "ong" kali ini. Ong Kaa Ting yang muncul semula dalam politik bagaimanapun memberi tentangan yang sengit pada Chua.

Namun pemerhati politik melihat kemenangan Chua ini juga tidak begitu kukuh dari segi undi yang diperolehinya. Cuma yang agak memberi kelegaan padanya mungkin 60% orang-orangnya dikatakan menduduki kerusi Jawatankuasa CC, dan ini membolehkan beliau menguasai keadaan dalam mesyuarat CC.

Bagi Ong Tee Keat, nampaknya beliau sudah nampak jalan keluar dari kepimpinan MCA kerana undui diperolehinya jauh merosot. Ini juga mungkin ada kaitannya dengan penolakan perwakilan terhadapnya yang suatu ketika dulu pernah berjanji akan meletak jawatan Presiden MCA jika tidak mendapat undi yang popular. Malahan juga ia dikaitkan juga dengan "ketidaksenangan" sesetengah individu dalam BN khususnya UMNO apabila keluarnya skandal PKFZ yang membabitkan individu dalam UMNO serta keberanian beliau membongkar isu ini.

Cuma persoalannya sekarang mampukan Chua untuk mengemudi MCA ke arah yang lebih baik. Dalam kalangan masyarakat Cina mungkin isu skandal "klip videonya" tidak begitu diambil kira, sebab itulah beliau menang. Tetapi dalam kalangan masyarakat lain seperti Melayu, India dan sebagainya apakah "isu moralnya" dapat diterima jika beliau menjadi calon Pilihan Raya nanti. Itulah persoalan yang perlu difikirkan oleh para pemimpin BN dari sekarang.

Kalau mengikut resamnya sebagai Presiden MCA, beliau akan mendapat kuota menjadi Menteri dan akan menggantikan Ong Tee Keat. Apa pula penerimaan masyarakat Malaysia nanti jika beliau dilantik menjadi Menteri? bagaimanakah BN akan menghadapi pembangkang jika perbandingan dibuat antara isu moral Chua dengan isu Anwar Ibrahim yang sedang dibicarakah di mahkamah? Tidakkah ini akan menggambarkan sikap "double standard BN" apabila Chua yang telah mengaku tidak ada apa-apa, tetapi orang lain khususnya DSAI dijerat?

Oleh itu ramai pemerhati politik sedang memerhatikan keadaan ini dan ramai yang menjangkakan rombakan kabinet akan dilakukan oleh Perdana Menteri dalam waktu yang terdekat. Sama-sama kita melihat perkembangannya nanti, dan apakah kemenangan Chua ini akan "mengubat" kecelaruan dalam MCA atau MCA akan terus berkecamuk dengan krisis kepimpinannya.

Tuesday, March 23, 2010

Presiden MCA:Persaingan 3 penjuru, Ong Vs Ong; Siapa yang lebih "ong"


Pada 28 Mac ini Perhimpunan Agung MCA akan sekali lagi menyaksikan persaingan pemilihan jawatan tertinggi dalam MCA dan kali ni ia menampakkan satu pertembungan yang agak sengit. Mana kan tidak Datuk Ong Ka Ting yang telah bersara dari politik telah muncuk kembali dan turut bertanding jawatan Presiden. Kita lihatlah nanti antara dua Ong iaitu Ong Ka Ting dan Ong Tee Keat siapa yang lebih "ong"?

Datuk Chua Soi Lek juga mempunyai penyokongnya sendiri. Namun hari ini sekumpulan wanita telah mula menggerakkan kempen supaya "tolak pemimpin yang bermukah" yang seakan ditujukan kepadanya. Tidak dapat dipastikan kumpulan wanita itu di dalangi dari kuimpulan mana.

Datuk Mustapha Ali, Setiausaha Agung PAS menyatakan masalah dalam MCA kini amat parah sekali, sehingga bekas Presidennya yang telah bersara bertanding kembali. Tidak ada dalam sejarah seorang presiden parti yang telah bersara bertanding kembali jawatan presiden parti politik yang pernah dipimpinnya. Manakala media pro-establishment nampaknya seakan mengasak Ong Tee Keat hingga ke dinding. Dikatakan juga Tee Keat dulunya pernah berkata akan meletak jawatan jika perwakilan menolaknya. Walaupun dulunya dia menang tetapi marginnya tidaklah sebesar mana dan apakah kali ini perwakilan MCA akan memboikotnya?

Tumpuan kini kepada Ong Ka Ting. Adiknya Ong Ka Chuan pernah tewas dalam pemilihan Timbalan Presiden pada pemilihan lalu dan apakah dengan sokongan Ka Chuan, Ka Ting berjaya lagi kali ini. Namun sekiranya ketiga-tiga calon itu tidak banyak perbezaan undi diperolehi, masalah dalam MCA akan terus berlarutan.

Pada masa inipun masyarakat Cina mulai merudum kepercayaannya pada MCA. Dilaporkan pungutan suara secara rawak mendapati menyarakat Cina hanya 22% sahaja yang masih percaya MCA masih releven dalam politik masyarakat Cina. Sekiranya MCA punah dan GERAKAN semakin merosot sokongan di kalangan masyarakat Cina, apakah lagi yang boleg diharapkan oleh BN bagi menarik kembali sokongan masyarakat Cina. Itu lah yang memeningkan kepala para pemimpin atasan BN.

Apa pun kita tunggu keputusan pemilihan pada ahad ini, siapa yang lebih "ong" pada kali ini antara dua Ong, atau kedua-duanya tidak "ong" dan Chua pula yang terkedepan sesudah seorang lagi Chua telahpun meninggalkan MCA dan berada dalam Pakatan Rakyat.

Friday, March 19, 2010

Royalti minyak:Bila Tun Musa Hitam juga mula bersuara


Semalam dalam rancangan Astro awani, Tun Musa Hitam telah mula bercakap tentang royalti minyak Kelantan. Dalam rancangan temubual tersebut Musa telah menjawab pertanyaan berkenaan isu ini mengatakan "pembayaran wang itu biar apapun istilahnya mesti dibuat kepada kerajaan negeri kerana matlamatnya adalah untuk pembangunan rakyat."

Dengan kenyataan itu ianya mirip pada pendirian dan pernyataan tegas YB Tengku Razaleigh Hamzah yang kemudiannya dibalun oleh para pemimpin UMNO lain. Namun YB Ku Li tetap tegas dengan pendiriannya. Malah di Kelantan telah beredar "circular" yang mengecam pendirian beliau sehinggakan Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang mendesaknya mengosongkan kerusi Parlimen Gua Musang.

Apabila ditanya pendapatnya yang senada dengan Ku Li, beliau menjawab walaupun pendapatnya "not mainstream" tetapi bulkan bermakna beliau telah "beregu" semula dengan Ku Li. Musa menjelaskan bahawa "don't worrylah...kita dah tua". Maknanya beliau tidak mahu orang ramai mengandaikan mereka berdua beregu semula untuk membuat comeback dalam politik. Namun Musa juga menjelaskan bahawa KU Li lebih arif dalam hal royalti ini kerana Ku Li terlibat secara langsung dan dia dalam kerajaan" pada masa diwujudkan Petronas itu. Berikut dipaparkan sebahagian petikan dari Malaysia Insider.

KUALA LUMPUR, 18 Mac — Bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam berkata pembayaran wang royalti atau ihsan seharusnya diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan sebagaimana diperuntukkan mengikut undang-undang, bukannya dikendalikan oleh kerajaan pusat dengan mewujudkan jawatankuasa khas.

Justeru seolah-olah senada dengan pendirian bekas pengerusi dan pengasas Petronas Tengku Razaleigh Hamzah, Musa memberitahu, berdasarkan pengalamannya itu beliau lebih “arif” dalam isu pertikaian wang royalti antara kerajaan negeri Kelantan dan pusat sekarang.

Dalam temu bual dengan Astro Awani hari ini, Musa (gambar) berkata pembayaran wang itu biar apapun istilahnya mesti dibuat kepada kerajaan negeri kerana matlamatnya adalah untuk pembangunan rakyat.

“Sama ada wang ihsan ke royalti, itu tak mustahak. Asalkan mereka menggunakannya untuk pembangunan rakyat.

“Kita harus wujudkan satu sistem di mana kita boleh memantau penggunaan wang itu, walaupun kuasanya diberikan kepada negeri berkenaan,” katanya.

Pandangan ini dibuat ketika soal wang royalti menjadi isu politik hangat buat masa sekarang dengan Tengku Razaleigh, bekas menteri kewangan dan Ketua Umno Gua Musang berulang kali menegaskan Kelantan berhak menerima royalti atau bayaran tunai tetapi bukannya wang ihsan yang ditentukan kerajaan pusat.

Perkara itu ditekankan beliau pada ceramah perdana di Kota Baru akhir Januari lalu.

Tengku Razaleigh akan muncul pada majlis dialog yang diadakan di negeri jiran Terengganu, yang juga hanya pernah dibayar wang ihsan selepas ia jatuh ke tangan PAS pada 1999, malam ini.

Beliau dijadual untuk menyentuh isu itu sekali lagi yang sebelum ini mencetuskan polemik dan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin Umno-BN.

Musa, yang pernah bergandingan dengan Tengku Razaleigh pada pemilihan Umno tahun 1987 melawan kepimpinan Presiden Umno ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad, menyedari pandangannya ini mungkin akan menimbulkan keresahan di kalangan pemimpin Umno.

“Jelas kepada saudara, bila dengar saya cakap ni, saya punya pendapat ‘not mainstream’.

“Ada orang kata boleh jadi lagi dekat dengan Tengku Razaleigh. Jangan salah faham pulak... Musa dah balik dengan Tengku Razaleigh, tak ada, kita dah tua, ‘don’t worrylah’,” katanya.

Dalam komennya itu Musa juga percaya bahawa Tengku Razaleigh tahu apa yang beliau pertahankan.

“Kalau betullah kata Tengku Razaleigh, saya fikir Tengku Razaleigh arif dalam hal ini, oleh sebab dia dulu dengan Petronas, dia dalam kerajaan,” katanya.



Ini bermakna satu babak baru telah muncul dalam isu royalti minyak ini. Mengikut catatan sahabat blogger MSO, satu majlis penerangan isu royalti ini bakal diadakan di Johor pada bulan hadapan dan akan mempertemukan dua tokoh Ku Li dan Musa Hitam untuk membicarakannya. Jika majlis ini terjadi ianya akan menjadi satu tekanan pada pemimpin UMNO Pusat kerana dua tokoh negarawan senada dalam isu ini.

Bagaimana pula jika ianya turut disertai para bekas menteri seperti Syed Hamid Albar, Dato' Shahrir dan sebagainya. Ini akan memberi satu "force" yang kuat bagi gerakan tuntutan royalti ini, khususnya menerusi majlis penerangan seperti ini. Itu belum lagi diambil kira jika PAS membawa isu ini hingga peringkat demonstrasi seperti pernah diucapkan Sallehuddin Ayub, Naib Presiden PAS bahawa PAS akan kaji kemungkinan membawa isu ini ke jalan raya.

Nampaknya isu ini semakin melebar dan tidak mustahil ianya akan menjadi salah satu isu besar pada PRU13 nanti jika kerajaan Pusat masih bertegas tidak mahu memberikan royalti.Pokoknya isu ini berpunca dari Kerajaan Pusat sendiri yang menarik balik royalti kepada Terengganu semasa Terengganu ditadbir PAS, dan terpulanglah pada kerajaan Pusat untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Thursday, March 18, 2010

Dialog Royalti Petrolium di Terengganu


Isu royalti petrolium nampaknya semakin melebar ke Terengganu. YB Tengku Razaleigh Hamzah terus konsisten dengan pandangannya bahawa royalti petrolium seharusnya disalurkan pada kerajaan Negeri bukannya pada pihak lain. Malam ini berlangsung Dialog Royalti Petrolium di Terengganu Equistrian Resort, dekat Kuala Ibai. Kuala Terengganu. Bermula heboh mulanya semasa PRK Manek Urai dan "bahangnya" hangat ketika YB Tengku Razaleigh dikatakan"berceramah" di Stadium Sultan Muhammad IV, KOta Bharu pada Februari lalu.

Kini isu ini bertambah hangat di Terengganu, khususnya apabila isu royalti petrolium Kelantan dan Terengganu "bersatu" dan pada Sabtu ini mereka akan mempersembahkan memorandun kepada Yang di-Pertuan Agong di Lapangan Terbang Terengganu. Dialog pada malam ini dihadiri 5000 orang dan ahli panelnya selain YB Tengku Razaleigh ialah Datuk Husam Musa, Datuk Mustafa Ali, Datuk Abu Bakar Chik yang masing-masing mewakili kerajaan Kelantan dan Terengganu (semasa PAS dulu). Majlis ini telah dirasmikan oleh Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim Ismail. Sebagaimana dilaporkan HarakahDaily, satu majlis Solat Hajat juga telah diadakan di Masjid Tengku Tengah, sebelum Majlis Dialog ini.


KUALA TERENGGANU, 19 Mac: Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah menolak cadangan untuk membawa isu royalti minyak ke mahkamah kerana ia tidak akan membawa ke mana-mana.

Beliau merujuk kepada kes perebutan kuasa di Perak selepas kerajaan negeri Pakatan Rakyat dijatuhkan melalui pintu belakang.

"Oleh itu, bagi saya ada tiga sahaja cadangan yang praktikal iaitu mencari orang tengah untuk menyelesaikannya, membawa kes ini ke Timbang Tara atau meneruskan sahaja tekanan kepada kerajaan Pusat sebagaimana yang dibuat sekarang.

"Kalau mahu mencari orang tengah, saya bersedia untuk menjalankan amanah itu jika diminta," kata beliau di hadapan lebih 5,000 penonton dan pendengar Dialog Royalti Petroleum di Terengganu Equaestrian Resort (TER) dekat Kuala Ibai malam tadi.

Dialog itu dianjurkan oleh Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu atau Mampat bersama Gegar iaitu NGO yang memperjuangkan royalti minyak untuk kerajaan Terengganu dan Kelantan.

Turut serta di pentas bersama Tengku Razaleigh adalah wakil kerajaan Terengganu ketika di perintah PAS iaitu Datuk Mustafa Ali dan Datuk Abu Bakar Chik serta wakil kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa.

Majlis dialog itu dirasmikan oleh Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim Ismail, penaung Mampat.

Orang ramai yang datang sejak Maghrib apabila diadakan juga Solat Hajat di Masjid Tengku Tengah berhampiran TER turut menandatangani kain rentang bagi membantah sekatan royalti untuk kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu.

Turut menandatanganinya adalah Datuk Mustafa dan Datuk Husam serta Tengku Paduka.

Di majlis itu, Mampat turut melancarkan buku kompilasi ucapan, kertas kerja dan forum Konvensyen Royalti Petroleum yang diadakankan tahun 2008 lalu di tempat yang sama.

Ketika ditanya, apakah beliau bersetuju untuk turun ke jalan raya sekiranya usaha yang dilakukan sekarang tidak berhasil, Razaleigh berkata, beliau tidak bersetuju.

"Saya rasa tidak perlu sampai ke situ...kita akan berjaya kalau kita teruskan usaha menekan kerajaan agar mematuhi apa yang telah termaktub dalam akta itu dan dipersetujui oleh Petronas dan kerajaan negeri," katanya.

Dalam ucapannya juga, Razaleigh berkata, dia sentiasa konsisten dalam sikapnya mengenai isu royalti ini.

Ia turut disokong oleh Mustafa yang mengesahkan Razaleigh bersetuju untuk menjadi saksi ketika kerajaan negeri Terengganu menyaman Petronas dan kerajaan Pusat dahulu.

"Bahkan, afidavit beliau telah kita siapkan. Malangnya mahkamah menerima permohonan agar kes ini dibicarakan tanpa perlu memanggil saksi," kata Mustafa.


Malah Majlis Dialog malam ini juga akan menghangatkan kembali isu royalti di Terengganu selain royalti Kelantan yang akan memasuki babak baru. Ini beriklutan dengan kenyataan Tun Musa Hitam dalam stesen ASTRO malam ini yang beliau sependapat dengan YB Tengku Razaleigh serta menyatakan " tidak kira apa sebutannya sama royalti atau wang ehsan, ianya patut disalur pada kerajaan negeri". Kenyataan Tun Musa ini bererti satu lagi tamparan buat kepimpinan Perdana Menteri sekarang dan kita tunggu dalam sehari dua ini kenyataan balas dari pihak kerajaan Persekutuan.

Apapun isu ini nampaknya semakin melebar dan akan memberikan impak yang besar kepada BN-UMNO khususnya dalam PRU akan datang jika tidak ditangani dengan sebaiknya, khususnya menerusi semangat Perjanjian Petronas dahulu.

Wednesday, March 17, 2010

Tahniah Datuk Lee Chong Wei Juara All England


Rasanya seluruh peminat badminton tanah air bergembira dengan kemenangan Datuk Lee Chong Wei memenangi Juara All England pada ahad lepas dengan menumpaskan Kenichi Tago 21-19 , 21-19. Belum terlewat lagi untuk kita mengucapkan tahniah kepada beliau dan juga Jurulatih Datuk Misbun Sidek yang telah mengharumkan nama negara itu.

Cuma sedikit ralat bila pemain yang ditumpaskannya itu ialah Kenichi Tago dari Jepun bukannya Lin Dan musuh tradisinya. Apapun dengan tersingkirnya Lin Dan lebih awal mnunjukkan bahawa pemain itu kini telah beransur menurun tahap permainannya. Dan Lin Dan tidak lagi dapat mendabik dada sebagai pemain perseorangan yang paling handal dalam dunia untuk dikalahkan.

Namun persembahan pemain muda Jepun ini juga amat baik sekali. Sayangnya dia masih belum luas pengalamannya, tetapi lihatlah dalam setahun dua ini jika dia dapat mengekalkan rentak permainannya nescaya dia akan muncul sebagai pemain terbaik dunia.Dan satu lagi iaitu dia tidak mengalami kecederaan yang boleh menghakis kariernya. Contoh terbaik ialah pemain negara Yong Hock Kin- kalau tak silap, yang dulunya hampir menjadi pemain terbaik kita , malah pernah muncul Juara di Terbuka Indonesia dengan menumpaskan Taufik Hidayat, pemain tuan rumah tetapi kini tercicir akibat kecederaan yang menghalangnya untuk terus bermain.

Apapun tahniah sekali lagi untuk Chong Wei, dan Hafiz Hashim yang pernah muncul Juara All England pada 2003 perlu memperbaiki lagi permainnannya untuk Malaysia mempunyai dua orang pemain perseorangan yang disegani di dunia dalam sukan badminton ini.

Friday, March 12, 2010

Awas Bangkok, "Tentera Merah" telah datang!


Tentera merah yang merujuk pada para penunjuk perasaan anti-kerajaan di Bangkok, ibu negara Thailand telah mula membanjiri kota itu. Mereka mengatakan akan mengerahkan sejuta orang yang akan berbaju merah bagi berdemonstrasi, tetapi pihak kerajaan menganggarkan sekitar ratusan ribu sahaja yang akan turun berdemo.

Pada masa dahulu kita masih ingat lagi tentang rampasan lapangan terbang dan juga tempat awam lain sehingga sidang kemuncak ASEAN terpaksa dibatalkan. Ramai orang awam awam termasuk rakyat kita yang terkandas di lapangan terbang gara-gara penunjuk perasaan ini. Pada kali ini para penunjuk perasaan tersebut mengatakan bahawa mereka tidak akan mengusik tempat awam. Manakala pihak kerajaan juga menegaskan bahawa mereka akan bertindak tegas jika demonstran ini memasuki tempat awam.

Kerajaan juga telah mengerahkan 50,000 anggota pasukan keselamatan bagi mengawal para penunjuk perasaan yang mula membanjiri Bangkok dan akan mengadakan perarakan besar-besaran pada ahad ini.

Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban yang memantau operasi keselamatan tersebut berkata, ‘penempatan sepenuhnya’ akan bermula hari ini, terdiri daripada 30,000 tentera, 10,000 polis dan 10,000 anggota sukarelawan.

“Jika penunjuk perasaan mengganggu pangkalan tentera atau balai polis, kerajaan akan menggunakan pasukan bersenjata untuk mematahkannya dengan segera, dengan menganggap mereka sebagai pengganas,” katanya kepada wartawan.


Bagi para pelancong khususnya dari Malaysia, masa masih ada bagi pulang lebih awal ke negara ataupun elakkan dari mengunjungi tempat-tempat yang bakal berlaku perarakan besar-besaran tersebut kerana dibimbangi akan tersepit dicelah pertempuranm antara kedua-dua pihak kerajaan dan penunjuk perasaan.

Alhamdulillah..Allahu Akbar! Hujan mula turun kala Solat Sunat Istisqa'


Tiada kata-kata yang dapat diucapkan selain Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar! Tatkala Tok Guru Menteri Besar Kelantan serta saf pimpinannya serta para pegawai kanan kerajaan negeri sedang bersolat Sunat Istisqa', hujan telah turun di Kota Bharu. Hati kecil saya begitu tersentuh dengan peristiwa ini, betapa betapa senjata utama mukmin iaitu doa telah dimaqbulkan oleh Allah SWT.

Bagi mereka yang tidak memahami atau sengaja tidak mahu memahami atau masih tertutup pintu hatinya mungkin mengatakan ianya sekadar kebetulan. Biarlah apa yang mereka katakan, tetapi bagi yang mukmin dan faham tentang doa dan Solat Sunat Istisqa' ini, syukurlah serta hayatilah ketaqwaan kepada Allah SWT.

Sepertimana yang dilaporkan dalam Harakah Online,

"KOTA BHARU, 12 Mac: Hujan yang turun di bandar raya ini membasahkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan serta ribuan rakyat yang menyertai solat sunat istisqa.

Hujan agak lebat tiba-tiba turun pada rakaat pertama solat sunat Istisqa yang diadakan di Padang Perdana pagi tadi.

Solat tersebut diimamkan Menteri Besar bermula kira-kira jam 8.30 pagi.

Ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang membawa surah pada rakaat pertama tiba-tiba hujan turun agak lebat sehingga membasahkan ribuan yang menunaikan solat.

Hujan hanya berhenti selepas selesai solat sunat tersebut.

Semua yang hadir termasuk pembesar negeri dan pegawai kanan kerajaan kelihatan basah kuyup.

Program tadi dihadiri hampir kesemua pegawai kanan kerajaan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Faudzi Che Mamat, Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Hamat dan Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad.

Solat Istisqa tersebut merupakan kali kedua diadakan di Kelantan selepas pertama kali diadakan beberapa tahun lalu akibat kemarau panjang.

Cuaca kering dan panas kini melanda seluruh negara sehingga ada tempat paras sungai dan empangan semakin surut dan tanah-tanah menjadi merekah.

Ketika membaca khutbah Menteri Besar memalingkan badan ke arah kiblat seketika sebagai mengikut amalan sunnah Rasulullah s.a.w. ketika baginda mengerjakan solat Istisqa. Harakah


Solat Sunat Istisqa' ini adalah yang kedua dianjurkan oleh kerajaan negeri Kelantan ekoran kemarau panjang, beberapa tahun dahulu kerajaan negeri juga menhan jurklan solat sunat yang sama. Mengulas mengenainya Tok Guru menyatakan bahawa solat sunat ini adalah diamalkan oleh Rasulullah SAW adalah adalah baik kita umat Islam mengikuti Sunnah baginda.
Wasallah.

Thursday, March 11, 2010

Kelantan anjur Solat Istisqa' akibat kemarau panjang


Ekoran kemarau panjang di Kelantan sekarang yang ada bendang sawah yang merekah tanahnya akibat ketiadaan air, Kerajaan Kelantan telah menganjurkan Solat Sunat Istisqa' pada hari Jumaat 12 Mac di Pekarangan Stadium , Kota Bharu. Menteri Besar Kelantan Tok Guru Hj Nik Aziz menyatakan demikian pada sidang media,selepas memperngerusikan Mesyuarat EXCO di Kota Bharu. Solat Sunat ini bertujuan memohon kepada Allah menurunkan hujan.

Beliau jjuga meminta para muslimin dan muslimat berpuasa pada hari khamis sebelumnya dan Solat Istisqa' pada Jumaat. Beliau berkata amalan ini juga pernah dilakukan oleh Rasulullah bagi tujuan yang sama.

"“Saya sendiri akan berpuasa esok hari, insya Allah dan akan bersedekah juga sekadar kemampuan yang ada pada saya kepada fakir miskin, insya Allah,” ujarnya.

Beliau memberitahu, Jumaat ini, rakyat Kelantan hendaklah hadir pada majlis itu selewat-lewatnya pukul 8.00 pagi, di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Jelasnya, selain menunaikan solat sunat istisqa itu, beliau sendiri akan menyampaikan tazkirah mengenai pengertian solat itu berdasarkan hadis-hadis Rasulullah.

Sambungnya lagi, solat sunat berkenaan akan diadakan kira-kira pukul 8.30 pagi, iaitu selepas tazkirah.

Sehubungan itu majlis kuliah di Dataran Ilmutidak akan diadakan dan diganti dengan Majlis Tazkirah dan Solat Sunat ini di Pekarangan Stadium tersebut dan seluruh rakyat Kelantan adalah dijemput hadir beramai-ramai. Majlis serupa juga akan diperluaskan lagi dan diadakan pada peringkat Jajahan atau Kawasan di seluruh negeri Kelantan.

Dalam masa yang sama Tok Guru berseru supaya masyarakat sentiasa berjimat cermat dalam menggunakan air, baik dalam apa guna dan keadaan sekalipun. Walaupun masyarakat kita terbiasa dengan kemudahan mendapatkan air, tetapi sikap berjimat dalam penggunaannya hendaklah sentiasa diamalkan.

Wednesday, March 10, 2010

Al-Fatihah Sheikh Tantawi Meninggal dunia


Sheikh Muhammad Sayed Tantawi, Sheikh Al-Azhar telah meninggal dunia semasa dalam rangka lawatan ke Arab Saudi. Allahyarham dikatakan mengalami sakit jantung dan meninggal di Riyadh, ibu negara Arab Saudi. Sheikh Tantawi , 82 tahun telah banyak memberi sumbangan pada dunia intelektual Islam dan menghasilkan banyak buku-buku agama.

Sheikh Tantawi dilahirkan pada tahun 1928 dan dilantik menjadi Sheikh Al-Azhar sejak tahun 1996, yang mana Al-Azhar merupakan pusat pengajian Islam terulung dan di segani di dunia Islam dan antarabangsa. Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar pada dunia Islam. Al-Fatihah kepada Allahyarham.

YB Zulkifli Nordin ke mana arah?


Selepas dipecat dari partinya PKR, YB Zulkifli Nordin Ali Parlimen Kulim-Bandar Baharu kelmarin mengumumkan dia menjadi Ahli Parlimen Bebas setelah "test market"nya pada PAS ditolak bulat-bulat oleh kebanyakan pemimpin kanan parti PAS, sehinggakan beliau menggelarkan " badut hingusan" pada beberapa pemimpin PAS yang terang-terang menolaknya dalam PAS.

Dan yang lebih menghairankan lagi pada hari ini parti GERAKAN yang juga komponen BN telah menggesa UMNO supaya jangan terima YB Zul dalam UMNO. Pengerusi Gerakan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan menggesa UMNO dan Barisan Nasional supaya jangan menerima YB Zul kerana beliau disifatkan oleh Dr Teng sebagai "pelampau agama dan rasis". Itu adalah pandangan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang yang juga sebagai Naib Presiden Gerakan. Bagaimana pun apa yang ingin diketengahkan di sini bukannya tuduhan " sebagai pelampau agama dan rasis"(yang masih boleh dipertikai) itu tetapi soal parti komponen BN sendiri yang turut menggesa UMNO dan BN jangan terima YB Zul.

Jadi bermakna YB Zul besar kemungkinan akan kekal Bebas sehingga tamat tempoh penggal parlimen dalam dalam PRU 13 nanti apakah beloiau akan bertanding sebagai calon Bebas atau berundur terus dari arena politik. Kalau beliau bertanding Bebas pun rasanya sukar untuk menang dalam pertarungan 3 penjuru, UMNO-BN, PKR dan Bebas. Itulah nasib yang menimpa beliau bila tidak sehaluan dengan parti. Dalam politik di Malaysia tidak ada lagi calon Bebas sama ada MP atau ADUN yang menang selama beberapa penggal kecuali Cikgu Jabar di Batu Laut, Selangor dahulu.

Ini juga seolah satu tamparan pada pandangan awal TPM Tan Sri Muhyiddin bahawa pintu UMNO sentiasa terbuka sesiapa sahaja yang ingin menjadi anggotanya termasuk YB Zulkifli. Kalau anggota BN sendiri sudah menentang kemasukannya ke dalam UMNO-BN, agak sukarlah untuk UMNO menerima Zulkifli. Keadaannya seolah semacam "ayam tak patuk, itik tak sudu" menimpanya dan selepas PRU13 kelak hilanglah riwayat YB Zul sebagai seorang ahli politik, jika tiada mana-mana parti yang sudi menerimanya.

Saturday, March 6, 2010

Selepas berdemo 24 Feb, Kerajaan umum peruntukan 150 juta untuk Orang Asli


Pada 24 Februari 2010 baru-baru ini seperti dalam posting saya yang terdsahulu sekumpulan Orang Asli telah berdemo di hadapan Hospital Orang Asli di Gombak bagi menzahirkan ketidakpuasan hati mereka kepada pihak Kerajaan yang telah mengabaikan mereka selama ini. Malah pihak tertentu di kalangan Orang Asli sendiri ada yang mencadangkan supaya Orang Asli yang tidak berpuas hati itu mengadu kepada SUHAKAM.

Namun hari ini ada berita gembira buat masyarakat Orang Asli.Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Shafie Apdal telah mengumumkan peruntukan RM 150 juta bagi memperbaiki infrastruktur untuk Orang Asli.

"Sejumlah besar daripada peruntukan ini akan disalurkan melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi meningkatkan penyertaan golongan itu dalam bidang keusahawanan, katanya.


Tumpuan berkenaan adalah untuk membasmi kemiskinan di kalangan Orang Asli, tambahnya ketika berucap merasmikan Konvensyen Tanah dan Orang Asli di Kuala Lumpur hari ini.


Mengulas dalam sidang media selepas itu, Shafie berkata jumlah berkenaan merupakan tambahan kepada sejumlah RM41 juta yang diperuntukkan dalam Bajet 2010 untuk pembaikan prasarana masyarakat Orang Asli."

Pengumuman itu apakah ada kaitannya dengan demo Orang Asli tempoh hari atau secara kebetulan sahaja tidak dapat dipastikan. Namun harus diingat bahawa Orang Asli juga pada hari ini telah celik politik dan telah pandai berdemonstrasi. Jangan ingat hanya pembangkang sahaja yang pandai berdemo, malah akhir-akhir ini UMNO di Pulau Pinang juga telah menjadikan budaya berdemo ini sebagai aktiivitinya.

Pada masyarakat Orang Asli, sekiranya tuntutan mereka melalui Jabatan Hal Ehwal Orang Asli tidak dilayan, buatlah demonstrasi aman dan dedahkan segala kepincangan dan hasrat mereka supaya masyarakat umum mengetahui keadaan sebenarnya. Pihak kerajaan juga hendaklah prihatin pada masyarakat Orang Asli dan pastikan peruntukan disalurkan dengan sebaiknya dan tidak berlaku ketirisan.

Jika perkara ketirisan ini dapat dibaiki nescaya masyarakat Orang Asli tidak akan bersusah payah berdemo menuntut haknya. Pihak kerajaan juga baik kerajaan Pusat atau Selangor yang mana Gombak d bawah Selangor, berilah perhatian sewajarnya pada masyarakat Orang Asli. Jangan hanya sewaktu hampir Pilihan Raya sahaja mereka didekati bagi mendapatkan undi.

Friday, March 5, 2010

Majoriti 2/3 dan persempadanan semula kawasan pilihan Raya


Pada masa ini masih heboh diperkatakan tentang pengisytiharan keluar parti 3 orang MP PKR iaitu MP Nibong Tebal, Pulau Pinang, MP Bayan Baru, Pulau Pinang dan Bagan Serai, Perak. Mengapa hanya MP dari PKR sahaja, bukannya dari DAP atau PAS. Persoalan ini akan dirungkai pada kesempatan yang lain.

Berbalik pada pengsiytiharan keluar parti Ahli Parlimen tersebut. Kenyataan Datuk Zaid Ibrahim boleh dijadikan sandaran bahawa beliau menggesan Perdana Menteri menghentikan usaha memancing MP Pakatan Rakyat bagi memperolehi 2/3 kuorum di Parlimen yang pada masa ini mempunyai 222 orang MP. BN hanya memerlukan 10 orang MP sahaja lagi bagi memperolehi 2/3 tersebut. Terkini dengan keluar parti itu BN mempunyai 137 MP, PKR 78,Bebas 4, Sosialis 1 dan SAPP 1.

Zaid juga menyatakan PM sepatutnya mencontohi Tun Abdullah yang mana semasa Tun menjadi PM, beliau tidak berusaha bagi memancing ADUN Kelantan, walau pun DUN Kelantan pada masa itu hanya mempunyai kelebihan 1 kerusi sahaja di pihak PAS. Ini kerana cara memancing sebegitu adalah cara yang tidak bermoral.

Namun ramai penganalisis politik dapat membaca "kilau dalam silau" politik itu. Aa tidaknya persempadanan semula kawasan pilihan raya tidak dapat diadakan jika BN gagal memperolehi sokongan 2/3. Pihak SPR biasa akan membuat kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya setiap 8 tahun sekali. Satu-satu kawasan pilihan raya akan digunakan dalam 2 PRU dan kemudian akan dipersempadankan semula. Kali terakhit persempadanan dibuat 2003 dan 2011 adalah tahaun sesuai dibuat persempadanan.

Dan persempadanan juga banyak membantu BN selama ini bagi memenangi PRU. Jadi jika persempadanan semula yang dibuat memberi keuntungan pada sesetengah pihak saja, tentu ianya tidak akan diluluskan oleh parlimen yang memerlukan sokongan 2/3. Di sinilah agaknya BN beria-ia untuk memperolehi kuorum tersebut. Bagaimanapun pada peringkat DUN, yang mana negeri-negeri dikuasai Pakatan Rakyat, persempadanan yang memberi kelebihan mana-mana pihak akan sukar diluluskan di DUN.

Sejarah telah membuktikan bahawa negeri Kedah yang hampir dimenangi semua kerusi parlimennya oleh pembangkang dalam PRU sebelumnya, tetapi ekoran persempadanan semula tahun 2003, dan digunapakai dalam PRU 2004, PAS kalah teruk kawasan parlimen di negeri tersebut.

Oleh itu masa masih ada sehingga Mac 2011 bagi BN untuk memancing MP pembangkang menyeberang kepada BN, sebelum kajian persempadanan dibuat pada mac 2011 itu. Akan berjayakah misi BN itu, belum dapat dipastikan lagi walaupun rata-rata pemerhati menyatakan cara itu amat tidak demokratik dan hanya menguntungkan bagi jangka waktu singkat sahaja. Untuk jangka panjang BN akan menerima padah yang lebih besar.

MCA terus bergolak...


Hasrat Datuk Liow Ting Lai akhirnya tercapai juga iaitu mahukan pemilihan semula MCA. Tetapi hasrat itu tercapai menerusi tindakan drastik Datuk Chua Soi Lek serta pengokongnya dalam CC MCA turut meletak jawatan. Sebelum ini pun Liow Ting Lai bersama kumpulannya telah meletak jawatan dalam CC , tetapi belum cukup kuorum bagi membolehkan pemilihan semula MCA. Dan pada masa itu Soi Lek dikatakan berganding bahu dengan Presidem Datuk Ong Tee Keat bagi menghadapi Tiong Lai.

Tindakan Soi Lek ini, seolah "check mate" pada Tee Keat yang masih berhelah dari desakan kumpulan Tiong Lai untuk mengadakan pemiligan semula MCA. Dengan perkembangan terbaru ini bermakna mengikut Perlembagaan MCA, parti itu perlu mengadakan pemilihan semula dalam masa 30 hari, dan ianya dijangkakan pada 28 Mac 2010 ini.

Persoalannya apakah tindakan Soi Lek itu menampakkan Tiong Lai dan Soi Lek mempunyai hala tuju yang sama iaitu pemlihan semula di saat Ptesiden agak keberatan. Pada masa ini isu ini tertumpu pada Presiden yang masih belum memberikan komen yang bernas dan hanya berkata beliau masih memeikirkan sama ada untuk bertanding atau tidak. Ini kerana ramai pemimpin masih ingat kata-kata Tee Keat yang dia akan melepaskan jawatan jika tidak mendapat sokongan padu perwakilan. Gaya politik "lone ranger" Tee Keat yang tidak mengaitkannya dengan mana-mana kumpulan menyebabkan beliau sukar pada kali ini.

Tambahan pula beliau dikatakan tidak disenangi sekumpulan pemimpin atasan UMNO kerana pendedahannya berkaitan isu Skandal PKFZ yang turut mencemari UMNO juga. Walau pun beliau seolah mahu membersihkan namanya dari skandal itu yang berlaku sebelum beliau mengambil alih kepimpinan MCA, tetapi pendedahannya akan mengheret sama BN dalam kedudukan yang tidak selesa. Dan beliau sama sekali tidak disokong kumpulan Presiden terdahulu sama ada Lim Liong Sik ataupun Ong Ka Ting.

Kini Soi Lek agak terkedepan, tetapi beliau masih belum kukuh untuk memenangi jawatan Presiden jika tidak mendapat sokongan dari kumpulan lain. Sama ada Ong Ka Chuan, saudara Ong Ka Ting, bekas Presiden akan bertanding jawatan Presiden tidak dapat dipastikan. Yang pasti tidak bertanding ialah Chua Jui Meng kerana bekas Menteri Kesihatan itu kini telah menjadi Ahli PKR. Jadi lawan Soi Lek nanti sama ada Ka Chuan atau Tee Keat.

Tiong Lai pula rasanya sekadar mencuba jawatan Timbalan Presiden yang mungkin agak mudah untuk dimenangi beliau. Namun jika ada sokongan dari kumpulan lain beliau juga mungkin bertanding jawatan Presiden. Apa salahnya, demokrasi memberi peluang pada sesiapa sahaja untuk bertanding jika ada pencalonan dan mempunyai ramai penyokong. Jika ini terjadi, Tee Keat benar-benar dalam keadaan tersepit dan tidak mustahil beliau akan berundur dari politik MCA. Dan apa pula akan terjadi pada MCA sekiranya Tee Keat mengikut jejak Jui Meng menjadi Ahli PKR? Sanggupkah BN melihat keadaan ini!

Apakah juga akan terjadi bila dalam pemilihan nanti, golongan yang kalah dan kecewa akan beramai-ramai secara "en bloc" menyertai PKR . Menggelabah jadinya Bn nanti. Semalam sumber menyatakan Perdana Menteri tidak akan menghadiri Perhimpunan MCA pada esok hari. Ini kerana tindakan Soi Lek dan kumpulannya meletak jawatan dan Perhimpunan itu tidak valid lagi serta perlu diadakan pemilihan semula. Ia seolah-olah PM sudah tawar hati dengan kepimpinan MCA sekarang. Masa ayang diberi untuk mencari jalan penyelesaian telah berlalu tanpa sebarang kemajuan.

Kita lihatlah nanti pergolakan ini sama ada akan memperolehi jalan penyelesdaiannya setelah pemilihan semula akhir Mac 2010 ini, atau apakah pemilihan tersebut juga gagal memberi kekuatan mana-mana pihak atau kumpulan. Jika ini terjadi berapa kali lagi pemilihan semula akan diadakan? sedangkan PRU 13 semakin hampir.