Ribut seketika dalam persoalan Istana Kelantan nampaknya semakin reda. Majlis pengurniaan Darjah kebesaran pada hari ini telah berjalan dengan lancar dan telah mencatatkan satu sejarah dalam pengurniaan Darjah kebesaran tersebut. Diharapkan semua pihak dapat merapatkan kembali hubungan silaturrahim sesama kerabat istana supaya keadaan kembali tenang.
Sekiranya semua pihak menjunjung tinggi Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan, tidak seharusnya peristiwa keributan tadi menjelma. Sebenarnya ramai rakyat Kelantan mengetahui duduk perkara sebenarnya tetapi masih menghormati institusi beraja tersebut dan tidak tega untuk memperkatakannya sebarangan hatta menuding jari pada mana-mana pihak. Apapun seluruh rakyat Kelantan menjunjung Taat Setia yang tidak berbelah bagi kepada DYMM Al-Sultan Kelantan dan YMM Tengku Muhammad Faris Petra,Pemangku Raja Kelantan.
Para kerabat serta Persatuan Kerabat seperti Persatuan Kerabat Long Ghaffar dan Persatuan Kerabat Raja Jembal juga menyokong sepenuhnya YMM Tengku Muhammad Faris Petra,Pemangku Raja Kelantan dan juga Al-Sultan Kelantan yang masih gering. Bagi pakar undang-undang yang lebih memahami kedudukan undang-undang, Pemangku Raja yang dilantik dan telah disahkan oleh Mesyuarat Majlis Perajaan Negeri adalah sebenarnya mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri dan tidak seharusnya pihak lain mencabarnya.
Bagaimanapun dalam beberapa blog yang sempat saya jelajah terdapat juga yang tidak faham dan membuat tafsiran sendiri walaupun mereka bukan pakar undang-undang. Tetapi selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran pada hari ini beberapa blog yang membuat tafsiran dan andaian sendiri mula kendur. Mungkin mereka mula memahami duduk perkara sebenarnya dan rakyat Kelantan sendiri sememangnya sayangkan pada Al-Sultan dan juga Tengku Mahkota Kelantan selaku Pemangku Raja.
Adalah besar sekali harapan rakyat agar kekeruhan Istana Kelantan akan kembali jernih selepas ini dan YMM Tengku Muhammad Faris Petra, Pemangku Raja dapat melaksanakan tugas baginda dengan baik tanpa gangguan dari mana-mana pihak.
No comments:
Post a Comment