Friday, March 19, 2010

Royalti minyak:Bila Tun Musa Hitam juga mula bersuara


Semalam dalam rancangan Astro awani, Tun Musa Hitam telah mula bercakap tentang royalti minyak Kelantan. Dalam rancangan temubual tersebut Musa telah menjawab pertanyaan berkenaan isu ini mengatakan "pembayaran wang itu biar apapun istilahnya mesti dibuat kepada kerajaan negeri kerana matlamatnya adalah untuk pembangunan rakyat."

Dengan kenyataan itu ianya mirip pada pendirian dan pernyataan tegas YB Tengku Razaleigh Hamzah yang kemudiannya dibalun oleh para pemimpin UMNO lain. Namun YB Ku Li tetap tegas dengan pendiriannya. Malah di Kelantan telah beredar "circular" yang mengecam pendirian beliau sehinggakan Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang mendesaknya mengosongkan kerusi Parlimen Gua Musang.

Apabila ditanya pendapatnya yang senada dengan Ku Li, beliau menjawab walaupun pendapatnya "not mainstream" tetapi bulkan bermakna beliau telah "beregu" semula dengan Ku Li. Musa menjelaskan bahawa "don't worrylah...kita dah tua". Maknanya beliau tidak mahu orang ramai mengandaikan mereka berdua beregu semula untuk membuat comeback dalam politik. Namun Musa juga menjelaskan bahawa KU Li lebih arif dalam hal royalti ini kerana Ku Li terlibat secara langsung dan dia dalam kerajaan" pada masa diwujudkan Petronas itu. Berikut dipaparkan sebahagian petikan dari Malaysia Insider.

KUALA LUMPUR, 18 Mac — Bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam berkata pembayaran wang royalti atau ihsan seharusnya diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan sebagaimana diperuntukkan mengikut undang-undang, bukannya dikendalikan oleh kerajaan pusat dengan mewujudkan jawatankuasa khas.

Justeru seolah-olah senada dengan pendirian bekas pengerusi dan pengasas Petronas Tengku Razaleigh Hamzah, Musa memberitahu, berdasarkan pengalamannya itu beliau lebih “arif” dalam isu pertikaian wang royalti antara kerajaan negeri Kelantan dan pusat sekarang.

Dalam temu bual dengan Astro Awani hari ini, Musa (gambar) berkata pembayaran wang itu biar apapun istilahnya mesti dibuat kepada kerajaan negeri kerana matlamatnya adalah untuk pembangunan rakyat.

“Sama ada wang ihsan ke royalti, itu tak mustahak. Asalkan mereka menggunakannya untuk pembangunan rakyat.

“Kita harus wujudkan satu sistem di mana kita boleh memantau penggunaan wang itu, walaupun kuasanya diberikan kepada negeri berkenaan,” katanya.

Pandangan ini dibuat ketika soal wang royalti menjadi isu politik hangat buat masa sekarang dengan Tengku Razaleigh, bekas menteri kewangan dan Ketua Umno Gua Musang berulang kali menegaskan Kelantan berhak menerima royalti atau bayaran tunai tetapi bukannya wang ihsan yang ditentukan kerajaan pusat.

Perkara itu ditekankan beliau pada ceramah perdana di Kota Baru akhir Januari lalu.

Tengku Razaleigh akan muncul pada majlis dialog yang diadakan di negeri jiran Terengganu, yang juga hanya pernah dibayar wang ihsan selepas ia jatuh ke tangan PAS pada 1999, malam ini.

Beliau dijadual untuk menyentuh isu itu sekali lagi yang sebelum ini mencetuskan polemik dan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin Umno-BN.

Musa, yang pernah bergandingan dengan Tengku Razaleigh pada pemilihan Umno tahun 1987 melawan kepimpinan Presiden Umno ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad, menyedari pandangannya ini mungkin akan menimbulkan keresahan di kalangan pemimpin Umno.

“Jelas kepada saudara, bila dengar saya cakap ni, saya punya pendapat ‘not mainstream’.

“Ada orang kata boleh jadi lagi dekat dengan Tengku Razaleigh. Jangan salah faham pulak... Musa dah balik dengan Tengku Razaleigh, tak ada, kita dah tua, ‘don’t worrylah’,” katanya.

Dalam komennya itu Musa juga percaya bahawa Tengku Razaleigh tahu apa yang beliau pertahankan.

“Kalau betullah kata Tengku Razaleigh, saya fikir Tengku Razaleigh arif dalam hal ini, oleh sebab dia dulu dengan Petronas, dia dalam kerajaan,” katanya.



Ini bermakna satu babak baru telah muncul dalam isu royalti minyak ini. Mengikut catatan sahabat blogger MSO, satu majlis penerangan isu royalti ini bakal diadakan di Johor pada bulan hadapan dan akan mempertemukan dua tokoh Ku Li dan Musa Hitam untuk membicarakannya. Jika majlis ini terjadi ianya akan menjadi satu tekanan pada pemimpin UMNO Pusat kerana dua tokoh negarawan senada dalam isu ini.

Bagaimana pula jika ianya turut disertai para bekas menteri seperti Syed Hamid Albar, Dato' Shahrir dan sebagainya. Ini akan memberi satu "force" yang kuat bagi gerakan tuntutan royalti ini, khususnya menerusi majlis penerangan seperti ini. Itu belum lagi diambil kira jika PAS membawa isu ini hingga peringkat demonstrasi seperti pernah diucapkan Sallehuddin Ayub, Naib Presiden PAS bahawa PAS akan kaji kemungkinan membawa isu ini ke jalan raya.

Nampaknya isu ini semakin melebar dan tidak mustahil ianya akan menjadi salah satu isu besar pada PRU13 nanti jika kerajaan Pusat masih bertegas tidak mahu memberikan royalti.Pokoknya isu ini berpunca dari Kerajaan Pusat sendiri yang menarik balik royalti kepada Terengganu semasa Terengganu ditadbir PAS, dan terpulanglah pada kerajaan Pusat untuk mencari jalan penyelesaiannya.

No comments:

Post a Comment