Friday, January 21, 2011

DUN Tenang, PAS dan BN berentap


Pada hari ini penamaan calon bagi PRK DUN Tenang, Labis, Johor. Nampaknya pertandingan 2 penjuru akan berlaku walaupun ura-ura ada calon bebas tetapi sehingga jam 11 pagi hanya dua calon yang pasti bertanding.

PAS telah menamakan ketua Muslimat PAS Labis, Normala Sudirman, 38, bagi mewakili Pakatan Rakyat manakala BN pula meletakkan bekas bendahari Pemuda Umno Labis Mohd Azahar Ibrahim, 39, bagi mempertahankan kerusi BN itu.

Sejak seawal jam 6 pagi lagi, penyokong parti masing-masing berkumpul di markas dan ibu pejabat parti masing-masing.

Semua calon dikehendaki menyerahkan borang mereka mulai jam 9 pagi hingga 10 pagi. Ini diikuti oleh tempoh bantahan selama sejam jika ada. Nama-nama calon yang layak beertanding kemudiannya akan diumumkan selepas jam 11 pagi nanti. Jika ada pertandingan, pengundian akan dijalankan pada 30 Januari depan.

Kerusi Tenang kosong ekoran kematian Datuk Sulaiman Taha di Hospital Pakar Ampang Puteri di Ampang pada 17 Disember lalu kerana jangkitan kuman dalam darah serta suhu badan yang tidak stabil.

Seramai 14,753 pengundi yang melibat 14,735 pengundi biasa dan 18 pengundi pos, layak memilih ADUN Tenang.

Seramai 5,635 pengundi Cina di Tenang dilihat menjadi kunci untuk mengurangkan majoriti BN sekiranya ia dapat mempertahankan kerusi tersebut dalam pilihan raya kecil 30 Januari depan.

Pengundi Melayu, yang majoritinya merupakan penduduk perkampungan Melayu dan peneroka tanah rancangan Felda, adalah penyokong tradisi Umno.

Proses penamaan calon akan diadakan di Majlis Daerah Labis manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis akan dijadikan pusat penjumlahan undi.

Persoalannya mampukan PAS membuat kejutan di Tenang. Hanya pengundi yang akan menentukannya, tetapi dilihat dari segi calon, PAS lebih kedepan apabila memilih calon muslimat sebagai mewakili PAS dan PR secara telus dan diterima ramai. Sedangkan calon BN , nampaknya ada sedikit cakap-cakap kurang senang kerana dia bukannya calon "popular" dan dikatakan bukan aktivis parti.

Bagaimanapun harus dingat bahawa Johor adalah kubu UMNO sejak dahulu lagi dan mungkinkah kali ini Johor sebagai kubu UMNO akan mengalami keretakan! Semuanya ada kemungkinan dan yang menentukan adalah pengundi.

No comments:

Post a Comment