Posting awal tahun 2011 ini saya tidak ingin menyentuh tentang perkara yang sangat diperkatakan orang masa ini iaitu isu pertemuan pemimpin PAS-UMNO dan juga isu SUK Selangor. Biarlah bloger lain menyentuhnya sampai puas dulu. Penat memikirkan hal politik yang tidak habis-habis.
Kali ni saya nak menyentuh tentang kejayaan pasukan Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki pada TAHUN 2010. Tahniah pada semua pemain pasukan harimau Malaya dan juga Rajagopal selaku Jurulatih dan juga Datuk Subhan Kamal selaku pengurusnya. Kemenangan tersebut memang dihargai oleh seluruh rakyat Malaysia.
Namun untuk memperkatakan kemenangan itu adalah petanda kebangkitan bola sepak Malaysia masih lagi terlalu awal. Bayangkan pada awal peringkat kumpulan pasukan Malaysia terumbang-ambing dan hanya bila masuk separuh akhir baru agak mantap dan seterusnya muncul Juara. Apakah itu sudah bangkit? Dan juga terlalu nakal dan tak masuk akal untuk mengatakan kemenangan ini adalah kejayaan 1Malaysia. Hanya mereka yang nak membodek sahaja mengatakan begitu.
Saya percaya bola sepak di negara kita masuh jauh lagi untuk maju. Bayangkan era 80an kita selesa ke atas Korea Selatan atau Jepun, tetapi kini kedua-dua pasukan itu adalah kelompok terbaik Piala Dunia. Pasukan Malaysia masih terkial-kial. Hanya tahun 2010 berjaya muncul Juara peringkat ASEAN dan setelah menang pingat emas Sukan SEA juga diperingkat Asean.
Bagaimanapun kemenangan Piala Suzuki benar-benar memberi tuah pada para pemain. Selain Kementerian Belia dan Sukan yang telah menjanjikan habuan wang tunai, pihak kerajaan negeri juga berlumba-lumba memberi imbuhan pada anak negeri masing-masing yang menjadi pemain kebangsaan itu. Kelantan, Kedah, Terengganu, dan Perak juga dilaporkan akan memberi imbuhan. Antara imbuhan dari kerajaan-kerajaan negeri itu termasuklah rumah, tapak tanah serta wang tunai.
Alangkah bertuahnya para pemain yang menerima imbuhan itu. Semoga imbuhan ini akan menaikkan lagi semannat mereka untuk terus maju ke hadapan dan meningkatkan lagi mutu permainan bola sepak Malaysia. Sama ada pihak yang menawarkan imbuhan itu benar-benar ikhlas atau mahu menumpang "mileage" atas perkara ini hanya Allah saja yang tahu. Apa pun para pemain mendapat manfaat daripadanya.
Pada pihak FAM selaku pihak bertanggungjawab terhadap kemajuan bola sepak di Malaysia tidak boleh lagi mendabik dada atas kejayaan ini. Banyak lagi kerja yang perlu dilakukan supaya ianya tidak mundur ke belakang. Tetapi sekiranya pada tahun 2011 ini atau tahun depan Malaysia gagal, lebih baik pihak pengurusan FAM berundur secara baik bagi memberi peluang orang lain menguruskannya pula.
No comments:
Post a Comment