Saturday, August 28, 2010

Isu bukan Islam berucap di masjid:adakah prasangka politik


Pada sehari dua ini heboh diperkatakan pemimpin bukan Islam dilaporkan berucap dalam masjid atau surau semasa mereka memberikan bantuan kepada masjid atau surau itu. Malah sesetengah media yang mempunyai agenda tertentu menyatakan pemimpin bukan Islam itu menyampaikan "tazkirah" satu istilah yang sinonim dengan penyampaian ilmu agama yang lazimnya disampaikan seseorang bergelar ustaz sahaja.

Stigma yang ada dalam pemikiran masyarakat Islam di Malaysia hari ini bahawa orang bukan Islam tidak sepatutnya boleh berada dalam masjid, apa lagi menyampaikan ucapan. Bagaimanapun jika di negara luar perkara ini adalah bukannya sesuatu yang pelik. Bahkan di universiti-universiti luar seperti Universiti St Andrew, England atau di negara-negara Timur Tengah misalnya, profesor yang mengajar agama Islam adalah bukan Islam. Dan mereka ini pakar dalam agama Islam tinggal lagi "hidayat" Allah belum lagi membuka hati mereka. Mereka fasih berbahasa Arab, membaca Quran bahkan menghafal Quran berbanding kita yang dah berpuluh tahun Islam tetapi baca Quran pun merangkak-rangkak.

Kalau profesor-profesor ini memberi tazkirah tentang Islam memanglah sesuai kerana mereka pakar dan ramai pemimpin Islam dari negara kita yang pernah belajar di Universiti-universiti itu tahu perkara ini.(misalnya Dr Yusuf Noor dan Dr Abd. Hamid Othman adalah lepasan PhD dari Univ.St Andrew) Semoga suatu hari Allah membuka pintu hati mereka untuk memeluk Islam.

Dalam kes sehari dua ini, cuma nampak sedikit "tidak cermat" di pihak pengurusan Masjid atau Surau yang telah mengundang fitnah. Terutama sekali berkaitan "aurat" jika melibatkan pemimpin bukan Islam wanita. Untuk itu adalah lebih elok diadakan sahaja majlis itu dipekarangan Masjid bagi mengelak fitnah ini. Tak kiralah majlis itu menyampailkan bantuan apa pun dan dari pemimpin mana pun, dan lebih elok lagi tanpa apa-apa kain rentang berbau politik.

Suatu hal lagi golongan establishment atau penguasa agama yang memperbesarkan perkara itu juga melihat keadaan ini dari kaca mata politik. Itu yang susahnya. Kalau semuanya melihat dari "kaca mata dakwah" alanglah eloknya. Malah Masjid Negara yang menyediakan jubah bagi bukan Islam wanita untuk memasuki Masjid Negara adalah melihat dari kaca mata dakwah.

Malah sesetengah NGO yang menunjukkan mereka amat peka dan memperbsarkan perkara ini seolah-olah mereka saja yang berjuang menjaga Islam sebenarnya hanya mengambil isu ini bagi mileage politik mereka juga. Dan mereka juga adalah bukannya "kaki masjid" sebenarnya, kalau kaki karaoke atau lain tidak tahulah.

Untuk itu saya percaya jika semua pihak berhati-hati dan cermat dalam perkara ini terutama pengurusan Masjid atau Surau, fitnah ini dapat dielakkan dan dapat menjadikan majlis seumpama ini (yang dihadiri pemimpin bukan Islam) sebagai satu medan dakwah yang baik sempena bulan mulia ini.

No comments:

Post a Comment