Dalam keadaan tak semena-mena isu perpaduan Melayu timbul semula khususnya melibatkan perpaduan antara PAS-UMNO. Anehnya tidak seorang pun yang meyelitkan perkataan penglibatan sama Melayu dari PKR.
Isu perpaduan Melayu ini bermula semula atau "bergema semula"selepas satu Majlis Wacana di Kota Bharu pada 10 Julai lalu. Dalam Wacana tersebut Wakil UMNO iaitu Lokman Nor Adam (Panel Pemikir JASA) dan juga Affandi Yusuf telah berforum di atas tajuk "BOlehkah Melayu Bersatu? bersama-sama YB Dr Mujahid Yusuf Rawa(PAS) dan Ustaz Mohd. Asri Zainal Abidin, bekas Mufti Perlis serta Prof Madya Mohd.Agus Yusuf sebagai moderatornya.
Dalam Wacana tersebut Lokman telah menyatakan "perjuangan Islam PAS akan lebih mudah sekiranya berpadu dengan UMNO" termasuk hasrat PAS melaksanakan hudud akan lebih mudah dilaksanakan jika bersatu dengan UMNO. Walaupun kenyataan itu dibahaskan oleh YB Mujahid yang menjelaskan bagaimana PM Dr Mahathir sendiri waktu itu telah ,menulis surat pada kerajaan Kelantan memberi amaran tentang pelaksanaan hudud itu.
Bagaimanapun pada keesokannya berita banyak melaporkan pandangan hasrat perpaduan UMNO_PAS ini dengan memberikan lebih berita pada kenyataan Lokman Nor Adam. Dan dari itu timbullah satu siri baru isu perpaduan yang digendangkan kembali termasuk oleh TPM dan juga dibalas Menteri Besar Kelantan kerana pada 15 Julai lalu TPM ke Kelantan merasmikan mesyuarat UMNO.
Sepereti biasa selepas kuliah Jumaat, Tok Guru MB Kelantan ditanya pemberita berkaitan isu ini dan beliau menjelaskan beliau sedia berbincang dengan UMNO bagi isu-isu yang selain dari perpaduan UMNO-PAS seperti isu royalti minyak dan sebagainya. Kenyataan MB Kelantan itu jelas dan ditambah pula dengan kenyataan akhbar yang dikeluarkan sehari sebelumnya bertarikh 14 Julai seperti diperturunkan di bawah;
Tiada lagi Rundingan PAS~UMNO“
Kenyataan Akhbar YAB Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat,Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.
Sukacita saya merujuk kepada laporan beberapa akhbar hari ini (14 Julai 2010), khususnya menyentuh permasalahan hubungan PAS dengan Umno.
Sukacita dinyatakan, isu berunding antara PAS –Umno sudah selesai. PAS sudah menolak untuk berunding dengan Umno. Sekarang PAS sudah menerima kerjasama dalam Pakatan Rakyat.
Kalau Umno ingin sangat menjaga perjuangan orang Melayu, lebih baik Umno menukar dasarnya kepada Islam. Kerana Islam yang menyelamatkan manusia dan kita harus ingat penghujung hidup manusia adalah Akhirat. Sebab itu, Islam mengajar hidup manusia mesti berpandukan ad-Din, iaitu cara hidup berpandukan agama. Hanya agama diambil kira di Akhirat.
Atas maksud untuk memenuhi tuntutan hidup beragama, maka setiap kali umat Islam sembahyang, hendaklah membaca al-fatihah yang di dalamnya mengandungi perkataan “maliki yaumiddin” yang bermaksud hari agama, hari berlakunya pembalasan mengikut neraca agama. Sementara agama itu pula terkandung di dalam 30 juzuk al-Quran.
Oleh sebab itu, Islam mengajar kita supaya menerima pakai semua ayat al-Quran sebagai panduan hidup. Kita tidak boleh pilih untuk pakai ayat-ayat tertentu, sementara ayat-ayat tertentu pula kita tolak.
Atas prinsip agama begini, maka PAS selama 20 tahun mentadbir Kelantan adalah hasil daripada sokongan semua bangsa dan agama dan merekalah yang mengundi PAS atas nama Islam. Kalau tidak masakan PAS dapat menang besar tahun 1990 dan 2008 lalu.
Apa yang berlaku di Kelantan adalah sebagai bukti bahawa dasar Islam diterima oleh majoriti rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik, termasuklah orang Umno turut menyokong dasar Islam yang dibawa oleh PAS.
Pada saya, kalau Umno tukar dasarnya daripada Melayu kepada Islam, maka Umno boleh bersama PAS dalam Pakatan Rakyat. Bila Umno boleh bersama PAS atas dasar Islam, orang Islam makin kuat dan politik Melayu bertambah kukuh.
Sekaranglah masanya untuk Umno menukar dasar Melayunya itu. Jangan terikut-ikut dengan puak Yahudi. Kerana pengasas perjuangan bangsa itu adalah puak Yahudi. Ia disambung pula oleh puak Arab. Sedangkan perjuangan atas dasar kaum atau bangsa tidak diterima di sisi Nabi Muhammad SAW. Sedangkan di akhirat kelak kita akan masuk syurga. Untuk masuk syurga mestilah dengan syafaat Nabi. Macam mana untuk mendapat syafaat Nabi sekiranya kita berjuang tidak mengikut seruan Nabi.
Wallahu’alam.Walaupun agak jelas pendirian Menteri Besar Kelantan, tetapi akhbar masih lagi memainkan isu ini. Pada hari sabtu keluar kenyataan dua orang ahli akademik Islam dan seorang mufti. Mereka ialah Prof Datu Mahmud Zuhdi, Prof Mohd Yusuf Hussin dan juga Tan Sri Harussani. Bagi pengamat siasah mereka ini dikenal pasti benar yang "mesra kerajaan" dan pada hari ini keluar kenyataan muka hadapan Tan Sri Harusani yang menyatakan orang Melayu akan hilang kuasanya dalam PRU13 ini jika tidak ada perpaduan antara PAS_UMNO.Dan beliau juga menyatakan beliau didatangi pemimpin PAS dan UMNO yang memintanya menjadi orang perantaraan.
Ini telah menimbulkan banyak polemik berterusan dan para pemimpin PAS juga telah memberi penjelasan yang lebih menyeluruh dan menyebabkan UMNO semakin tertekan keadaannya dalam isu ini. Harussani juga kemudiannya mengaku "pemimpin PAS" yang datang menemuinya itu adalah merupakan "pemimpin kecil " sahaja katanya.
Dalam hati kecil saya terasa perkara ini agak susah berlaku kerana masing-masing tidak berganjak dan tidak mahu mengalah. Saya bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Annuar Musa bahawa UMNO sebagai parti yang besar berusaha memulakan usaha ke arah ini dan pastinya ada cara untuk menunjukkan keikhlasannya.
Dalam keadaan yang ada kini agak susah juga dan PM juga sedar tentang PAS yang masih menuntut royalti minyak seperti mana kenyatannya di Sabah hari ini dan orang PAS masih merasakan seolah "dianaktirikan" dengan wujudnya kerajaan dalam kerajaan di Kelantan dan pelbagai perkara lain.
Untuk itu perlu diwujudkan terlebih dahulu elemen "persamaan" yang boleh dikongsi dan diterima kedua belah pihak bagi membincangkan "perpaduan" itu sekiranya benar-benar inginkan perpaduan sejati dan seperti kata Ustaz Asri dalam Wacana pada 10 Julai lalu bahawa asas perpaduan yang sebaik-baiknya adalah Islam, dan berpadulah atas dasar Islam serta menolak segala isme-isme lain sama ada nasionalis, sekularis apatah lagi sosialis.
wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment