skip to main |
skip to sidebar
Cermin diri sebelum perlekeh Syeikh Qaradhawi
Oleh Ahmad Muhajir
USAHA memfitnah dan memburukkan, ulama, mujahid, mujtahid, pendakwah, pemikir dan pemimpin gerakan Islam akan berulang dan berterusan, dan tiada kesudahan sampai akhir zaman.
Ini hanya pengulangan episod yang telah dilalui oleh para nabi dan rasul, sahabat, tabii tabiin, salafus salih, mereka bukan hanya difitnah dan dimaki, tetapi dihumban kedalam penjara, dipulaukan, dituduh sebagai tukang sihir dan gila, bahkan dibunuh dengan cara yang sangat kejam.
Ini pulalah yang dialami oleh Prof Dr Syeikh Yusof Al-Qaradhawi, ulama muktabar, mujahid dan mujtahid zaman kini. Beliau sudah biasa dengan penjara, dihalau atau tidak dibenar kembali ke negerinya Mesir, bahkan pada masa kini tidak boleh memasuki Amerika Syarikat dan beberapa negara Barat lainnya, ini tidak lain kerana beliau "didakwa" oleh pihak Barat sebagai ulama pengganas dengan fatwa-fatwanya yang jelas, terang dan berani, tetapi yang pasti semua beliau keluarkan setelah mengkaji nas dan hujah yang pasti.
Soal Palestin, beliau membenarkan bom bunuh diri, kerana rakyat Palestin tiada pilihan, berhadapan dengan kecanggihan senjata tentera Israel yang berbagai dan terkini, sementara rakyat Palestin atas kehendak Israel dan Barat tidak dibenarkan bersenjata, untuk mempertahankan tanah airnya yang sudah dirompak Israel melebihi 90 peratus keluasan tanah asal rakyat Palestin, di mana keadilannya?
Begitu pula soal Muammar Gaddafi, yang disebut sebagai lelaki gila dan wajib dibunuh. Hujah Qaradhawi sangat jelas, kerana sejak berkuasa sudah 42 tahun, sang kolonel telah menghumban ke penjara ribuan ulama dan pemimpin gerakan Islam, bukan hanya dikalangan Ikhwanul Muslimun Libya, tetapi ulama dan pemimpin lain yang ingin menegakkan kebenaran dan keadilan.
Gaddafi jelas tidak berminat dengan Islam, lihatlah buku hijau (kitabul akhdar/greenbook) yang dikeluarkannya, semua isinya berfaksikan sosialisme, adalah sedikit dibawa-bawa kata-kata Islam atau sedikit dipengaruhi oleh wahyu. Itupun mengikut penafsirannya. Hadis tiada langsung dalam buku itu, kerana dia sangat anti dengan hadis. Belum lagi pengalaman sahabat penulis, yang pergi ke kem latihan tentera Libya tahun 1984, bertemu dengan mereka yang dilatih dari beberapa negara luar termasuk dari Asean, sahabat ini bertanya tentang Nabi Muhammad dan nama para sahabat serta ulama-ulama dahulu.
Tiada satupun yang tahu, mereka hanya kenal JB Tito, Breznev, Stalin, Lenin, Mao Zhe Dong, kerana memang pelatihnya zaman itu adalah dari negara-negara komunis. Zaman itu Gaddafi begitu lantang dan berani melawan Amerika Syarikat dan Barat, sebab masa itu negara komunis terutama negara Rusia bersekutu masih hebat, dan tiada langsung suaranya mengkritik kekejaman Rusia di Afghanistan, dan berapa banyakkah bantuan yang diberikan Libya untuk rakyat Palestin.
Syeikh Qaradhawi, adalah ulama yang sangat sederhana, kerana kealiman dan kehebatan ilmunya, beliaulah yang menyedarkan aktivis gerakan Islam terutama daripada kalangan muda yang berada dalam garis almustakjilun (kumpulan pelampau) yang mahu bertindak keras, gopoh, tanpa perhitungan yang arif. Dan Qaradhawi sangat tidak setuju dengan tindakan keganasan di negara-negara yang aman dan damai, termasuklah di Indonesia dan Malaysia, bahkan Qaradhawi begitu mengharapkan Indonesia dan Malaysia akan menjadi tonggak kebangkitan umat, sebagaimana harapan Malik Ben Nabi, cendekiawan Afrika Utara beberapa puluhan tahun yang lalu.
Sebagaimana ulama dan pemimpin Ikhwan yang lain, Qaradhawi menganjurkan jalan tengah yang sederhana, menjauhi kekerasan apalagi keganasan, ini juga yang menjadi manhaj Ikhwan, tetapi kerana Ikhwan memperjuangkan Islam yang syumul, Islam adalah segala-galanya, meliputi semua aspek dan bidang kehidupan, dunia dan akhirat.
Makanya musuh dan Barat tidak suka, jadilah Ikhwan dan pemimpinnya terus dicaci, difitnah dan dipenjarakan. Kebangkitan rakyat Mesir baru-baru ini, Ikhwan macam tidak nampak menonjol, tetapi pemimpin dan aktivisnya jelas mengambil bahagian yang aktif, bahkan para doktornya terlibat jelas membantu, para demonstran yang luka atau yang mati.
Pengalaman masa lalu, mengajarkan Ikhwan lebih berhati-hati, dalam beberapa kebangkitan lalu, Ikhwan hanya dibawa bersama masa kumpulan nasionalis dan sosialis tersepit. Apabila sudah berhasil Ikhwan dicampakkan, bahkan difitnah dan sebahagian pemimpinnya dipenjarakan. Kini Ikhwan berwaspada dan lebih realistik, boleh bersama apa sahaja aliran dan kumpulan Islam dan bukan Islam, untuk membangunkan kembali demokrasi serta menguruskan masa depan negara Mesir. Ini kemajuan yang luar biasa, menampakkan Ikhwan sangat sederhana dan ingin mempersembahkan Islam itu adalah rahmat untuk semua.
Itulah sikap Ikhwan dan ini jelas dari buku yang ditulis oleh Mursyidul Amnya yang kedua Dr Syeikh Hasan al Hudhaibi, dakwah kita adalah menyeru "du’at la qudat" pendakwah bukan pendakwa, kita hanya mengajak umat manusia kepada Islam, akhirnya yang menentukan adalah hidayah daripada Allah SWT.
Syeikh Qaradhawi telah menampakkan bagaimana adabnya yang tinggi, menghormati ulama zaman dahulu, baik ulama empat mazhab, mahupun ulama daripada berbagai-bagai aliran apa sahaja, dan yang mempengaruhi pemikirannya adalah Syeikh Ibnul Qayyim al Jauziyah, sama-sama murid Syeikh Ibnu Taimiyah dengan mufassir Syeikh Ibnu Katsir.
Bahkan dengan ulama-ulama yang didakwa sebagai "Wahabi", Qaradhawi berhubung dengan mereka, dengan debat dan polemik ilmiah yang santun dan saling menghormati, seperti Syeikh Nasiruddin al Bani dan Syeikh Abdul Aziz bin Baz, tidak seperti sesetengah pihak menghentam berbagai-bagai ulama yang dia tidak suka, dan menaikkan beberapa ulama lain yang dia suka. Bagi Qaradhawi semua ulama dahulu dan kini adalah mutiara, yang dapat diambil kehebatan ilmu dan diteladani kewarakan serta kezuhudannya, soal kekurangan dan kelemahannya itu, biarlah menjadi urusan mereka dengan Allah SWT.
Apa yang dilalui Qaradhawi kini, ini jugalah yang dialami pemimpin, ulama dan pejuang Islam di Indonesia dan Malaysia, mereka yang berjuang merebut kemerdekaan, setelah merdeka kemudian pejuang ini akan difitnah dan diburukkan sebagai pengkhianat atau anti nasional, dan jadilah mereka dimasukkan sebahagiannya ke penjara, sebagaimana dialami tokoh-tokoh parti Islam Masyumi, begitu juga pengalaman Dr Burhanuddin al Helmy, pejuang kemerdekaan Tanah Melayu, sebelum meninggal dipenjarakan dalam ISA berapa tahun lamanya.
Jadi siapalah kita nak memburuk atau menuduh Syeikh Qaradhawi dengan label yang bukan-bukan. Berapa buku yang sudah kita tulis, siapa yang sudah kita dakwahi, adakah keteladanan dan karisma kita yang dihormati oleh dunia Islam atau ditakuti oleh pihak Barat. Syeikh Qaradhawi tidak terdengar menipu, berbohong apalagi memusuhi atau memfitnah anak bangsanya atau sesama Islam dan juga tidak menzalimi mereka yang bukan Islam, dan tiada pula terdengar isterinya hidup mewah-menggunakan harta rakyat Mesir atau Qatar, kerana keluarganya dinaungi oleh tarbiyah yang berterusan bercahayakan al-Quran dan As Sunnah dan semua anak-anaknya adalah sarjana dan menjadi semuanya.
No comments:
Post a Comment