Semua parti politik kini tertumpu ke Sarawak dengan pembubaran DUN yang berkuatkuasa isnin ini. Soalnya beranikah PM untuk membubarkan sama parlimen atau PRU DUN Sarawak nanti akan dijadikan sandaran bagi PM membubarkan Parlimen.
BN mungkin dalam keadaan selesa lalu berani membubarkan DUN kerana jika ditunggu lebih lama kelak akan memakan diri sendiri. Lebih-lebih lagi dalam suasana masyarakat yang tidak begitu sukakan Ketua Menterinya yang sudah 30 tahun menjadi Ketua Menteri. Malah jika Sarawak bertangguh lagi dikhuatiri akan banyak lagi "kemungkaran ekonomi" pentadbiran kerajaan Sarawak akan terbongkar. Dan natijahnya akan menyebabkan BN Sarawak akan sesak nafas.
Dalam pada itu pakatan pembangkan Sarawak didapati masih lagi berebutkan kerusi untuk bertanding khususnya di kalangan PKR dan SNAP yang boleh mencetuskan kelemahan pada pihak pembangkang. Kalau berdasarkan PRU12 dahulu, pertandingan satu lawan satu akan menyebabkan BN mengalami kemerosotan kerana pembangkang dapat bersatu. Kalau tidak dapat mengemukakan satu lawan satu, dikhuatiri juga pakatan pembangkang akan tewas pada BN nanti.
Bagaimanapun penulis rasakan parti DAP akan menonjol kali ini khususnya di kawasan majoriti Cina. PKR agak sukar menembusi undi bumiputera Sarawak secara total. Tetapi jika sebahagian undi bumi diperolehi PKR dan ditambah undi Cina maka PKR berkemungkinan dapat memenangi sesuatu kerusi di kerusi pengundi campuran. Manakala PAS masih lagi dalam usaha untuk bertapak dan jika menang satu kerusi pun boleh dianggap berjaya dan PAS mungkin akan bertanding satu atau dua kerusi sahaja.
Maka pengemudi utama pakatan pembangkang adalah PKR. Sekiranya PKR dapat mengemukakan calon berwibawa dan berlaku pertandingan satu lawan satu dengan BN, PKR masih ada harapan.
Bagaimanapun ini adalah pandangan awal, sebelum masuk bertanding dan gelanggang baru dibuka. Mungkin selepas masa berkempen nanti akan lebih jelas pola atau corak pengundian masyarakat Sarawak dalam PRU DUN Sarawak kali ini.
No comments:
Post a Comment