Wednesday, April 28, 2010

Salam dan selamat sejahtera...kembali selepas sakit

Agak lama saya tak updatekan blog ini iaitu dari 21 April lagi gara-gara saya ditimpa masalah kesihartan. Alhamdulillah kini semakin baik walaupun masiHh kebas tangan semasa mengetuk keyboard ini. Saya kena sindrom serangan awal stroke- minor stroke dengan terasa kebas badan sebelah kanan. Dah dua tiga kali berurut, alhamdulillah semakin pulih.

Tekanan darah juga kini kembali stabil. Untuk itu saya memohon maaf pada para penjenguk yang mendapati tiada perkembangan pada blog ini dan saya alu-alukan kalau ada cadangan dari semua jika ada bagi mengatasai masalah penyakit saya ini - berkongsi pengalaman terutama cara-cara pengubatannya.

Sorotan PRK Hulu Selangor saya terlepas malah melihat perkembangan dalam media pun saya terlepas juga. Baru sehari dua ini saya jenguk media baru dan dapatlah rasai denyut nadi pertembungan politik dan "pembelian undi" melalui peruntukan projek yang hebat dalam PRK itu. Insya Allah saya akan cuba mengupasnya dalam posting akan datang. Salam hormat.

Saturday, April 17, 2010

Nisbah guru lelaki dan wanita akan diseimbangkan?


Pihak kementerian pelajaran difahamkan akan membuat pengambilan guru pelatih yang lbih seimbang antara lelaki dan perempuan mulai tahun ini seperti dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pelajarannya Yb Fuad Zarkashi. Nampaknya pihak kementerian pelajaran mulai menyedari masalah yang timbul ekoran pengambilan yang tidak seimbang mengikut gender itu. Begitu juga dengan nisbah pengambilan pelatih dari Semenanjung dan Sabah serta Sarawak akan cuba diimbangi.

Ini bagi membolehkan kementerian menghantar balik guru pelatih tersebut ke Sabah dan Sarawak dan mengurangkan penghantaran guru terlatih dari semenanjung seperti yang diamalkan pada masa lalu.

Nisbah guru pelatih lelaki, wanita diseimbangkan Apr 16, 10 4:50pm

Mulai tahun ini, nisbah pengambilan calon lelaki dan wanita untuk mengikuti kursus latihan perguruan akan diseimbangkan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Puad Zarkashi.
Katanya pada pengambilan pelatih guru tahun ini, 50 peratus calon adalah lelaki dan nisbah sama untuk wanita di mana 40 peratus pelatih adalah dari Semenanjung dan 30 peratus masing-masing dari Sabah dan Sarawak.

"Ini adalah salah satu langkah kementerian bagi memastikan pelatih dari Sabah dan Sarawak boleh dihantar semula ke negeri asal mereka selepas tamat latihan manakala pelatih lain berkhidmat di Semenanjung.

"Ketika ini guru dari Semenanjung dihantar berkhidmat di Sabah dan Sarawak dan sebaliknya. Ini menimbulkan banyak masalah di samping kita dapat mengatasi masalah pertukaran guru ke kawasan pedalaman," katanya.

Puad berkata demikian dalam sesi dialog bersama persatuan ibu bapa dan guru dari sekolah-sekolah di sekitar Batang Kali, dekat Hulu Selangor, hari ini.

Menurutnya, pertukaran guru wanita ke kawasan pedalaman telah menimbulkan kebimbangan keselamatan dari pelbagai pihak.

"Kami juga ada kes di mana sebuah sekolah hanya mempunyai dua atau tiga guru lelaki dan mereka perlu menjaga aktiviti sukan bagi seluruh sekolah itu.

"Dalam menjaga soal disiplin, guru lelaki adalah pilihan yang lebih baik berbanding guru wanita," katanya.


Satu perkara lagi iaitu pandangan umum bahawa guru terlatih yang habis latihan khususnya dari Kelantan dan Terengganu yang banyak dihantar ke Sarawak dan Sabah terutama guru agama. Ianya dikatakan telah menimbulkan rungutan ahli politik pemerintah kerana dikatakan mereka yang dari kedua negeri itu membawa fahaman politik PAS di tempat mengajar baru mereka.

Perkara ini bukan baru malah di Kelantan sendiri golongan guru yang agak cenderung pada PAS dihantar jauh ke Hulu Kelantan atau ke sempadan Pahang di Kuala Lipis atau Jengka. Dan hasilnya kawasan hulu telah menjadi aktif dengan usaha-usaha tarbiyah politik PAS yang dihidupkan para guru yang "dibuang" ke pedalaman itu. Begitulah juga yang terjadi dengan penghantaran guru dan guru agama ke Sarawak yang telah menyebabkan munculnya PAS di sana yang digerakkan oleh mereka.

Negara ini adalah demokrasi. Rasanya tidak timbul anutan apa yang guru inginkan asalkan profesion mereka dan tugas mereka tidak terjejas. Dan aktiviti parti yang dijalankan adalah di luar waktu bertugas mereka , salahkah itu? Sedangkan di pejabat pelajaran sendiri ada pegawai kanan yang terang-terangan memegang jawatan dalam UMNO Bahagian.

Rasanya inilah satu kerugian pada politik Melayu apabila kerajaan menghalang golongan guru dari kumpulan A (sekarang kumpulan pengurusan dan profesional)mengambil bahagian dalam politik, sama ada ianya merugikan BN atau pembangkang. Sekarang golongan guru bukan lagi mendominasi politik Melayu seperti era sebelumnya yang lebih harmoni dan tidaklah "galak" dengan politik wang.

Friday, April 16, 2010

Sah 4 penjuru di PRK Hulu Selangor


Pagi ini berlangsungnya penamaan calon bagi PRK Hulu Selangor. Empat calon telah disahkan bertanding dalam PRK ini iaitu calon dari PKR, BN dan 2 dari Bebas. Pada majlis penamaan calon pagi ini ribuan penyokong BN dan PR telah membanjiri pekan Kuala Kubu Baru dan pekal kecil itu akan bertambah meriah lagi dalam masa kempen 8 hari ini sebelum hari pengundian 25 April nanti. Laporan Mstar menyebutkan 4 calon tersebut ialah P.Kamalanathan (BN), Datuk Zaid Ibrahin (PKR), Johan Mohd Diah (Bebas) dan S.Chandran (Bebas).

Walaupun ada berita yang menyatakan kemungkinan calon yang bertanding lebih dari empat orang, namun ianya tidak menjadi kenyataan kecuali seorang calon sahaja yang berminat turut menyertai tetapi gagal memasuki Dewan bagi penyerahan borang.

Hulu Selangor: Gelanggang Dibuka, Sah 4 Calon Bertanding
Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN & ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA KUBU BHARU: Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor menyaksikan empat calon bertanding pada pilihan raya kecil yang akan diadakan pada 25 April ini.

Empat yang berkenaan ialah P. Kamalanathan (Barisan Nasional), Datuk Zaid Ibrahim (Parti Keadilan Rakyat), Johan Mohd Diah (Bebas) dan S. Chandran (Bebas).

Ia diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Hulu Selangor, Norhisham Ahmad Dahlan kira-kira pukul 11.25 pagi.

"Sehingga tempoh bantahan ditutup pada pukul 11 pagi, saya tidak menerima sebarang bantahan," katanya sebentar tadi.


Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga selaku Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRK ini semua pemimpinan utama Bn telah hadir memberikan sokongan termasuk pemimpin komponen dari Sabah dan Sarawak. Mungkin beliau lupa Presiden MCA nampaknya tidak kelihatan dan hanya Timbalannya Datuk Liao Tiong Lai sahaj yang hadir. Mungkinkah Datuk Seri Chua Soi Lek masih belum bersedia untuk berjumpa orang ramai dalam keadaan namanya disebut-sebut dalam dalam ejek-mengejek antara penyokong BN dan PR pada majlis ini.

Pada majlis ini juga Datuk G.Palanivel "bekas bakal calon" yang disokong MIC turut kelihatan dan kehadirannya mendapat tepukan dan sorakan penyokongnya.Bagaimanapun seorang lagi "bekas bakal calon" sokongan UMNO Hulu Selangor, Tan Sri Muhamad Muhd.Taib juga tidak kelihatan. Mungkin dalam masa kempen nanti Chua Soi Lek dan TS Muahmad akan hadir juga nanti. Tetapi jika tidak hadir juga ada sesuatu yang tidak kena dengan keadaan di sana.

Berdasarkan keadaan keributan dalam pemilihan calon BN dan pandangan akar umbi, BN masih lagi berhadapan dengan tugas berat dalam PRK ini. Kita lihat pada peringkat awal ini moral pekerja parti BN masih belum pulih dari keributan persoalan calon sedangkan PR moral pekerja partinya agak baik dan bilik gerakannya sudahpun beroperasi sejak dua tiga hari lalu.

ADUN PKR Bakar Arang keluar parti" tepat masa masanya"



Akhbar-akhbar arus Perdana pada hari ini meletakkan di muka hadapan ADUN Bakar Arang dari PKR yang mengisytiharkan keluar parti. Tan Wei Shu telah mengisytiharkan keluar dari PKR kerna dikatakan "tidak mahu dipermainkan" lagi oleh pemimpin PKR. Namun umumnya mengesyaki beliau bertindak keluar parti setelah tidak dilantik semula sebagai ahli EXCO kerajaan negeri Kedah awal bulan ini iaitu 10 Mac lalu. Berita perletakan jawatannya menjadi isu penting pada saat kempun PRK Hulu Selangor masa kini.Dan timing atau masa perletakan jawatannya begitu baik sekali dengan suasana pada hari ini. Apakah itu satu kebetulan sahaja atau diaturkan supaya berkebetulan.

ADUN Bakar Arang Keluar Parti Tepat Pada Masa Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

RAWANG: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Tan Wei Shu meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi wakil rakyat Bebas tepat pada masanya.

Beliau berkata, perkara itu menjadi isyarat kepada pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor bahawa ahli dan pemimpin PKR sendiri semakin tidak mempercayai perjuangan parti itu.

"Ini satu petanda bahawa beliau kecewa dan tak yakin dengan PKR, timing pun memang tepat kerana ianya akan memberi satu isyarat kepada pengundi-pengundi di sini.

"Di peringkat Parlimen kita sudah tahu siapa yang keluar jadi Bebas, (sekarang) di peringkat DUN pula, ia menandakan bahawa PKR sudah sampai ke peringkat yang tak boleh dipercayai bukan sahaja oleh ahli biasa tetapi juga pemimpin-pemimpin mereka," katanya selepas mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor di Pusat Operasi BN di Bukit Sentosa di sini.

Wei Shu hari ini mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi ADUN Bebas kerana kecewa dipergunakan untuk kepentingan individu tertentu.

Beliau yang juga bekas Exco kerajaan negeri berkata, keputusannya meletakkan jawatan sebagai ADUN adalah muktamad.


Dengan perletakan jawatan ADUN tersebut, pakatan Rakyat PR di Kedah kini mempunyai 20kerusi dan BN mempunyai 14 kerusi dan 2 Bebas. Desas desus beliau meletakkan jawatan telah mula kedengaran sejak beliau tidak dilantik semula sebagai EXCO cuma pada kelmarin sahaja ianya menjadi kenyataan dengan pengistiharan beliau sendiri.

Ramai yang boleh membuat telahan isu perletakan jawatannya pada "timing" yang baik ini. Bagaimanapun dalam masa seminggu ini jangan terkejut sekiranya ada lagi Wakil Rakyat PKR yang keluar parti kerana masa ini "timing"nya begitu baik dan mungkin imbuhannya sedikit lumayan sekiranya ada.

Tetapi apakah isu perletakan jawatan ini boleh memberi kesan ke atas keputusan PRK Hulu Selangor masih boleh diperoalkan lagi. Cuma ianya menjadi "peluru" untuk BN menembak PR dalam kempen-kempen yang diadakan sahaja, kesannya kalau ada mungkin tidaklah sebesar mana. Yang beruntung mungkin wakil rakyat yang "keluar" itu, itupun jika ada imbuhan yang lumayandiberikan segera. Kalau setakat janji belum boleh diyakini lagi kerana jika BN tewas juga dalam PRK itu, mungkin janji tinggal janji. Buat apa beri kalau ianya tak memberi keuntungan apa-apa sebab tewas juga. Ada logiknya, tetapi kalau menang, mungkin lebih lumayan!

Jangan lupa juga calon Bebas yang bertanding dalam PRK Hulu Selangor ini' mereka juga boleh menjual "saham" mereka untuk menarik diri dan mengisytiharkan sokongan pada mana-mana pihak jika memperolehi "keuntungan", setidak-tidaknya dua kali ganda dari bayaran deposit pilihan raya kecil itu. Wah! untung meniaga dalam hal ini dalam masa seminggu untung 50% . Kita saksikan esok berapa ramai calon Bebas dan berapa pula yang bakal menarik diri nanti.

Thursday, April 15, 2010

Calon BN PRK Hulu Selangor terjawab petang ini



Drama disebalik rentetan peristiwa "tarik-menarik" bagi mencalonkan seseorang tokoh yang digemari antara MIC dan UMNO terjawab petang tadi apabila TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan P Kamalanathan, 44 Ketua Penerangan MIC sebagai calon BN.

Pemilihan Kamalanathan, dilihat satu kompromi diantara G.Palanivel yang disokong MIC dan Mugilan yang disokong UMNO dan kaum muda MIC. Datuk Samy Vellu yang sampai jam 10.00 pagi tadi masih lagi "berurusan" dengan TPM bagi mengetengahnya pilihannya Palani tidak juga berhasil, tetapi ada imbulan lain yang lebih menarik kalau difikirkan sebenarnya. Palani dikatakan bakal dilantik senator dan akan diberi jawatan Timbalan Menteri atas muafakat menerima Kamalanathan sebagai calon MIC.

Nampaknya di sini MIC lebih cerdik dan pandai berpolitik dari UMNO Hulu Selangor yang cuma berdegar-degar bercakap mahukan kerusi itu tetapi habuk pun tak ada apa. Yang mendapat laba ialah MIC, tanpa bersusah payah bertanding dalam Pilihan Raya , G.Palani sudah boleh berangan-angan jadi Timbalan Menteri. Dan bagi Kamalanathan pula kalau menang nanti akan jadi Ahli Parlimen. MIC dapat dua keuntungan di sini, UMNO tak dapat apa-apa.

Tetapi harus dingat itu baru janji yang belum lagi ditunaikan. Kalau hendak pastikan lagi Palani mesti dilantik senator dan Timbalan Menteri sebelum 25 April iaitu hari mengundi. Kalau tidak nanti angan-angannya akan tinggal angan-angan. Segala-galanya mungkin boleh berlaku dalam politik, janji hanya mainan di bibir. Begitu juga dengan Mugilan, yang cool dengan drama ini dan tidak menunjukkan apa-apa protes mungkin juga ada habuannya, dan pastikan ianya diperolehi sebelum 25 April juga. Kalau selepas tarikh itu banyak kemungkinan boleh berlaku. Itu pun jika ada janji serupa diberi padanya berdasarkan sikapnya sebagai "budak baik".

Apapun tunggulan hari penamaan calon nanti, barulah terjawab segala-galanya siapa yang menjadi calon yang sahih dan diterima oleh SPR dan mungkin juga calonnya lebih dari 2 orang yang akan bertanding. Khabarnya 9 borang pencalonan telah dibeli dari SPR dan jika ditolak dua untuk calon PKR dan MIC ada 7 orang lagi bakal calon yang ambil borang itu.

Wednesday, April 14, 2010

PRK Hulu Selangor:"tarik tali" siapa calon BN


PR telah mengumumkan calonnya dari PKR Datuk Zaid Ibrahim bagi mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor. PRK ini yang akan berlangsung pada 25 April ini. Bagaimanapun BN masih lagi berteka-teki siapa calonnya. Nampaknya pada kali ini PR lebih terkedepan dalam mengumumkan calon berbanding BN. Pada masa lalu BN yang lebih dahulu umumkan calonnya.

Pastinya soal menentukan calon BN "ada sedikit masalah" apabila UMNO HUlu Selangor meminta kerusi itu, manakala MIC menyatakan kuotanya. Bagaimanapun Perdana Menteri telah menyatakan calon BN kali ini tetap dari MIC tetapi belum dimaklumkan siapa nama calonnya. Inilah yang membuatkan banyak spekulasi timbul dan menggambarkan seolah-olah satu "perebutan" sedang berlaku.

Parti MIC tetap berkeras mahu menurunkan calonnya Datuk G.Palanivel yang tewas dalam PRU lalu, manakala difahamkan BN mahukan calon muka baru dari MIC. UMNO Hulu Selangor mungkin boleh melupakan hasrat untuk bertanding kerana pucuk pimpinan BN telahpun menyatakan kerusinya kuota MIC.

Pihak MIC tetap mahukan Palanivel sebagai calon, malah dalam dua mesyuarat dan pertemuan mereka pada petang ini dan akan ada lagi malam ini, MIC tetap mempertahankan Palani. JIka orang lain dipilih sesuatu di luar dugaan akan berlaku. Adakah ini cuma gertakan sahaja atau serious tidak dapat dipastikan. Kita tengoklah petang esok siapa yang diumumkan calon BN. Beranikah BN mengetepikan suara MIC pada kali ini khususnya suara Datuk Samy Vellu.

Pihak UMNO Hulu Selangor juga dikhabarkan malam ini akan bermesyuarat lagi dan masih menuntut calonnya untuk bertanding bagi menentang Zaid Ibrahim. INi kerana majoriti pengundi di Hulu Selangor orang Melayu dan Zaid juga bukan calang-calang orang kerana dia adalah bekas menteri yang tahu soal dalaman BN. Dan kalau calon MIC diletakkan mewakili BN, sentimen pengundi akan dibimbangi berpihak pada PKR.

Bagaimanapun jika wakil UMNO yang ditonjol menjadi calon akan menyebabkan keadaan lebih buruk lagi dalam BN. BN akan dicop sebagai tidak lagi berpegang pada permuafakatan sebelum ini. Ia akan jadi modal yang kuat bagi PR. Inilah dilema yang dihadapi BN hingga gagal mengumumkan nama calon lebih awal dari PR. Dan dilema ini akan dipergunakan oleh lawan sebelum sempat BN memberi penjelasan. Pusingan pertama nampaknya menyebelahi PKR dari segi pengumuman calon.

Kita tengoklah nanti pada hari penamaan calon 17 April ini, jika penyokong BN agak "sunyi" akan menambahkan lagi "duka" ekoran perebutan menjadi calon baik antara UMNO-MIC, malah sesama MIC sendiri. Keadaan pada hari sabtu nanti sudah boleh menggambarkan siapa yang akan menang dalam PRK itu nanti.

Thursday, April 8, 2010

PRK lagi di Sibu, Sarawak


Belumpun hari penaan calon bagi PRK Hulu Selangor, bahang PRK kini menular ke Sibu, Sarawak. Ini berikutan dengan kematian wakil rakyatnya Datuk Robert Lau, Timbalan Menteri Pengangkutan.Beliau berusia 68 tahun dari parti SUPP iaitu komponen BN pernah menewaskan DAP dan PKR dalam PRU lalu dengan majoriti 3235 undi.

SPR nampaknya kena mengendalikan satu lagi PRK yang BN tidak begitu gemar akhir-akhir ini kerana rekod menunjukkan BN banyak kali kecundang kesan dari tsunami PRU lalu. Bagaimanapun kali ini pastinya PRK Sibu perlawanan antara satu lawan satu sama ada BN vs DAP atau BN -PKR yang tentunya bakal membuatkan BN tidak lena tidur, dan ianya juga bakal menggambarkan suasana PRU umum di Sarawak nanti. PRK Batang Ai sebelum ini memberikan kemenangan pada BN, tetapi di Sibu belum tentu lagi kerana keadan Bandar lain dari luar bandar seperti Batang Ai. Dan keputusan di PRK Hulu Selangor sedikit sebanyak akan memberi kesan pada Sibu nanti.


MP Sibu meninggal dunia
Apr 9, 10 12:15pm
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau yang juga anggota parlimen bandar Sibu meninggal dunia hari ini akibat barah.


Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Kematiannya akan membawa kepada satu lagi pilihan raya kecil - yang kesebelas selepas pilihan raya umum 2008.

Ia juga merupakan pilihan raya kecil kedua di Sarawak selepas DUN Batang Ai.


Buat masa ini Kementerian Pengangkutan tiada Menteri atau Timbalan Menteri. Menterinya Datuk Ong Tee Keat telah tewas jawatan Presiden MCA, bakal gugur dari jadi menteri kalau ikut tradisinya. Jadi dengan ketiadaan sebarang MP yang mengetuai kementerian ini dan juga ekkosongan Timbalan Menteri lain; pasti PM Datuk Seri Najib kena melalukan rombakan Kabinet dalam masa yang terdekat ini.

MCA; masih ada lagi yang 'bermaruah" dan berprinsip


Semalam Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mee Fun telah mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Ketua Wanita MCA dan semua jawatan lainnya termasuk Senator dan Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Masyarakat. Beliau mengambil sedemikian sebagai memegang janjinya iaitu akan meletak jawatan jika Datuk Soi Lek menang jawatan Presiden MCA kerana beliau tidak boleh menerima Soi Lek sebagai pemimpin ekoran skandal video seks Soi Lek.

Tahniah kepada Chew Mee Fun atas tindakannya itu! Walaupun namanya seiras dengan nama Chu Mei Feng yang pernah menggegarkan politik Hong Kong ekoran sakndal serupa, tetapi ternyata Chew Mee Fung dari Malaysia ini lebih bermaruah dan berintegriti dengan mengambil tindakan di atas. Rupanya dalam MCA masih ada lagi pemimpin wanitanya yang memegang kuat maruah kepimpinan. Tidak dapat dipastikan sama ada beliau dulunya memang tegas dan ikhlas berjanji demikian atau terlepas cakap, apa pun sekalung tahnia pada Mee Fun!

Apa kata selepas meletak jawatan Mee Fun keluar MCA pula, kerana MCA kini dipimpin oleh Soi Lek yang terbabit skandal itu. Beranikah Mee Fun umumkan keluar MCA sebagaimanana ura-ura Lim Ah Lek hendak keluar MCA dan dipujuk ramai bekas pemimpin MCA itu; dan isytihar masuk PKR. Pasti MCA akan bergoncang jika Mee Fun bertindak demikian. Setidak-tidaknya ramai para pemimpin MCA akan memujuknya nanti. INi kerana masa ini tiada yang memujuknya supaya tidak letak jawatan Ketua Wanita MCA kecuali dari Wanita MCA sendiri. Presiden MCA buat tak tahu dan Timbalannya juga Liow Tiong Lai walaupun dulu disokong kuat Mee Fun juga buat tak tahu sahaja, seolah-olah biarkan sahaja Mee Fun pergi.

Saya pasti jika Mee Fun umum masuk PKR mereka akan terkejut dan bersama-sama memujuk Mee Fun supaya jangan tinggalkan MCA. Ingat tak dahulunya Soi Lek juga ada bermain mata dengan PKR semasa tiada jawatan parti dalam MCA ; dia dan anaknya seorang MP dari Johor mengadakan pertemuan dengan pembangkang itu yang menyebabkan tinbul desas desus lain. Paling tidak buat masa ini Mee Fun boleh berjinak-jinak dengan PR dahulu atau hadir dalam program PR. Dalam MCA pun beliau sudah tidak ada apa-apa lagi, eloklah berhijrah. Lanskap politik MCA pasti berubah kalau Mee Fun dan kumpulannya berhijrah.

Ketua Wanita MCA letak jawatan parti, k'jaan

Datin Paduka Chew Mei Fun hari ini mengumumkan peletakkan jawatannya sebagai Ketua Wanita MCA.

Pada pemilihan parti itu pada 28 Mac lalu, Chew berikrar akan melepaskan semua jawatannya jika perwakilan MCA memilih Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang terbabit dengan skandal seks DVD dilantik sebagai presiden


Bekas Presidemn MCA yang dikatakan kurang digemari UMNO juga boleh mengambil langkah serupa dengan berjinak dengan PR. Jika ini terjadi pandangan umum orang ramai meletakkan Soi Lek sebagai pencetus pada keadaan yang berlaku dalam MCA. Apa tidaknya sekurang-kurangnya dua orang telah secara terbuka menyatakan tidak dengan dengan orang "bermasalah" memimpin parti iaitu Lim Ah Lek dan Mee Fun. Tahniah pada mereka yang masih memegang maruah itu !

Friday, April 2, 2010

Kemenangan Datuk Seri Chua Soi Lek Presiden MCA; Akan adakah yang undur dari MCA


Pemerhati politik MCA kini pada episod kemenangan Datuk Chua Soi Lek sebagai Presiden MCA baru-baru ini. Perdana Menteri sendiri agak berhati-hati apabila menjawab soalan para wartawan tentang apakah Chua akan dilantik menjadi Menteri Kabinet berikutan kemenangannya itu. Beliau menyatakan akan berjumpa dan berbincang dahulu dengan Soi Lek. Manakala Soi Lek pula seolah lebih memberikan penekanan pada pengukuhan partinya dari jawatan Menteri.

Sekiranyan Soi Lek tidak diangkat menjadi Menteri akan ada dua Presiden parti komponen BN yang tidak memegang jawatan dalam kabinet iaitu Datuk S Samy Vellu, Presiden MIC dan Chua Soi Lek, Presiden MCA. Yang lain semua nya ada dalam kabinet termasuk Tan Sri Soo Koon, Presiden GERAKAN meskipin kalah dalam PRU umum lalu dan menjadi Menteri melalui kerusi Senator.

Pemerhati juga sedang melihat perkembangan Ketua Wanita MCA. Datin Paduka Chew yang dikatakan akan meletak jawatan sekiranya Chua Soi Lek menang Presiden MCA. Beliau disifatkan sebagai seorang penyokong kuat bekas Presiden Ong Kaa Ting. Sekiranya betul beliau akan letak jawatan dalam parti, ia akan memberi tekanan pada Soi Lek.

Manakala dilaporkan juga bekas Timbalan Presiden MCA dahulu iaitu Lim Ah Lek akan keluar dari MCA kerana tidak dapat menerima MCA dipimpin oleh seorang yang moralnya dipersoalkan. Ini juga akan memberikan gambaran yang kepimpinan MCA yang baru dipilih khususnya Presiden yang masih tercalit isu moral tidak dapat diterima sebilangan ahli parti. Apakah selepas ini Chua Soi Lek akan berdepan dengan tentangan yang lebih hebat lagi. Nampak urusan dalam MCA masih belum selesai sepenuhnya dan menantikan masa untuk bergelodak kembali.

Malahan masyarakat sedang menanti keputusan kerajaan apakah Presiden MCA baru itu akan menjadi Menteri dan apakan penerimaan masyarakat nanti khususnya dari kalangan kaum wanita. Pastinya pembangkang akan eksploitasi isu ini untuk kepentingan politiknya dan Chua Soi Lek akan dibandingkan dengan isu lain selepas ini. Adakah isu moral beliau itu juga akan menjadi"bebanan" pada MCA dan juga BN dalam PRU13 nanti. Hanya masa dan penerimaan masyarakat menentukannya.

PRK Hulu Selangor 25 April


Pihak SPR yang telah bermesyuarat hari ini telah memutuskan tarikh PRK bagi kawasan Parlimen Hulu Selangor akan diadakan pada 25 April 2010 iaitu hari Ahad. Ini pasti melegakan semua pihak kerana sebelum ini pihak SPR pernah memilih hari bekerja sebagai hari mengundi, bukannya hari cuti atau hari minggu seperti Sabtu atau Ahad.

Kekosongan kawasan Parlimen ini berikutan kembalinya ke Rahmatullah Ahli Parlimennya iaitu Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad dari PKR. Ini adalah ketentuan Allah, walaupun SPR agak keberatan mengadakan PRK Kota Seputih di Kedah tetapi badan ini terpaksa juga mengadakannya di Hulu Selangor. Mungkin kawasan ini peluangnya 50-50 antara BN dan PR , maka ianya diterima baik semua pihak itu.

"Suruhanjaya Pilihan Raya sebentar tadi mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor ditetapkan pada Ahad, 25 April.Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu, 17 April.

Beliau membuat pengumuman itu selepas mengadakan mesyuarat selama dua jam di pejabatnya di Putrajaya.

Katanya, SPR menerima pemakluman kekosongan kerusi Hulu Selangor pada 29 Mac oleh speaker Dewan Rakyat.

Writ pilihan raya akan dikeluarkan hari ini - 2 April dan notisnya pula akan dikeluarkan tiga hari selepas itu.

SPR juga mengumumkan pelatinkan pegawai daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahalan sebagai pegawai pengurus pilihan raya dan tujuh orang pembantunya."


Pihak PR telah memberikan kepercayaan pada parti PKR bagi bertanding kerana kerusi tersebut kuota PKR , manakala BN masih lagi belum tentu berikutan pihak UMNO Bahagian dikatakan ingin bertanding walaupun kerusi itu secara tradisinya milik MIC. Ini yang menyebabkan BN agak tidak gembira dengan PRK ini kerana masalah menentukan siapakah calonnya. Sekiranya UMNO bertanding nanti akan dikatakan merampas kerusi MIC dan akan diboikot pengundi keturunan India yang boleh menyebabkan peluang BN tipis. Kalau MIC bertanding pun akan timbul juga rungutan pemimpin UMNO Bahagian yang menyatakan peluang mereka lebih baik berbanding MIC. Kedua-duanya merupakan dilema pada BN.

Walau bagaimanapun atas semangat demokrasi kita harap PRK ini akan berjalan lancar tanpa insiden yang tidak diingini dan rakyat kawasan itu bebas membuat pilihan Wakil Rakyat yang mereka ingini sama ada dari kerajaan atau pembangkang.

Thursday, April 1, 2010

Sambutan Hari Pahlawan: Alhamdulillah tiada lagi amalan syirik



Pada 31 Mac lepas Menteri Pertahanan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan bahawa Sambutan Hari Pahlawan akan diadakan di Putrajaya 31 Julai ini dan tidak akan diadakaN di Tugu Negara lagi. Kenyataan juga menyatakan bahawa ianya sebagai mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengatakan sambutan tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung yang menyerupai manusia.

Semua pihak telah menyamnbut baik pengumuman ini. Pihak Parti PAS juga telah menyambut baik usaha ini dan mengalu-alukannya walaupun ia telah menuntut perkara ini telah lama dahulu. Bekas Mufti Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin juga sebelum ini secara terbuka memyuarakan bantahan sambutan hari pahlawan di hadapan Tugu Negara. Namun walau pun pelbagai pihak membuat teguran dan bantahan, pihak kerajaan tetap melakukannya dan semua Perdana Menteri dari dahulu hingga sekarang telah terlibat dengan sambutan di hadapan Tugu Negara itu.

Walau bagaimanapun alhamdulullah, perkara ini telah ditiadakan lagi dengan pengumuman di atas. Dan kita bersangka baik bahawa hendaknya selepas ini tiada lagi program Hari Pahlawan dan seumpamanya diadakan di hadapan patung Tugu Negara. Harapnya ianya " panas hingga ke petang" dan jangan pula "ada hujan di tengah hari". Ini kerana dulu pernah kita tidak menyambut Tahun Baru Masihi kerana tragedi Tsunami, tetapi kemudiannya diadakan pula.

Lokasi Hari Pahlawan berpindah ke Putrajaya
2010/03/31
KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini memutuskan lokasi sambutan Hari Pahlawan yang sering diadakan di Tugu Negara pada setiap 31 Julai akan dipindahkan ke Putrajaya, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pemindahan lokasi itu adalah sebagai mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini yang menyatakan sambutan itu tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung menyerupai manusia.

"Pada tahun ini kita akan adakan sambutan di satu tempat yang tertakluk kepada Perdana Menteri tetapi dataran tetap akan dibuat atas persetujuan bersama antara Kementerian Pertahanan, Polis Diraja Malaysia dan Jakim.

"Elemen-elemen perayaan kali ini akan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Jakim dan disahkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Zahid berkata, perkara itu turut dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malah beliau meminta permbinaan dataran yang berkeluasan dua hingga tiga ekar itu disegerakan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata pihaknya akan menimbang cadangan bagi menjadikan dataran itu sebagai tempat perhimpunan yang menepati kehendak Majlis Fatwa Kebangsaan dan pada masa yang sama dapat memberi gambaran kepada masyarakat tentang pengorbanan dan jasa pahlawan negara.
Menurut laman portal Majlis Fatwa Malaysia (http://e-fatwa.intranetportal.my), telah diwartakan dua fatwa mengenai Hari Pahlawan iaitu amalan seperti tiupan "Last Post", bertafakur dengan menundukkan kepala, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan "Rouse" yang dilakukan di hadapan tugu dalam upacara menyambut Hari Pahlawan adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

Selain itu bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan dengan syarat tidak dilakukan di hadapan tugu atau di tempat atau dalam suasana yang dilarang oleh syarak. - Bernama


Adalah diharapkan juga pihak kerkuasa agama menasihatkan pihak pemerintah supaya mengkaji semula perkara-perkara lain yang menyerupai amalan di atas seperti upacara menepung tawar sesuatu seperti kapal terbang baru atau kapal selam baru, bangunan baru dan sebagainya. Ini kerana amalan ini tidak memberi sebarang manfaat dan bimbang juga jika jatuh pada amalan syirik. Kalau tidak syirik pun ianya amalan membazir atau melalaikan sahaja. Elok diadakan sahaja Solat Hajat bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan dari Allah SWT, daripa diadakan upacara Tepung Tawar dan sebagainya.

Sebenarnya masih banyak lagi tinggalan budaya dari zaman Hindu-Buddha yang diamalkan atas nama kebudayaan Melayu. Pihak berkuasa agama harus bertindak dengan bijaksana memberi nasihat kepada pemerintah mengenai perkara ini.

Tun Dr.Mahathir: Terlalu kuat susah, lemah pun susah


Pada Ahad lepas Dr Mahathir telah diundang untuk merasmikan Mesyuarat Agung PERKASA, sebuah NGO yang baru ditubuhkan. Beliau menggantikan DYMM Sultan Selangor yang menolak jemputan PERKASA merasmikan perhimpunan itu. Dalam ucapan perasmiannya Dr.Mahathir mengkritik partinya sendiri UMNO dengan mengatakan kepercayaan orang-orang Melayu terhadap UMNO sebagai pembela orang Melayu terhakis menyebabkan muncul NGO-NGO yang memperjuangkan orang Melayu.

"Kepercayaan orang Melayu terhadap Umno sebagai pelindung nasib mereka kini terhakis dan Melayu kini perlu berusaha untuk melindungi diri mereka sendiri, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad."

"Maaf saya katakan, wujudnya begitu ramai NGO Melayu yang memberi tumpuan masalah Melayu kerana terhakisnya kepercayaan mereka kepada UMNO sebagai pelindung nasib mereka,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Dr. Mahathir juga mengatakan lagi bahawa selepas PRU12 pada tahun 2008, UMNO-BN hampir-hampir kalah dan hanya dapat menubuhkan sebuah kerajaan yang lemah. Dan ekoran dari kelemahan kerajaan BN yang ditunjangi UMNO menyebabkan kerajaan tidak dapat menjuarai perjuangan Melayu, tambahan pula tuntutan-tuntutan yang tidak sepatutnya dari pihak pembangkang.

"Menurut Mahathir, prestasi Umno pada pilihan raya tahun 2008 adalah terlalu buruk dan Barisan Nasional (BN) hanya mampu menubuhkan kerajaan yang lemah, yang dilihat sebagai tidak berupaya mempertahankan kedudukan orang Melayu.

“Kita lihat seolah-olah kerajaan memberi layanan kepada mereka daripada apa yang ada pada kita. Saya tak kata kerajaan berat sebelah tetapi lemah kerana ada sipolan yang tak tau Umno dan BN hampir kalah."


Lalu saya teringat akan bidasan Dr.Mahathir terhadap kepimpinan Perdana Menteri yang dipilihnya Datuk Abdullah Badawi. Abdullah Badawi telah mencapai kemenangan yang besar dalam PRU 11 pada tahun 2004 dan BN mempunyai majoriti lebih dua pertiga di Dewan Rakyat. Dalam bidasannya terhadap kerajaan pimpinan Abdullah Badawi , Dr.Mahathir menyatakan bahawa sebuah kerajaan yang terlalu kuat tidak baik dalam sistem demokrasi. Ianya perlu ada check and balance dan peranan pembangkang amat diperlukan bagi menyuarakan suara rakyat.

Malah Dr.Mahathir terus-terusan mengkritik Abdullah dan menantunya Khairy Jamaluddin dengan merujuknya sebagai "budak tingkat empat" yang berkuasa di JPM. Kini suara Mahathir sudah terbalik dengan mengatakan kerajaan BN kini terlalu lemah dan tidak berupaya menjadi pelindung pada orang Melayu. Untuk itulah PERKASA dan NGO lain muncul memperjuang nasib Melayu dan beliau menyeru PERKASA supaya berperanan secara bijak dalam memperjuangkan nasib orang Melayu.

Lantas saya teringat pada satu filem P.Ramlee di mana watak seorang apek yang ingin membunuh diri tetapi tidak berjaya...hidup pun susah, mati pun susah... Itulah yang dihadapi BN kini, dulunya tahun 2004 terlalu kuat, pun susah; kini tahun 2009-2010 lemah...lagi susah..