Sunday, July 31, 2011

Ramadhan: Kemenangan ke atas kebatilan, kezaliman

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Ogos: Bulan Ramadhan adalah bulan kemenangan kepada kebenaran ke atas kebatilan dan kezaliman, kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib.

"Pada bulan ini kita diseru memperbanyakkan ibadat kepada Allah SWT. Di antara ibadat yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w ialah saling menasihati sesama muslim untuk kesejahteraan di dunia dan juga di akhirat," ujarnya dalam perutusan sempena Ramadhan tahun ini.

Jelasnya, di antara kemungkaran yang besar ialah apabila undang-undang Allah yang berteraskan keadilan ditinggalkan.

Maka, ujarnya pada bulan Ramadhan ini, isikannya dengan ketaqwaan yang jitu berdasarkan ilmu dan kefahaman yang sebenar tentang Islam agar kita memiliki kekuatan untuk merobohkan kezaliman di negara ini.

Berikut perutusan penuh beliau.

Alhamdulillah kita dipanjangkan umur oleh Allah SWT pada tahun ini untuk bersua kembali dengan bulan yang amat ditunggu-tunggu oleh seluruh penghuni langit dan bumi iaitu bulan ramadhan. Pada bulan Ramadhan inilah segala pintu keampunan dan kerahmatan Allah SWT dibuka seluas-luasnya.

Bulan Ramadhan adalah bulan kemenangan kepada kebenaran ke atas kebatilan. Pada bulan ini kita diseru memperbanyakkan ibadat kepada Allah SWT. Di antara ibadat yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w ialah saling menasihati sesama muslim untuk kesejahteraan di dunia dan juga di akhirat.

Dewan Ulamak menyeru umat Islam Malaysia bukan sahaja berlumba-lumba untuk membaca sebanyak mungkin ayat-ayat Allah tetapi juga diseru agar cuba memahami tuntutan Allah SWT serta melakukan muhasabah sejauh manakah kita melakukan usaha dalam melaksanakan segala arahan Allah SWT dan menjauhkan diri kita daripada terjerumus ke dalam kemungkaran bersama-sama golongan yang zalim.

Di antara kemungkaran yang besar ialah apabila undang-undang Allah yang berteraskan keadilan ditinggalkan. Maka pada bulan Ramadhan ini, isikannya dengan ketaqwaan yang jitu berdasarkan ilmu dan kefahaman yang sebenar tentang Islam agar kita memiliki kekuatan untuk merobohkan kezaliman di negara ini.

Kita percaya dan yakin bahawa suatu hari nanti cahaya kebenaran akan terus terserlah mengatasi cahaya kegelapan. “Malam Itu Walaupun Terasa Panjang, Tetapi Fajar Akan Menyingsing Juga”. Jadi, gunakanlah kesempatan bulan rahmat dan keampunan ini untuk memuhasabah diri kita untuk menilai sama ada kita telah menunaikan tanggungjawab kita sebagai muslim ataupun tidak.

Allah SWT pasti akan menganugerahkan kemenangan kepada hamba-hambaNya yang benar-benar ikhlas dan menyucikan diri mereka dari segala bentuk kejahatan dan kezaliman.

Allah SWT telah berfirman di dalam surah At-Taubah ayat 40:

إِلاَّ تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُواْ ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لاَ تَحْزَنْ إِنَّ اللّهَ مَعَنَا فَأَنزَلَ اللّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُواْ السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ


Maksudnya:

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

YB Datuk Tuan Guru Harun Taib

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

Friday, July 22, 2011

Bekas menteri: Najib perlu pastikan pilihan raya bersih, Bersih 2.0 ada asas


Oleh Syed Mu’az Syed Putra
July 22, 2011KUALA LUMPUR, 22 Julai — Seorang bekas menteri kerajaan pusat, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengingatkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak agar melaksanakan sistem pilihan raya yang telus.

Abdul Kadir yang juga Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) berkata sistem pilihan raya yang telus adalah asas kepada sesebuah negara yang mempunyai undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Negara kita selama ini telah memuncak begitu lama, negara yang cukup berjaya sebab rakyat berpegang teguh pada semangat kemerdekaan tetapi malangnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini (prestasi) kita sudah mula menurun dan secara terang-terangan melakukan perkara-perkara yang pelik,” kata beliau.

“Kadang-kadang kita begitu yakin dan sombong, boleh buat benda salah di tempat yang terang, kami rasakan sudah tiba masanya kita berubah dan kembali ke pangkal jalan,” kata Abdul Kadir (gambar) sambil menambah, “merdeka bermakna kuasa diserahkan kepada rakyat.”

“Negara ini kepunyaan rakyat... negara ini hak rakyat dan ini asas yang kita perlu ingat, negara ini bukan bapa saya yang punya, bukan Umno yang punya, bukan PAS yang punya, ini rakyat yang punya,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran Amanah di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di sini.

Bekas wakil rakyat dari Kedah ini pernah mengetuai Kementerian Pelancongan dan Kementerian Penerangan.

Tegas Abdul Kadir, rakyat tidak akan bangkit menentang kerajaan sekiranya pilihan raya yang dijalankan dibuat secara telus dan adil.

Selain itu jelas beliau, tuntutan yang dibuat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) ada asasnya.

“Bila sudah merdeka rakyat perlu pilih kerajaan, kita adakan pilihan raya sebab rakyat ramai, rakyat buat keputusan siapa yang mereka mahu (jadi kerajaan),” katanya.

Kata beliau, “sejak akhir-akhir ini kita dengar macam-macam tentang pilihan raya bersih dan adil itu adalah asas sistem pilihan raya.”

“Kalau tidak telus macam mana rakyat nak pilih... kerajaan kata pilihan raya (sekarang) sudah bebas, itu pandangan dia tapi pandangan lain (termasuk) Bersih 2.0 kata pilihan raya tidak telus,” katanya.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan agar wakil pembangkang diletakkan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan ketelusan sistem yang ada sekarang.

“Ada cadangan minta wakil pembangkang duduk dalam SPR, saya setuju... kalau kerajaan kata pilihan raya bersih buatlah, apa nak takut, selesai masalah.

“Kerajaan tahu pilihan raya itu bersih atau tidak, rakyat pun tahu, kita pun tahu... biarlah bersih betul supaya rakyat dapat pilih kerajaan yang mereka kehendaki,” katanya.

Pada 9 Julai lalu, ribuan rakyat membanjiri ibu negara untuk menuntut pilihan raya bebas dan adil yang turut disertai Pakatan Rakyat.

Amanah diketuai Tengku Razaleigh Hamzah.

Ia juga membariskan beberapa tokoh terkenal tanah air termasuk Datuk Seri Daniel Tajem, Datuk Seri Ong Tee Keat, Datuk S. Subramaniam, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Datuk Seri Bujang Ulis selaku timbalan presiden.