Thursday, February 24, 2011

Calon PAS: Hassanudin di Kerdau, Yuhaizad di Merlimau

Malaysiakini
Feb 24, 11 10:50pm


Ketua Penerangan PAS Pahang Hassanudin Salim akan membawa cabaran parti itu dalam pilihan raya kecil DUN Kerdau pada 6 Mac depan.

Manakala timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Melaka Yuhaizad Abdullah diumumkan sebagai calon PAS bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau.

Pencalonan Hassanudin diumumkan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kompleks PAS Kerdau malam ini.

Beliau merupakan bekas calon PAS yang bertanding dalam pilihan raya umum 2008, tetapi tewas kepada calon BN Datuk Zaharuddin Abu Kassim.

Hassanudin tewas dengan majoriti 1,615 undi. Beliau mendapat 2,520 undi, manakala Zaharuddin memperolehi 4,135 undi.

Hasanuddin, 43, adalah seorang usahawan kelulusan diploma ukur tanah UiTM.

Turut hadir ialah timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa, timbalan presiden PKR Azmin Ali, dan pemimpin DAP, Tan Seng Giaw.

Sementara itu, Harakahdaily melaporkan, Hasanuddin dilahirkan di Kampung Loyang, Sanggang, Temerloh. Beliau mempunyai seorang isteri dan tujuh orang anak.

Hasanuddin berpengalaman dalam kerja-kerja pembinaan berskala besar seperti pembinaan infrastruktur Hospital Temerloh di samping pernah berkhidmat di Sudan dalam industri minyak dan gas.

SPR menetapkan tarikh pengundian PRK Kerdau pada 6 Mac ini sementara penamaan calon pula 26 Februari.

Sementara itu, Yuhaizad, 38, juga merupakan timbalan yang dipertua PAS Jasin.

Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di hadapan kira-kira 5,000 penyokong Pakatan Rakyat di Kampung Merlimau Pasir di sini semalam.

Berusia 38 tahun, Yuhaizad memiliki Diploma Tasawur Islam dari Pusat Latihan Minda Mahir (ILHAM), Selangor dan juga memperolehi Sijil Kejuruteraan Mekanikal dari Institut Kemahiran Mara, Jasin.

Beliau terlibat di dalam bidang politik sepenuh masa dan adalah anak watan Merlimau serta seorang pemimpin muda yang dikenali ramai, mesra dan mudah dikenali.

Pengalaman luas dalam badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Belia 4B, Pertubuhan Kebajikan seperti Yayasan Amal Malaysia dan persatuan penduduk memastikan beliau menjadi aset kepada rakyat dan negeri sekiranya terpilih mewakili DUN Merlimau pada pilihan raya nanti.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hidhir Abu Hassan, 54, dari BN pada 20 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

yuhaizad abdullah pas candidate merlimauSuruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian ditetapkan pada 6 Mac.

Turut hadir pada majlis pengumuman calon itu, Setiausaha PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali, Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh, Yang Dipertua Pas Negeri Melaka, Abdul Ghani Abdul Rahman, Ketua Pemuda DAP pusat, Loke Siew Fook dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution
.

Wednesday, February 23, 2011

Ikhwan tubuh Parti Kebebasan dan Keadilan


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Pembangkang terbesar Mesir, Ikwan Muslimin menubuhkan parti politik mereka bernama “Parti Kebebasan dan Keadilan” atau dalam bahasa arabnya "Huriya wa Adala" bagi bertanding pada pilihan raya umum negara itu nanti.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Mursyid Am gerakan itu, Dr Muhammadd Badie pada satu sidang akhbar semalam dan kenyataan tersebut turut disiar pada laman web rasmi pertubuhan itu.

Muhammadd Badie berkata, keputusan menubuhkan parti tersebut bukanlah perkara baru, bahkan ia adalah keputusan Majlis Syura sejak dahulu yang memutuskan bahawa jemaah Ikhwan Muslimin akan menubuhkan sebuah parti politik untuk jemaah tersebut.

"Langkah ini merupakan respon kepada hasrat rakyat Mesir ke arah memiliki masa depan yang lebih baik dan gemilang serta mengembalikan peranan, kedudukan dan kepimpinan Mesir itu sendiri yang telah diukir oleh sejarahnya yang terbilang," katanya.

Beliau turut memaklumkan keanggotaan parti itu adalah terbuka untuk semua orang Mesir yang mahu menerima program serta perjuangan mereka untuk menjaga kebajikan rakyat Mesir.

Kabinet parti itu juga jelasnya, akan diumumkan segera selepas segala persiapan selesai manakala langkah-langkah awal akan diambil untuk mengesahkan pendaftarannya.

Beliau juga berkata bahawa sebuah biro telah ditubuhkan untuk menyiapkan perlembagaan dan hal-hal lain yang berkaitan dengan penubuhan parti tersebut.

Ikhwan juga telah mengesahkan bahawa ia tidak keberatan untuk memilih wanita atau penganut kristian Koptik sebagai anggota kabinet tetapi merasakan belum sesuai untuk mencalonkan mereka sebagai ketua parti.

Pilihan Raya Umum Mesir bakal diadakan selewat-lewatnya dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

Friday, February 18, 2011

P'raya Kecil Kerdau serentak dengan Merlimau


Sebelum ini diberitakan bahawa pihak SPR akan bermesyuarat pada waktu terdekat bagi menentukan PRK Kerdau Pahang. Namun malam ini sah ianya akan diadakan serentak dengan PRK Merlimau di Melaka. Untuk bersangka baik mungkin ini bagi pihak SPR menjimatkan masa dan kewangan dan sebagainya. Dan alasan ini boleh diterima sekiranya tidak ada "unsur-unsur lain yang menentukannya".
(dibawah petikan dari malaysiakini)

Feb 18, 11 10:35pm

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil DUN Kerdau diadakan pada 6 Mac dan penamaan calon pada 26 Februari, yang diadakan serentak dengan pilihan raya kecil DUN Merlimau.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof malam ini dalam sidang media di Kuching.

Pilihan raya Kerdau diadakan ekoran penyandangnya Zaharuddin Abu Kassim daripada BN yang meninggal dunia pada 12 Februari lalu akibat serangan jantung.

Ia merupakan pilihan raya kecil kali ke-16 bakal diadakan selepas pilihan raya umum 2008.

Ia juga pilihan raya kecil pertama di Pahang.

Dalam pilihan raya umum lalu Zaharuddin menang kerusi DUN Kerdau dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim.

Kawasan tersebut mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus kaum
-kaum lain.

Thursday, February 17, 2011

Semoga Mahathir dapat hidayah


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat hidayah Allah SWT.

“Saya tidak berhasrat setakat ini untuk mengulas jawapan Tun Mahathir terhadap saya seperti yang tersiar di muka hadapan akhbar Utusan pada hari ini,” tulis beliau yang juga Menteri Besar Kelantan di laman Twitter.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan Mahathir berkata, tujuan hidup Mursyidul Am PAS itu hanyalah untuk memenangi pilihan raya dan kemudian menjadi pemerintah bersama DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, Nik Abdul Aziz secara terbuka sanggup mengkafirkan orang Islam Umno, dalam masa sama bersedia bekerjasama dengan syaitan menjayakan perjuangannya.

Beliau berkata, Menteri Besar Kelantan itu juga sanggup bekerjasama dengan pihak yang menolak perjuangannya untuk mendirikan negara Islam ala PAS di samping mempertahankan pendapat tokoh bukan Islam supaya umat Islam melonggarkan pegangan mereka terhadap ajaran Islam.

‘‘Harapan Nik Aziz ialah dengan melakukan semua ini orang bukan Islam di Malaysia akan sokong partinya di dalam pilihan raya. Bukan Islam yang diutamakan, bukan mengabdikan diri kepada Allah tetapi kemenangan dalam pilihan raya.

‘‘Orang Umno beragama Islam. Walaupun bagi Nik Abdul Aziz mereka bukan Islam kerana tidak sokong PAS namun dunia mengiktiraf bahawa orang Melayu termasuk ahli Umno dan ahli PAS juga adalah orang Islam,’’ ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian di dalam entri terbarunya bertajuk ‘Jawapan Kepada Nik Aziz’ di blognya http://chedet.co.cc/chedetblog hari ini.

“Cukuplah saya berkata, saya simpati dengan beliau, semoga beliau mendapat hidayah Allah SWT,” kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Sunday, February 13, 2011

Melayu: BTN diminta olah semula kurikulumnya


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Feb: PAS mendesak Biro Tata Negara (BTN) agar mengolah semula kurikulum yang selalu mengasak para peserta kursusnya agar bimbang dan takut bahawa bangsa Melayu akan hilang kuasa politik di negara ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika menyertai forum 'Masa Depan Kepimpinan Melayu' di Putra Word Trade Centre (PWTC) lewat petang semalam berkeyakinan penuh kuasa Melayu akan kekal sekurang-kurangnya 50 tahun lagi.

Saranan ini dikemukakan Mustafa di hadapan lebih 1,000 peserta Simposium Dilema Melayu yang dianjurkan oleh lepasan pelajar pro Aspirasi yang didokong sepenuhnya oleh Umno.

Turut menjadi penal adalah Tan Isa Samad (Pengerusi Felda) dan Datuk Johan Jaafar (Pengerusi Media Prima) manakala moderatornya adalah bekas Ketua Pengarah BTN, Tan Sri Dr Nordin Kardi.

Turut berada di dewan ketika itu adalah Pengerusi Perkasa Datuk Ibrahim Ali serta Datuk Seri Shahidan Kasim, bekas Menteri Besar Perlis di samping lain-lain pemimpin Umno.

Media telah dilarang masuk ke program ini namun wakil Harakahdaily yang mengiringi Mustafa telah dibenarkan masuk.

Menurut Mustafa, cara BTN memberikan indoktrinasi kepada para pelajar kononnya jika Melayu tidak bersatu di bawah Umno, kuasa Melayu akan hilang adalah tidak benar.

"Jika Melayu tidak bersama Umno, mereka akan bersama PAS, iaitu masih kekal di tangan orang Melayu," katanya di majlis itu yang disambut tepukan gemuruh dari para pelajar universiti yang menjadi peserta program itu.

Mustafa berkata, dengan kerusi Melayu sebanyak 112 dari 222 kerusi semuanya, tidak ada sebab untuk kuasa Melayu di negara ini hilang kecuali Umno sebagai pihak yang berkuasa sekarang terus mengecilkan kerusi orang Melayu sebagaimana yang dibuatnya pada tahun 2003.

Dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2003, kerajaan yang dikuasai Umno tidak menambah sebarang kerusi Parlimen untuk negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis iaitu negeri-negeri yang ramai orang Melayu.

Padahal negeri-negeri lain telah mendapat penambahan kerusi Parlimen yang sangat ketara.

"Apabila saya, ketika itu mewakili PAS yang memimpin kerajaan negeri Terengganu, berbincang dengan SPR, mereka kata akan menambahkan sekurang-kurangnya dua kerusi Parlimen untuk Terengganu.

"Tetapi apabila ia dibentangkan di Parlimen, tidak ada satu pun kerusi Parlimen ditambah di empat negeri orang Melayu tersebut.

"Alasannya Umno bimbang kalau-kalau kerusi-kerusi itu dimenangi oleh PAS, ia akan merugikan Umno. Ini semua berlaku kerana Umno berfikir dari segi kepentingan politiknya semata-mata (bukan Melayu sebagaimana yang dikatakannya)," kata Mustafa.

Dalam seminar itu juga, Mustafa mengajak semua peserta simposium itu yang semuanya orang Melayu agar kembali kepada Islam kerana Islam penuh dengan nilai yang akan menaikkan kualiti orang Melayu.



Tun Mahathir paling berani

Beliau bersetuju, antara pemimpin yang paling berani di negara ini adalah Tun Dr Mahathir, namun bagi beliau Mahathir berani tidak bertempat.

"Kalau orang tanya saya, siapa PM yang paling berani mengkritik Amerika, barat, Israel dan lain-lain pihak, saya akan katakan Tun Dr Mahathir," kata Mustafa dengan diiringi tepukan gemuruh para hadhirin kerana pemberi ucap utama di konvensyen itu adalah Mahathir.

"Namun," kata Mustafa, "Mahathir berani tidak bertempat. Pada tahun 1999, apabila PAS menang di Terengganu, dia bersama dengan Tun Daim selaku Menteri Kewangan telah merampas hak royalti rakyat Terengganu dari negeri itu.

"Dia berani langgar semua prinsip keadilan, perjanjian dengan Petronas bahkan prinsip demokrasi...ini perlu diperbetulkan semula (kalau mahu bercakap tentang Melayu)," kata Mustafa dengan diikuti bunyi bising di belakang membantah kenyataan Mustafa ini.

Pengerusi forum ini, Dr Nordin Kardi ketika memberikan kata-kata ketika menutup forum ini berkata, selepas mendengar hujjah-hujjah Mustafa, beliau bersedia untuk mengambil borang menjadi ahli PAS namun kerana ia datang dari orang politik, ia telah membantutkan hasrat itu.

Friday, February 11, 2011

Akhirnya Presiden Mubarak berundur didesak suara rakyat


Pada Jumaat tengah malam tadi, Hosni Mubarak Presiden Mesir akhirnya meletak jawatan. Perletakan jawatannya disambut gembira oleh seluruh rakyat Mesir. Sejuta rakyat Mesir yang berhimpun di Dataran Tahrir telah meraikan "kemenangan" mereka dengan begitu gembira dengan "laungan Allahu Akbar" dan pelbagai slogan lain.

Naib Presiden Omar Sulaiman membacakan kenyataan perletakan jawatan Mubarak itu diStesen Tv yang disaksikan jutaan rakyat Mesir. Pengumuman di TV selama seminit itu telah membawa berita menggembirakan rakyat yang mana perjuangan mereka selama 18 hari berdemonstrasi telah berjaya menggerakkan satu "revolusi" yang menumbangkan diktator Mubarak yang memerintah Mesir secara kuku besi selama 30 tahun.

Buat masa ini rakyat Mesir berhak bergembira atas kejayaan revolusinya itu. Namun masa depan masih lagi belum menentu kerana pihak Tentera yang mengambilalih kuasa untuk sementara waktu ini apakah bersedia berkongsi kuasa dengan ahli politik dan seterusnya mengadakan pilihan raya ke arah negara demokrasi.

Ranjau masih panjang dalam pentadbiran dan corak yang akan menjadi pilihan. Apalagi dengan campurtangan Amerika dan sekutunya yang akan menggunakan apa sahaja cara bagi mengelakkan puak Islam khususnya Ikhwan Muslimun mentadbir Mesir. Saya percaya Ikhwan yang merupakan parti terkuat di Mesir akan memenangi pilihan raya bebas jika diadakan.(itupun dengan syarat pengharaman Ikhwan ditarik balik oleh kerajaan)

Pengalaman FIS di Algeria pimpinan Abbasi Madani dahulu, apabila memenangi pilihan raya tetapi dihalang menjadi pemerintah oleh Amerika dan sekutu Baratnya. Begitulah kotornya politik pihat Barat(dan sekutu-sekutunya di mana saja) yang tidak senang apabila puak Islam menang dan akan menjadi pemerintah. Untuk itu puak parti Islam di Mesir tentunya lebih berhati-hati dalam hal ini.

Apapun Tahniah rakyat Mesir atas kejayaan anda menumbangkan diktator itu dan selamat berjuang bagi menegakkan negara anda dengan acuan Islam yang dikehendaki.

(dibawah petikan malaysiakini)
Feb 12, 11 12:39am
Mubarak undur, tentera ambil alih Mesir

Presiden Mesir Hosni Mubarak akhirnya meletakkan jawatan dan meminta pihak tentera mentadbir negara itu, umum naib presiden Omar Suleiman.

Kenyataan ringkas di stesen televisyen nasional itu dibuat sehari selepas Mubarak bertegas tidak akan melepaskan jawatannya.

NONEBerita pengundurannya itu disambut meriah oleh lebih sejuta rakyat Mesir yang berkumpul di Dataran Tahrir di Kaherah.

Presiden dan keluarnya sebelum itu dilaporkan meninggalkan istana presiden di ibu negara ke Resort Laut Merah Sharm el-Sheihh.

Lelaki yang menerajui Mesir selama 30 tahun dan terlepas dariapda enam cubaan membunuh akhirnya terpaksa akur pada kehendak rakyat yang mahukan perubahan.

Mubarak, 82, meletakkan jawatan hari ini selepas 18 hari protes antikerajaan tanpa gangguan - terbesar pernah dilangsungkan di negara itu.

Mubarak terhindar daripada banyak serangan sebelum ini tetapi suara rakyat akhirnya membuktikan sesuatu.

Enam kali pembunuh upahan cuba menamatkan riwayatnya. Perang sampai ke pintu rumah.

Jiran mengebom negaranya. Kerajaan pimpinannya hampir muflis. Aktivis berulang kali menyumpahnya di jalan raya. Tetapi Mubarak selama itu terus juga berkuasa.

Kebanyakan rakyat Mesir masih belum dilahirkan apabila pendahulunyanya Anwar Sadat dibunuh pada 1981.

Mubarak, ketika itu naib presiden, hanya beberapa meter daripada Sadat, dan turut terkena tembakan di tangan.

Beliau mengangkat sumpah sebagai presiden lapan hari kemudian, pada 14 Oktober 1981.

Thursday, February 10, 2011

Wacana Prof. Dr. Zulkifli Muhammad

Orang ramai khususnya para peminat dan pengkaji sejarah tanahair dijemput hadir untuk menghadiri wacana di aats yang diadakan di Surau An Nur , Bandar Baru Bangi yang bertujuan membincangkan tajuk di atas. Para pendokong perjuangan Islam khususnya tidak melepaskan peluang ini bagi meneliti susur galur perjuangan Islam di negara ini yang diteruskan oleh para pemimpin Islam pada masa ini.

Harakahdaily

DATUK PROFESOR DR. ZULKIFLI MUHAMMAD: TOKOH INTELEKTUAL DAN PEJUANG ISLAM DI TANAH MELAYU

Alam Melayu merupakan bumi yang subur dalam perkembangan agama Islam sehingga menjadi tumpuan bangsa lain untuk belajar Islam seperti mana yang pernah tercatat dalam sejarah Melayu. Tanah Melayu walaupun bertukar tangan penjajah, namun masih mampu mempertahankan akidah penganutnya. Ini kerana kesungguhan ulama dan madrasah yang membentengi ummah daripada serangan pemikiran musuh.

Tanah Melayu dalam denai sejarahnya tidak pernah gagal untuk melahirkan pejuang-pejuang yang berani berdada dengan kezaliman. Antaranya ialah Tuan Guru Haji Hasan bin Munas, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Syeikh Abu Bakar al-Baqir, Dr. Burhanuddin al-Helmy dan lain-lain.

Pada awal abad ke-20 pula menyaksikan gerakan kesedaran Islam, Pan-Islamisme yang anginnya kencang bertiup dari Timur Tengah sama ada Mesir ataupun Mekah. Latar belakang penjajahan Barat, kemunduran akliah, dan keterpurukan ummah yang sedang menyelimuti umat Islam pada awal abad ke-20 telah memungkinkan anak-anak muda berpendidikan Islam dirasuk dengan fahaman ini.

Ikon utama dunia Pan-Islamisme ini ialah Syeikh Muhammad Abduh, Syeikh Jamaluddin al-Afghani dan Rashid Redha telah menyuntik kesedaran dan semangat untuk berubah kepada anak-anak muda lulusan Kaherah dan Mekah. Hasilnya, terpancarlah fahaman ini ke merata ceruk bumi, menciut nyaring gegendang penjajah Barat. Kesan yang besar daripada fahaman ini ialah munculnya gerakan kesedaran umat Islam untuk memurnikan ajaran Islam daripada unsur khurafat dan bidaah, menentang penjajah Barat, dan seterusnya bangkit memerdekakan tanah air.

Di Tanah Melayu, gerakan awal seperti Sarekat Islam (cawangan Indonesia) telah pun ditubuhkan di Kemaman, Terengganu pada awal abad ke-20, yang berakhir dengan kebangkitan rakyat menentang British di Terengganu pada tahun 1928. Juga sebuah gerakan yang diinspirasikan oleh Ikhwanul Muslimin iaitu Hizbul Muslimin yang ditubuhkan di Ma’ahad Al-Ehya Asshariff, Gunung Semanggol pada tahun 1948. Semangat jihad umat Islam menentang penjajah British begitu sekali membara sehingga Ordinan Darurat 1948 menyaksikan penangkapan besar-besaran telah dibuat terhadap tokoh-tokoh pergerakan Islam daripada Hizbul Muslimin, seterusnya melemahkan gerakan tersebut secara sistematik. Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS) pula yang ditubuhkan pada tahun 1951 terus menyambung perjuangan Hizbul Muslimin untuk menegakkan pemerintahan Islam di Tanah Melayu.

Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS) tidak pernah kekeringan tokoh dalam menyuarakan aspirasi perjuangan Islam walaupun berhadapan dengan mehnah dan ujian di sepanjang sejarahnya. Antara putera pintar yang pernah melakarkan namanya pada langit sejarah Tanah Melayu ialah Profesor Dr. Zulkifli Muhammad. Beliau merupakan seorang pejuang sekaligus intelektual awal di Tanah Melayu. Beliau merupakan ideologue PAS, malah bergandingan bahu dengan tokoh besar perjuangan Islam di alam Melayu iaitu Dr. Burhanuddin al-Helmy.

Beliau dilahirkan di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak, negeri yang telah menyaksikan ramai tokoh-tokoh perjuangan Islam dilahirkan. Zulkifli Muhammad lahir dalam keluarga yang paling mengambil berat urusan pendidikan anak-anak. Kecerdasan dan bakat yang membumbui tokoh ini terserlah semenjak kecil lagi. Beliau pernah menghadiri peperiksaan khas bagi mengambil pelajar peringkat tinggi Ma’ahad Al-Ehya Asshariff, Gunung Semanggol dan beliau satu-satunya calon yang lulus dalam ujian tersebut. Minatnya kepada politik terserlah semenjak remaja di mana beliau anti-penjajahan dan meminati tokoh-tokoh perjuangan anti-penjajah di dalam dan luar negara. Anak muda ini berbakat dalam bidang penulisan dan dunia kesusasteraan, malah turut menghasilkan beberapa karya.

Justeru dalam menghayati dan menelusuri sejarah panjang perjuangan tokoh besar di Tanah Melayu ini dengan lebih mendalam dan berkesan, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) melalui Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Wacana Perdana Dato’ Profesor Dr. Zulkifli Muhammad : Tokoh Intelektual dan Pejuang Islam di Tanah Melayu yang bakal diadakan pada Sabtu, 12 Februari 2011 bersamaan 9 Rabiul Awwal 1432 Hijrah, dari 8.30 pagi hingga 2.00 petang, bertempat di Surau An-Nur, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi (berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi dan Darussyifa’).

Wacana ini bakal menampilkan tokoh-tokoh akademik dan pimpinan pemuda seperti Ustaz Dato’ Haji Abu Bakar Chik, Profesor Dr. Redhuan Othman, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, Ustaz Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ustaz Riduan Mohamad Nor. Penyertaan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dengan yuran pendaftaran serendah RM10. Penganjur dengan ini menjemput kepada semua yang berminat termasuk para pencinta ilmu dan pendokong perjuangan Islam dalam mencambahkan ilmu dan merancakkan semangat perjuangan melalui denai dan onak ranjau yang pernah dilalui oleh tokoh besar ini di Tanah Melayu.

Friday, February 4, 2011

mesir: bagaimana malaysia?


Oleh nik mohamad abduh

Saat saya menggerakkan anak-anak jari untuk memulakan penulisan ini, saya tahu saya sedang berkongsi dengan seluruh dunia untuk melihat satu hukum karma yang maha pasti itu berlaku di bumi Mesir. Hukum karma pemiliknya adalah Allah. Kerana itu setiap muslim tidak betah menyebutnya, bahkan menamakannya sebagai sunnah Allah di muka bumi. Sunnah Allah bererti ketentuan dan hukum yang tetap daripadaNya

Antara sunnah Allah yang mudah difahami dan dilihat ialah hukum pergantian atau silih berganti di antara dua yang berlawanan. Baik berganti buruk dan sebaliknya. Zalim berganti adil dan sebaliknya. Mulia berganti hina dan sebaliknya. Pergantian ini tidak berganti sendiri atau semudahnya. Ia mesti memuncak dan klimaks. Tali apabila sudah memuncak tegangannya, ia pun putus. Maka berlakulah pergantian, kental berganti kendur. Gagah berganti lembik.

Tiada malam yang kelam kecuali kemuncaknya adalah fajar nan menyinsing. Tiada panas yang memuncakkan teriknya kecuali bumi berpusing pantas ke sebelah timur meninggalkan matahari menggelongsor ke hujung barat. Begitu Allah memudahkan kita memahami sifir-Nya itu.

Presiden Husni Mubarak sedang cuba berhelah dengan sunnah ini. Sunnah Allah adalah keruntuhan dan kehinaan ke atas setiap penzalim dan thaghut di bumi-Nya. Firaun telah terhumban lemas di Laut Merah. Bani Israel kembali ke tangan keadilan nabi Musa alaihissalam. Semalam, Husni Mubarak, ketika rakyatnya menyerunya keluar dari Mesir di awal perhimpunan, dia melawan dan berusaha untuk tidak terbang melintasi Laut Merah ke Jeddah atau Dubai. Nah, hari ini rakyatnya meminta lebih daripada itu. Husni Mubarak untuk diadili, bukan untuk dihalau lagi. Kini, patungnya telah diangkat di Medan Tahrir ke tali gantung. Maut untuk penzalim dan thaghut!

Kata seorang penyair agung Tunisia, ‘Satu hari, apabila rakyat mahukan kehidupan (perubahan), maka pasti sekali al qadar (ketentuan tuhan) akan menjawab!’ Maka selepas puluhan tahun, al qadar menjelmakan dirinya, menyambut rakyat Tunisia yang bangkit menuntut kehidupan daripada hangus nyawa putus asa seorang anak mudanya yang dibakar kezaliman Ben Ali yang menjarah di bumi tuhan.

Fajar apabila ia bangkit, ia tidak hanya bangkit di Tunisia. Ia kini bergerak ke Mesir. Kemudian, malam yang kelam sedang menuju pula di Israel, negara haram di bumi Arab. Malam akan memuncak. Apabila fajar membunyikan locengnya, ia enggan kecuali menunggu azan yang akan berkumandang gagah di bumi al Quds.

Kata al imam al Qaradhawi,’Wahai Husni Mubarak, jika pemerintahan itu bagai ghanimah untukmu, maka 30 tahun itu sudah cukup. Jika pemerintahan itu adalah bebanan ke atasmu, maka 30 tahun itu juga sudah cukup. Turunlah kamu!’ Siapakah Husni Mubarak untuk menolak kalam karamah ini?

Kala para mustadhafin di seluruh jemari saraf bumi sedang menanti – nanti keajaiban sunnah Allah ini, kala itulah Allah membeliakkan mata seluruh para penjarah darah dan air mata di bumi-Nya mengarah ke bumi Mesir yang sedang mengumandangkan kalimah ‘La ilaha ilaLlah’ buat membakar sekutu syaitan dan Israel laknatuLlah itu.

Kezaliman memuncak. Kesabaran juga memuncak. Ia kini di medan pertembungan. Adakah anda menyangka kesabaran hujungnya adalah kehancuran? Tidak dan tidak!

Apa pun kesudahan di Mesir itu, Husni Mubarak sudah pun di gerbang neraka ciptaan rakyatnya sendiri. Oh, segala sanjungan berdekad dalam sekelip mata bertukar menjadi rentungan mendekap.

Malaysia apa khabar? Negara yang pernah bandar rayanya dilimpahi puluhan ribu rakyatnya yang berbaju kuning bertulis ‘BERSIH’ menuntut keadilan di dalam perlaksanaan pilihan raya yang dipenuhi penipuan dan penyelewengan. Dan mereka bagaikan anjing kurap sering kali dihalau dengan simbahan air asid daripada melawan kezaliman dan penipuan.

Malaysia apa khabar? Negara yang tak pernah diam dan tenang daripada pembongkaran rasuah kolar putih besar-besaran tetapi bilislah yang ditangkap secara kecil-kecilan pula. Kemudian mereka yang bersih dan mulia dituduh pula dengan rasuah dan kejahatan.

Malaysia apa khabar? Negara yang kadar jenayahnya, gejala sosialnya dan kemiskinan rakyatnya terus mewarnai kehidupan yang semakin menghimpit sedang kekayaan dari hasil mahsul buminya pula hanyalah berlegar di kayangan orang-orang kaya yang bertawaf di sekeliling serambi kuasa kezaliman pemerintahnya.

Sampaikan khabar buat Malaysia bahawa ajal sentiasa mendekat buat kezaliman dan penentang agama Allah. Sampaikanlah salam pula buat Malaysia bahawa ajal kezaliman akan berganti kehidupan penuh mulia buat rakyat dan pencinta keadilan dan keharmonian.

Malaysia bukanlah seiring Mesir yang begitu buruk politik pemerintahnya. Tetapi Husni Mubarak tidaklah perlu menunggu untuk menjadi seperti Firaun untuk segera rebah dipijak rakyatnya sendiri. Kezaliman adalah hantu kehidupan. Hantu itu bukan hanya hantu raya saja, bukan pula sundal di tengah malam saja.

Malaysia hanya ada dua pilihan; Samada pemerintahnya hari ini terus degil dengan keangkuhan menindas pembangkang dan rakyatnya yang menolak gaya hidup menindas dan menipu atau pemerintahnya segera membaiki kelemahan dan kesalahan dengan politik baru yang lebih adil.

Jika mereka memilih yang pertama, tunggulah keruntuhan dan kekalahan. Bukan Amerika, Israel, Singapura atau Indonesia yang akan datang. Bahkan rakyat seluruhnya akan datang sendiri merombak sistem dan gaya hidup melanun pemerintahnya. Jika mereka berdegil, hukum karma Allah setia menunggu panggilan rakyat yang tertindas.

Jika mereka memilih yang kedua, mereka perlu pula memilih di antara dua; Samada mereka memilih Islam sebagai cara hidup yang diredhai Allah atau mereka hanya memilih untuk kekal menolak Islam yang syumul, tetapi memperbaiki nilai demokrasi yang dianuti. Jika mereka memilih yang pertama, maka berbahagialah rakyat Malaysia dari atas sampailah ke bawah. Jika pula mereka memilih yang kedua, maka nyawa mereka akan lebih panjang dan ketentuan Allah akan bertangguh. Allah sentiasa menunggu untuk masa dan hari-Nya yang pasti.

Mengapa? Kerana pembaikian dan islah adalah jalan ugama. Jika pemerintah menyedari kesalahan dan kesilapan, lalu mereka membaikinya dengan menyempurnakan hak kemanusiaan dan rakyatnya, maka Islam menyambutnya dengan baik dan mereka dengan mudah memikat kembali hati rakyat. Semakin pemerintah membina sistem demokrasi yang menepati kehendak keadilan dan kesaksamaan, semakinlah mereka mendekati tuntutan ugama Islam.

Oleh kerana Islam bersifat tawaran terbuka dan bukan paksaan ke atas manusia di atas premis ujian Allah ke atas anak Adam di muka bumi ini, maka Islam akan subur di bumi yang adil dan tidak mengongkong. Jadi, kedua-dua pemerintah dan rakyat akan terlorong kepada Islam secara semulajadi yang harmoni dan menghiburkan.

Tetapi hak Allah di muka bumi adalah kekal. Tanggung jawab seorang muslim terhadap agamanya adalah kekal. Setiap umat Islam wajib mengangkat agama Allah untuk menjadi hakimnya di dunia ini. Itulah kewajiban khilafah di muka bumi.

Malaysia adalah negara umat Islam. Majoriti rakyatnya yang beragama Islam secara praktikalnya telah menepati lunas sistem demokrasi bahawa yang menguasai majoriti itulah yang berhak memerintah dan menentukan cara pemerintahannya. Justeru seruan ke arah pemerintahan Islam atau membina sebuah negara Islam adalah satu tuntutan yang dibenarkan oleh sistem yang mengagungkan hak majoriti.

Islam adalah pilihan untuk umat manusia tetapi adalah tanggung jawab ke atas umatnya. Setiap muslim, samada daripada PAS, UMNO, PKR atau apa pun, kewajiban menegakkan negara Islam adalah pasti secara fardhu ain ke atas mereka.

Berusaha ke arah itu melalui jalan yang syar’ie akan menyelamatkan mereka daripada murka dan azab Allah di akhirat nanti.

http://nikabduh.wordpress.com/

Demonstrasi anti-Mubarak: Polis tembak meriam air


Seperti dalam laporam malaysiakini di bawah masyarakt awam di Kuala Lumpur turut menyuarakan rasa soladariti dengan rakyat Mesir dan menyatakan bantahan terhadap Presiden Hosni MUbarak, Mesir. Ribuan masyarakat yang berdemo itu menunjukkan rasa simpati rakyat Malaysia terhadap masyarakat Mesir yang telah bangkit menentang kezaliman pemerintahnya.

HUbaya=hubaya permerintan Malaysia! Isu kezaliman, pengangguran, inflasi, kenaikan harga barangan asas dan sebagainya yang menjadi isu besar di Mesir itu, adakah ianya tidak berlaku di negara ini. JIka ianya berlaku cuma kadarnya masih diterima dan rakyat masih boleh bersabar...tetrapi jika keadaan sebaliknya berlaku...apa yang terjadi di Mesir dan Tunisia, mungkin akan berlaku di bumi kita.

Oleh itu beringatlah wahai mereka yang bergelar pemerintah supaya mengambil iktibar dari kejadian itu. Bukan hanya rakyat yang perlu ambil iktibar, pemimpin juga perlu ambil iktibar kerana pemimpin yang mengemudi rakyat dan membuat keputusan dasar!

(dari malaysiakini)

Feb 4, 11 3:59pm
Polis melepaskan tembakan meriam air ke atas kira-kira 3,000 rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan di luar kedutaan Amerika hari ini, menuntut supaya Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletak jawatan.

Selepas solat Jumaat di Masjid Al-Shakireen Masjid di taman KLCC dan masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak, para jemaah berarak membawa kain rentang yang mengecam Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Dengan memanggilnya "Yasqut Mubarak" (Mubarak turun!) Dan "Yahya al-Sha`ab! "(hidup rakyat!), kedua-dua kumpulan tersebut berarak menuju ke Jalan Tun Razak.

Mereka menuju ke arah Kedutaan Amerika beberapa ratus meter dari masjid Tabung Haji di mana mereka berusaha untuk menyerahkan memorandum kepada pegawai kedutaan tersebut.

Ketua polis Dang Wangi, ACP Mohd Zulkarnian Abdul Rahman berkata, berkata, lapan orang ditahan selepas gagal bersurai apabila diarahkan berbuat demikian.

Ada yang ditahan di dalam kompleks Tabung Haji. Sekurang-kurangnya tiga orang ditahan sewaktu mereka berarak dari Masjid Syakireen menuju ke kedutaan Amerika

protest against hosni mubarak us embassy kuala lumpur arrest man 1Antara mereka yang berarak ke kedutaan Amerika ialah exco Dewan Pemuda PAS, Ridhuan Mohd Nor, yang menyerahkan memorandum bantahan kepada kedutaan Amerika yang menyokong kerajaan Mubarak.

Pemimpin lainnya termasuk ahli parlimen PAS Kubang Krian, Salahuddin Ayub; ahli jawatankuasa pusat PAS, Mohamad Sabu dan ketua cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin.

Wednesday, February 2, 2011

Dr Mahathir seorang yang bijak - TG Nik Aziz : Jawapan Isu nasionalisme



Pada kali ini saya ingat entah kali yang ke berapa TG Dato' Nik Aziz memuji akan kebijaksanaan Tun Mahathir, bekas Perdana Menteri. Dahulu banyak kali TG Nik Aziz memujinya tetapi seperti kata TG Nik Aziz kebijaksanaan Dr Mahathir tidak digunakan untuk Islam, itu yang mencacatcelakan kebijaksanaannya.

Dan pada kali ini TG Nik Aziz sekali lagi mengulangi perkara itu dengan menampilkan hujah-hujah konkrit tanpa dapat disangkal sekiranya kita menelitinya dengan waras. Hanya mereka yang benar-benar "totok" dengan nasionalisme dan "terlalu elergic" dengan Islam sahaja yang tidak dapat menerima dasar-dasar Islam yang diperkanalkan dalam pentadbiran negeri Kelantan di bawah pimpinan TG Nik Aziz.

(dibawah petikan dari penjelasan TG Nik Aziz dari harakahdaily)

Harakahdaily

KOTA BHARU, 3 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui Tun Dr Mahathir Mohamad seorang yang bijak dan mencadangkan kebijakasanaan beliau itu digunakan untuk Islam.

"Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT," kata Nik Aziz dalam satu tulisan khasnya bertajuk "Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir."

Beliau menjawab serangan Mahathir kepada beliau ekoran keengganan Nik Aziz turut menyerang Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang meminta umat Islam mengurangkan keislaman mereka.

"Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh Umno. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan Umno. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew," kata Nik Aziz dalam tulisannya itu.

Berikut adalah tulisan Nik Aziz sepenuhnya.


Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir

Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata.

Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat 24

Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew.

Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme. Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan berkenaan tujuan hidup seorang manusia di muka bumi.

Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka.

Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2)

Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya.

Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh?

Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh?

Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46.

Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu.

Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". – (Surah al-Baqarah, ayat 36)

Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya.

Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!

Adakah benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang?

Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh bekas wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO?
Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api permusuhan lama jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO.

Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir?

Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir?

Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar.

Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali!

Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT.

Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar.

Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan.

Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?

Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)


HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.

Bertarikh : 29 Safar 1432H / 2 Februari 2011