Saturday, December 26, 2009

Lagu Dikir Jali Bunga Tanjung Ingatkan Tsunami 2004


Tanggal dua puluh ene
Dua belas bua ribu empat
Air mata rasa berline
Ingat peristiwa dasyat

Bencana Alam gegaran sungguh kuat
Tsunami dah date, semuanya hak Tuhan buat...

Lagu Dikir Barat di atas yang dinyanyikan penyanyi Dikir Barat tersohor Kelantan, Jali Bunga Tanjung seakan menusuk hati pabila terkenangkan bencana alam tersebut. Bagi yang ingin mendengar lagu yang merdu tersebut boleh mencarinya dan downlod dari Youtube. Clip videonya yang diselangi keadaan bencana tsunami di Aceh dan juga dalam negara menambahkan lagi kepiluan dan kesayuan mendengar dan menghayati lagu ini.

Tanggal 26.12.2004 juga sentiasa dikenang oleh para mangsa yang terselamat dan juga waris mereka yang menjadi korban tragedi yang malang itu. Malah ada mangsa yang masih lagi mengharapkan bantuan daripada pihak berwajib sepertimana yang dijanjikan tetapi sehingga kini belum tertunai. Diharapkan pada pihak yang telah berjanji membantu mangsa tsunami itu perlu tampil segera membantu seperti dijanjikan.

Kini selepas 5 tahun tragedi itu berlalu, tempat-tempat yang teruk dilanda tsunami itu terutama di Aceh telahpun semakin pulih dan para mangsa menruskan kehidupan seharian. Mereka sebenarnya adalah bangsa yang kuat semangatnya dan sentiasa bangkit dari malapetaka yang menimpa bagi meneruskan kelangsungan hidup. Apapun segala bantuan daripada pihak antarabangsa termasuk dari negara kita amatlah dihargai dan diucapkan terima kasih.

Setiap tahun, pada tanggal tersebut para mangsa dan juga waris akan sentiasa mengenang tragedi dahsyat dan mengingatinya dengan pelbagai cara mengikut adat dan kepercayaan masing-masing dan bagi masyarakat Islam sama ada di Aceh, Thailand atau di mana saja tempat di landa tsunami acara membaca Yassin dan Tahlil diadakan bagi mensedekahkan Fatihah kepada para muslimin dan muslimat yang terkorban. AlFatihah untuk mereka semua.

PMR Raikan kejayaan anak-anak kita, tunaikan janji kepada mereka


Keputusan PMR telah diumumkan. Seramai 28,188 orang pelajar telah mencapai semua A dalam mata pelajaran yang diambil, berbanding dengan 26,378 pada tahun lalu. Ini menampakkan satu pertambahan iaitu sebanyak 2.78 peratus dan marilah kita ucapkan tahniah pada kejayaan anak-anak kita itu.

Apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah betapa kita telah berjanji pada anak-anak kita bagi memberangsangkan mereka untuk berjaya. Dan apabila telah berjanji itu, apabila mereka telah berjaya seharusnya ditunaikanlah apa yang telah dijanjikan, lagi pun mereka anak-anak kita juga. Janganlah berjanji sahaja sebagaimana "orang politik" berjanji, yang amat sukar untuk ditunaikan kecuali semasa dekat dengan pilihan raya.

Oleh itu janji yang telah kita buat dengan anak-anak kita itu mesti ditunaikan segera semasa mereka masih lagi bergembira dengan kejayaan itu. Seperti mana kata orang tua-tua , sekiranya kita mengupah orang melakukan sesuatu kerja, maka semasa peluh masih menitik itu lebih afdal untuk diberikan upahnya. Samalah juga dengan apa yang kita janjikan dengan anak-anak kita itu, pada masa inilah sepatutnya kita menunaikan segala janji itu supaya mereka lebih bersemangat untuk belajar.

Kebetulan juga anak saya juga salah seorang yang mendapat 8A dalam PMR yang baru sehari dua diumumkan dan saya telah berjanji untuk membeli hadiah "handset" baru padanya. Dan janji itu telahpun ditagihnya dan Insya Allah pada esok hari saya akan membawanya ke kedai bagi membeli handset baru. Itulah anak-anak sekarang yang tidak lagi seperti kita masa dahulu yang mana hadiah seperti kasut, baju dan basikal pun sudah kira lumayan.

Tetapi anak-anak zaman ini telah berubah dan gemarkan sesuatu yang baru sesuai dengan perkembangan dunia moden pada hari ini. Dan bagi menggembirakan mereka serta memberikan semangat baru, terpaksalah menunaikan segala janji itu dengan harapan mereka akan lebih tekun lagi pada masa hadapan. Dan pemberian hadiah ini juga perlu juga diawasi supaya anak-anak kita itu tidak menggunakannya untuk tujuan yang tidak berfaedah.

Friday, December 25, 2009

1Malaysia Terkejut Engine F5E hilang


Salah satu berita yang menggemparkan negara ialah kehilangan 2 enjin F5E yang dihantar untuk diselenggara dalam negara. Tetapi kehilangan itu dikesan dijual ke luar negara dan dipercayai dijual di Amerika Selatan. Yang aneh lagi peristiwa ini telah 2 tahun (2007) dulu berlaku dan baru sekarang ianya dapat diketahui rakyat jelata. Itu pun setelah Menteri Pertahanan sekarang, Datuk Ahmad Zahid Hamidi menyatakannya kepada umum.

Berikutan itu sibuklah Peguam Negara dan pihak Polis membuat beberapa kenyataan yang kadang-kadang menampakkan lagi kecelaruannya. Soalnya mengapa baru sekarang terdedah, apakah pihak Audit Negara tidak dapat mengaudit fail-fail di Kementerian Pertahanan itu. Klaau kes lain seperti di Kementerian Belia dan juga kementerian Pelajaran, Audit Negara membuat beberapa teguran tetapi tidak dalam kes Kementerian Pertahanan. Apa yang terjadi sebenarnya.

Dan enjin kapal terbang adalah benda besar dan bagaimana ia boleh lepas. Dimana peranan Kastam dan pihak-pihak lain dan bagaiaman barangan ketenteraan seperti itu (yang menajdi rahsia besar pertahanan negara)boleh terlepas ke luar negara. Hebat sangatkah "pencuri" itu sehingga boleh membawanya ke luar negara dan bukan enjin sahaja tetapi termasuk data penyelenggaraannya sekali. Hebat...Malaysia boleh!

Pembongkaran oleh Zahid juga apakah bermaksud beliau tidak mahu dikaitkan dengannya kerana Menteri Pertahanan pada masa itu (2007) ialah DS Najib Razak. Tetapi apabila Zahid menyatakan "orang dalam" yang terlibat dalam kecurian ini adalah "anggota lain-lain pangkat" bukannya orang besar dalam Angkatan Tentera adalah tidak logik sama sekali, hatta budak sekolah sekalipun.

Malang sekali negara Malaysia yang tidak dapat menangkap "pencuri" itu dan amat memalukan kita pada mata dunia. Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi menyatakan, "dunia mempersendakan kita" ekoran kehilangan 2 enjin pesawat itu. Dan mengikut maklumat terkini pihak Amerika Syarikat memandang serius kehilangan itu kerana enjin pesawat itu diperbuat oleh Amerika dan ia bimbang jatuh ke tangan pihak musuh Amerika terutamanya pihak militan.

Kalau Amerika terasa dengan kehilangan itu walaupun bukan kepunyaannya(hanya enjin itu diperbuat Amerika), apa lagi bagi kita negara Malaysia yang telah membelanjakan peruntukan yang banyak bagi membelinya dahulu tidak merasa apa-apa. Nilai 2 enjin itu sekarang dikatakan 100 juta, dan apakah nilai sebesar itu tidak mengundang apa-apa tindakan tegas dan pantas pihak kerajaan?

HUbaya=-hubaya jika "rasuah" berleluasa dalam negara, alamat Malaysia akan menempuh jalan sengsara dan berliku pada hari-hari yang mendatang. Hasrat ingin menjadi negara maju menjelang 2020 jangan dimimpikan lagi.

MP Kelantan mesti anak Kelantan, PAS undur ke belakang?


Dalam keadaan tidak semena-mena Datuk Mohamad Daud Iraqi membuat kenyataan di akhbar tentang cadangan Ahli Parlimen PAS di Kelantan seharusnya dari kalangan anak negeri Kelantan sendiri. Tidak dapat dipastikan apa tujuan beliau mencadangkan demikian. Sedangkan isu pada masa ini ialah berkaitan Ariff Fahmi dan PMBK mengambil tempat. Apakah beliau sekadar mahu mengalihkan pokok perbahasan semasa atau ada agenda lain.

Namun apabila Menteri Besar menyambut cadangannya dengan mengatakan Kelantan sedia membincangkan perkara itu ia telah menjadi besar. Ini kerana pada masa ini apa yang keluar dari mulut Menteri Besar akan dipungut oleh media dan akan menjadi tajuk utama akhbar. Dan ini juga bakal menjadi bahan untuk media arus perdana menembak balik kepada pentadbiran PAS Kelantan. Atau setidak-tidaknya cuba melagakan MP dari luar yang bertanding di Kelantan.

Buat masa ini MP Salahuddin Ayub dan Dr.Hatta Ramli tidak memberikan apa-apa komen walaupun media cuba mencungkil pandangannya. Hanya Salahuddin hari ini menyatakan beliau bertanding di Kelantan atas arahan PAS Pusat juga dan setakat itu sahaja beliau dapat menyatakan pandangannya. Manakala Nasharuddin Mat Isa tidak memberikan komen, manakala Saifuddin Nasution (PKR) menyatakan perkara itu merupakan hal PAS dan beliau tidak terlibat.

Soalnya apakah begitu jauh perginya pandangan Mohamad daud Iragi, orang pertama memperkatakan hal ini. PRU 13 masih jauh lagi dan lebih aula bagi membincangkan soal memperkuatkan lagi kerajaan PAS Kelantan atau pun menasihatkan Tok Guru supaya menyediakan "pelan penggantinya" sekiranya Tok Guru berhasrat berundur selepas PRU 13nanti. Adalah elok sekiranya Tok Guru berundur selepas PRU 13 kerana jika berundur sekarang dibimbangi berlaku keretakan yang tidak dapat dibaiki menjelang PRU13 nanti.

Apapun pandangan tentang anak negeri sebagai calon MP itu saya kira hanya wajar dibincangkan pada masa akan datang, dan ingatlah juga bahawa faktor "kebolehan" MP untuk berhujah di Parlimen lebih diutamakan dari hanya mementingkan anak negeri Kelantan sahaja. Untuk ADUN mungkin boleh kerana ia melibatkan pemerintahan diperingkat negeri.

Pentadbiran YAB Datuk Najib Mula "Pecah Perut"?


Apabila satu demi satu pendedahan besar yang menampakkan kelemahan pentadbiran DS Najib, selaku Perdana Menteri Malaysia,saya teringatkan akan kata-kata Menteri Besar Kelantan; bahawa beliau berdoa semoga Perdana Menteri beri royalti pada Kelantan. Jika Perdana Menteri tidak beri royalti kepada Kelantan, kita doakan agar "pecah perut".

Bagi saya "pecah perut" di sini bukannya bermaksud secara fizikal, tetapi lebih pada satu analogi pada "pecah terbarainya" satu corak pentadbiran yang dipimpin oleh Perdana Menteri itu. Dalam dunia moden hari ini , mana ada lagi perkara itu sama ada seseorang sakit akibat doa atau dibomoh seseorang, walaupun ia boleh berlaku dengan izin Allah. Tetapi kita tidak dengar lagi perkara seumpama itu berlaku.

Sebab itulah saya suka menyatakan "pecah perut" disini lebih merupakan "pecahnya" atau jatuhnya kuasa seseorang yang menjadi peneraju kerajaan. Soal sama ada kerajaan sekarang akan pecah atau tidak hanya masa yang akan menentukannya dan juga izin Allah SWT. Kalau panjang umur kita dapat saksikannya. Allah telah nyatakan bahawa jika sesuatu kaum yang berkuasa itu berlaku zalim dan kerosakan, Allah akan gantikan dengan satu kaum lain yang lebih baik lagi.

Kalau kita amati sebenarnya "krisis" semakin parah dalam BN, baik dalam MCAnya, Gerakannya, MICnya, PPPnya dan juga UMNO sendiri. Bukankah ini tanda-tanda awal BN akan "pecah" sekiranya gagal menguruskannya dengan baik. Dalam sehari dua lalu UMNO begitu ghairah untuk mengambil kerusi Pengerusi BN Pulau Pinang yang telah 35 tahun disandang Gerakan, atas alasan Gerakan kalah dalam PRU lalu. Cadangan ini telah ditentang hebat oleh Gerakan kerana tradisinya Gerakan sebagai Pengerusi. Sekiranya masing-masing "berkeras", tidak mustahil pakatan Gerakan dan UMNO akan pecah di Pulau Pinang.

Krisis dalam MCA masih jauh dari selesai, begitu juga dalam MIC dan juga PPP. Nasib baik BN di Sabah dan Sarawak tidak bermasalah seperti di Semenanjung, tetapi keadaan di bawah iaitu akar umbi belum tentu lagi. Oleh sebab itu Pilihan Raya Sarawak tidak dapat lagi diadakan kerana khabarnya ada masalah yang belum selesai. Perletakan jawatan seorang Timbalan Menteri dari Sarawak daripada Kabinet DS Najib menampakkan riak-riak itu.

Dalam UMNO sendiri pun tidak kurang juga masalahnya. Walaupun media massa jarang memperkatakannya dan serangan dihalakan pada Pakatan Pembangkang, tetapi rakyat bawahan tetap dapat melihatnya. Peristiwa di Parlimen di mana Bajet diluluskan dengan undian 63-61 membuktikan ada sedikit masalah di sana.

Walaupun skandal PKFZ agak tenggelam sedikit pada masa ini, tetapi peristiwa "kehilangan enjin jet" telah mengambil tempat yang menampakkan kegagalan kerajaan menguruskanya. Bagaimana peristiwa besar ini boleh berlaku dan telah mengundang "rasa aneh" Amerika Syarikat, negara pembuat enjin itu. Apa lagi enjin itu dikatakan diseludup dan dijual di Amerika Selatan.

Sekiranya banyak lagi pendedahan besar yang melibatkan kerajaan terbongkar, rasanya BN akan mengalami kesulitan yang amat dalam menghadapi PRU 13 nanti, dan masa yang ada hanyalah antara 2 hingga 3 tahun sahaja lagi.

Mengapa Mahathir heret sama nama Pak Lah?


Apabila tersebarnya buku tulisan Barry Wain yang berjudul "Malaysian Maverick:Mahathir Mohamad In Turbulent Times" yang penulisnya memperkatakan bahawa Tun Dr.Mahathir telah menghanguskan RM 100 billion sepanjang 22 tahun pemerintahannya. Mahathir semasa menjawab Lim Kit Siang yang mencadang penubuhan Suruhanjaya Diraja, menyatakan ia juga setuju.

Bagaimanapun apa yang sedikit menghairankan apabila Dr.Mahathir turut mengheret seorang bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi. Mahathir juga meminta kerajaan turut menyiasat penggunaan wang Rm 270 billion sepanjang 5 tahun pemerintahan Tun Abdullah.

Apakah makna, disebalik perkara ini hendaklah difahami secara mendalam. Apakah itu bermakna beliau bersetuju dengan tuduhan penulis buku itu ke atasnya dan mengheret orang lain sama. Seolah-olah semasa 22 tahun pemerintahannya adalah sedikit berbanding dengan 5 tahun semasa pemerintahan orang lain itu? Di sini memerlukan kita mencari "sesuatu" disebalik kata-kata itu.

Walaunpun kemudiannya beliau menyatakan dia tidak pasti sama ada Barry Wain turut sama memasukkan perbelanjaan membina Menara PETRONAS,KLIA dan projek mega lain itu sebagai satu pembaziran juga, sedangkan ia kata Dr.Mahathir adalah untuk pembangunan negara serta untuk dinikmati rakyat Malaysia.

Namun sekali lagi Dr.Mahathir memberikan angka bahawa PETRONAS katanya hanya memberikan RM126 billion saha kepadanya sepanjang kekuasaannya, tetapi RM270 billion semasa pentadbiran Pak Lah. Angka yang diberikan Dr.Mahathir ini amat menarik untuk diperhalusi oleh para pengkaji yang berminat, sedangkan untuk Kelantan kerajaan Persekutuan sukar untuk memberikan pada Kelantan dan hanya mencadang wang ehsan sahaja.j(jumlah sekitar RM 1 billion)

Thursday, December 24, 2009

Mengapa isu CEO PMBK masih berkumandang?


Saya ingin memulakan persoalan mengenai politik Kelantan ini dengan persoalan di atas. Mengapa masih wujud lagi suara-suara yang berkumandang mendesak pengunduran segera CEO tersebut, sedangkan pelan asalnya Mac 2010. Ertinya telah ada pelan pemberhentiannya, tetapi masih lagi ada suara suara menghalau beliau segera. Penulis bukan bermaksud mempertahankan sesiapa tetapi cuba meninjau apa permasalahannya.

Memamng jawatan CEO itu agak panas. Ramai yang "mengidam" mendudukinya terutama mereka yang berkecimpung dalam politik termasuklah pemudannya. Dan jawatan itu juga mempunyai kaitan dengan Menteri Besar sebagai pengerusinya (Pengerusi PMBK) yang juga melambangkan perancangan dan hasrat MB sendiri bagi memajukan negeri Kelantan. Dan tentunya seseorang yang boleh menduduki jawatan itu adalah orang yang sangat dipercayai oleh MB. Seperti yang saya tuliskan sebelum ini kesilapan besar ialah semasa perlantikan Ariff Fahmi dahulu MB tidak mendapat nasihat sepatutnya yang mana atas merit apa sekalipun ahli keluarga tidak harus dilantik bagi mengelakkan " fitnah dan kecelaruan" pada masa hadapan. Kalau dahulu Tok Guru begitu cermat dalam hal ini dan entah mengapa kali ini beliau terlepas pandang atau tidak dinasihatkan.

Saya ada berbincang dengan beberapa Pegawaim Kerajaan Negeri yang menyatakan persoalan ini menampakkan ada pertentangan hala tuju antara dua kelompok ke atas PMBK ini. Dahulunya penguasaan seorang EXCO kanan amat dominan ke atas arah tuju PMBK ini dan boleh dikatakan memonopolinya dan apabila teraju PMBK ini dipegang oleh Arif Fahmi, ia mengubahnya bagi mengimbangi kuasa exco tadi dan menggerakkan hala tuju berbeza sedikit dan inilah yang menimbulkan pertentangan.

Cuma yang anehnya exco itu tidak pernah "membuka mulut" atas persoalan ini sekarang sejak ianya "terburai" selepas serangan blogger kickdefeela, salah seorang orang kepercayaan exco tersebut ekoran penamatan kontrek blogger itu dari PMBK. Ekoran dari itu bertimpa-timpa masalah muncul hinggalah kepada isu kerusi MB sendiri, hingga Menteri Besar menyatakan beliau telah ada penggantinya iaitu "orang paling kanan" dalam hirarki iaitu Datuk Ahmad Yaakob, Timbalan Menteri Besar sekarang. Sehingga itu ianya reda meskipun ada usaha nakal seorang bloger "mengusik" Ahmad Yaakob ekoran "keriuhan" perjumpaan beliau dengan para peniaga di pejabatnya.

Apakah ini juga usaha usaha bagi mensasarkan kerusi MB oleh golonagan tertentu itu? Ianya tidak dapat dipastikan, hanya orang politik yang boleh menjawabnya. Apapun nampaknya dari aspek persoalan "hala tuju" PMBK yang mahu didominasi golongan tertentu telah meleret pada kerusi MB sendiri. Apakah ini satu "bentuk" tekanan secara halus oleh golongan tertentu khususnya golongan pemudanya. Walau pun Zaki Ibrahim salah seorang ADUN yang juga bekas Ketua Pemuda Kelantan menafikannya ia satu tekanan, tetapi ramai yang kurang yakin dengan penafiannya. Apatah lagi beliau juga dikenali orang yang rapat dengan salah seorang exco kanan. Dan Zaki juga tidak menyokong Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz semasa perebutan jawatan Ketua Pemuda PAS Kelantan yang dimenangi Ustaz Abd Latif Abdul Rahman.

Terbaru Zaki seakan menempelak Nik Amalina kerana tulisan dalam blognya Seri Suri dikatakan terarah menyerang kepimpinan negeri dan menyatakan Nik Amalina tidak memahami "adat berjemaah". Apakah ini bermakna tulisan Nik Amalina juga telah dirasai oleh kumpulan-kumpulan tertentu. Saya rasakan Nik Amalina terjun sebagai blogger tidak salah dan beliau bebas memberikan pandangannya dan beliau juga bukan seorang ahli politik yang mempunyai sebarang kepentingan. Beliau hanya mempertahankan maruah keluarganya yang diserang bertubi-tubi oleh blogger kickdefeela sahaja. Hatta selepas suaminya mengumumkan perletakan jawatan pun serangan masih ditujukan pada keluarganya.

Kebanyakan yang berkokok isu ini ialah para pemimpin muda seperti Datuk Mahfuz Omar dan juga Idris Ahmad. Atas alasan mahu menjaga integriti kepimpinan , mereka menghala serangan kepada Nik Amalina pula yang dikatakan "membuka pekung" dan mengundang musuh memanipulasi keadaan. Soalnya mereka juga bercakap atas isu yang hampir selesai, perletakan jawatan telah dibuat, cuma tarikhnya Mac 2010 dan mereka mahukan sekarang! Nah satu lagi persoalan...apakah ada insan yang terlalu "mengidam" kerusi ceo itu sehingga tidak sempat Mac 2010. Seorang pemimpin Pemuda Kelantan , Dr. Rosli Allani Abd Kadir yang beriya-iya mempersoalkan kelewatan berhentinya CEO PMBK telah "menerima" pukulan terpaksa meletak jawatan ekoran "masalah pernikahan" keduanya keluar di mahkamah.

Apakah "badi" kerusi CEO PMBK itu akan terkena pada pemimpin lain pula? sama sama kita tunggu dan Menteri Besar sendiri telah menyatakan "pelan perletakan jawatan" telah dibuat iaitu Mac 2010 ini dan direstui Pimpinan Atasan PAS, dan "mari Datuk mana sekali pun, beliau tak akan melayannya". Kenyataan agak keras Tok Guru ini telah menyebabkan Mahfuz Omar tersentak dari kenyataan awalnya dan tidak mahu komen lagi apabila ditanyakan soalan oleh Malaysian Insider.

Mungkin inilah yang disifatkan Nik Amalina dalam blognya, ada pemimpin "gatal mulut" membicarakannya di dada akhbar seolah mahukan publisi murahan. Sedangkan dalam hal yang lebih besar mereka tidak pula teruja memperkatakannya pada saat musuh politiknya UMNO berada dalam keadaan kelemasan ekoran pendedahan demi pendedahan kelemahan pentadbiran.

Pada perkiraan saya, isu ini akan lenyap sedikit masa lagi, dan kepimpinan MB Kelantan masih utuh dan disokong rakyat terbanyak. Mustahil usikan-usikan kecil seperti itu boleh membuatkan Tok Guru berundur dan sekiranya MB berundur awal sebelum PRU 13, satu petanda bahawa Kelantan bakal tumbang.

Friday, December 18, 2009

Syabas Malaysia Juara Bola sepak Sukan SEA


Tidak ada apa yang dapat dikatakan selain dari syabahs dan tahniah kepada pasukan Malaysia yang telah memenangi kejuaraan bolasepak Sukan SEA semalam. Walaupun masih banyak yang perlu diperbaiki lagi tetapi sekuranmg-kurangnya kemenangan itu yang memberikan satu pingat emas buat negara telah dapat mengubat rindu 20 tahun tanpa pingat emas bagi sukan bola sepak.

Seperti rakan yang lain, saya turut menumpang gembira dengan kemenangan ini, walaupun banmyak yang terasa tidak berpuas hati lagi dengan corak permainan dan juga peluang-peluang yang tersisa begitu sahaja. Gol sendiri oleh pemain Vietnam itu sudah cukup mengubat rindu peminat bola sepak, tatkala sebelum ini dalam perlawanan peringkat kumpulan Malaysia tewas 1-3 pada Vietnam. Kemenagan ini juga telah menutup mulut celupar Juurulatih Vietnam yang mengwar-warkan pasukannya bakal menang dalam perlawanan semalam.

Apapun sekalung Tahniah buat pemain dan juga Jurulatih K Rajagopal di atas kejayaan manis ini. Syabas dan tahniah.

Wednesday, December 16, 2009

Mampukah Bolasepak Malaysia Muncul Juara Sukan SEA


Itu yang berlegar dalam fikiran kebanyakan peminat bola sepak negara. Melihat pada permainan menentang Laos tempoh hari ianya tidak mustahil untuk Malaysia menang melawan Vietnam nanti. Walaupun menang ke atas Laos dengan 3-1 tetapi agak menggusarkan juga bila Laos banyak menggempur pertahanan Malaysia sehingga berjaya menghasilkan gol. Corak permainan laju Laos nampaknya sedikit menggusarkan Malaysia.

Dan Vietnam juga mempunyai corak permainan laju dan stamina pemain Vietnam rata-rata adalah membanggakan. Dalam perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini Malaysia tewas 1-3 pada Vietnam dan apakah pertemuan esok juga akan memberi kegembiraan pada Vietnam. Pada kebiasaannya Malaysia dibuai keseronokan bila memasuki final setelah sekian lama tidak mengecapinya, tambahan pula pujian melambung diberikan oleh para media.

Kegusaran turut dilahirkan oleh Jurulatih K.Rajagopal kerana bimbang dengan tekanan akan menyebabkan pemain berasa tertekan dan gagal bermain dengan baik. Sememangnya diketahui rakyat dan peminat bola sepak mengharapkan negara berjaya meraih pingat emas dalam sukan SEA ini. Beban yang dipikul oleh pemain agak berat selepas berjaya menumpaskan Laos. Semoga corak permainan pasukan akan tetap sama tanpa gentar dengan rekod lalu yang dimenangi Vietnam.

Mampukan pasukan bola sepak muncul Juara dan seterusnya merangkul pingat emas, sama sama kita saksikan kebolehan anak didik K Rajagopal beraksi nanti.

Tok Guru Nik Aziz Kekal MB Kelantan Selagi Parti Mahukannya


Walaupun media arus perdana dan juga musuh-musuh politiknya memainkan isu peralihan kuasa supaya Menteri Besar Kelantan itu berundur, namun kenyataan tegas Tok Guru, beliau tidak akan berundur selagi parti PAS mahukan khidmatnya. Beliau berkata demikian sewaktu diwawancara oleh pihak media hari ini. Selagi PAS dan juga rakyat Kelantan mahukan kepimpinannya beliau akan terus memimpin Kelantan

Kalau setakat UMNO mendesaknya berundur, Tok Guru menyatakan itu memang kerja UMNO dan telah lama UMNO memintanya berundur dan terbaru dalam demonstrasi di depan pagar Kompleks Darulnaim baru-baru ini. Tetapi kalau PAS memintanya berundur, beliau akan akur. Beliau juga mengakui , banyak kerja-kerja pentadbiran negeri diberikan pada Dato' Ahmad Yaakob, Timbalan Menteri Besar. Beliau juga menyatakan "mengikut hirarki" parti PAS di Kelantan pun Dato' Ahmad Yaakob paling kanan.

Penegasan Tok Guru ini membayangkan telahpun ada perancangan pelan peralihan sekiranya beliau perlu berundur. Dua orang lagi nama yang disebut-sebut ialah Datuk Husam Musa dan Dato' Nik Mohd Amar Abdullah. Namun kedua-duanya telah menyatakan "tidak mahu" pada jawatan itu. Husam menyatakan beliau tidak akan menerima jawatan MB walaupun jika ditawarkan dan Nik Amar juga sedia menyokong Dato' Ahmad Yaakob selalu tokoh paling kanan dalam parti. Namun dalam soal Ahmad Yaakob, Tok Guru juga ada menyatakan soal orang ramai boleh terima atau tidak itu wallahu a'lam. Tetapi dari segi hirarki dan logiknya dia adalah calon utama.

Namun Ahmad Yaakob telah "diganggu dengan nakal" apabila pejabatnya diserbu oleh para peniaga di Kota Bharu berkaitan Bazar Tok Guru dan bloger Kickdefeela ada menulis bagaiamana dalam peristiwa itu "terpacul perkataan bodoh" yang katanya dari Timbalan Menteri Besar itu tetapi tidak dapat dipastikan ia dituju pada para peniaga atau merujuk pada suasana pertemuan "hangat" itu (seolah-olah satu kerja bodoh datang menyerbu pejabat TMB). Apakah ini "suara nakal" untuk menggerhanakan kekananan Ahmad Yaakob untuk menjadi Menteri Besar. Sedangkan sebelum ini beliau terkenal sebagai seorang yang penyabar dan lemah lembut orangnya.

Apapun, rasanya PAS Kelantan tidak ketandusan pengganti Tok Guru sekiranya beliau terpaksa berundur dalam masa terdekat ini sama ada disebabkan kesihatannya ataupun bagi memberi peluang pada pelapis yang telah dibentuk sebelum ini. Dalam PRU 13 nanti Kelantan akan tetap dapat dipertahankan walaupun Tok Guru berundur dari pentadbiran negeri. Dan seeloknya walaupun beliau berundur, jadikanlah sebagai Penasihat kerajaan negeri dan pada paeringkat nasional beliau telah menyatakan kesanggupannya untuk menjadi " Spiritual Leader" kepada Pakatan Rakyat.

Tuesday, December 8, 2009

Apa perlunya Chong Wei ke Sukan SEA


Tahniah buat badminton Malaysia apabila pada Ahad lalu menyapu gelaran Juara Grand Prix Super Series Dunia di Johor Bahru bagi perseorangan lelaki dan wanita menerusi Datuk Lee Chong Wei yang mengalahkan pemain Korea Park Sun Hwan 21-17.21-17 dan Wong Mew Choo yang menewaskan pemain Jerman, Juliane Schenk 21-15 dan 21-7.Turut muncul Juara ialah Beregu Wanita bila Wong Pei Tty dan Chin Eei Hui berjaya menewaskan pemain Denmark, Karmilla Rytter - Lena Frier Kristiansen 21-17,21-14.

Gelaran Juara yang dimiliki Malaysia dalam satu-satu kejohanan yang agak banyak setaakat ini, hanya pemain bergu lelaki yang agak malang, jika tidak Malaysia hampir menyapu bersih gelaran di gelanggang sendiri. Namun ketiadaan pemain utama China Lin Dan, memungkinkan Chong Wei lebih selesa. Di sini bukannya saya merendahkan kemampuan Chong Wei, namun hakikatnya beliau sukar menang jika bertemu Lin Dan. Juga bukan soal skill jadi ukuran tetapi lebih pada "ketahanan mental" kerana daripada segi skil permainan tahapnya adalah sama sahaja.

Namun apa yang saya ingin timbulkan di sini bukan soal itu. Soalnya ialah kenapa Chong Wei harus dikerah pula ke sukan SEA di Laos. Apakah pingat di Laos itu yang diinginkan atau pencapaian Chong Wei dalam kejohanan yang lebih besar diutamakan. Saya tidak bersetuju sama sekali Chong Wei dikerah ke Sukan SEA. Biarlah pemain pelapis yang bermain untuk Sukan SEA, lagipun apakah dengan sumbangan pingat dari Chong Wei akan membolehkan Malaysia muncul juara sukan SEA nanti.Rasanya tak mungkin, kalau dalam bidang sukan lain Malaysia kecundang sepertimana bolasepak.

Untuk itu Chong Wei atau Mew Choo patut berlatih dan bersedia untuk Kejohanan All England yang lebih berprestij bagi dunia badminton yang dijangkakan pada Mac nanti. Itu gelanggang sebenar Chong Wei bukannya sukan SEA yang hanya ada Indonesia yang mempunyai pemain bertaraf dunia.

Apabila pada hari ini Chong Wei dilaporkan menarik diri dari Sukan SEA atas sebab kesihatan, saya sangat bersetuju sekali kerana alasan di atas. Beliau perlu menumpukan pada Kejohanan besar dunia bukan sukan SEA yang bertaraf serantau sahaja yang hanya beberapa kerat pemain badminton setarafnya. Kalau beliau menang pingat emas sukan SEA sekalipun bukanlah boleh dibanggakan sangat kerana berlawan dengan pemain Vietnam, Filipina, Laos atau Kemboja.

Untuk itu Chong Wei atau pemain utama negara lain perlu bersiap dari sekarang untuk kejohanan besar dan yang terdekat dari sekarang ialah Kejohanan All England. Sepatutnya BAM menumpukan pada kejohanan ini bukannya sukan SEA.

Friday, December 4, 2009

Rakyat 1 Kelantan Menyokong MB TG Nik Aziz?



Pagi ini, jumaat seperti biasa TG Menteri Besar Kelantan memberi kuliahnya di Dataran Ilmu, Jalan Dato' Pati, Kota Bharu. Ianya merupakan rutin hari jumaat, selepas kuliah subuh di masjidnya di Pulau Melaka. Selepas kuliah subuh biasanya sudah ada puluhan yang membawa bayi bagi TG "membelah mulut" dan mencukur rambut. Kuliah di Kota Bharu itu biasanya bermula 9.30 pagi selama satu jam.

Pada hari biasa pendengar kuliahnya sekitar 3000 orang dan ada yang datang sejauh Gua Musang dan juga Besut, Terengganu. Pada pagi ini kehadiran orang ramai luar biasa sekali. Saya difahamkan oleh kawan-kawan di sana, bandar Kota Bharu penuh sesak dengan orang ramai. Semuanya datang untuk memberi sokongan pada Menteri Besar dan yang datang itu bukan sahaja orang Melayu, juga orang-orang Cina, India dan Siam. Selepas kuliah berakhir, bermula pula demonstrasi menyokong kepimpinan TG Dato' Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan. Demonstrasi ini dihadiri lebih 10,000 orang adalah berpuluh kali ganda lebih ramai dari demonstrasi selasa lalu di depan Kota darulnaim yang menuntut beliau berundur.

Kalau begitu keadaannya, bagaimana dengan war-war media masa bahawa TG Nik Aziz semakin tidak mendapat sokongan rakyat Kelantan? Nampaknya "spin" media massa tertentu tidak berjaya sama sekali "menggoyahkan" pentadbiran beliau, malah tidak mendatangkan sebarang kesan. Hadir sama dalam demonstrasi ini ialah para ADUN PAS termasuk EXCO dan Pesuruhjaya II Datuk Husam Musa. Yang turut berucap dalam perhimpunan ini bukan sahaja Tok Guru, Husam; tetapi juga wakil-wakil masyarakat Cina, India dan Siam.

Dalam perhimpunan ini juga Tok Guru mengulangi tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan. " Selagi tidak bayar royalti, kita doakan sampai pecah perut orang itu". Ini kerana telah melanggar keadilan asasi. Ucapan beliau disambut dengan laungan gemuruh orang ramai. Keadaan menggelikan hati timbul bila wakil masyarakat India berucap menggunakan bahasa Tamil pada permulaannya yang mengundang tawa besar hadirin. Para penjenguk boleh melihat gambar-gambar perhimpunan ini dalam Blog Pinkturtle dan juga Detikdaily yang banyak menyiarkan gambar-gambar sekitar perhimpunan itu.

Pengumuman perhimpunan ini dirancang kelmarin dan dumumkan lewat kemarin juga tapi kehadirannya melebihi 10,000 orang itu bakal melenyapkan sama sekali tanggapan sesetengah pihak bahwa kepimpinan TG Nik Aziz sebagai MB Kelantan semakin tidak mendapat sokongan rakyat Kelantan. Buktinya rakyat 1 Kelantan hadir hari ini.

Thursday, December 3, 2009

Banjir Pusingan ke-3 di Kelantan telah bermula?


Pada pagi 2 Disember, hujan lebat turun mencurah-curah di Kota Bharu. Sebelum ini Kelantan telah dua kali dalam bulan November dilanda banjir. Pada kebiasaannya banjir datang dalam 3 gelombang dan yang ke 3 itu adakah yang telah berlaku dalam sehari dua ini. Tetapi yang peliknya hujan lebat hanya sekitar kawasan pantai sahaja, sebab itu dikatakan hujan pantai.

Kebetulan pada 3 Disember penulis berkereta dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur, menghantar balik isteri dan anak-anak yang balik beraya di Kelantan. Penulis sendiri bekerja di Kota Bharu dan balik sekali seminggu di rumah di Kuala Lumpur. Pada hari balik iaitu hjari Rabu itu hujan tiada henti dalam perjalanan dari Kota Bharu hinggalah sampai ke Kuala Krai bilamana hujan renyai-renyai sahaja dan tiba di Gua Musang tiada hujan lagi. Dari Gua Musang hinggalah sampai di Kuala Lumpur tiada hujan langsung dan cuaca mendung sahaja.

Pada malamnya berita Tv menyatakan banjir telah melanda beberapa kawasan di Tumpat dan Pasir Puteh iaitu di beberapa kawasan rendah dan air sungai utama di Kelantan masih bertahan di bawah paras bahaya. Semalam juga keadaan banjir masih bertahan dan tidak sampai seratus orang yang terpaksa pindah. Kalau ini petunjuknya banjir di Kelantan di Terengganu telah masuk ke gelombang ke 3 dan diharapkan tiada lagi selepas ini kerana pada gelombang pertama dan ke 2 dahulu ribuan orang terpaksa berpindah ke kawasan selamat.

Kalau itu menjadi kenyataan dan tiada banjir lagi menjelang akhir tahun ini, Kota Bharu selamat dari banjir tahun ini. Hanya pada tahun 2004 dahulu bandar Kota Bharu teruk ditenggelami air sedalam 3-4 kaki. Dan selepas banjir beberapa minggu diambil bagi mencuci keadaan bandar yang berselut dan berhabuk bila cuaca panas terik.

Alhamdulillah tahun ini banjir tidak terlalu besar, hanya kawasan yang sememangnya tradisi dilanda banjir seperti Penambang, Tumpat, Rantau Panjang, Pasir Mas, Kuala Krai, Pasir Puteh dan beberapa kawasan rendah dan lembangan sungai kelantan.

Poster Demo sokong Tok Guru Mb Kelantan Esok


Dalam posting terbaru saya tadi, saya andaikan esok selepas kuliah Tok Guru MB di Dataran Ilmu biasanya ada demo jika ada isu tertentu. Apabila saya menjenguk blog Cina Islam, lewat jam 12.00 mlm tadi , ada terdapat satu poster tentang demo itu esok dalam blog tersebut. Untuk makluman pembaca saya siarkan balik poster itu yang asalnya dijumpai dalam blog Cina Islam yang mana saya salah seorang followernya. Telahan itu telah nyata, sayangnya saya berada di KL dan tidak dapat meninjau keadaan demo itu dan saya akan dapatkan dari kawan-kawan di KB, insya Allah.

Ribut Dalam Politik Kerajaan Kelantan Semakin Reda


Ribut yang melanda dalam pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan yang memuncak dalam 2 minggu lepas nampaknya semakin reda. Saya sengaja tidak membuat posting semasa ribut itu pada kemuncaknya kerana yakin isu ini akan selesai dengan sendirinya secara aman. Walaupun dua hari lepas sekumpulan orang ramai yang didalangi Che Johan Che Pa pemimpin Pemuda UMNO mengadakan demonstrasi di depan pintu pagar Kota Darulnaim, namun ianya tidak mendatangkan apa-apa kesan pada pentadbiran kerajaan Kelantan, apalagi untuk mendesak Menteri Besar berundur dari jawtaannya.

Menteri Besar Datuk Nik Aziz sendiri menyatakan beliau tak perlu melayan sekumpulan budak-budak UMNO yang berdemonstrasi itu. Dan esok Jumaat seperti biasa kuliah Tok Guru di Dataran Ilmu pasti akan ada satu demonstrasi aman bagi menyokong Tok Guru oleh pengikut PAS, sekiranya tiada hujan lebat pasti ramai yang datang memenuhi Dataran Ilmu seperti lazimnya sekitar 2000-3000 orang, tetapi jika ada demonstrasi esok pasti jumlahnya bertambah ramai. Biasanya demonstrasi sebegitu di Dataran Ilmu tidak dirancang dan diadakan selepas kuliah berakhir.

Berbalik pada soal keributan tersebut yang berpunca dari masalah "dalaman" Perbadanan Menteri Besar Kelantan(PMBK) yang kebetulan diketuai oleh menantu Menteri Besar Abdul Arif Fahmi. Pada pandangan penulis perkara ini boleh dielakkan sekiranya Arif Fahmi tidak menduduki kerusi itu dari awal lagi. Sebelum ini pun Menteri Besar amat berhati-hati dalam sebarang perlantikan yang melibatkan ahli keluarganya. Malah Ustaz Nik Muhd Abduh tidak diberikan tempat untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya baik DUN atau Parlimen kerana dibimbangi adanya fitnah walaupun dari segi kelayakan Ustaz Nik Abduh sememangnya layak dan berkemampuan.

Mungkin pada masa itu pandangan dan nasihat yang diberikan oleh para pembantu Menteri Besar ketika perlantikan Arif Fahmi itu lebih kepada "malu mata" kalaupun tidak untuk membodek Menteri Besar. Lalu selepas perlantikan dan bila berlaku "berkucah" macam ini penasihat dan pembantu tadi hilang tanpa memberi apa-apa justifikasi, sedangkan masa melantik dahulu justifikasi sebagai "layak" dan berkelulusan "engineer" dijadikan asasnya. Maka berlakulah apa yang kita saksikan, dan ia juga satu rahmat untuk renungan pada masa hadapan agar Menteri Besar berhati-hati dalam soal yang membabitkan ahli keluarga terdekat.

Apabila Menteri Besar mengumumkan bahawa beliau telah menasihatkan Arif Fahmi CEO PMBK untuk meletakkan jawatan selepas diconsult oleh Presiden dan pemimpin atasan PAS dan demi menjaga kedudukan parti dari fitnah, Arif Fahmi juga setuju melepaskannya demi perpaduan dalam PAS sendiri dan mengelakkan fitnah yang berterusan. Peristiwa ini perlu diambil iktibar oleh semua terutama pejuang-pejuang Islam agar berlapang dada dan menerima nasihat yang baik demi kelangsungan perjuangan.

Walaupun pihak media arus perdana dan blog-blog tertentu membuat serangan bertubi kali, nampaknya Menteri Besar Kelantan dapat "menguruskan permasalahan" ini dengan baik dan ianya semakin reda sekarang. Soal penyiasatan SPRM ke atas PMBK itu soal lain dan biarlah SPRM menguruskannya, dan saya pasti sekiranya ada bukti SPRM tidak akan teragak-agak menyeret Arif Fahmi ke mahkamah. Apa lagi ianya melibatkan kredibiliti kerajaan PAS Kelantan!

Saya percaya dan yakin, dalam seminggu dua lagi, insya Allah "keributan" ini semakin dilupakan dalam keghairahan menyambut Tahun Baru 2010 dengan gerak kerja masing-masing sama ada parti pemerintah ataupun pembangkang kerana PRU 13 semakin menghampiri birai waktu.

Hasrat Chin Peng pulang ke Malaysia samar


Isu mengenai hasrat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, bekas orang kuat Parti Komunis Malaya (PKM) berbangkit kembali biarpun Mahkamah telah memutuskan tidak membenarkan beliau pulang ke Malaysia. Ia muncuk kembali tatkala satu majlis memperingati 20 tahun termeterainya Perjanjian Damai PKM dengan Kerajaan Malaysia di Hadyai, Thailand 2 Disember 1989 dulu. Majlis yang diadakan di Hotel Lee Garden, Hadyai itu diadakan secara sederhana dan dihadiri bekas pemimpin PKM termasuk Chin Peng.

Chin Peng melahirkan hasratnya untuk bertemu dengan Perdana Menteri DS Najib apabila PM melawat Thailand dalam bulan Disember ini. Namun awal-awal lagi Najib menyatakan beliau tidak sedia bertemu dengan Chin Peng. Sebelum Najib berkata begitu, beberapa pemimpin kerajaan termasuk TPM TS Muhyiddin menyatakan "tiada maaf" bagi Chin Peng dan hasrat beliau kembali ke Malaysia janganlah diangan-angankan.

Penulis tidak berhasrat untuk menyatakan wajar atau tidak untuk Chin Peng kembali ke Malaysia, ianya terpulang pada pandangan masing-masing. Pihak bekas anggota pasukan keselamatan misalnya, tentunya mempunyai alasan kukuh tidak bersetuju dengan kepulangan Chin Peng. Benar Chin Peng telah meletak senjata, tetapi beliau masih lagi "kukuh" dengan anutan komunisnya. Dan beliau juga menyatakan tidak akan memohon maaf kepada rakyat Malaysia di atas apa yang berlaku dalam perjuangan komunis dahulu, walaupun beliau mengakui ada kesilapan dan rakyat biasa menjadi mangsa. Mungkin atas ketegasan Chin Peng itulah juga kerajaan tidak bersedia untuk membenarkan beliau pulang.

Cuma apa yang penulis ingin bangkitkan ialah tentang isi Perjanjian Damai tersebut. Kandungannya perlu didedahkan supaya rakyat tahu dan dapat menerima penjelasan kerajaan. Ini kerana Chin Peng mendakwa beliau seolah ditipu kerana perjanjian itu katanya membenarkan dia kembali ke tanah air. Apakah benar ada 'klausa' itu dalam perjanjian, ini yang rakyat ingin tahu.

Semalam bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir menyatakan biarlah rakyat menentukan sama ada ingin membenarkan Chin Peng pulang atau tidak. Macam mana hendak tahu sakyat setuju atau tidak, ini kena buat pungutan suara. Bagaimana kalau rakyat setuju, setujukah kerajaan membenarkannya. Di lihat pandangan Dr. Mahathir ini agak menarik juga, seolah dia tahu isi kandungan perjanjian ( sememangnya beliau tahu kerana dia PM semasa Perjanjian ditandatangani).

Apa yang lebih menarik bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor menyatakan Chin Peng patut dibenarkan pulang ke Malaysia kerana ia terkandung dalam perjanjian damai dahulu itu. Ini lagi menarik kerana TS Rahim adalah orang yang terlibat secara langsung dalam menguruskan perjanjian damai itu. Setakat ini tiadsa pemimpin kerajaan mengulas kenyatan TS Rahim.

Saya tidak ingin mengulas persoalan persepsi masyarakat jika Chin Peng pulang ke tanah air sama ada patut atau tidak. Masing-masing ada hujah sendiri bagi menjustifikasikan pendapat. Para penyokong tentu mengambil kira faktor usia 85 tahun Chin Peng sekarang, apa beliau boleh buat lagi dan lain-lain lagi. Manakala yang menentang pun ada kebenaran hujahnya apabila mempersoalkan "kekejaman" komunis dahulu khususnya semasa pengunduran Tentera Jepun 1945 dan pihak komunis bermaharaja lela sebelum British kembali serta keadaan yang terjadi pada zaman darurat.

Pokoknya di sini ialah apa yang disebutkan dalam Perjanjian Damai itu dan perjanjian perlulah dipatuhi. Jika kerajaan tidak mematuhi perjanjian yang diadakan, maka pandangan pihak luar adalah negetif sekali tentang negara. Begitulah juga dengan Perjanjian Petrolium kerajaan negeri termasuk Kelantan dengan PETRONAS, kerajaan wajib mematuhinya seperti mana dalam Perjanjian, jika tidak apa guna ada perjanjian, kalau tidak dilaksanakan. Mungkin atas dasar itulah YBM Tengku Razaleigh tetap bertegas dengan pendapatnya dalam isu royalti minyak pada Kelantan kerana beliau terlibat secara langsung dengan urusan perjanjian PETRONAS itu.

Dalam hal Chin Peng dan PKM ini, apakah TS Rahim Noor juga akan tegas dengan pandangannya itu dan bagaimana pula dengan pandangan kerajaan dalam perkara ini. Segalanya masih samar dan sukar dijangkakan.

Wednesday, December 2, 2009

Demonstrasi Depan Pejabat Kota Darulnaim


Kelmarin, Selasa pagi ratusan orang berkumpul di depan pintu masuk Pejabat Kota Darulnaim yang menempatkan Pejabat SUK dan juga Pejabat Menteri Besar Kelantan serta EXCOnya. Malah boleh dikatakan semua Pejabat Kerajaan Negeri terletak dalam Kota Darulnaim. Kompleks Pejabat Kota Darulnaim ini dibina semasa BN memerintah Kelantan iaitu semasa Allahyarham Tan Sri Mohamad Yaakob menjadi Menteri Besarnya. Tetapi BN hanya sempat menduduki kompleks ini sebentar sahaja bila BN tewas dalam PRU 1990 dan sejak itu ia menjadi pejabat Kerajaan Kelantan dibawah pentadbiran PAS. Di sini bukan isu siapa yang membinanya kerana setiap pentadbiran baru akan mewarisi dari kerajaan lama baik yang bangunan yang dibina ataupun hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan lama juga ditanggung oleh pentadbiran baru.

Berbalik pada soal demonstrasi, Agenda Daily menyebut 1,000 orang berkumpul dan berdemonstrasi itu manakala beberapa blog menyatakan ratusan sahaja. Teman-teman blogger menyatakan hanya sekitar 300-400 orang sahaja tetapi nampak ramai dicampur dengan orang yang menonton di kiri kanan jalan dan kenyataan bahawa rakyat Kelantan telah bangkit berdemo juga tidak berapa tepat. Memanglah semuanya rakyat Kelantan tetapi kepala demo Che Johan Che Pa semua orang tau, Naib Ketua UMNO Pasir Mas dan kebanyakannya yang berdemo itu juga orang-orang UMNO atau cenderung pada UMNO termasuklah Putera dan Puteri UMNO sekali.

Demo ini bukanlah pertama kali semasa Menteri Besar Dato' Nik Aziz mentadbir Kelantan, kerana sebelum ini pernah ada demo serupa berkaitan dengan penswastaan bekalan air di Kelantan suatu masa dahulu yang di dalangi orang-orang dari Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) pimpinan Datuk Ibrahim Ali.

Demo pada pagi selasa itu bagi membantah cadangan "Doa Bala" pada Perdana Menteri jika tidak berikan royalti minyak kepada kerajaan Kelantan. Ini juga dirasakan kebanyakan orang hanya kebetulan sahaja isu itu timbul dan dapat dijadikan batu loncatan bagi mengadakan demo. Sebenarnya mereka yang tidak bersetuju dengan pentadbiran PAS di Kelantan termasuk orang UMNO berhajat untuk mengadakan demo tetapi tiada "justifikasi" sesuai dan bila isu ini timbul maka ada " sebab" untuk berdemo walaupun pada ruang yang lain pemimpinnya mengatakan "demonstrasi bukan budaya kita".

Tidak mengapalah untuk berdemo secara aman adalah dijamin dalam perlembagaan dan sesiapa pun boleh berdemo secara aman, SUHAKAM pun setuju dengan perkara ini. Cuma bagi penganjur demo walau atas nama apa sekali pun baik NGO atau apapun, jika tiada impaknya maka rasanya merugikan masa dan tenaga sahaja. Kalau "agak ramai" yang datang berdemo tu...ada juga impaknya dan boleh menjadi suara pendesak. Sekurang-kurangnya boleh menyedarkan orang yang dituju oleh pendemo itu betapa ramai yang tidak setuju dengan pandangan mereka. Mungkin pada hari itu hujan turun tanpa henti menyebabkan ramai tak ikut serta

Apapun dalam politik demokrasi di Malaysia sesiapa bebas bersuara dan berdemo secara aman dan pihak keselamatan juga perlulah bekerjasama mengawalnya dengan baik sepertimana dalam demo pagi selasa itu.