

Pagi ini, jumaat seperti biasa TG Menteri Besar Kelantan memberi kuliahnya di Dataran Ilmu, Jalan Dato' Pati, Kota Bharu. Ianya merupakan rutin hari jumaat, selepas kuliah subuh di masjidnya di Pulau Melaka. Selepas kuliah subuh biasanya sudah ada puluhan yang membawa bayi bagi TG "membelah mulut" dan mencukur rambut. Kuliah di Kota Bharu itu biasanya bermula 9.30 pagi selama satu jam.
Pada hari biasa pendengar kuliahnya sekitar 3000 orang dan ada yang datang sejauh Gua Musang dan juga Besut, Terengganu. Pada pagi ini kehadiran orang ramai luar biasa sekali. Saya difahamkan oleh kawan-kawan di sana, bandar Kota Bharu penuh sesak dengan orang ramai. Semuanya datang untuk memberi sokongan pada Menteri Besar dan yang datang itu bukan sahaja orang Melayu, juga orang-orang Cina, India dan Siam. Selepas kuliah berakhir, bermula pula demonstrasi menyokong kepimpinan TG Dato' Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan. Demonstrasi ini dihadiri lebih 10,000 orang adalah berpuluh kali ganda lebih ramai dari demonstrasi selasa lalu di depan Kota darulnaim yang menuntut beliau berundur.
Kalau begitu keadaannya, bagaimana dengan war-war media masa bahawa TG Nik Aziz semakin tidak mendapat sokongan rakyat Kelantan? Nampaknya "spin" media massa tertentu tidak berjaya sama sekali "menggoyahkan" pentadbiran beliau, malah tidak mendatangkan sebarang kesan. Hadir sama dalam demonstrasi ini ialah para ADUN PAS termasuk EXCO dan Pesuruhjaya II Datuk Husam Musa. Yang turut berucap dalam perhimpunan ini bukan sahaja Tok Guru, Husam; tetapi juga wakil-wakil masyarakat Cina, India dan Siam.
Dalam perhimpunan ini juga Tok Guru mengulangi tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan. " Selagi tidak bayar royalti, kita doakan sampai pecah perut orang itu". Ini kerana telah melanggar keadilan asasi. Ucapan beliau disambut dengan laungan gemuruh orang ramai. Keadaan menggelikan hati timbul bila wakil masyarakat India berucap menggunakan bahasa Tamil pada permulaannya yang mengundang tawa besar hadirin. Para penjenguk boleh melihat gambar-gambar perhimpunan ini dalam Blog Pinkturtle dan juga Detikdaily yang banyak menyiarkan gambar-gambar sekitar perhimpunan itu.
Pengumuman perhimpunan ini dirancang kelmarin dan dumumkan lewat kemarin juga tapi kehadirannya melebihi 10,000 orang itu bakal melenyapkan sama sekali tanggapan sesetengah pihak bahwa kepimpinan TG Nik Aziz sebagai MB Kelantan semakin tidak mendapat sokongan rakyat Kelantan. Buktinya rakyat 1 Kelantan hadir hari ini.
No comments:
Post a Comment