Thursday, December 3, 2009

Hasrat Chin Peng pulang ke Malaysia samar


Isu mengenai hasrat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, bekas orang kuat Parti Komunis Malaya (PKM) berbangkit kembali biarpun Mahkamah telah memutuskan tidak membenarkan beliau pulang ke Malaysia. Ia muncuk kembali tatkala satu majlis memperingati 20 tahun termeterainya Perjanjian Damai PKM dengan Kerajaan Malaysia di Hadyai, Thailand 2 Disember 1989 dulu. Majlis yang diadakan di Hotel Lee Garden, Hadyai itu diadakan secara sederhana dan dihadiri bekas pemimpin PKM termasuk Chin Peng.

Chin Peng melahirkan hasratnya untuk bertemu dengan Perdana Menteri DS Najib apabila PM melawat Thailand dalam bulan Disember ini. Namun awal-awal lagi Najib menyatakan beliau tidak sedia bertemu dengan Chin Peng. Sebelum Najib berkata begitu, beberapa pemimpin kerajaan termasuk TPM TS Muhyiddin menyatakan "tiada maaf" bagi Chin Peng dan hasrat beliau kembali ke Malaysia janganlah diangan-angankan.

Penulis tidak berhasrat untuk menyatakan wajar atau tidak untuk Chin Peng kembali ke Malaysia, ianya terpulang pada pandangan masing-masing. Pihak bekas anggota pasukan keselamatan misalnya, tentunya mempunyai alasan kukuh tidak bersetuju dengan kepulangan Chin Peng. Benar Chin Peng telah meletak senjata, tetapi beliau masih lagi "kukuh" dengan anutan komunisnya. Dan beliau juga menyatakan tidak akan memohon maaf kepada rakyat Malaysia di atas apa yang berlaku dalam perjuangan komunis dahulu, walaupun beliau mengakui ada kesilapan dan rakyat biasa menjadi mangsa. Mungkin atas ketegasan Chin Peng itulah juga kerajaan tidak bersedia untuk membenarkan beliau pulang.

Cuma apa yang penulis ingin bangkitkan ialah tentang isi Perjanjian Damai tersebut. Kandungannya perlu didedahkan supaya rakyat tahu dan dapat menerima penjelasan kerajaan. Ini kerana Chin Peng mendakwa beliau seolah ditipu kerana perjanjian itu katanya membenarkan dia kembali ke tanah air. Apakah benar ada 'klausa' itu dalam perjanjian, ini yang rakyat ingin tahu.

Semalam bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir menyatakan biarlah rakyat menentukan sama ada ingin membenarkan Chin Peng pulang atau tidak. Macam mana hendak tahu sakyat setuju atau tidak, ini kena buat pungutan suara. Bagaimana kalau rakyat setuju, setujukah kerajaan membenarkannya. Di lihat pandangan Dr. Mahathir ini agak menarik juga, seolah dia tahu isi kandungan perjanjian ( sememangnya beliau tahu kerana dia PM semasa Perjanjian ditandatangani).

Apa yang lebih menarik bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor menyatakan Chin Peng patut dibenarkan pulang ke Malaysia kerana ia terkandung dalam perjanjian damai dahulu itu. Ini lagi menarik kerana TS Rahim adalah orang yang terlibat secara langsung dalam menguruskan perjanjian damai itu. Setakat ini tiadsa pemimpin kerajaan mengulas kenyatan TS Rahim.

Saya tidak ingin mengulas persoalan persepsi masyarakat jika Chin Peng pulang ke tanah air sama ada patut atau tidak. Masing-masing ada hujah sendiri bagi menjustifikasikan pendapat. Para penyokong tentu mengambil kira faktor usia 85 tahun Chin Peng sekarang, apa beliau boleh buat lagi dan lain-lain lagi. Manakala yang menentang pun ada kebenaran hujahnya apabila mempersoalkan "kekejaman" komunis dahulu khususnya semasa pengunduran Tentera Jepun 1945 dan pihak komunis bermaharaja lela sebelum British kembali serta keadaan yang terjadi pada zaman darurat.

Pokoknya di sini ialah apa yang disebutkan dalam Perjanjian Damai itu dan perjanjian perlulah dipatuhi. Jika kerajaan tidak mematuhi perjanjian yang diadakan, maka pandangan pihak luar adalah negetif sekali tentang negara. Begitulah juga dengan Perjanjian Petrolium kerajaan negeri termasuk Kelantan dengan PETRONAS, kerajaan wajib mematuhinya seperti mana dalam Perjanjian, jika tidak apa guna ada perjanjian, kalau tidak dilaksanakan. Mungkin atas dasar itulah YBM Tengku Razaleigh tetap bertegas dengan pendapatnya dalam isu royalti minyak pada Kelantan kerana beliau terlibat secara langsung dengan urusan perjanjian PETRONAS itu.

Dalam hal Chin Peng dan PKM ini, apakah TS Rahim Noor juga akan tegas dengan pandangannya itu dan bagaimana pula dengan pandangan kerajaan dalam perkara ini. Segalanya masih samar dan sukar dijangkakan.

No comments:

Post a Comment