
Ribut yang melanda dalam pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan yang memuncak dalam 2 minggu lepas nampaknya semakin reda. Saya sengaja tidak membuat posting semasa ribut itu pada kemuncaknya kerana yakin isu ini akan selesai dengan sendirinya secara aman. Walaupun dua hari lepas sekumpulan orang ramai yang didalangi Che Johan Che Pa pemimpin Pemuda UMNO mengadakan demonstrasi di depan pintu pagar Kota Darulnaim, namun ianya tidak mendatangkan apa-apa kesan pada pentadbiran kerajaan Kelantan, apalagi untuk mendesak Menteri Besar berundur dari jawtaannya.
Menteri Besar Datuk Nik Aziz sendiri menyatakan beliau tak perlu melayan sekumpulan budak-budak UMNO yang berdemonstrasi itu. Dan esok Jumaat seperti biasa kuliah Tok Guru di Dataran Ilmu pasti akan ada satu demonstrasi aman bagi menyokong Tok Guru oleh pengikut PAS, sekiranya tiada hujan lebat pasti ramai yang datang memenuhi Dataran Ilmu seperti lazimnya sekitar 2000-3000 orang, tetapi jika ada demonstrasi esok pasti jumlahnya bertambah ramai. Biasanya demonstrasi sebegitu di Dataran Ilmu tidak dirancang dan diadakan selepas kuliah berakhir.
Berbalik pada soal keributan tersebut yang berpunca dari masalah "dalaman" Perbadanan Menteri Besar Kelantan(PMBK) yang kebetulan diketuai oleh menantu Menteri Besar Abdul Arif Fahmi. Pada pandangan penulis perkara ini boleh dielakkan sekiranya Arif Fahmi tidak menduduki kerusi itu dari awal lagi. Sebelum ini pun Menteri Besar amat berhati-hati dalam sebarang perlantikan yang melibatkan ahli keluarganya. Malah Ustaz Nik Muhd Abduh tidak diberikan tempat untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya baik DUN atau Parlimen kerana dibimbangi adanya fitnah walaupun dari segi kelayakan Ustaz Nik Abduh sememangnya layak dan berkemampuan.
Mungkin pada masa itu pandangan dan nasihat yang diberikan oleh para pembantu Menteri Besar ketika perlantikan Arif Fahmi itu lebih kepada "malu mata" kalaupun tidak untuk membodek Menteri Besar. Lalu selepas perlantikan dan bila berlaku "berkucah" macam ini penasihat dan pembantu tadi hilang tanpa memberi apa-apa justifikasi, sedangkan masa melantik dahulu justifikasi sebagai "layak" dan berkelulusan "engineer" dijadikan asasnya. Maka berlakulah apa yang kita saksikan, dan ia juga satu rahmat untuk renungan pada masa hadapan agar Menteri Besar berhati-hati dalam soal yang membabitkan ahli keluarga terdekat.
Apabila Menteri Besar mengumumkan bahawa beliau telah menasihatkan Arif Fahmi CEO PMBK untuk meletakkan jawatan selepas diconsult oleh Presiden dan pemimpin atasan PAS dan demi menjaga kedudukan parti dari fitnah, Arif Fahmi juga setuju melepaskannya demi perpaduan dalam PAS sendiri dan mengelakkan fitnah yang berterusan. Peristiwa ini perlu diambil iktibar oleh semua terutama pejuang-pejuang Islam agar berlapang dada dan menerima nasihat yang baik demi kelangsungan perjuangan.
Walaupun pihak media arus perdana dan blog-blog tertentu membuat serangan bertubi kali, nampaknya Menteri Besar Kelantan dapat "menguruskan permasalahan" ini dengan baik dan ianya semakin reda sekarang. Soal penyiasatan SPRM ke atas PMBK itu soal lain dan biarlah SPRM menguruskannya, dan saya pasti sekiranya ada bukti SPRM tidak akan teragak-agak menyeret Arif Fahmi ke mahkamah. Apa lagi ianya melibatkan kredibiliti kerajaan PAS Kelantan!
Saya percaya dan yakin, dalam seminggu dua lagi, insya Allah "keributan" ini semakin dilupakan dalam keghairahan menyambut Tahun Baru 2010 dengan gerak kerja masing-masing sama ada parti pemerintah ataupun pembangkang kerana PRU 13 semakin menghampiri birai waktu.
No comments:
Post a Comment