
Kelmarin, Selasa pagi ratusan orang berkumpul di depan pintu masuk Pejabat Kota Darulnaim yang menempatkan Pejabat SUK dan juga Pejabat Menteri Besar Kelantan serta EXCOnya. Malah boleh dikatakan semua Pejabat Kerajaan Negeri terletak dalam Kota Darulnaim. Kompleks Pejabat Kota Darulnaim ini dibina semasa BN memerintah Kelantan iaitu semasa Allahyarham Tan Sri Mohamad Yaakob menjadi Menteri Besarnya. Tetapi BN hanya sempat menduduki kompleks ini sebentar sahaja bila BN tewas dalam PRU 1990 dan sejak itu ia menjadi pejabat Kerajaan Kelantan dibawah pentadbiran PAS. Di sini bukan isu siapa yang membinanya kerana setiap pentadbiran baru akan mewarisi dari kerajaan lama baik yang bangunan yang dibina ataupun hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan lama juga ditanggung oleh pentadbiran baru.
Berbalik pada soal demonstrasi, Agenda Daily menyebut 1,000 orang berkumpul dan berdemonstrasi itu manakala beberapa blog menyatakan ratusan sahaja. Teman-teman blogger menyatakan hanya sekitar 300-400 orang sahaja tetapi nampak ramai dicampur dengan orang yang menonton di kiri kanan jalan dan kenyataan bahawa rakyat Kelantan telah bangkit berdemo juga tidak berapa tepat. Memanglah semuanya rakyat Kelantan tetapi kepala demo Che Johan Che Pa semua orang tau, Naib Ketua UMNO Pasir Mas dan kebanyakannya yang berdemo itu juga orang-orang UMNO atau cenderung pada UMNO termasuklah Putera dan Puteri UMNO sekali.
Demo ini bukanlah pertama kali semasa Menteri Besar Dato' Nik Aziz mentadbir Kelantan, kerana sebelum ini pernah ada demo serupa berkaitan dengan penswastaan bekalan air di Kelantan suatu masa dahulu yang di dalangi orang-orang dari Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) pimpinan Datuk Ibrahim Ali.
Demo pada pagi selasa itu bagi membantah cadangan "Doa Bala" pada Perdana Menteri jika tidak berikan royalti minyak kepada kerajaan Kelantan. Ini juga dirasakan kebanyakan orang hanya kebetulan sahaja isu itu timbul dan dapat dijadikan batu loncatan bagi mengadakan demo. Sebenarnya mereka yang tidak bersetuju dengan pentadbiran PAS di Kelantan termasuk orang UMNO berhajat untuk mengadakan demo tetapi tiada "justifikasi" sesuai dan bila isu ini timbul maka ada " sebab" untuk berdemo walaupun pada ruang yang lain pemimpinnya mengatakan "demonstrasi bukan budaya kita".
Tidak mengapalah untuk berdemo secara aman adalah dijamin dalam perlembagaan dan sesiapa pun boleh berdemo secara aman, SUHAKAM pun setuju dengan perkara ini. Cuma bagi penganjur demo walau atas nama apa sekali pun baik NGO atau apapun, jika tiada impaknya maka rasanya merugikan masa dan tenaga sahaja. Kalau "agak ramai" yang datang berdemo tu...ada juga impaknya dan boleh menjadi suara pendesak. Sekurang-kurangnya boleh menyedarkan orang yang dituju oleh pendemo itu betapa ramai yang tidak setuju dengan pandangan mereka. Mungkin pada hari itu hujan turun tanpa henti menyebabkan ramai tak ikut serta
Apapun dalam politik demokrasi di Malaysia sesiapa bebas bersuara dan berdemo secara aman dan pihak keselamatan juga perlulah bekerjasama mengawalnya dengan baik sepertimana dalam demo pagi selasa itu.
No comments:
Post a Comment