
Dalam keadaan tidak semena-mena Datuk Mohamad Daud Iraqi membuat kenyataan di akhbar tentang cadangan Ahli Parlimen PAS di Kelantan seharusnya dari kalangan anak negeri Kelantan sendiri. Tidak dapat dipastikan apa tujuan beliau mencadangkan demikian. Sedangkan isu pada masa ini ialah berkaitan Ariff Fahmi dan PMBK mengambil tempat. Apakah beliau sekadar mahu mengalihkan pokok perbahasan semasa atau ada agenda lain.
Namun apabila Menteri Besar menyambut cadangannya dengan mengatakan Kelantan sedia membincangkan perkara itu ia telah menjadi besar. Ini kerana pada masa ini apa yang keluar dari mulut Menteri Besar akan dipungut oleh media dan akan menjadi tajuk utama akhbar. Dan ini juga bakal menjadi bahan untuk media arus perdana menembak balik kepada pentadbiran PAS Kelantan. Atau setidak-tidaknya cuba melagakan MP dari luar yang bertanding di Kelantan.
Buat masa ini MP Salahuddin Ayub dan Dr.Hatta Ramli tidak memberikan apa-apa komen walaupun media cuba mencungkil pandangannya. Hanya Salahuddin hari ini menyatakan beliau bertanding di Kelantan atas arahan PAS Pusat juga dan setakat itu sahaja beliau dapat menyatakan pandangannya. Manakala Nasharuddin Mat Isa tidak memberikan komen, manakala Saifuddin Nasution (PKR) menyatakan perkara itu merupakan hal PAS dan beliau tidak terlibat.
Soalnya apakah begitu jauh perginya pandangan Mohamad daud Iragi, orang pertama memperkatakan hal ini. PRU 13 masih jauh lagi dan lebih aula bagi membincangkan soal memperkuatkan lagi kerajaan PAS Kelantan atau pun menasihatkan Tok Guru supaya menyediakan "pelan penggantinya" sekiranya Tok Guru berhasrat berundur selepas PRU 13nanti. Adalah elok sekiranya Tok Guru berundur selepas PRU 13 kerana jika berundur sekarang dibimbangi berlaku keretakan yang tidak dapat dibaiki menjelang PRU13 nanti.
Apapun pandangan tentang anak negeri sebagai calon MP itu saya kira hanya wajar dibincangkan pada masa akan datang, dan ingatlah juga bahawa faktor "kebolehan" MP untuk berhujah di Parlimen lebih diutamakan dari hanya mementingkan anak negeri Kelantan sahaja. Untuk ADUN mungkin boleh kerana ia melibatkan pemerintahan diperingkat negeri.
No comments:
Post a Comment