
Apabila satu demi satu pendedahan besar yang menampakkan kelemahan pentadbiran DS Najib, selaku Perdana Menteri Malaysia,saya teringatkan akan kata-kata Menteri Besar Kelantan; bahawa beliau berdoa semoga Perdana Menteri beri royalti pada Kelantan. Jika Perdana Menteri tidak beri royalti kepada Kelantan, kita doakan agar "pecah perut".
Bagi saya "pecah perut" di sini bukannya bermaksud secara fizikal, tetapi lebih pada satu analogi pada "pecah terbarainya" satu corak pentadbiran yang dipimpin oleh Perdana Menteri itu. Dalam dunia moden hari ini , mana ada lagi perkara itu sama ada seseorang sakit akibat doa atau dibomoh seseorang, walaupun ia boleh berlaku dengan izin Allah. Tetapi kita tidak dengar lagi perkara seumpama itu berlaku.
Sebab itulah saya suka menyatakan "pecah perut" disini lebih merupakan "pecahnya" atau jatuhnya kuasa seseorang yang menjadi peneraju kerajaan. Soal sama ada kerajaan sekarang akan pecah atau tidak hanya masa yang akan menentukannya dan juga izin Allah SWT. Kalau panjang umur kita dapat saksikannya. Allah telah nyatakan bahawa jika sesuatu kaum yang berkuasa itu berlaku zalim dan kerosakan, Allah akan gantikan dengan satu kaum lain yang lebih baik lagi.
Kalau kita amati sebenarnya "krisis" semakin parah dalam BN, baik dalam MCAnya, Gerakannya, MICnya, PPPnya dan juga UMNO sendiri. Bukankah ini tanda-tanda awal BN akan "pecah" sekiranya gagal menguruskannya dengan baik. Dalam sehari dua lalu UMNO begitu ghairah untuk mengambil kerusi Pengerusi BN Pulau Pinang yang telah 35 tahun disandang Gerakan, atas alasan Gerakan kalah dalam PRU lalu. Cadangan ini telah ditentang hebat oleh Gerakan kerana tradisinya Gerakan sebagai Pengerusi. Sekiranya masing-masing "berkeras", tidak mustahil pakatan Gerakan dan UMNO akan pecah di Pulau Pinang.
Krisis dalam MCA masih jauh dari selesai, begitu juga dalam MIC dan juga PPP. Nasib baik BN di Sabah dan Sarawak tidak bermasalah seperti di Semenanjung, tetapi keadaan di bawah iaitu akar umbi belum tentu lagi. Oleh sebab itu Pilihan Raya Sarawak tidak dapat lagi diadakan kerana khabarnya ada masalah yang belum selesai. Perletakan jawatan seorang Timbalan Menteri dari Sarawak daripada Kabinet DS Najib menampakkan riak-riak itu.
Dalam UMNO sendiri pun tidak kurang juga masalahnya. Walaupun media massa jarang memperkatakannya dan serangan dihalakan pada Pakatan Pembangkang, tetapi rakyat bawahan tetap dapat melihatnya. Peristiwa di Parlimen di mana Bajet diluluskan dengan undian 63-61 membuktikan ada sedikit masalah di sana.
Walaupun skandal PKFZ agak tenggelam sedikit pada masa ini, tetapi peristiwa "kehilangan enjin jet" telah mengambil tempat yang menampakkan kegagalan kerajaan menguruskanya. Bagaimana peristiwa besar ini boleh berlaku dan telah mengundang "rasa aneh" Amerika Syarikat, negara pembuat enjin itu. Apa lagi enjin itu dikatakan diseludup dan dijual di Amerika Selatan.
Sekiranya banyak lagi pendedahan besar yang melibatkan kerajaan terbongkar, rasanya BN akan mengalami kesulitan yang amat dalam menghadapi PRU 13 nanti, dan masa yang ada hanyalah antara 2 hingga 3 tahun sahaja lagi.
No comments:
Post a Comment