Sunday, April 24, 2011

Henti salahkan pengundi tak pilih BN, kata ahli MT Umno



malaysian insider
April 25, 2011

KUALA LUMPUR, 25 April —

Komponen Barisan Nasional (BN) tidak wajar menyalahkan ataupun menuduh mereka yang tidak mengundi perikatan itu ketika pilihan raya termasuk di Sarawak baru-baru sebagai tidak bersyukur, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah.

Sebaliknya tegas beliau, setiap pihak perlu menghormati hak pengundi untuk memilih mana-mana parti yang mereka inginkan.

“Dengan penuh rendah diri, saya menyeru rakan-rakan dalam BN supaya tidak menyalahkan atau menuduh mereka yang tidak mengundi BN dalam mana-mana pilihan raya sebagai tidak bersyukur kepada kerajaan BN,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Kita perlu menerima apa jua keputusan pengundi dengan berlapang dada walaupun keputusan tersebut tidak memihak kepada parti kita,” kata beliau mengulas tindakan pihak-pihak tertentu termasuk pertubuhan bukan kerajaan Melayu yang menuding jari, malah mahu masyarakat CIna di Sarawak dihukum kerana memperlihatkan sokongan kuat kepada DAP, parti komponen Pakatan Rakyat, ketika pilihan raya negeri 16 April lalu.

Selain undi populariti, kerusi dimenangi DAP meningkat dua kali ganda berbanding pilihan raya negeri 2006.

Di Sarawak, BN memperoleh 55 kerusi manakala Pakatan Rakyat 15 dan Bebas satu.

Akhbar-akhbar milik Umno juga menyatakan pendirian sedemikian agar BN tidak lagi bertindak sebagai “pemurah” kepada kaum Cina ekoran perkembangan di Sarawak.

Sejak selepas pilihan raya umum 2008, arah aliran sokongan masyarakat Cina kepada BN tidak banyak berubah.

Pandangan agar BN bertindak ‘keras’ terhadap pengundi-pengundi CIna juga disaksikan selepas pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor awal tahun lalu.

Kerusi itu disampas balik oleh BN, tetapi majoriti undi masyarakat Cina masih kekal di pihak pembangkang.

Saifuddin yang juga timbalan menteri berkata, “sebagai ahli parti BN, saya percaya kita telah melakukan yang terbaik untuk memenangi hati rakyat tanpa mengira kaum dalam setiap pilihan raya kecil termasuklah pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini.”

“YAB Perdana Menteri sendiri telah memperkenalkan pelbagai pendekatan baru dalam menawan hati rakyat semua kaum.

“Saya optimis sekiranya BN konsisten dengan usaha-usaha kita sekarang, BN akan memenangi semula hati rakyat semua kaum,” katanya.

Justeru soal Ahli Parlimen Temerloh ini, jika setiap pihak memilih untuk menyalahkan pengundi-pengundi terbabit khususnya masyarakat Cina, bagaimana parti-parti BN hendak berhadapan dengan mereka dalam pilihan raya akan datang.

“Bagaimana jika pada ketika itu mereka menempelak kita? Bagaimana jika kali ini mereka pilih pembangkang hanya sebagai protes sahaja, tapi, dek kerana cara negatif kita itu, maka mereka terus menerus pilih pembangkang kerana tindak-tanduk kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Bernama Online memetik Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata, parti teras BN itu yakin masyarakat Cina di seluruh negara terutama di Pulau Pinang akan kembali menyokong BN dan terus mengukuhkan kedudukan parti itu sebagai parti pemerintah di Malaysia.

Katanya, walaupun sokongan daripada masyarakat cina ketika ini dilihat merosot, beliau yakin perkara itu tidak akan berpanjangan.

“Saya percaya orang cina adalah kumpulan masyarakat yang menghargai apa yang telah dibuat oleh kerajaan dan mereka juga antara yang menerima kemudahan kelas pertama kerana tinggal di bandar.

“Justeru, saya yakin dan positif terhadap orang Cina serta percaya mereka akan kembali menyokong BN kerana pandangan serta pemikiran mereka akan berubah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jamuan 1Malaysia anjuran Umno Bahagian Batu Kawan di Juru malam tadi.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa memberi kemudahan dan bantuan yang sama rata kepada semua kaum di negara ini.

Sunday, April 17, 2011

Ulama gesa pemimpin Muslim elak politik fitnah

(petikan malaysianinsider)
Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani
April 17, 2011

KUALA LUMPUR, 17 April — Golongan ulama hari ini membuat pendirian menggesa pemimpin-pemimpin Islam mengelak daripada terlibat dalam politik fitnah atas alasan ia bertentangan dengan Islam dan boleh mengaibkan orang lain.

Anggota gerakan Saf Anti Fitnah (SAF) mendakwa ahli-ahli politik terlalu ghairah untuk menggunakan fitnah lucah terhadap pesaing-pesaing politik mereka.

Kata mereka, dakwaan palsu bukan sahaja membawa impak buruk ke atas soal maruah mangsa, malah ke atas keseluruhan masyarakat.

Jurucakap SAF, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, media mempunyai peranan besar dalam menghentikan penyebaran fitnah sedemikian.

“Media khususnya media arus perdana harus mengelak daripada terlibat dalam budaya fitnah menjatuh dan mengaibkan seseorang sama ada menerusi berita ataupun temu bual.

“Media juga seharusnya tidak bersubahat dalam menyebarkan fitnah dan mencetuskan keraguan di kalangan masyarakat Islam,” kata beliau pada satu forum yang diadakan di sebuah masjid di Ampang.

Malah kata beliau, media juga seharusnya mengamalkan prinsip kewartawanan yang beretika dan profesional.

Mohd Azmi juga menafikan pemimpin-pemimpin agama mengambil sikap membisu dalam isu berkaitan video seks, yang didedahkan “Datuk T”, yang lelaki dalam aksi seks adalah mirip seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat.

Sebaliknya kata beliau, media tidak membolehkan pihaknya memberi pandangan mereka.

“Mereka yang membenarkan dan tidak mengatakan apa-apa mengecam fitnah juga bersalah tidur atas katil syaitan,” katanya.

Rakaman video seks itu didedahkan oleh “Datuk T” oleh bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari Perkasa Datuk Shuiab Lazim tiga bulan lalu.

Laporan media hari ini juga menyebut siasatan rakaman video aksi seks, didedahkan “Datuk T” itu, mengikut Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah telah siap.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata laporan lengkap siasatan itu akan diserah kepada Pejabat Peguam Negara pada bila-bila masa dari sekarang untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, bekas mufti Wilayah Persekutuan Datuk Hashim Yahya berkata, Nabi Muhammad s.a.w berkata mereka yang terlibat dalam fitnah bukan sebahagian daripada komuniti Islam.

“Adalah sesuatu yang mengarut apabila beliau (Abdul Rahim) mengatakan yang beliau mendedahkan video seks demi kebaikan masyarakat. Ia menunjukkan bahawa beliau tidak faham Islam,” katanya.

Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir juga menekankan bahawa rakaman video tidak boleh digunakan di mahkamah syariah memandangkan soal ketulenan boleh dipersoalkan.

“Tidak pernah video atau foto digunakan sebagai bukti dalam tuduhan berzina. Malah, penggunaan DNA juga tiada konsensus di kalangan ulama.

“Secara peribadi, DNA hanya dibenarkan jika ujian makmal dikendalikan oleh seorang Muslim yang alim,” katanya lagi.

Tahniah BN Sarawak, projek 16 April Pakatan gagal


Pertama sekali tahniah pada BN Sarawak yang telah memenangi PRN Sarawak dengan melebihi majoriti 2/3 itu. Bagi pihak yang menang tentunya bergembira dengan kemenangan itu , manakala yang kalah tentunya akan membuat post mortem bagi mengkaji punca kekalahan.

Melihat pada perbezaan undi yang masih ketara antara parti yang menang dan yang kalah dalam satu-satu DUN itu, saya percaya kekuatan BN Sarawak yang masih lagi kebal dengan sokongan kaum bumiputera termasuklah Melayu, Melanau, Iban dan Orang Ulu serta bumiputera lain. Ini yang menyukarkan Pakatan Rakyat menyusup masuk. Bagi kawasan bandar ianya agak berlainan.

Setelah berlalunya PRN maka semua pihak sepatutnya menerima keputusan rakyat dengan fikiran yang terbuka. Walaupun di sana mungkin ada pelbagai alasan diberi atas kekalahan dan mungkin juga benar; tetapi faktor asas ialah penerimaaan majoriti rakyat pada BN Sarawak masih utuh.

Gembar-gembur sebelumnya yang mengatakan BN akan tewas ternyata hanyalah "psywar" sahaja dan tidak terjelma sama sekali. Dan nampaknya "psywar " ini telah memerangkap Pakatan Rakyat sendiri apabila terlalu war-warkan kemenangan yang bakal diperolehi hinggakan PM dan TPM turun berkampung di Sarawak menyebabkan suasana dan harapan telah berubah. Mungkin PKR terlalu kedepan dalam "psywar" ini hingga menamakan bakal Ketua Menteri iaitu Baru Bian.

Mungkin bagi DAP yang lebih fokuskan untuk menafikan 2/3 BN lebi menarik minat dan lebih munasabah dalam keadaan sebenar politik Sarawak, dan terntyata DAP berjaya dengan cemerlangnmya dalam PRN ini. Kejayaan Pakatan dalam PRN ini hanyalah menumpang DAP sahaja nampaknya. Walaupun PKR juga menang 3 kerusi tetapi tidak sepadan dengan lebih 40 kerusi yang ia bertanding!

Manakala bagi PAS, gerak kerja perlu diperkuatakan lagi yang bukan sahaja untuk kerja politik tetapi lebih penting lagi kerja dakwah, kerana PAS memasuki Pilihan Raya adalah sebagai satu saluran dakwah, di samping saluran lain lagi yang perlu diperkukuhkan. Sama ada menang atau tidak PAS harus terus mempergiatkan gerak kerja tarbiyyahnya bagi mengajak masyarakat memahami Islam yang sebenarnya dalam semua aspek kehidupan.

Thursday, April 14, 2011

16 Spetember Tersasar : apakah 16 April berjaya?

Dalam dua tiga hari terakhir menjelang hari pengundian PRN Sarawak, mood pengundi nampaknya telah menyebelahi Pakatan Rakyat. Ini yang menyebabkan BN telah "membunyikan loceng kecemasan" dan PM dan TPM sendiri terpaksa turun untuk berkampung di Sarawak. Sementara penganalisa bebas seperti Zentrum dan sebagainya telah memberikan kenyataan BN bakal tumbang.

Namun bagi saya agakan BN akan tumbang itu "mungkin dibesarkan" bagi memberi suasana panik dipihak BN atau sebagai "psywar". PM sendiri mengakui BN Sarawak menghadapi satu sejarah PRN paling getir dan hanya berani ramalkan BN akan mendapat simple majoriti. Itu andaian beliau dan dari pihak BN yang tentunya ada asas tersendiri.

Di satu pihak lain pihak Pakatan Rakyat pula meramalkan mereka akan tewaskan BN, tetapi masih tidak seorang pun pemimpin Pakatan berani mengatakan mereka akan "tumbangkan BN Sarawak". Malah Datuk Seri Anwar sendiri hanya menyatakan mereka yakin akan dapat menafikan majoriti 2/3 BN.

Bagaimanapun jika gagal menumbangkan BN pada 16 April ini, tetapi dapat memberi pukulan hebat menafikan 2/3 BN di Sarawak pun dikira sudah cukup hebat. Daripada hanya mempunyai 7 kerusi dari 71 kerusi Pakatan dapat menafikan 2/3 adalah satu lonjakan kejayaan luar biasa. Dan ianya akan mencorakkan suasana politik baru di Semenanjung nanti khususnya PRU.

BN di Semenanjung akan bertambah parah jika majoriti 2/3 BN Sarawak gagal dipertahankan yang akan menyebabkan suasana tsunami kedua bakal berlaku dalam PRU nanti. Yang pasti BN akan menghadapi suasana paling getir dalam sejarahnya kalau Sarawak dan juga Sabah tidak lagi menjadi 'simpanan tetapnya' yang dapat memberikan kerusi parlimen.

Jika ini berlaku BN akan hilang kuasa di Malaysia setelah berkuasa selama lebih 50 tahun. Dunia telah menyaksikan beberapa parti pemerintah seperti LDP di Jepun yang tumbang kerana masalah dalaman parti dan masalah kepimpinan dan masyarakat pula semakin celik politik dan menuntut haknya.

Apapun kita tumpukan pada keputusan PRN Sarawak yang dijangka berlaklu beberapa upset nanti dan apakah PAS juga bakal memperolehi kerusi sulung dalam DUN Sarawak nanti. JIka PAS berjaya memperolehi kerusi dari 5 kerusi yang diperuntukkan padanya, suatu kejayaan telah terhasil.Kejayaan ini tidak mustahil akan berlaku, Insya Allah.

341 ahli PBB sertai PAS di Sadong Jaya


Harakahdaily
SADONG JAYA, 15 April: Seramai 341 bekas ahli Parti Pesaka Bersatu Berjasa (PBB) dari beberapa buah kampung di Dun Sadong Jaya menyertai PAS.

Serentak itu, sembilan cawangan PAS berjaya ditubuhkan di Kampung Pelandok, Kampung Jaei 1, Jaei 2, Jaei 3, Jemukan Laut, Samera Laut, Samera Tengah, Rawangan dan Iboi.

Borang permohonan keahlian PAS mereka diserahkan oleh ketua penaja cawangan masing-masing kepada Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan AJK PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud pada satu majlis yang diadakan di Bilik Gerakan PAS Kampung Jaei, malam tadi.

Antara yang menyerahkan borang berkenaan ialah bekas Pengerusi Wanita PBB Bahagian Batang Sadong, Dari Mohamad.(gambar bawah)

Ketika ditemui pada majlis itu, beliau memberitahu tindakan menyertai PAS kerana mahu menegakkan keadilan Islam dan membela anak bangsa.

Ini, tambahnya disebabkan kerajaan PBB-BN tidak banyak mengadakan pembangunan untuk rakyat sebaliknya melakukan penindasan seperti merampas tanah rakyat.

PAS meletakkan Ketua Pemuda Sarawak, Abang Eddy Abang Fauzi (gambar atas), 34, di Dun ini. Dalam pilihan raya umum 2008, Abang Eddy bertanding di Parlimen Batang Lupar, namun kalah.

Thursday, April 7, 2011

Hentikan politik selak kain - SAMM


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 April: Ketika media dunia membincangkan perbagai perkara penting seperti krisis radiasi, kebangkitan rakyat, kegagalan sistem ekonomi 'kapitalis' sehingga ada negara menjadi muflis, namun negara terperangkap dalam politik 'selak kain'.

Demikian kata Badrulhisham Shahrin atau Cikgu Bard dalam satu kenyataannya bagi pihak Solidariti Anak Muda Malaysia atau SAMM.

"Tidak tahu dimana salahnya , adakah salah media arus perdana yang dikuasai pihak tertentu atau pemain - pemain utama politik negara yang sanggup bertindak ala 'desparado'," kata beliau dalam kenyataannya.

Bagi beliau, ketika dunia sedang beralih kepada politik baru berasaskan nilai, rekod dan idea, Malaysia seolah mundur ke belakang dengan politik selak kain yang sebenarnya lansung tidak memajukan pemikiran rakyat.

"Sudahlah tayangan video lucah dilakukan secara terbuka dan seolah dilindungi penguasa. Malah yang terbaru 'desparado'nya politik hingga sanggup menghantar buku lucah terus ke rumah orang," katanya.

Buku yang terdapat gambar - gambar bogel dan gambar orang sedang mengadakan hubungan seks cuma bahagian kepalanya diganti dengan gambar musuh politik mereka.

Bayangkan di kawasan bandar tempat komik ini di edar ibu dan bapa bekerja, anak balik sekolah melihat buku lucah yang pos ke rumah, katanya bimbang.

"Apa yang ibu atau bapa hendak jawab apabila di asak dengan soalan kenapa begini mengapa begitu selepas anak - anak kecil melihat sendiri buku lucah tersebut....atau lebih parah lagi ada anak yang menyimpan dan meniru perbuatan dalam b uku lucah tersebut.... Mana pergi pemikiran waras orang - orang politik yang bertindak sedemikian rupa ?" kata beliau.

Beliau menyalahkan, media tradisi seperti Utusan Malaysia yang menyiarkan di muka depan aksi lucah begitu juga Buliten Utama TV3... "mana pergi nilai kewarasan manusia ? Hanya kerana politik kita lakukan semua perkara tersebut."

Beliau juga kesal dengan Datuk Seri Nazri Abd Aziz yang sentiasa mengeluarkan kenyataan politik dari menghalalkan tanyangan video lucah (selagi tidak bersifat keuntungan kewangan) malah yang terbaru beliau kelihatan begitu meraban apabila menyatakan Wan Azizah isteri Anwar Ibrahim sendiri tidak layak menilai adakah lelaki dalam video tersebut ialah Anwar Ibrahim.

"Kalau bukan isteri siapa lagi yang layak menilai?" soal Badrul. (gambar)

SAMM, katanya, dengan ini bagi pihak anak muda Malaysia merakamkan rasa kesal dengan politik 'kotor' dan tidak mendidik ini.

SAMM mendesak agar pemain - pemain utama politik Malaysia agar kembali kepada landasan politik baru dan mendidik rakyat. Perdebatan harus dilandaskan dari segi polisi, dasar dan idea.

"Negara kini berada ditahap membinbangkan dari terjunnya ke bawah nilai daya saing, rasuah yang makin meningkat dan kos hidup yang main menjerut rakyat....atas semua ini rakyat memerlukan ahli politik yang lebih matang," katanya.

Menyerang dari segi politik tidak salah termasuk menggunakan aspek mobilisasi rakyat sebagai penunjuk kekuatan tetapi ia seharusnya berlandaskan pertembungan idea bukan aspek tak bernilai seperti politik selak kain, tegas beliau.

"Ketika kempen pilihanraya umum 2008 juga pasukan kempen saya telah didekati dengan orang tidak dikenali dipercayai orang Umno yang memberikan video lucah yang kononnya Khairy Jamaluddin, tanpa pengetahuan saya ada video ini telah tersebar namun sebaik sahaja saya mengetahuinya saya telah mengarahkan semua dikutip dan dibakar.

Katanya, sebanyak lebih 2000 keping video tersebut telah dibakar. Kini terbaru pula ada pihak yang menghubungi SAMM mengenai kewujudan video seks yang kononya merakamkan aksi seks seorang isteri pimpinan tertinggi negara.... namun SAMM mengajak semua politik selak kain ini dihentikan segera jangan kerana kuasa sanggup lakukan apa saja.

"Rakyat diseru menolak politik sensasi selak kain ini dengan menolak ahli - ahli politik yang kelihatan seronok membodohkan rakyat menggunakan politik lucah seperti apa berlaku sekarang. Media yang menjurus kepada perkara yang sama juga harus dijauhkan," katanya.

Saturday, April 2, 2011

Ku Li: Dedah video seks bukan budaya Melayu, Islam


Malaysiakini
Apr 2, 11 2:22pm

Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini membidas pihak yang mendalangi video lucah untuk menjatuhkan pemimpin pembangkang. Katanya, rakyat akan menolak "politik kotor' sebegitu untuk mengalihkan tumpuan mereka daripada isu-isu nasional yang jauh lebih penting.

"Ini orang panggil gutter politics, politik longkang (dan digunakan) bila sudah tidak ada modal lagi. Ia timbul sebab polisi dan dasar yang diperjuangkan sudah tidak laku dan rakyat nampak tidak menerimanya.

“Oleh kerana itu (mereka) main politik kotor menyerang seseorang dengan harapan rakyat ketepikan hal seumpama itu. Ini bukan politik," kata mantan menteri kewangan dan bekas naib presiden Umno itu.

Dalam wawancaranya di TV Selangor, Tengku Razaeligh yang juga dikenali 'Ku Li' menegaskan rakyat, khususnya masyarakat Melayu, menolak cubaan mana-mana pihak menyerang keperibadian pihak lain semata-mata untuk mencari kelebihan politik.

"Saya tak fikir rakyat terima hal (video seks) ini. Kalau tengok kes Anwar yang pertama tahun 1998, rakyat tidak terima. Usung tilam, bantal semua, tak ada orang terima. Saya masih ingat semasa saya adakan majlis dialog di Gua Musang. Orang cakap. Ni Melayu ke ni? Malulah.

"Perkara ini tak patut didedah kepada orang ramai. Jadi itu tunjukkan orang tak faham politik pun menolak benda macam ni. Saya rasa (video seks) ini salah langkah," katanya.

Menurut Razaleigh biarpun pihak yang mendalangi video seks itu berjaya menjatuhkan Anwar dan mencapai kemenangan politik, ia tidak bermakna dalam konteks kemuliaan tamadun negara itu sendiri.

"Kenapa kita nak amalkan ini semua kerana politik? Jika berpolitik sebegini, kalau kita menang pun, tidak ada maruah, tidak ada nilai, jadi tidak guna kita menang pun kalau kita guna cara buruk dan keji untuk mendapat tempat. Saya rasa rakyat pun tak dapat terima dengan baik," katanya.

Bukan budaya Melayu, Islam

Tiga individu - bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay mengaku mendalangi penayangan video itu kepada wartawan terplih pada 21 Mac lalu.

azlanMereka mendakwa rakaman itu menunjukkkan seorang pemimpin kanan pembangkang yang mirip Anwar sedang mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Februari.

Anwar kemudiannya membuat laporan polis bagi membolehkan polis menyiasat siapa pelaku dalam rakaman itu.

Pada sidang mediannya, ketua umum PKR itu menjelaskan pada malam adengan rakaman itu, beliau di rumah bersama ahli keluarga dan kakitangannya serta berinteraksi dengan kenalan menerusi Twitternya.

Razaleigh berkata perbuatan mencantas ahli politik dengan taktik-taktik keji seperti menayangkan video seks "bukan budaya" Melayu mahupun Islam kerana ia amat keji.

azlan"Saya tak tahu di mana kita belajar perkara ini. Di Amerika pun orang kata politiknya kotor. Saya rasa ia bergantung pada kita. Rakyat Malaysia punya tamadun dan budaya yang baik, kenapa kita hendak ikut budaya tak baik.

"Apatah lagi bagi orang Melayu Islam, tak patut kita lakukan benda yang jijik yang dipandang rendah oleh orang. (Apa guna) kita buat perkara yang hina di sisi masyarakat," tegas beliau.

Semalam, Ketua Polis Negara Ismail Omar membuat pengumuman bahawa video itu adalah tulen namun tidak mengulas sama ada pelakunya dikenal pasti.

Kenyataan Ketua Polis Negara itu menimbulkan pelbagai kecurigaan kerana adalah difahamkan polis tidak mengambil keterangan daripada pihak-pihak yang relevan untuk memperakukan keterangan Anwar sebelum ini.

Friday, April 1, 2011

Pensyarah: 29 'kerusi panas' di Sarawak

Malaysiakini.
Persaingan sengit dijangka berlaku di 29 kerusi dalam pilihan raya negeri Sarawak, demikian menurut ramalan pensyarah sains politik Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Faizal Syam Hazis.

NONEFaizal (kiri) percaya semua 15 kerusi majoriti pengundi Cina, tujuh
kerusi majoriti Iban, tiga kerusi majoriti Malay-Melanau, dua kerusi majoriti Bidayuh dan dua kerusi majoriti Orang Ulu, "boleh memihak kepada mana-mana parti".

Pada asasnya, kata beliau, ketidakpuasan terhadap kerajaan negeri sebahagian besarnya membabitkan penduduk kawasan bandar, tetapi dari segi sejarahnya, pengundi di kawasan luar bandar cenderung menyokong pembangkang disebabkan oleh personaliti calon atau isu-isu tempatan.

Faizal menjangka sokongan besar kepada pembangkang terbesar di 15 kerusi majoriti Cina, sambil menambah bahawa "penentangan" terhadap BN di kawasan Kuching pada 2006, dipercayai telah merebak ke seluruh negeri.

“Walaupun terdapat beberapa kawasan 'selamat' pengundi Cina di kawasan Miri... Saya tidak akan terkejut jika pembangkang boleh menembusinya,” katanya dalam satu forum awam di Petaling Jaya mengenai pilihan raya negeri Sarawak anjura Merdeka Centre.

Yang menarik, tambahnya, berasaskan kepada keputusan 2006, terdapat kerusi Melayu-Melanau di kawasan luar bandar yang juga berisiko, seperti kerusi Sadong Jaya, Beting Maro dan Saribas.

Adun Lenggeng dipenjara tiga tahun

SEREMBAN, 1 April: Adun Lenggeng, Negeri Sembilan, Mustafa Salim telah dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana kesalahan rasuah.

Beliau didapati bersalah menerima rasuah sebanyak RM2,000 dari seorang kontraktor untuk menyelesaikan isu perlombongan pasir lebih dua tahun lalu.

Selain itu, hakim Amran Jantan juga memerintahkan Mustafa membayar denda sebanyak RM20,000 atas kesalahan itu.

Mahkamah sebelum ini, iaitu 3 Mac lalu telah mendapati Mustafa, 51, bersalah atas dakwaan itu.

Peguam beliau telah memohon untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sehinggalah rayuan dibuat.

Hakim mengarahkan agar jaminan RM10,000 dikenakan ke atas Adun Umno itu.

Mustafa didakwa dibawah Seksyen 10(a)(aa) apabila pada 30 Ogos 2008 secara rasuah meminta suapan sebanyak RM2,000 daripada individu yang sama (Manimaran a/l Marumuthu) sebagai dorongan untuk mengeluarkan surat sokongan bagi mendapatkan permit menjual pasir dan tidak akan mengambil tindakan sekiranya menjual pasir tanpa permit.

Bayar imam

Pada 24 Februari lalu, Mahkamah Sesyen Seremban mengarahkan Adun Lenggeng, Mustafa Salim membayar sebanyak RM18,000 kepada seorang imam masjid ekoran tindakannya mengeluarkan satu surat yang dikira bersifat fitnah.

Dalam perbicaraan yang ditetapkan hari itu, Adun Lenggeng tersebut dengan tanpa pengakuan liabiliti bersetuju membayar imam tersebut.

Pada 12 September 2008 imam tersebut Sungai Machang Hilir, Haji Baharudin Jalu memfailkan saman fitnah ke atas Adun berkenaan atas dakwaan memfitnah beliau melalui surat Adun tersebut kepada pegawai agama Islam, pejabat Agama Islam daerah Seremban bertarikh 16 Juali 2007.

Surat itu juga disalinkan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, mantan Adun lenggeng dan Setiausaha JKKK Kampung Sungai Machang.

Dalam surat tersebut antara lain Adun lenggeng tersebut menulis:

"Saya difahamkan bahawa Haji Baharudin bin Jalu yang merupakan imam (ketua pakatan pemecah masyarakat kampung)...

"Di kesempatan ini Haji Baharudin Jalu sebagai manusia rakus dan bodoh sombong bertindak melulu untuk mencapai matlamat nafsu dia terutama
kewangan."