Friday, February 26, 2010

Apabila orang Asli sudah pandai berdemo



Pada 24 februari 2010 baru-baru ini sekumpulan Orang Asli telah mengadakan demonstrasi di hadapan Hospital Orang Asli Gombak kerana membantah apa yang mereka dakwa sebagai salah guna kuasa oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), melibatkan layanan hospital seliaan jabatan tersebut. Mereka mendakwa hospital seliaan jabatan tersebut itu telah melakukan penganiayaan kepada masyarakat Orang Asli.

Perhimpunan tersebut yang dihadiri kira-kira 30 orang Orang Asli diketuai Sokyen Man, 40 thn, yang mengepalai demo itu. Sebelum itu mereka yang mendakwa mewakili penduduk Orang Asli telah mengutip tandatangan penduduk penempatan kawasan Orang Asli itu bagi menyokong petisyen mereka.

Mereka turut membawa poster yang antaranya berbunyi "Akta 134 kami dicabul," "Mana ubat kami di kampung?," dan "Kami orang miskin di bumi sendiri tapi kami ada maruah dan bukan bodoh."

Kumpulan itu juga turut melaungkan slogan "Jangan rampas hak kami" dan juga "Bunuh kami dulu jika mahu tanah kami" ketika berdemonstrasi di hadapan hospital seliaan bahagian kesihatan dan perubatan JHEOA.

Mereka juga akan menghantar petisyen mereka itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Pahang dan juga Perdana Menteri.Ia juga akan dihantar pada Pesuruhjaya Hak Asasi Orang Asli di Geneva, Menteri Kesihatan dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Dalam Petisyen yang ditandatangani sekumpulan 90 orang Orang Asli itu mendakwa berlaku penganiayaan kepada kakitangan Orang Asli di Hospital tersebut. Mereka membuat Petisyen itu juga berdasarkan 6 laporan polis yang dibuat sebelum ini oleh penduduk Orang Asli di kampung tersebut.

Kini masyarakat Orang Asli juga telah celik dan berani berdemo. Tatkala giliran penyokong UMNO berdemonstrasi di Pulau Pinang dan Selangor, Orang Asli juga menuntut perkara sama dengan berdemo menggesa kerajaan prihatin nasib mereka. Budaya berdemonstrasi yang dulunya dikatakan sering dilakukan pembangkang kini telah diterima oleh orang-orang UMNO termasuk Pemuda UMNO dan Orang Asli juga telah tahu berdemo.

Diharapkan berdemolah untuk menegakkan kebenaran dengan cara yang dijamin perlembagaan dan tidak mengganggu-gugat ketenteraman. Demonstrasi aman dijamin dalam Perlembagaan negara!

Chong Wei dan All England 2010


Pada minggu kedua Mac 2010 ini kita bakal menyaksikan beberapa jaguh badminton kita akan berentap dalam Kejohanan All England yang mana agak lama kita tidak pernah menjadi juara mana-mana bahagian sama ada beregu atau perseorangan. Paling akhir Muhamad Hafiz Hashim menjuarainya. Namun kita gagal menyaksikan mana-mana pemain kita menjuarainya lagi.

Pada kali ini tentunya sandaran kiata pada pemain nombor satu kita iaitu Lee Chong Wei dan juga dua pakar beregu. Masalahnya mampukan Chong Wei menggalas harapan kita itu. Undian telahpun dikeluarkan dan nampaknya beliau menempuh liku-liku perlawanan yang hebat sebelum dijangka bertemu musuh tradisi Lin Dan dari China pada peringkat akhir.

Kalau sebelum ini Chong Wei tumpas pada Lin Dan pada perlawanan akhir, kali ini dia perlu menebusnya, itu pun jika beliau boleh melepasi halangan awal. Namun pada kejohanan yang menghimpunkan kelompok pemain terbaik dunia itu, payah untuk kita jangkakan. Malah Chong Wei sendiri mengakui dan perlawanan pertamanya menentang pemain tidak ternama dari India juga digusarkannya kerana acapkali beliau kecundang seawal perlawanan pertama.

Beliau seterusnya dijangka bertemu Sony Dwi Koncoro, Peter Gade dan Taufik Hidayat sebelum menjejakkan kaki ke perlawanan akhir. Sekiranya Chong Wei mampu melangkah ke perlawanan akhir selepas melepasi halangan-halangan permain di atas pada peringkat awal dan suku akhir serta separuh akhir, dia akan bertemu Lin Dan sekali lagi, itu pun jika Lin Dan juga boleh mengatasi halangan awal. Jika tidak Chong Wei akan bertemu pemain lain yang mungkin lebih mudah baginya berbanding Lin Dan.

Setakat ini badi Lin Dan sentiasa memberi igauan buruk buat Chong WEi. Dari segi permainan dan dan taktikal mereka sebenarnya setaraf, tetapi psikologi setakat ini lebih memihak Lin Dan dan perkara inilah yang perlu diberi perhatian oleh pengurus badminton Malaysia.

Kita berharap Chong Wei boleh melakukan sesuatu pada kejohanan ini bagi memberi semangat pada pemain lain dari negara kita. Selamat berjuang Chong Wei dan jangan mudah menyerah kalah.

Thursday, February 18, 2010

Risalah memburukkan Ku Li tersebar di Kota Bharu?


Pada petang tadi, sebelum saya bertolak ke Kuala Lumpur seorang kawan telah memberikan satu risalah berupa surat layang kerana tidak ada dinyatakan ianya diterbitkan mana-mana pihak.Ianya diedar di KOta Bharu katanya sejak seminggu lalu tetapi kawan saya itu kata dia menerimanya hari ini. Memang pada envelope ada cop setem Pejabat Pos di Kelantan.

Bila saya jenguk Malaysia Insider, memang telah dimuatkan maklumat itu dan dikatakan pihak sekolah dan PPD juga menerimanya lantas banyak yang menuding jari pada BN Negeri bersekongkol dengan JPN, dan hari ini dinafikan oleh kedua-dua belah pihak. Mengikut sumber UMNO, risalah itu sepatutnya diedarkan semasa Ceramah Isu Royalti yang dianjurkan oleh UMNO Kelantan pada Jumaat(29 Feb) ini di pekarangan Bangunan UMNO Kelantan, KOta Bharu dan penceramah utama ialah Datuk Ibrahim Ali, Datuk Mustapha Mohamad dan Datuk Awang Adek Hussin. Memang kain rentang telah ada dibeberapa persimpangan bagi memaklumkan ceramah tersebut. Ianya bagaikan ulangan pada Ceramah sama yang di adakan di Hotel Renaissance sebelum ini yang disifatkan kurang sambutan.

Apakah ianya seakan ulasan atau mahu "membersih" pemahaman orang ramai yang telah mengikuti Ceramah YB Tengku Razaleigh Hamzah di Stadium Sultan MUhammad IV 28 Januari lalu. Nampaknya dalam sehari dua ini UMNO Kelantan sibuk "melayan" Ku Li sahaja ekoran penjelasan berani dan berterus terang anak raja itu. Siapa sangka KU Li, seorang Ketua Bahagian UMNO dan Ahli Parlimen boleh duduk sepentas dengan Tok Guru Nik Aziz dan barisan pimpinan PAS di Kelantan, semata-mata atas niat ikhlas menuntut royalti minyak untuk Kelantan.

Sebenarnya Tok Guru pun tidak boleh memberi jaminan sekiranya royalti minyak diberi pada Kelantan, kerajaan PAS Kelantan dapat bertahan dalam PRU13 nanti. Dan jika naik Kerajaan BN, royalti itu tetap dapat pada kerajaan baru BN nanti di Kelantan. Pokoknya siapa yang memerintah Kelantan, ianya boleh mendapatkan royalti itu. Jangan main "ciku-cap" macam di Terengganu, dan kini malu alah untuk memberikan royalti semula takut dikatakan penarikan pada wang ehsan dulu kerana PAS yang memerintah. Terengganu.

Berbalik pada risalah tersebut, rakan saya yang menerimanya itu juga bersetuju ianya sebagai surat layang kerana tidak ada pertanggungjawaban sama sekali. Kalau nak disimpan sebagai bahan rujukan atau perpustakaan pun tak tahu sumber yang mewujudkan risalah itu. Sebab itu kawan saya itu suka menyebutnya sebagai satu "risalah layang" sahaja.

Sunday, February 14, 2010

Ku Li Kembali dihati rakyat Kelantan


Setelah meledakkan satu kenyataan berterus terangnya pada 28 Januari lalu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dan kini ianya hampir sebulan cakap-cakap orang ramai di Kelantan memperlihatkan tokoh politik veteren Ku Li telah bertaut kembali di hati rakyat Kelantan. Betapa anak Raja itu mula disanjungi kembali rakyat Kelantan bilamana beliau bersama-sama kepimpinan PAS Kelantan memperjelaskan isu royalti minyak yang dituntut kerajaan Kelantan.

Malah kelmarin, TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mengulas tindakan berani dan bersahaja Ku Li itu walaupun ianya telah lebih 20 hari berlalu. Ini menampakkan kesan mendalam apa yang diperkatakan oleh Ku Li itu yang menyerlahkan kebenarannya yang memenatkan BN untuk menjelaskan pada rakyat. PM sendiri pun hanya sekali sahaja mengulas kenyatan Ku Li dan menyatakan akan mengkaji "tindakan"nya. Sehingga hari ini tidak jelas apa yang dikaji itu.

Kalau dalam kes lain seperti Ketua Bahagian UMNO di Pulau Pinang dahulunya, sepantas kilat sahaja dia di gantung keahlian daripada UMNO yang memperlihatkan ketegasan pimpinan parti. Tetapi pada kali ini ianya mengambil masa yang begitu lama dan tidak mustahil ianya tidak akan diambil apa-apa tindakan. Malah Ku Li sendiri menyatakan bahawa UMNO bebas untuk mengambil apa-apa tindakan ke atasnya.

Keghairahan pemuda UMNO Bahagian Gua Musang meminta Ku Li meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen UMNO menerima tempelak apabila Ku Li menyatakan kesanggupannya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen jika UMNO dapat menjamin ia menang dalam PRK Parlimen Gua Musang! ; menyebabkan pemuda UMNO tak terkata apa-apa lagi. Betul.. jika Ku Li meletak jawatan dan ada PRK kecil UMNO akan tewas teruk berdepan PAS di Gua Musang tanpa sokongan Ku Li. Itulah yang menyebabkan UMNO terkedu apabila Ku Li menyahut cabaran pemuda itu!

Kalau Pimpinan UMNO pusat sendiri teragak-agak dalam mengambil tindakan (malah ada pemerhati yang menyatakan UMNO tidak akan berani ambil tindakan atas Ku Li)atas Ku Li, maka apa yang dapat dikatakan oleh pimpinan UMNO Kelantan yang kelihatan lagi naif. Malahan kepimpinan UMNO Kelantan hari ini tidak mampu pun untuk mengawal perbalahan dalam Bahgaian UMNO di Rantau Panjang dan juga Tanah Merah serta habagian lain yang bermasalah.

Cuma sayang sedikit tidak ada program susulan selepas penjelasan di Stadium Sultan Muhammad IV itu. Khabarnya satu Debat akan diadakan di KBTC tetapi ditangguhkan kerana wakil UMNO tidak memberikan komitmen, tetapi setidaknya ada program susulan yang lain untuk penjelasan seterusnya pada rakyat. Kalau Datuk Husam Musa menyatakan PAS ada banyak "perkara" yang boleh diketengahkan, mengapa tidak diadakan majlis itu, jangan biarkan rakyat Kelantan dahagakan maklumat dan menerima maklumat sebelah pihak sahaja iaitu menrusi TV dan Radio. Kalau bagi masyarakat penyokong PAS mungkin sudah memadai dengan penjelasan Ku Li, tetapi bagi yang atas pagar dan masyarakat ramai yang lain memerlukan penjelasan berterusan.

Itu terpulanglah pada kerajaan dan pimpinan Kelantan mengadakannya, apapun sekurang-kurangnya Ku Li telah memberikan yang terbaik untuk rakyat Kelantan dan rakyat Kelantan telah dapat menerima baik penjelasan anak Raja itu dan kembalinya Ku Li dihati rakyat Kelantan menandakan satu corak baru perubahan politik akan berlaku, sekurang-kurangnya di Kelantan. Wallhua'lam.

Saturday, February 13, 2010

Harga sebuah "keterbukaan" dalam politik dan organisasi


Dalam dunia siber yang tanpa sempadan hari ini, banyak pertukaran maklumat berlaku dengan begitu pantas sekali. Penyebarannya juga berlaku selaju-lajunya tanpa dapat disekat lagi. Pandangan dan ide dapat dikongsi di seluruh pelusuk dunia. Itulah dunia tanpa sempadan yang telah "menggerhanakan" dunia persuratkhabaran tradisional.
Cuma yang peliknya golongan wartawan khususnya media arus perdana seakan membuatkan tidak menyedarinya atau pura-pura tidak sedar kerana masih dibelenggu tahap pemikiran lama atau sememangnya mereka dikongkong oleh Ketua Editor yang memanipulasi berita yang dituliskan.

Di negara jiran Indonesia lewat beberapa tahun lalu berlaku gelombang "reformasi" yang bukan sahaja mencorakkan suasana politik yang lebih terbuka, malah dalam media pun mereka lebih terbuka daripada kita. Daripada satu segi ia ada kebaikannya, cuma dari beberapa segi lain ianya mungkin dapat diperbahaskan lagi. Sejak Pak Habibie menjadi Presiden, dan di zaman Allahyarham Pak Gus Dur, keterbukaannya agak ketara sekali khususnya setelah tumbangnya Rejim Soeharto dahulu. Dalam negara juga ada tempiasnya, sejak Tun Dr.Mahathir mengundurkan diri, Pak Lah telah membawa era keterbukaan sedikit dan Datuk Seri Anwar dibebaskan dari Penjara.

Dalam PRU12 berlaku gelombang besar yang banyak menghanyutkan BN dan bila BN tidak lagi memonopoli kuasa, berlaku sedikit keterbukaan dalam pandangan-pandangan politik dan juga penyebaran maklumat, hingga isu penggunaan nama Allah juga telah mula diperdebatkan oleh masyarakat umum. Apakah ini "harga keterbukaan" yang terpaksa dibayar? Saya tidak mahu mengulasnya, tetepi saya percaya ianya akan dapat diselesaikan dengan baik dengan syarat ketepikan kepentingan politik masing-masing dalam perbincangannya dan jangan ada usaha mendapatkan "mileage" politik dari isu ini terutama sekali pemerintah dan juga lawannya.

Kita dapati juga keterbukaan ini telah menular jauh ke dalam organisasi politik khususnya PKR dan PAS dan juga UMNO sendiri. Sebelumnya kita tidak terbayang bagaimana seorang ahli UMNO dan pemimpinnya sendiri seperti YB Tengku Razaleigh Hamzah boleh berceramah di pentas PAS bersama para pemimpin PAS. Kalau di barat ianya tidak heran lagi kerana dalam Parlimen pun tidak semestinya Ahli Parlimen menyokong partinya dan tidak ada tindakan pun dikena ke atasnya. Di Malaysia lain pula amalannya, Ahli Parlimen BN misalnya mesti sokong sesuatu usul partinya walaupun "tidak setuju" sekalipun , kalau tidak alamat gelap masa depan. Inilah yang membezakan politik di Malaysia dengan di barat walaupun mengakui demokrasi berparlimen kita meniru ala westminster itu.

Kita berharap semua pihak menyambut baik keterbukaan ini, dapat dapat menguruskannya dengan baik. Dalam PKR sehari dua ini berlaku penghijrahan meninggalkan parti itu, dan anggaplah lah ianya "kemucut" dalam perjuangan. Mana-mana yang gugur di tengah jalan biarkanlah kerana parti akan dianggotai oleh mereka yang benar-benar ikhlas berjuang. Dalam PRU13 kelak pastikanlah calon adalah mereka yang iklas dan mempunyai sifat "tsiqah" dalam perjuangan.

Isu Jawatankuasa Disiplin dalam PAS juga sedikit sebanyak ada kaitannya dengan keterbukaan politik hari ini. Betul organisasi ada saluran bagi menyampaikan teguran, tetapi bagaimana jika teguran mengikut saluran tidak diambil peduli. Lalu laman bloglah yang menjadi medianya. Teguran itu jika ada asasnya, adililah dengan baik bagi memuaskan hati semua pihak. Saya kira di sini, kita belum lagi " berlapang dada" dalam menerima kritikan dan teguran. Budaya Melayu masih tebal sebenarnya, sebarang teguran menyentuh "status quo" dilihat sebagai tidak elok.

Persepsi ini memakan masa untuk mengalami transformasi. Dan saya yakin budaya Melayu ini akan sedikit terhakis sedikit masa lagi. Ambillah contoh baik dari "barat" yang boleh bertegang leher dan berbalah dalam sesuatu perbincangan, tetapi akan akur bila keputusan dibuat. Tetapi keputusan itu biarlah wajar dan tidak berat sebelah. Kita telah banyak belajar sama ada dalam pembacaan atau usrah dan sebagainya tentang sikap Saiyyidina Ali dalam perbicaraan mengenai baju perangnya yang ada di tangan yahudi yang Ali tidak dapat memberi pembuktian dan juga sifar rendah diri Sayyina Umar. Tetapi untuk menghayatinya , itu perkara yang agak sukar.

Apapun saya kira semua pihak khussunya para pejuang Islam istiqamahlah dalam perjuangan dan ikhlaskan diri sebaik mungkin. Sifat wala' yang ada yang persoalkan itu pun juga perlu ada selagi mana ianya tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah.
Salam perjuangan. Wasallam.

Friday, February 5, 2010

CEO PETRONAS; kegusaran Dr.Mahathir terjawab


Semasa menyatakan pandangannya tentang CEO Petronas, Dr.Mahathir menyatakan pandangannya agar CEO yang akan dilantik kelak hendaknya dari orang yang berpengalaman luas dalam industri minyak. Ini kerana katanya sekiranya "orang baru", banyak masa yang perlu dipelajari dan juga menyesuaikan diri. Beliau berkata demikian ekoran ura-ura CEO sekarang Tan Sri Hassan Merican tidak akan disambung lagi kontraknya. Mengikut Malaysian Insider, terdapat khabar angin bahawa Hasaan Merican tidak disambung kontraknya kerana beliau telah lama berkhidmat, tetapi ada yang nakal mengatakan boss PETRONAS itu agak kontra dengan kehendak kerajaan yang DS Najib menerajui sekarang.

Ianya termasuklah soal pelantikan Omar Mustapha Ong yang dicadangkan Perdana Menteri DS Najib yang pada mulanya ditolak Pengerusi Lembaga Petronas sebelum diterima semula kemudiannya, dan juga beberapa hal lain. Malah semasa dalam PRK Manek Urai TPM telah mengarahkan PETRONAS untuk memberi "penjelasan" tentang royalti minyak yang dituntut Kelantan, tetapi sehingga selesai PRK PETRONAS tidak tampil memberi penjelasan. Mungkin bagi PETRONAS ini adalah soal meraih sokongan politik antara dua pihak yang sedang berlawan dan tidak sesuai ia campurtangan.

Pada petang Rabu lalu (3 Februari) Perdana Menteri DS Najib telah mengumumkan melalui satu kenyataan bahawa bekas Pengarah Urusan MISC Berhad, Datuk Shamsul Azhar Abbas,57 dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS berkuakuasa pada 10 Februari 2010. Beliau menggantikan Tan Sri Hasan Merican yang tamat kontraknya pada 9 Februari 2010. Datuk Shamsul juga memangku jawatan Pengerusi Lembaga PETRONAS. DS Najib juga mengucapkan penghargaan pada Hassan yang telah menerajui kejayaan dan sumbangan besdar PETRONAS sejak tahun 1995 lagi.

Apapun kita ucapkan selamat bertugas kepada CEO baru PETRONAS itu dan adalah terlalu awal untuk memberikan pandangan tentang kepimpinannya, walaupun ada beberapa blog telahpun mendahului dengan komen yang negetif. Berilah peluang kepada beliau untuk mentadbir konglomerat yang terkaya itu dan saya rasa dalam masa setahun kita akan dapat menilai hasil kepimpinannya.

Walau bagaimanapun kita masih belum lagi mendengar ulasan Dr.Mahathir tentang perlantikan ini sama ada beliau menyambut baik atau memberi peluang pada kepimpinan baru ini memperlihatkan kepimpinannya. Dan selaku Penasihat PETRONAS kita ingin mendengar suara dari beliau berikutan perubahan baru ini.

Thursday, February 4, 2010

Apa perlunya Chong Wei mengerah kudrat di Grand Prix Kebangsaan Akhir?


Saya memulakan posting berkaitan sukan kali ini selepas rehat beberapa hari di Kota Bharu. Saya tidak faham sistem digunapakai BAM dalam melahirkan pemain badminton negara yang berkaliber dan bertaraf dunia. Memang, Datuk Lee Chong Wei telahpun menjadi haguh bertaraf dunia, tetapi banyak lagi gelaran berprestij yang belum dimilikinya berbanding pemain dunia lain.

Juara atau Pingat Emas badminton pada Sukan Olimpik belum lagi, Juara Kejohanan Dunia belum lagi, Juara All England juga belum lagi. Sampai bila kita perlu untuk menanti beliau merangkul kejuaraan-kejuaraan berprestij itu. Dan bermula ahad ini Chong Wei akan turun beraksi Kejohanan Badminton Grand Prix Akhir Kebangsaan, di Johor Bahru. Kejohanan ini adalah di kalangan pemain-pemain negara dan kalau pun Chong Wei menjadi Juara, ianya sekadar menambahkan koleksi Juara Kebangsaan ke 8 kali, mengatasi sifunya Datuk Misbun Sidek. Itu sahaja, selain mungkin dapat menarik ramai penonton dalam stadium.

Sedangkan lawan utamanya yang masih belum dapat di atasi (berdasarkan jumlah kemenangan dalam perlawanan antara kedua pemain ini) iaitu Lin Dan telah mula mengatur "perang psikologi" dalam Kejohanan All England yang akan berlangsung Mac ini. Lin Dan telah menyatakan kesediaannya untuk turun dalam Kejohanan termasyhur itu. Soalnya jika Chong Wei mengalami kecederaan dalam Kejohanan di Johor bahru itu setelah mengerahkan segala kudratnya, dan bakal tidak dapat turun di All England. Atau sekurang-kurangnya beliau kepenatan di Johor Bahru, dan apabila di England akan gagal memberikan persembahan yang terbaiknya. jadi berbaloikah beliau berhempas pulas untuk Kejohanan pada peringkat kebangsaan sahaja itu.

Bak kata Lin Dan, pemain badmionton yang telah terkenal dan berjaya tidak perlu lagi bermain dalam setiap kejohanan, cukup hanya sekadar berlatih dan mengekalkan prestasi terbaik bagi bertanding di Kejohanan yang besar-besar sahaja. Apakah kata-kata beliau ini seakan satu 'psiko' ke atas Chong Wei atau pemain lain. Rasanya pemain lain tidak berupaya menyekat Lin Dan selain Chong Wei sendiri.

Lin Dan juga mengatakan pemain-pemain muda sahaja yang perlu menyertai banyak kejohanan bagi menimba sebanyak mungkin pengalaman sebelum bergelar Juara. Lojik kenyataan Lin Dan ini memang ada dan terpulanglah pada pihak berkuasa badminton negara untuk memikirkannya. Apabila diajukan soalan pada Chong Wei bahawa Lin Dan akan beraksi dalam Kejohanan All England, Chong Wei berkatakan 'jangan sebut nama itu' pada saya, saya sedia jumpa sesiapa sahaja dalam perlawanan.

Itu baru 'psiko' awal dari Lin Dan, dan tidak mustahil semasa kejohanan itu kelak beliau akan memberikan tekanan psiko yang lain bersama Jurulatihnya. Dan jika Chong Wei tidak mempunyai ketahanan mental yang kuat, dia akan mudah 'longlai' seperti mana sebelum ini. Ini kerana di segi skill mereka berdua sama sahaja, cuma ketahanan mental yang penting, jika gagal mengawal mental persembahan juga akan menurun dan tidak pada tahap terbaik.

Sebagai rakyat Malaysia, saya dan juga ramai lagi peminat badminton mahukan Chong Wei akan muncul Juara dalanm Kejohanan All England kali ini, selepas Hafiz Hashim melakukannya dahulu. Apakah harapan itu akan tertunai kali8 ini? sama sama kita saksikannya. Saya tak kisah sama ada Chong Wei Juara atau tidak di Johor Bahru, tetapi apa yang dinantikan di Seluruh England.