Friday, February 26, 2010

Apabila orang Asli sudah pandai berdemo



Pada 24 februari 2010 baru-baru ini sekumpulan Orang Asli telah mengadakan demonstrasi di hadapan Hospital Orang Asli Gombak kerana membantah apa yang mereka dakwa sebagai salah guna kuasa oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), melibatkan layanan hospital seliaan jabatan tersebut. Mereka mendakwa hospital seliaan jabatan tersebut itu telah melakukan penganiayaan kepada masyarakat Orang Asli.

Perhimpunan tersebut yang dihadiri kira-kira 30 orang Orang Asli diketuai Sokyen Man, 40 thn, yang mengepalai demo itu. Sebelum itu mereka yang mendakwa mewakili penduduk Orang Asli telah mengutip tandatangan penduduk penempatan kawasan Orang Asli itu bagi menyokong petisyen mereka.

Mereka turut membawa poster yang antaranya berbunyi "Akta 134 kami dicabul," "Mana ubat kami di kampung?," dan "Kami orang miskin di bumi sendiri tapi kami ada maruah dan bukan bodoh."

Kumpulan itu juga turut melaungkan slogan "Jangan rampas hak kami" dan juga "Bunuh kami dulu jika mahu tanah kami" ketika berdemonstrasi di hadapan hospital seliaan bahagian kesihatan dan perubatan JHEOA.

Mereka juga akan menghantar petisyen mereka itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Pahang dan juga Perdana Menteri.Ia juga akan dihantar pada Pesuruhjaya Hak Asasi Orang Asli di Geneva, Menteri Kesihatan dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Dalam Petisyen yang ditandatangani sekumpulan 90 orang Orang Asli itu mendakwa berlaku penganiayaan kepada kakitangan Orang Asli di Hospital tersebut. Mereka membuat Petisyen itu juga berdasarkan 6 laporan polis yang dibuat sebelum ini oleh penduduk Orang Asli di kampung tersebut.

Kini masyarakat Orang Asli juga telah celik dan berani berdemo. Tatkala giliran penyokong UMNO berdemonstrasi di Pulau Pinang dan Selangor, Orang Asli juga menuntut perkara sama dengan berdemo menggesa kerajaan prihatin nasib mereka. Budaya berdemonstrasi yang dulunya dikatakan sering dilakukan pembangkang kini telah diterima oleh orang-orang UMNO termasuk Pemuda UMNO dan Orang Asli juga telah tahu berdemo.

Diharapkan berdemolah untuk menegakkan kebenaran dengan cara yang dijamin perlembagaan dan tidak mengganggu-gugat ketenteraman. Demonstrasi aman dijamin dalam Perlembagaan negara!

No comments:

Post a Comment