Friday, February 26, 2010

Chong Wei dan All England 2010


Pada minggu kedua Mac 2010 ini kita bakal menyaksikan beberapa jaguh badminton kita akan berentap dalam Kejohanan All England yang mana agak lama kita tidak pernah menjadi juara mana-mana bahagian sama ada beregu atau perseorangan. Paling akhir Muhamad Hafiz Hashim menjuarainya. Namun kita gagal menyaksikan mana-mana pemain kita menjuarainya lagi.

Pada kali ini tentunya sandaran kiata pada pemain nombor satu kita iaitu Lee Chong Wei dan juga dua pakar beregu. Masalahnya mampukan Chong Wei menggalas harapan kita itu. Undian telahpun dikeluarkan dan nampaknya beliau menempuh liku-liku perlawanan yang hebat sebelum dijangka bertemu musuh tradisi Lin Dan dari China pada peringkat akhir.

Kalau sebelum ini Chong Wei tumpas pada Lin Dan pada perlawanan akhir, kali ini dia perlu menebusnya, itu pun jika beliau boleh melepasi halangan awal. Namun pada kejohanan yang menghimpunkan kelompok pemain terbaik dunia itu, payah untuk kita jangkakan. Malah Chong Wei sendiri mengakui dan perlawanan pertamanya menentang pemain tidak ternama dari India juga digusarkannya kerana acapkali beliau kecundang seawal perlawanan pertama.

Beliau seterusnya dijangka bertemu Sony Dwi Koncoro, Peter Gade dan Taufik Hidayat sebelum menjejakkan kaki ke perlawanan akhir. Sekiranya Chong Wei mampu melangkah ke perlawanan akhir selepas melepasi halangan-halangan permain di atas pada peringkat awal dan suku akhir serta separuh akhir, dia akan bertemu Lin Dan sekali lagi, itu pun jika Lin Dan juga boleh mengatasi halangan awal. Jika tidak Chong Wei akan bertemu pemain lain yang mungkin lebih mudah baginya berbanding Lin Dan.

Setakat ini badi Lin Dan sentiasa memberi igauan buruk buat Chong WEi. Dari segi permainan dan dan taktikal mereka sebenarnya setaraf, tetapi psikologi setakat ini lebih memihak Lin Dan dan perkara inilah yang perlu diberi perhatian oleh pengurus badminton Malaysia.

Kita berharap Chong Wei boleh melakukan sesuatu pada kejohanan ini bagi memberi semangat pada pemain lain dari negara kita. Selamat berjuang Chong Wei dan jangan mudah menyerah kalah.

No comments:

Post a Comment