Thursday, August 25, 2011

Khir Toyo: Tiga menteri mahu saya dipenjarakan


dari malaysiakini)

Bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo mendakwa tiga menteri persekutuan dalam jemaah menteri sekarang sedang berkonspirasi bagi beliau dikenakan hukuman penjara atas tuduhan rasuah.

Dalam blognya hari ini, Dr Khir yang menulis mengenai 'memohon ampun dan maaf' sempena semangat Ramadan, berkata beliau tidak akan mendedahkan nama menteri-menteri berkenaan kerana tidak mendapat bukti yang sahih.

Namun katanya, beberapa sumbernya sangat boleh dipercayai.

“Dalam bulan yang mulia ini juga saya ingin mengingatkan tiga orang sahabat yang menjadi menteri dalam kabinet sekarang agar jangan keterlaluan untuk mengenakan saya,” tulisnya.

Dr Khir baru-baru ini diarah membela diri berhubung kes rasuah pemilikan dua lot tanah termasuk sebuah banglo di Seksyen 7 di Shah Alam, empat tahun lalu.

Katanya, konspirasi itu tersebar apabila seorang daripada menteri itu dilaporkan berkata kepada dua rakannya bahawa BN mampu merampas semula Selangor daripada Pakatan Rakyat jika dirinya didakwa.

“Seorang menteri dilaporkan berkata kepada dua orang menteri lain bahawa jika mahu mendapat kembali Selangor maka Khir Toyo perlu didakwa. Sekarang menteri yang sama berkata jika mahu menang Selangor Khir Toyo perlu dipenjarakan.

Kebodohan pemimpin

“Apakah mereka ini begitu besar boleh menguasai hakim perbicaraan? Saya tidak mahu percaya mereka berupaya mengarahkan hakim atau hakim akan mendengar arahan kumpulan ini,” tulis Dr Khir sambil menambah beliau masih percaya dengan kebebasan dan integeriti institusi kehakiman.

NONEBeliau juga mengingatkan ketiga-tiga menteri berkenaan, agar menumpukan kerja mereka membantu Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak meningkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan terutama membabitkan potfolio masing-masing.

“Kenyataan bahawa jika Khir Toyo dipenjarakan maka BN akan dapat kembali Selangor hanya menunjukkan kecetekan pemikiran pemimpin tersebut yang tidak memahami keseluruhan isu rakyat di Selangor.

“Lebih daripada itu, ia menunjukkan kebodohan pemimpin ini seolah-olah majoriti rakyat Selangor tidak cerdik dan tidak boleh menilai fakta-fakta kes di mahkamah.

“Apakah pada hemat beliau rakyat Selangor secara majoritinya dungu, bebal dan bengap yang akan mengikut skrip sandiwara beliau?” soalnya lagi.

Menurut Dr Khir, majoriti rakyat terutamanya di Selangor mahu melihat keadilan undang-undang ditegakkan tidak kira ia di pihak Umno mahu pun di pihak parti-parti lain.

Dakwaan konspirasi oleh Dr Khir timbul apabila bekas menteri besar itu diarah membela dirinya pada perbicaraan yang dijadualkan bermula pada 26 September depan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Beliau dipersalahkan berikutan kekalahan BN di Selangor pada pilihan raya umum 2008 selepas memerintah negeri itu daripada 2000 hingga 2008.

Berikutan keputusan yang memalukan itu, Khir berundur diri. Jawatannya sebagai pengerusi perhubungan negeri Selangor diambil alih oleh Najib selaku presiden parti Umno.

Najib kemudian melantik Datuk Noh Omar, seteru Dr Khir sebagai timbalannya dan dilihat sebagai calon menteri besar baru jika BN mampu menang pada pilihan raya negeri akan datang.

Menurut spekulasi Dr Khir yang juga ADUN Sungai Panjang tidak akan bertanding pada pilihan raya akan datang.

Wednesday, August 24, 2011

Mufti Perak: Melayu berpecah kerana k'jaan rasuah



Jimadie Shah Othman
Ogos 24, 11
3:21pm

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mendedahkan, bagi memastikan perpaduan Melayu-Islam, beliau pernah mengingatkan Datuk Seri Najib Tun Razak tentang kerajaan yang "lemah, tidak amanah dan rasuah."

"Saya kata pada Najib, Datuk Seri, perpecahan Melayu sebab kerajaan ini cukup lemah, tak amanah dan rasuah," kata Harussani.

Bercakap dalam wacana "Ulama dan Politik" di Shah Alam hari ini, Harussani berkata sebagai orang yang tidak berparti, beliau telah mengambil pendekatan itu sejak zaman Tun Razak Hussein lagi.

Diminta menghuraikan tegurannya itu, Harussani bagaimanapun enggan melakukannya kerana berharap ia "habis di sini sahaja".

Bercakap dalam wacana "Ulama dan Politik" di Shah Alam hari ini, Harussani berkata sebagai orang yang tidak berparti, beliau mengambil pendekatan itu sejak zaman bapa Najib - Tun Razak Hussein - menjadi perdana menteri lagi.

Harussani turut berkata, beliau juga pernah cuba menasihati bekas perdana Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini berhubung pelbagai isu.

Harussani berkata, walaupun Dr Mahathir selalu mendengar nasihatnya, terdapat tiga perkara yang tidak dipedulikan.

Perkara itu menurutnya, nasihat yang cuba disampaikan supaya Dr Mahathir tidak memecat timbalannya ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Waktu nak pecat Anwar, saya pergi tapi tak boleh masuk (jumpa). Saya kata, kalau pecat dia, bukan sikit pengaruh dia (Anwar), berpecah orang Melayu... Kalau hendak buat tuduhan liwat, kalau tak ada saksi, buruk padahnya.


"(Nasihat) kedua, kalau nak pecat, buat rombakan kabinet dulu. Letakkan dia (Anwar) sebagai menteri biasa (baru pecat).

"Satu lagi (nasihat) saya tidak ingat," kata Harussani.

Pada zaman Abdullah pula, mufti paling kanan di Malaysia itu berkata, beliau pernah tiga kali menasihatinya tetapi semuanya ditolak.

Beliau bagaimanapun tidak menyebutkan apa tiga nasihatnya kepada Abdullah itu.

Harussani tegas mengulangi pendiriannya bahawa Melayu-Islam bersatu-padu, termasuk melalui pembentukan kerajaan campuran antara Umno-PAS kerana dalam al-Quran umat Islam diperintah berkasih-kasihan antara satu sama lain dan bukannya dengan orang kafir.

"Dalam al-Quran disebut orang kafir zalim. Tak pernah lagi disebut orang Islam itu zalim," katanya merujuk kepada kerjasama politik parti Melayu dengan parti yang didokong bukan Islam.

Dua lagi anggota panel dalam wacana itu Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ulama muda Umno Fathul Baru Mat Jahya. Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin bertindak sebagai moderator.

Sebagai respons kepada pendapat itu, Tuan Ibrahim (kiri) sebelum itu secara berseloroh mengusik Harussani dengan berkata:

"Kalau mufti hendak jumpa perdana menteri pun tak boleh, lu fikirlah sendiri."

Kata-kata itu nyata mengundang ketawa besar kira-kira 500 peserta yang hadir dalam majlis kira-kira dua jam itu.

Mengaitkan perkara itu tentang pengiktirafan terhadap ulama, Tuan Ibrahim mengambil kesempatan menyifatkan kerajaan dan Umno selama ini selama ini hanya menjadikan ulama seolah-olah 'terompah kayu' dan 'ricecooker' (periuk nasi).

"Ia beri gambaran, bila perlu saja pakai ulama. Pandangan majlis fatwa ditolak, pandangan mufti diketepi. (Jadi ulama) nak pandu politik macam mana kalau pengiktirafan pun tak ada," katanya.

Sementara itu, Fathul pula berkata, usaha dakwah memerlukan masa dan tempoh sebelum membuahkan hasil.

Sehubungan itu, beliau meminta umat Islam di negara ini mendoakan kebaikan kepada pemimpin supaya kesannya dirasai semua lapisan masyarakat.

"Ini tidak, doa minta mampuslah, pecah perutlah," katanya yang kesal kerana pernah digelar "ulama upahan".

Tuesday, August 23, 2011

Ambil iktibar kejatuhan rejim Gaddafi

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengingatkan kerajaan BN agar mengambil iktibar daripada kejatuhan rejim Muammar Gaddafi akibat pemberontakan rakyat Libya.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Raja Ahmad Al-Hiss berkata, BN harus segera sedar bahawa rakyat akan bangkit sekiranya corak pemerintahan kerajaan tidak menjurus ke arah keadilan.

"Jatuhnya Gaddafi disebabkan beliau bersifat autotarian dan menyekat banyak ruang demokrasi dalam negara seperti kebebasan akhbar dan hak asasi rakyat yang ada dalam Perlembagaan Negara mereka.

"Jadi rakyat bangun untuk menuntut keadilan. Kejatuhan Gaddafi itu disebabkan kegagalan beliau memberikan keadilan kepada rakyat dan ini boleh dijadikan iktibar kepada Umno BN yang ingin terus berkuasa," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Semalam, Gaddafi yang sudah 42 tahun memerintah Libya tumbang selepas kumpulan pemberontak berjaya menawan hampir seluruh bandar Tripoli.

Pemberontakan di Libya bermula pada 15 Februari lalu ekoran para penunjuk perasaan menuntut kebebasan hak asasi manusia.

Ia kemudian bertukar menjadi pertempuran di antara kumpulan tentera Gaddafi dengan para pemberontak sebelum tentera bersekutu diketuai AS mengebom bandar-bandar utama di Libya bagi menguatkuasakan larangan terbang di negara tersebut selepas diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Raja Ahmad berkata, kekayaan ekonomi sesebuah negara tidak dapat menjamin kerajaannya kekal berkuasa sekiranya keprluan lain diabaikan.

"Di Libya memang hasil minyaknya banyak dan rakyat kekayaan dikongsi bersama rakyat, kos sara hidup rakyatnya rendah tapi pemerintah mengabaikan aspek kehidupan yang lain.

"Umno dan BN tidak boleh menjadikan isu ekonomi atau pembangunan yang mereka lakukan selama ini sebagai asas untuk mereka mempertahankan kerajaan mereka kerana ekonomi bukan asas kebahagian seseorang tapi rakyat juga mahukan keadilan dalam berorganisasi, keadilan dalam menyuarakan pandangan hak-hak asasi," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda.

Sambil merakamkan ucapan tahniah keapda rakyat Libya, beliau bagaimanapun meminta pihak luar menghentikan campur tangan asing ke atas Libya sebaliknya menyerahkan segala keputusan kepada rakyatnya.

"Dalam masa yang sama juga kita minta pihak barat yang selama ini menyokong pihak pemberontak menyerahkan kembali suara rakyat kepada kepada Libya sendiri untuk menentukan sistem dan juga konsep negara yang mereka ingin bentuk.

"Terutamanya NATO dan Perancis yang berkepentingan di sana untuk memastikan apabila turunnya Gaddafi, semua kuasa, tindakan dan keputusan diserahkan kepada rakyatnya.

"Campur tangan pihak asing perlu dielakkan untuk mengelakkan pergolakan," katanya lagi.

Libya negara yang mempunyai simpanan minyak yang terbesar di Afrika dan yang ke-9 terbesar di dunia diserang oleh tentera bersekutu dan kemudiannya diajak negara-negara Perjanjian Atlantik Utara ( NATO ) untuk menyertai serangan keatas Libya.

Februari lalu, pemimpin Pakatan Rakyat bersama lebih 300 rakyat Libya dan 100 warga tempatan menganjurkan demonstrasi secara aman di kawasan sekitar Kedutaan Libya menuntut Presiden Muammar Gaddafi segera meletak jawatan.

Kebangkitan anak muda

Sementara itu, beliau turut mengakui kejayaan pemberontakan ini disokong oleh kuasa anak muda yang sedar mengenai apa yang berlaku dalam negara mereka.

Memberi contoh kejatuhan Hosni Mubarak di Mesir beberapa bulan lalu yang berpunca daripada kebangkitan anak muda, beliau berkata, anak muda sekarang sudah terdedah keapda sumber-sumber baru.

"Anak muda sekarang bukan anak muda dahulu. Anak muda sekarang terdedah kepada maklumat terutamanya media baru. Jadi mereka banyak memahami situasi dan erti keadilan.

"Maklumat yang mereka peroleh ialah primari menerusi sumber baru, bukan secondary lagi," katanya.

Justeru katanya, Dewan Pemuda akan memastikan gerakan anak muda sentiasa terarah untuk kepimpinan akan datang.

"Dewan Pemuda di peringkat pusat, negeri malah kawasan dan cawangan akan menggerakkan anak muda semoga mereka ini akan memimpin kebangkitan dan kesedaran kepada rakyat Malaysia," katanya.

Friday, August 12, 2011

Saya cuma nak tegur PM, kata penulis buku ‘Najib Perdana Menteri Terakhir’


Oleh G Manimaran
August 12, 2011

KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Penulis buku “Najib Perdana Menteri Terakhir” berkata beliau menghasilkan buku setebal lebih 300 halaman hanya untuk menegur agar Datuk Seri Najib Razak membetulkan segala kelemahannya selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno sebelum keadaan menjadi parah.

Buku 25 bab ini dikeluarkan ketika kepimpinan Najib masuk tahun ketiga dan spekulasi menyebut pilihan raya umum ke-13 akan diadakan bila-bila masa.

Petang ini, Najib mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Dato’ Onn.

Malah buku ini berada di pasaran ketika timbul desas-desus Umno berhadapan dengan masalah dalaman, yang telah pun dinafikan oleh beberapa pemimpin kanan parti itu.

Minggu lalu, Persatuan Bekas-bekas Wakil Rakyat Umno (Penawar) juga menafikan laporan blog bahawa pihaknya telah memutuskan untuk meminta Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

“Saya hanya menulis untuk menegur Datuk Seri Najib selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri. Saya tidak mengkritik parti.

“Apa yang saya sampaikan cuma pandangan dan suara akar umbi dan rakyat.. saya cuma menyampaikan demi kepentingan parti,” kata Shahbudin Husin ketika ditanya mengapa menghasilkan buku yang dilihat sebagai tindakan mengkritik presiden parti sendiri.

Pemerhati melihat kritikan dalam bentuk buku ini muncul dalam tempoh singkat berbanding ketika kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi memimpin Umno dari 2003 hingga 2009.

Shahbudin, bekas naib ketua Pemuda Umno Wangsa Maju bertanya, “apa ruang yang saya ada untuk memberikan pandangan?”

“Dulu saya pernah memegang jawatan dalam bahagian, kami boleh sampaikan fikiran. Saya fikir ini cara untuk membawa pandangan dan suara rakyat kepada kepimpinan, kepada Datuk Seri Najib... saya tidak mengkritik Datuk Seri Najib, cuma menegur beliau,” kata beliau yang juga bekas ahli jawatankuasa Umno Wangsa Maju.

Shahbudin juga mengakui bahawa beliau bersedia untuk menghadapi sebarang tindakan disiplin jika parti memutuskan demikian.

“Saya cuma nak selamatkan parti. Ini penting,” katanya yang berusia awal 40-an.


Buku ini dengan tajuk penuh “Tak berubah, faktor Rosmah & pola Sarawak petanda BN The End, Najib Perdana Menteri Terakhir...” dua tahun selepas Najib menjadi perdana menteri keenam.

Shahbudin merupakan memegang jawatan naib ketua Pemuda Umno dari 2004 hingga 2008.

“Sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib melakukan banyak kelemahan, disebabkan oleh kepimpinan, masalah yang disebabkan oleh isterinya (Datin Seri Rosmah)... ini orang bercakap, orang di bawah bercakap.

“Harapan saya ialah Datuk Seri Najib akan melakukan perubahan, membawa perubahan... jika tidak berubah, rakyat akan mengubah. Kata-kata ini beliau gunakan sebelum ini, saya harap beliau akan berubah, ini yang saya cuba sampaikan dalam buku saya,” kata beliau sambil menambah, “saya lebih sayangkan parti, bukannya individu.”

Di bahagian Bingkisan Penerbit, Shahbudin yang merupakan wartawan sebelum aktif dalam Umno berkata, “sudah lebih dua tahun Najib menjadi Perdana Menteri, namun Umno dan kerajaan yang dipimpinnya belum lagi menunjukkan tanda-tanda positif dari segi penerimaan rakyat.”

“Jika dihitung, luahan rasa kecewa, tidak yakin malah keraguan lebih banyak kedengaran berbanding sanjungan dan keyakinan,” kata Shahbudin.

“Umno dan kerajaan yang diterajui Najib dipertikai hampir dari semua sudut sebenarnya,” kata beliau lagi sambil menggariskan alasan-alasan atas perkembangan itu.

“Dari kepimpinan yang terlalu bertolak ansur dan tidak tegas, Melayu rasa dipinggirkan, barisan Kabinet yang diragui, pentadbiran dibayangi skandal dan rasuah, ekonomi yang lembab, pelabur menjauhkan diri, harga minyak, gula dan barang naik, cenderung kepada dasar kronisme dan nepotisme sehinggalah kepada isu campur tangan isteri dan penglibatan beberapa pegawainya yang didakwa rasuah dan salah guna kuasa, semuanya menjurus kepada semakin meningkatnya ketidakyakinan rakyat terhadap beliau,” kata penulis.

Beliau menambah, “tidak pernah dalam sejarah Malaysia, seorang Perdana Menteri diragui rakyat sebegini rupa,” kata Shahbudin yang turut menolak andaian bahawa beliau dipengaruhi pihak-pihak tertentu dalam Umno agar menghasilkan buku politik ini.

“Tidak, tidak. Saya jumpa orang, hanya merangkumkan pandangan orang dalam bentuk analisis, malah ada yang berkata ‘mengapa tidak beritahu awal, ada lagi input boleh diberikan’,” katanya lagi.

“Ini menunjukkan ramai hendak memberi pandangan. Saya simpan untuk buku kedua saya,” katanya lagi.

Shahbudin berkata, setelah lebih dua tahun menjadi Perdana Menteri dan pilihan raya umum ke-13 pula semakin menghampiri ambang pintu, “buku ini lahir dikira tepat waktunya untuk dijadikan sedikit pedoman buat rakyat negara ini.”

Buku ini terdiri daripada 25 bab, termasuk yang bertajuk Sarawak Pemangkin Kejatuhan BN, Jangan Bimbang Jika Umno Tumbang, Menteri-menteri Yang Gagal, 1Malaysia Jadikan Melayu Kelas Kedua?, Juara Rakyat Program Syok Sendiri, Pengundi Muda-KJ Perlu Jadi Menteri, Rosmah Punca Rakyat Tolak Umno, Tun Siti Tak Menyibuk, Melayu Hilang Kuasa Atau Umno Hilang Kuasa, dan Najib Bukan ‘Fighter’.

Shahbudin yang sedang menghasilkan buku kedua bertajuk “Kesilapan-kesilapan Najib” juga berkata, buku pertamanya bukan bertujuan memperlekeh Umno dan pemimpinnya dan bukan juga berupa pemberoan dividen percuma kepada pembangkang.

“Buku ini lahir tidak lain atas inisiatif sebagai rakyat Malaysia dan juga sebagai pembayar cukai yang sentiasa inginkan perubahan dan kebaikan untuk rakyat dan negara ini.

“Rakyat adalah keutamaan buku ini,” katanya lagi.






Sunday, August 7, 2011

Isu gereja: PAS mahu jumpa Jais, pihak gereja


TERKINI @ 04:39:49 PM 07-08-2011
Oleh Syed Mu’az Syed PutraAugust 07, 2011

KUALA LUMPUR, 7 Ogos — PAS hari ini mengambil pendirian untuk mengadakan pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Gereja Methodist Damansara Utama bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai kotroversi terbaru.

Jelas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pertemuan dengan kedua-dua agensi itu akan dibuat dalam tempoh terdekat untuk mengungkai situasi sebenar yang berlaku ekoran tindakan Jais menyerbu majlis makan malam muhibah di gereja itu.

“Kita bincang isu Selangor dan buat keputusan untuk terus ke medan yang mana kalau kita lihat ia sengaja dijadikan isu oleh Barisan Nasional (BN) untuk tutup isu Himpunan Bersih 2.0.

“PAS akan bertemu dengan Jais dan gereja secara terus untuk mendapatkan penjelasan dan selesaikan masalah ini,”katanya selepas pada sidang media di sini.

Beliau terlebih dahulu mempengerusikan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja PAS pusat.

Tambah Hadi, Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali telah memberikan penjelasan berhubung dakwaan program anjuran Harapan Komuniti bertujuan untuk memurtadkan umat Islam.

Hasan, sebelum ini mempertahankan tindakan Jais melakukan serbuan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, Rabu lalu dengan alasan pihaknya telah dimaklumkan perkataan “al-Quran” dan “doa” diselitkan, mendakwa ada bukti mahu memurtadkan umat Islam.

“Hasan Ali telah memberikan penjelasan dan beliau bersetuju dengan cadangan kita (untuk adakan pertemuan dengan Jais dan gereja).
“Bila (maklumat daripada) media tak cukup kita perlu turun ke medan... tidak timbul masalah bukt,i sebab itu kita akan jumpa terus dengan kedua-dua pihak,” kata Hadi.

Tambah Ahli Parlimen Marang ini, PAS terpaksa mengadakan pertemuan dengan Jais dan Gereja Methodist Damansara Utama sebagai langkah selamat selain dapat memberi keadilan kepada semua pihak termasuk Hasan.

Surat permohonan untuk mengadakan pertemuan dengan Jais dan gereja akan dihantar esok melalui Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

“Kita mahu dapatkan penjelasan kedua-dua pihak, mesti daripada orang yang berkenaan daripada pihak Jais dan gereja sendiri... laporan media tak cukup.

“Hasan Ali sudah jelaskan dan beliau juga dapat laporan itu setelah (serbuan) berlaku, sebab itu kita mahu dapatkan gambaran (sebenar) daripada kedua-dua pihak,” katanya Hadi.

Walaupun diasakan dengan pelbagai soalan berhubung tindakan Jais itu, Hadi bagaimanapun menekankan pihaknya mahu mendapatkan maklumat daripada kedua-dua pihak terlebih dahulu.

“Kita akan bertemu dengan kedua-dua pihak, pendirian ini sama... jadi tidak timbul sokong siapa yang penting penjelasan dulu, bagaimana dibuat, siapa yang bertindak... dah jumpa baru kita tahu.

“Kita perlukan penjelasan secara langsung, bukan daripada media,” katanya.

Pada malam Rabu lalu, kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis gereja itu tanpa waran kira-kira 10 malam.

Bagaimanapun tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.

Tambah Hadi: “Semua perkara akan jelas selepas berjumpa dengan pihak gereja.”

Ekoran kontroversi itu Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim memutuskan untuk menghadap Sultan Selangor bagi mendapatkan nasihat menyelesaikan perkara itu.

Beliau berkata langkah itu akan diambil sebaik sahaja menerima laporan Jais, yang turut akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor.

Monday, August 1, 2011

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak

Assalamualaikum
Buat kawan-kawan sekalian,

Semoga berada dalam keadaan sihat dan sejahtera. Di bulan yang mulia ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa dan Semoga kita mendapat keberkatan daripadaNya. Lakukan yang terbaik supaya kita juga memperolehi pulangan yang terbaik. Selamat Mentyambut Ramadhan Al-Mubarak Wasallam


‘Going paperless towards green ICT

"Pengurangan Kertas Ke Arah ICT Hijau"

TAHameed
Kelantan

Hiburan sederhana, mendidik di Kelantan


Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Ogos 2, 11
10:21am

Pada 30 Julai 2011 lepas saya menghadiri satu lagi jemputan satu program anjuran kerajaan negeri Kelantan bertajuk 'Bicara Selebriti'.

Ya, sudah beberapa kali saya dijemput ke Balai Islam, Kelantan untuk pelbagai wacana. Namun kali ini agak lain sedikit. Biasanya di pentas Balai Islam itu saya akan berbicara dan berdiskusi dengan tokoh-tokoh politik atau pemikir.

Selalunya 'panas' dan banyak emosi akan 'bangkit'. Namun kali ini agak santai dengan tajuk dan panel yang demikian rupa. Turut diundang selebriti Wardina Safiyyah dan gitaris terbilang saudara Sham Kamikaze.

Turut menjadi panel tokoh dakwah yang dikenali ramai, sahabat baik saya yang lama tidak bertemu al-Fadhil Ustaz Hasrizal Jamil dan juga sahabat baik saya Amin Idris sebagai moderator.

Saya bukan tidak pernah sepentas dengan Wardina, hanya seminggu lepas saya dan beliau berforum di KUIS, Selangor yang turut dihadiri oleh Datuk Sri Shahrizat Jalil. Beliau juga sahabat saya. Demikian Saudara Sham Kamikaze yang selalu juga ke rumah saya di Bukit Mertajam.

Namun, untuk sepentas atas nama selebriti agak berat bagi saya. Saya bukanlah terkenal seperti mereka. Mereka selebriti, saya rakyat marhaen. Ya, saya seorang rakyat biasa, yang kadang-kala terlibat mengulas isu-isu yang menjadi hak rakyat muslim merdeka untuk memperkatakannya.

Cuma, saya juga mengulas banyak isu seni di sudut agama dan pemikiran serta menulis puisi dan lirik. Mungkin yang lebih 'sikit' pernah jadi mufti Perlis. Ramai juga artis-artis glamor merupakan sahabat baik saya.

Namun, agak 'segan' untuk duduk atas pentas atas nama selebriti. Apapun, saya kagum dengan kepimpinan kerajaan Kelantan yang menampilkan kematangan mereka dalam mengadunkan isu-isu hiburan ini di negeri yang terkenal dengan banyak pusat pengajian agama.

Muzik, nyanyian: Berhak pilih pandangan

Dalam majlis itu, saya mengambil peranan membahaskan pandangan sarjana tentang nyanyian dan muzik. Saya tahu, bukan senang bagi pihak kerajaan negeri untuk membolehkan lahirnya sikap terbuka dalam kalangan mereka yang 'kuat agama' mengenai isu ini.

Apatah lagi di Kelantan yang banyak pondok-pondok tradisionalnya. Dalam masa yang sama, generasi muda inginkan hiburan dan mereka perlukan bimbingan.

Dalam majlis itu, saya jelaskan bahawa ada perbezaan pendapat dalam kalangan sarjana fekah mengenai persoalan nyanyian dan muzik. Dalam persoalan khilaf yang muktabar seperti ini, seseorang berhak memilih pandangan dia yakini dan tidak boleh memaksa orang lain meyakini apa yang dia yakini.

Ertinya, setiap muslim berhak berpegang dengan pandangan yang dia rasa lebih rajih atau kukuh. Dia tidak boleh mewajibkan pandangan tersebut ke atas orang lain, jika mereka mentarjihkan pandangan yang berbeza.

Ini khilaf yang diiktiraf atau khilaf mu'tabar. Tiada siapa yang berhak memaksa pilihannya ke atas orang lain. Maksudnya, jika ada yang mengharamkan muzik, maka tidak boleh dia memaksa pandangan yang sama ke atas mereka yang mengharuskannya. Demikian sebaliknya.

Bagi saya, saya selalu teringat Nabi SAW ketika membenarkan pertunjukkan permaianan perisai dan lembing dalam masjid, sehingga ramai yang menonton termasuk kaum wanita dan isteri Nabi SAW sendiri iaitu Aishah, baginda bersabda:

"Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah." (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Bahkan baginda SAW apabila hadir ke perkahwinan kaum Ansar, baginda bersabda: "Wahai Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan." (Riwayat al-Bukhari).

Lebih dari itu, kadang-kala baginda terlibat dalam membetulkan lirik, agar lebih bertepatan dengan ajaran Islam.

Al-Rubaiyi' binti Mu'awwiz menceritakan bahawa: "Rasulullah SAW datang ke majlis perkahwinanku, lalu baginda duduk di tempat dudukku. Beberapa orang gadis memukul kompang dan menyanyikan lagu kesedihan mengenang bapa mereka yang terbunuh semasa peperangan Badar sehingga salah seorang mereka berkata: 'Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok'. Baginda bersabda: 'Jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu'." (Riwayat al-Bukhari).

Demikian, Nabi SAW tidak melarang nyanyian gadis-gadis tersebut sekalipun lagu-lagu berlirik sedih yang dinyanyikan mengenai mereka yang terkorban. Cumanya apabila mereka menyebut lirik yang bercanggahan dengan kebenaran maka Nabi SAW menegurnya.

Dalam hadis ini Nabi SAW menegur ungkapan yang menyatakan baginda tahu apa yang akan terjadi pada esok hari. Hal ini tidak benar. Hanya Allah sahaja yang mengetahui perkara yang bakal berlaku.

Bukan perangi hiburan


Sebagai sebuah kerajaan, kepimpinan Kelantan telah mengambil jalan yang yang sederhana. Kelantan - melalui program seperti ini - memberikan pendidikan secara langsung dan tidak langsung untuk aktivis Muslim berinteraksi dengan dunia hiburan, sekali gus mendekati anak-anak muda.

Jalannya bukan memerangi hiburan, sebaliknya mencari ruang untuk dimanfaatkan; maka rakyat dapat berhibur secara terarah dan tidak melampai batas.

Dengan itu Kelantan tidak menjadi kerajaan yang tidak bertanggungjawab yang membiarkan rakyat bebas lepas dengan hiburan tanpa bimbingan, tidak juga menjadi jumud sehingga mengharamkan segala bentuk hiburan, termasuk nyanyian, muzik dan filem.

Demikianlah, apabila sesebuah kepimpinan itu ada wawasan yang jelas dan nurani yang inginkan rakyat berada dalam bimbingan yang betul. Segala gerak kerja diselaraskan antara kehendak rakyat dan peraturan agama.

Sikap yang matang lagi sederhana diperlukan oleh rakyat dan umat pada setiap ketika. Bukan masanya untuk mengharamkan itu dan ini tanpa memberikan alternatif yang dapat membimbing rakyat yang pelbagai ragam dan kehendak.

Janganlah pula jadi seperti kepimpinan yang hanya hendak 'memberikan keseronokan' kerana inginkan sokongan mereka rakyat tanpa memikirkan kesan dan masa depan.

Cumanya, masih banyak perkara yang perlu dibuat. Kita perlukan pembikinan karya-karya seni dalam pelbagai bidang yang berkualiti dan mendidik. Ada gabungan antara unsuran hiburan dan bimbingan secara terancang.

Ada ikatan antara seni dan kehidupan insani secara berkesan. Ini memerlukan satu perancangan jangka panjang dan pendek. Semoga Kelantan mampu melangkah lebih jauh.

Anak pondok Pasir Tumbuh


Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada sahabat yang saya kasihi YB Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah yang bertungkus lumus menjayakan program tersebut.

Beliau anak tuan guru pondok Pasir Tumbuh, Tuan Guru Haji Atiqullah Yaakob. Latar belakang agamanya dan sikapnya yang terbuka patut menjadi contoh kepada banyak pihak. Beliau adalah salah satu bukti bahawa kepimpinan agama di Kelantan bersikap rasional dan meraikan perbezaan latar belakang rakyat.

Sangkaan bahawa kepimpinan agama akan mengharamkan hiburan dan seni ke atas rakyat adalah tidak benar jika dikaitkan dengan kepimpinan Kelantan. YB Ahmad Baihaqi (atas, berkopiah hitam) masih muda. Beliau dua tahun lebih muda dari saya. Sama-sama belajar di Jordan dahulu.

Hari ini menjadi pemimpin yang makin matang. Apa yang masih perlu untuk semua insan, termasuk beliau adalah terus mendedahkan diri kepada maklumat yang pelbagai, aliran fikir yang semakin rencam dan mencari kesederhanaan di sebalik itu semua.