Saturday, June 25, 2011

Rakyat Palestin kagum komitmen Kelantan


Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 25 Jun: Rakyat Palestin, Dr Naji Abu Zuhair Al-Sirhi melahirkan rasa kagum dengan kepimpinan ulama Kelantan diketuai Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat khususnya kepada komitmen kepimpinan negeri terhadap isu Palestin.

Beliau melihat Menteri Besar dan rakyatnya ada kelainan dalam ‘menghayati’ isu tersebut dengan menunjukkan simpati yang tinggi.

“Isu Palestin adalah isu sejagat, isu akidah dan isu ummah seluruhnya, bukan isu Palestin semata-mata.

“Semoga apa yang dibuat ini berterusan dan Allah swt mengembalikan kemuliaan ummah dan kemuliaan Islam, seterusnya akan membebaskan Masjidil Aqsa, hasil perjuangan seluruh umat Islam,” tegasnya.

Beliau bercakap kepada pemberita sempena Majlis Pelancaran Misi Bantuan Ke Gazza oleh Menteri Besar di Medan Ilmu, semalam.

Beliau kini menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi di negara ini. Hadir sama rakannya Arafat Abdullah. Turut hadir Setiausaha Politik Menteri Besar Wan Nik Wan Yusoff.

Program misi penghantaran bantuan untuk rakyat Palestin menjelang Ramadhan, Aidul Fitri dan Qurban Aidul Adha itu anjuran Sekretariat Misi Cakna Palestin (Cakna Palestin) dengan kerjasama Badan Kebajikan Ar-Rahmah, Daerah Khan Younis Palestin (BKA) yang diasaskan sejak 1993 di Palestin di samping kerjasama Al-Quds Travel Sdn Bhd.

Menurut Dr Naji, komitmen itu satu terjemahan kepada komitmen Tok Guru dan rakyat Kelantan seluruhnya terhadap isu Palestin.

“Dan saya lihat di Kelantan, Tok Guru Nik Aziz dan rakyat Kelantan ada ‘kelainan’ terhadap rakyat Palestin dari sudut kesihan belas dan kesayangan mereka kepada rakyat Palestin dan perjuangannya di Palestin.

“Saya tidak mampu untuk mentakbir (menggambarkan) dengan kata-kata terhadap komitmen Tok Guru dan Kerajaan Negeri, namun sambutan program ini menjelaskan keadaan sebenarnya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Cakna Palestin Nazri Deraman menjelaskan perancangan Cakna Palestin ialah menghantar bantuan kepada rakyat Palestin sebelum penghujung Sya’aban atau awal Ramadhan, 1432 Hijriah.

“Justeru bantuan daripada rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin, akan disampaikan khususnya bagi menghadapi Ramadhan di Palestin.

“Program hari ini dilancarkan untuk rakyat Kelantan di mana mulai hari ini mereka bolehlah memberi sumbangan melalui Cakna Palestin untuk dihantar bantuan tersebut ke Gazza, melalui wakil kita sebelum Ramadhan nanti,” katanya.

Pada majlis pelancaran itu, Menteri Besar melepaskan belon bersama bendera Palestin sebelum melepaskan sembilan ekor burung, yang melambangkan bahawa suatu hari nanti Palestin akan bebas, selaras dengan motto perjuangan rakyat Palestin: “Kita yakin Al-Quds adalah milik kita dan kita akan kembali”.

Bersih: Umno diingat tidak libatkan Agong


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Jun: PAS menyelar sikap pihak tertentu yang didakwa mahu menggunakan Yang di-Pertuan Agong bagi menghalang himpunan aman Bersih 2.0 di ibu negara pada 9 Julai ini.

Bercakap kepada Harakahdaily hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan tersebut adalah sangat tidak wajar kerana Agong merupakan tempat mengadu rakyat yang terakhir.

"Tidak sepatutnya pihak tertentu mengguna Agong untuk halang hak rakyat.

"Tindakan ini sangat tidak patut, kerana seluruh rakyat bernaung di bawah Agong dan berhak bertemu dengan baginda untuk mengadu sesuatu masalah", katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas desus yang mendakwa Umno sedang berusaha mendapatkan campurtangan Agong bagi menghalang himpunan Bersih 2.0 dari diadakan.

Himpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) itu sebelum ini mendapat kecaman khususnya dari pimpinan Umno BN.

Tidak hanya melalui kenyataan terbuka, kecaman sama juga dibuat semasa sesi perbahasan dalam Dewan Rakyat.

Himpunan tersebut yang dianggarkan disertai hampir 800 ribu orang, akan berarak ke Istana Negara dengan menggunakan warna tema pakaian kuning.

Selain bagi menjunjung institusi Diraja dan demokrasi, warna kuning itu juga sebagai lambang kebebasan, ketulasan dan keadilan.

Sehingga hari ini lebih 10 orang sudah ditahan dan diambil keterangan oleh polis kerana memakai dan menjual baju kuning bercetak "Bersih 2.0" kepada orang ramai yang bakal diguna pada perhimpunan itu nanti.

Ianya dilihat usaha pencegahan awal oleh pihak polis yang memberi amaran sebelum ini untuk membuat tangkapan awal.

"Kita mengharapkan bahawa perubahan yang dituntut rakyat ini diterima oleh SPR,"katanya.

Isu Bazar Tok Guru Selesai, Peniaga mohon maaf


KOTA BHARU, 23 Jun:“Saya bagi pihak Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB memohon maaf kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan YAB Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang mana silap laku saya itu saya mohon maaf,” demikian pengakuan mohon maaf secara terbuka Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB, Abdul Salim Ahmad.


Berucap pada sidang media sempena Majlis Pengundian Bazar Tok Guru oleh pada peniaga Majlis Perbandaranan Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Dewan Jubli Perak MPKB di sini semalam, Salim mendakwa sekiranya beliau telah bertindak kasar dan agresif sebelum ini, maka itu adalah sebagai tuntutan daripada ahli persatuannya.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada ahli persatuan serta para peniaga umumnya agar berprasangka baik dengan pihak kerajaan negeri.

Beliau berharap selepas ini, pihak persatuan dan para peniaga berbaik-baik dengan pihak kerajaan negeri dan para pegawainya.

“Berbaik-baik dan jangan salah sangka kepada pimpinan kerajaan negeri dan para pegawainya yang telah banyak membantu kita khususnya dalam segi pemilihan lot-lot gerai di Bazar Tok Guru.

“Kini ada jalan penyelesaian, dan kita pun jemu dah dengan keadaan semasa, berarak sana, berarak sini. Saya sebagai pengerusi persatuan, maka setakat inilah perjuangan saya bersama ahli-ahli saya.

“Saya terimalah mandat kerajaan negeri, dan kita tidak akan bincang (memanjangkan) lagi cerita kita ini,” katanya sambil menyifatkan keputusan pihak kerajaan negeri yang meluluskan dibuang sebanyak 26 gerai dengan nilaian lebih RM2 juta sebagai ‘kebajikan laluan’ di bazar itu adalah sebagai pengorbanan kepada para peniaga berkenaan.

“Ini bermakna, tidak terkiralah pengorbanan kerajaan negeri kepada peniaga-peniaga kita, alhamdulillah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Sanusi Osman dalam satu kenyataan media berkata, seramai 230 peniaga telah diundang hari ini (22 Jun 2011) bagi menjalani proses pengundian petak perniagaan di tingkat bawah Bazar Tok Guru di Jalan Sultan Ibrahim di sini.

Sementara proses menandatangani perjanjian jual beli akan diselesaikan selewat-lewatnya pada 28 Jun ini dan serahan milikan kosong akan dilaksanakan sebelum 1 Julai.

“Seramai 326 peniaga dijangka dapat memulakan perniagaan di Bazar Tok Guru pada 1 Julai 2011,” katanya.- Hrkh

Maka berdasarkan petikan berita dari harakahdaily di atas persoalan isu ini telah menuju penamatnya. Pihak-pihak tertentu khususnya UMNO untuk memainkan isu ini nampaknya telah 'kantoi' kata anak muda masakini. Itu baru pihak kerajaan negeri menawarkan sewa percuma selama 1-2 tahun, kalau kerajaan negeri memberi sewa percuma itu lebih lama lagi seumpama 3 atau 4 tahun, rasanya terus senyaplah suara-suara sumbang tempoh hari.

Sememangnya "bola" di kaki kerajaan negeri Kelantan dan pihak yang berdemonstrasi beberapa kali di dalangi orang kuat UMNO KOta Bharu yang berjanji akan menolong para peniaga itu. Tetapi mampukan mereka menolong sebenarnya, sedangkan pihak yang berkuasa dalam hal ini adalah kerajaan negeri.

Dengan tamatnya isu Bazar Tok Guru ini, semakin kurang isu untuk dimainkan UMNO di Kelantan kerana isu Ladang Rakyat juga sebenarnya masih kabur kerana pihak Pejabat Tanah adalah pihak yang berkuasa dalam hal ini. Kalau betul terjadi isu merampas tanah rakyat, tentulah telah lama dikemukakan ke mahkamah oleh tuan punya tanah yang dikatakan dirampas. Sedangkan pihak kerajaan negeri sentiasda bertegas bahawa tanah yang diambil untuk Ladang Rakyat adalah tanah kerajaan yang diteroka secara haram oleh penduduk. Maknanya tanah itu tidak pernah dikeluarkan geran oleh pejabat Tanah dan hanya peneroka sahaja yang mendakwa tanahnya. Itupun dikatakan kerajaan negeri juga memberi pampasan sewjarnya.

Maka apalah lagi modal yang ada pada UMNO Kelantan menjelang PRU13 ini, kerana isu besar nampaknya sudah semakin menghilang dan ini memberikan khabar gembira pada petugas PAS pada PRU akan datang. Wallahu a'lam.

Wednesday, June 15, 2011

Hina Islam: Ulama mahu pelukis, penerbit didakwa


(malaysiakini)
Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mencadangkan pelukis kartun bertajuk 'Kekeliruan Kes Rogol' yang disiarkan di Utusan Malaysia hari ini diheret ke mahkamah kerana menghina Islam.

“Kita syorkan supaya pelukis dan penerbit kartun ini didakwa atas penghinaan ke atas Islam," kata Yang Dipertua PUM, Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir dalam satu kenyataan lewat petang tadi.

Katanya, penyiaran kartun di akhbar milik Umno itu secara jelas menghina ulama dan Islam dan tidak harus dibiarkan.

Sheikh Abdul Halim berkata kartun seperti itu dilihat cuba memperlekehkan pandangan alim ulama dan memberikan tanggapan negatif kepada Islam.

“PUM meminta supaya para Mufti juga turut menegur Utusan yang menyiarkan kartun yang menghina hukum hakam agama. Sepatutnya akhbar menjadi alat perpaduan dan menimbulkan kesedaran, bukan menambah pergeseran dan perpecahan umat.

“Sehubungan dengan itu PUM meminta supaya Majlis Fatwa Kebangsaan membuat pendirian berhubung dengan perkara ini,” katanya.

Sheikh Abdul Halim mengulas kartun pada halaman 15 akhbar itu dengan tajuk 'Kekeliruan Kes Rogol' yang dilukis oleh 'Miko'.

Lakaran pertama mengambarkan seorang gadis yang mendakwa dirinya dirogol dan dikatakan mempunyai bukti dalam bentuk rakaman video telefon tetapi ditolak oleh pegawai Jabatan Agama kerana tidak mempunyai empat saksi.

Lakaran kedua itu pula menunjukkan lukisan gadis yang sama membawa aduan berkenaan kepada seorang anggota polis yang menerima duan itu.

Dia hanya Besi

Dialognya berbunyi “Bagus...Alat itu pun boleh jadi bukti!”

Selain itu, dialog lain yang dikatakan menghina Islam adalah: “Peralatan itu tak boleh jadi saksi, sebab dia tak ada telinga dan tak ada mata! Dia hanya Besi.”

Menurut Sheikh Abdul Halim Utusan sepatutnya mendapatkan pandangan cerdik pandai dalam bidang agama sebelum mengeluarkan sesuatu bahan seumpama itu.

“PUM juga menyarankan agar pihak kerajaan adakan lebih banyak konvensyen nasional bagi menyelesaikan isu-isu dalam kalangan umat Islam sekarang yang kebanyakkan masyarakat Islam sekarang dilihat kurang berpengetahuan agama,” katanya.

Turut membidas penyiaran kartun oleh akhbar milik Umno itu ialah Dewan Pemuda PAS negeri Melaka yang mahu Utusan meminta maaf kepada umat Islam.

"Inilah akibatnya apabila akhbar Utusan Malaysia di-umno-kan. Tidak lagi seperti dahulu. Campur tangan Umno akan merosakkan semua, paling menyedihkan apabila agama sendiri dipersenda, kata ketuanya, Aizat Baharuddin dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Ruangan kartun itu, kata Aizat jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam iaitu hukum tentang persaksian kes zina.

"Dalam hukum Islam jelas dinyatakan bahawa apabila seseorang Islam dituduh melakukan zina orang yang menuduh perlu dibawakan empat orang saksi yang tidak fasiq."

Begitu jahil

Katanya, dialog kartun yang cuba digambarkan oleh pelukis langsung tidak sensitif pada hukum Islam bahkan mempersendakan hukum Islam.

“Ia menggambarkan seolah-olah hukum membawa empat orang saksi itu tidak boleh diguna pakai tetapi video dan gambar boleh dijadikan sebagai bukti.

“Kartun tersebut juga menggambarkan bahawa golongan agamawan begitu jahil dan tidak serius berbanding pihak polis," kata Aizat.

Menurut beliau tindakan akhbar itu jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam yang datangnya dari Allah.

"Ia dipercayai berkaitan tentang isu video seks dan liwat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang menjadi bahan utama (persendaan) akhbar itu," katanya.

Menurut Aizat, Utusan perlu meminta maaf kepada umat Islam kerana sesungguhnya penghinaan seumpama itu hanya akan merugikan umat Islam.

"Cukuplah Islam dihina oleh musuh Islam, janganlah orang Islam sendiri yang menghina hukum yang Allah tetapkan disebabkan kejahilan sendiri." katanya.

Khutbah Jumaat tiada motif politik, kata mufti S'gor


Saya tidak pasti apakah ada hubung kaitnya dengan penyiaran kartun yang dikatakan ada unsur penghinaan pada Islam yang disiarkan dalam Utusan Malaysia itu dengan khutbah jumaat yang dibaca diseluruh Masjid di Selangor pada jumaat lepas. Menmang saya sendiri mendengar khutbah jumaat lepas di Masjid Al Firdaus, BBS dan tidak apa yang tidak kena dengan khutbah itu.

Cuma bagi mereka yang totok sekali keumnoannya yang rasa pedih telinga. Barangkali kalau penyokong biasa atau pengikut boleh menerimanya. Itu pandangan yang saya perolehi dari kawan-kawan yang ada kedudukan dalam UMNO. Namun bagi Utusan malaysia lain ceritanya apabila pemberitanya menyatakan isi khutbah dikatakan merujuk pada kes qazaf Datuk Seri Anwar. Ke situ pula perginya walaupun khutbah tidak menyebut apa-apa dan tidak merujuk kes mana pun. Sekadar menyatakan hukum tentang tuduhan zina dan qazaf dari sudut pandangan Islam.

Mungkin tidak berpuas hati dengan isu mesej dalam khutbah itu menyebabkan akhbar itu berani menyiarkan kartun yang menyinggung perasaan umat Islam yang seolah memperkecilkan pengetahuan ulama Islam. Cara Utusan dalam hal ini tidak kena tempatnya dan seolah-olah mahu berkonfrontasi dengan pihak berkuasa Islam dan juga ulama.

(berikut dipetik kenyataan Mufti Selangor seperti disiar Malaysiakini)

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid menegaskan khutbah Jumaat mengenai dosa fitnah yang dibacakan di masjid-masjid seluruh negeri Selangor minggu lalu, tidak mempunyai motif politik sebagaimana yang didakwa oleh Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan, khutbah itu sekadar mendidik ummah negeri ini tentang bahaya gejala fitnah dan syarat-syarat Islam yang perlu dipatuhi dalam menuduh seseorang berzina.

"Saya bersangka baik bahawa khatib bertujuan mahu memberikan penjelasan kepada masyarakat agar kita lebih berhati-hati supaya jangan sampai membuat sebarang tuduhan yang tidak ada bukti (atau) saksi kerana jika seseorang itu membuat tuduhan zina ataupun qazaf mestilah ada bukti (dan) saksi,” kata beliau kepada TV Selangor.

Justeru, Tamyes menyifatkan tindakan Utusan Malaysia menggambarkan masjid di Selangor 'diperkudakan' demi kepentingan politik pihak tertentu adalah tidak benar dan bertujuan mencetuskan kontroversi semata-mata.

Artikel 'Masjid Selangor diperkudakan' ditulis oleh Pengarang Utusan, Zulkifli Jalil. Beliau mendakwa khutbah itu bertujuan membersihkan nama Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada dikaitkan dengan isu video lucah Datuk T.

Khutbah Jumaat itu menyifatkan tindakan umat Islam yang membuat kenyataan berbentuk fitnah bercanggah dengan syariat Islam.

“Perhatian ini wujud kerana ada kecenderungan sebahagian umat Islam membuat kenyataan berbentuk fitnah yang sangat jelas bercanggah dengan syariat Islam tidak kisah sama ada ia dilakukan sama ada oleh individu, kumpulan, persatuan dan pihak-pihak lain,” kata khutbah standard yang disampaikan di masjid-masjid di seluruh negeri Selangor itu.

“Fitnah ialah mengadakan satu berita palsu atau bohong terhadap seseorang yang mempunyai perasaan permusuhan dengan motif-motif yang buruk.

“Fitnah boleh menimbulkan qazaf dan ia bererti membuat pertuduhan terhadap seseorang melakukan zina atau liwat tanpa empat saksi adil dan orang yang menuduh telah melakukan jenayah qazaf dan fitnah,” menurut khutbah rasmi itu.

Tamyees hari ini berkata tuduhan melulu yang dibuat oleh Zulkifli dan pihak-pihak tertentu dalam Umno kononnya khutbah itu berbau politik adalah tersasar.

Beliau berkata kandungan teks khutbah yang dibaca oleh khatib disemak dan diteliti oleh Jawatankuasa Panel Khutbah yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum diedarkan kepada masjid-masjid untuk dibaca setiap minggu.

"Sebenarnya kandungan khutbah ini adalah yang disemak oleh satu lajnah ataupun jawatankuasa penilai khutbah di Jabatan Agama Islam Selangor yang dipengerusikan Pengarah JAIS sendiri, ahli jawatankuasanya terdiri daripada ahli akademik."

Tamyes bersetuju bahawa khutbah Jumaat tidak harus memecah-belahkan umat Islam namun "kalau niat imam atau khatib yang membacanya adalah sebagai peringatan kepada kita agar lebih berhati-hati apabila membuat tuduhan, itu suatu perkara yang digalakkan oleh agama."

Saturday, June 11, 2011

Ku Li syor s'jaya diraja siasat pembekal kuasa

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi mengkaji dan menyiasat syarikat pembekal kuasa tenaga kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang didakwa mengaut keuntungan berpuluh kali ganda.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan TNB menanggung kos perbelanjaan yang tinggi dan sekaligus membebankan kehidupan rakyat menerusi tarif baru elektrik yang berkuat kuasa 1 Jun lepas, selepas mendapat persetujuan kerajaan apabila membuat semakan semula harga gas.

"Suruhanjaya berkenaan penting bagi memberi keadilan kepada rakyat walaupun kenaikkan tarif eletrik itu hanya membabitkan 4.4 juta pengguna domestik di negara ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Limau Kasturi dekat Gua Musang semalam.

Beliau mahu kerajaan memberi perhatian serius terhadap bebanan hidup rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah termasuk masyarakat kampung di seluruh negara kerana turut menanggung kos sara hidup yang semakin tinggi sejak kebelakangan ini.

“Suruhanjaya itu hendaklah menyiasat dan membuat kajian langkah yang perlu diambil kerajaan terhadap bebanan hidup rakyat hasil daripada kenaikan tarif elektrik ekoran syarikat pembekal kuasa elekrik menjual dengan harga terlalu tinggi," katanya.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata walaupun tidak semua pengguna menanggung beban kenaikan tarif elekrik itu, namun penduduk juga akan turut merasai bebanan terutama kenaikan harga barang.

Katanya ini kerana peniaga besar yang terbabit dengan kenaikan tarif baru elekrik sudah tentu akan menaikkan harga barangan pengeluaran mereka disebabkan kos yang meningkat termasuk juga pengangkutan.

“Kita harus berlaku adil dalam menyelesaikan masalah itu kerana saya melihat sekarang ini syarikat pembekal kuasa tenaga elektrik kepada TNB menopoli keuntungan berpuluh kali ganda disamping mendapat subsidi pula daripada Petronas,” katanya.


(petikan dari M'kini)

Thursday, June 9, 2011

Perpaduan Melayu: Umno silap jika terus salahkan PAS


Oleh Latifah Kasmuri
June 09, 2011
KUALA LUMPUR, 9 Jun — Mohamad Sabu menegaskan kepimpinan PAS termasuk barisan pemimpin pusat yang baru tidak menolak idea perpaduan Melayu, sebaliknya Umno sengaja menggunakan soal itu sebagai bahan kempen menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Jelas timbalan presiden PAS itu, “Umno silap” jika mendakwa keputusan PAS menolak untuk bekerjasama dengan parti teras Barisan Nasional (BN) itu bermakna ia akan memecahbelahkan orang Melayu.

“Umno mula pertikaikan perpaduan Melayu apabila kepimpinan sudah jatuh tetapi sebaliknya jika mula kuat, mereka jadi takbur,” ujar Mohamad (gambar) lagi.

“Umno sebenarnya sudah lemas, sebab itu membangkitkan isu perpaduan Melayu. Kami (kepimpinan baru PAS) tetap perjuangkan perpaduan Melayu tetapi berlandaskan keadilan untuk kepentingan semua masyarakat,” kata timbalan presiden PAS ini ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kelmarin, timbakan pengerusi Umno Kedah Datuk Mukhriz Mahathir melahirkan rasa tidak gembira kerana PAS tidak mahu perpaduan Melayu apabila PAS terus menolak kerjasama dengan Umno.

Pandangan yang serupa juga dilahirkan oleh timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam ucapan dasarnya Jumaat lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian partinya akan terus bersama Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 meskipun dihujani siri pelawaan dan jemputan daripada kepimpinan Umno sepanjang tiga tahun lalu.

Beliau menegaskan, PAS tiada masalah untuk mewujudkan hubungan peribadi tetapi tidak dalam hubungan politik.

Katanya, PAS tetap bersama Pakatan Rakyat untuk membina politik baru tanpa sebarang acuan Umno.

Sementara itu, salah seorang naib presidennya Salahudin Ayub berkata, kepimpinan PAS tidak pernah menolak idea perpaduan Melayu kerana perpaduan itu sudah lama wujud sejak negara merdeka.

“Perpaduan itu telah lama wujud. Bukan sahaja perpaduan dengan orang Melayu, bahkan juga perpaduan dengan masyarakat lain berlainan agama.

“Perpaduan Melayu itu tetap wujud dan tidak akan hilang sama sekali selagi kita tetap pegang pada prinsip perpaduan, mengamalkan budaya Melayu, beretika ikut cara Melayu dan ikut acuan bangsa Melayu,” katanya.

Selain itu, Salahudin berpendapat, Umno memberi kenyataan sedemikian kerana mereka mengalami “musim kemarau yang panjang.”

Jelasnya, mereka ketandusan idea untuk menjatuhkan PAS sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan begitu sedangkan hakikatnya langsung tiada kena-mengena dengan perpaduan Melayu.

Ditanya mengenai PAS mahu memecahbelahkan Melayu untuk kepentingan mereka, beliau menegaskan, perpecahan Melayu hanya akan terjadi seandainya “kita memutuskan ikatan silaturrahim.”

“Itu baru dikatakan sengaja elak perpaduan dan pecah belahkan orang Melayu,” katanya.

Jelas beliau lagi, dalam arena politik memang wujud parti Umno-PAS yang tidak sealiran parti politik.

“Tetapi, adakah dengan berbeza parti dan tidak bergabung menjadi satu parti sudah dianggap PAS sengaja tidak mahu perpaduan dan mahu pecah belahkan Melayu?

“Adakah dengan gabungan PAS-Umno sudah dikira perpaduan Melayu telah wujud?” ujarnya lagi.

Beliau juga berpendapat kenyataan Umno itu sebenarnya satu hujah yang naif.

“Itu hanya momokan daripada mereka yang sengaja mahu menakut-nakutkan orang Melayu.

“Mungkin mereka bimbang dan teruja dengan kepimpinan baru PAS yang lebih progresif dan kontemporari dalam memberi saingan pada pilihan raya umum yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut menyarankan supaya seluruh masyarakat khususnya orang Melayu tidak bimbang dengan kenyataan Umno itu.

Ujarnya, kepimpinan PAS tidak akan menyentuh perpaduan Melayu kerana tetap tegas perpaduan Melayu tidak pernah hilang.

“Umno berkata sedemikian sebagai satu cara menjauhkan pengundi PAS pada pilhan raya umum nanti,” ulasnya lanjut.

(petikan msian insider)

Monday, June 6, 2011

"Bukan Erdogan, ini Nik Aziz dan Hadi Awang"


(petikan harakahdaily)
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 5 Jun: Biarpun PAS diserang hebat oleh media sebelum dan selepas keputusan pemilihan semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tetap mengucapkan tahniah kepada perwakilan dan pemimpin yang telah dipilih.

Berucap ketika menyampaikan ucapan penangguhan hari akhir Muktamar PAS ke-57 hari ini, beliau bagaimanapun tidak menyalahkan petugas media yang mebuat liputan selama tiga hari itu.

"Ada (media) menyatakan pimpinan baru ini kumpulan Erdogan.

"Saya kata ini bukan Erdogan, ini (Tuan Guru Datuk) Nik Aziz dengan Hadi Awang, ini bukan AK parti, ini Parti Islam Se-Malaysia PAS,"katanya membidas laporan media yang membuat label tersebut.

Membuat bidasan lebih lanjut, beliau kemudiannya turut memperincikan kepelbagaian latar belakang individu di dalam saf kepimpinan baru PAS itu.

Katanya kepimpinan baru yang diterajuinya itu terdiri daripada lapan ulama, dua doktor, dua jurutera, satu peguam, enam bekas pensyarah dan dua aktivis masyarakat.

Komposisi itu katanya menunjukkan kabinet PAS mempunyai pemimpin rencam termasuk ulama.

Malah katanya perlembagaan PAS juga memperuntukkan enam AJK dilantik, empat anggota dewan harian dan semua pesuruhjaya negeri untuk bersama kabinet baru.

Tahaluf siasi dalam Pakatan berjaya

Dalam ucapan itu juga, Presiden PAS itu juga menyifatkan kerjasama politik dengan PKR dan DAP, berjaya.

Kejayaan itu katanya boleh dilihat kepada sokongan bukan Islam terhadap PAS semakin meningkat akibat kefahaman mereka terhadap perjuangan keadilan Islam yang dibawa PAS.

"Persefahaman kita, mengekalkan jati diri kita sebagai orang Islam, memperkenal mesej Islam kepada bukan Islam tanpa paksaan.

"Berbeza dengan persefahaman wala' Umno BN yang menghilangkan jati diri, hilang hak dan hilang jati diri Islam itu sendiri," katanya menegaskan perbezaan.

Mengulas isu pembahagian kerusi antara Pakatan Rakyat untuk PRU ke-13 pula, beliau mengingatkan jentera di sesuatu kawasan memastikan kekuatan mereka dahulu sebelum berkira-kira mahu PAS bertanding.

"Kalau nak kerusi untuk bertanding, kawasan itu kena ada jentera, cawangan kena hidup dan kuat, (baru) kita boleh bertanding.

"Tapi tak kan semua kerusi kita nak tanding, itu bukan tahaluf,"katanya.

Thursday, June 2, 2011

Muktamar PAS harapan rakyat


Oleh Mohd Rashidi Hassan

Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-57 yang berlangsung di Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar 3-5 Jun ini amat di nanti-nantikan oleh rakyat yang menyokong PAS, dan juga pendokong aspirasi Pakatan Rakyat keseluruhannya.

Rakyat ingin melihat, siapakah yang bakal dipilih perwakilan untuk menerajui PAS menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal diadakan bila-bila masa dari sekarang


Rakyat ingin mengetahui sejauhmana PAS bersedia menggalas harapan rakyat untuk menggantikan Umno sebagai sebuah kerajaan bersama Pakatan Rakyat.

Dalam Muktamar ini juga, rakyat ingin mengetahui apakah agenda yang ditawarkan PAS kepada rakyat Malaysia, yang boleh disandarkan bagi membuktikan kesungguhan PAS untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Sebagai sebuah parti Islam yang terbesar, berpengalaman luas dan semakin bertapak dalam negara, PAS harus tampil sebagai parti terulung yang menyelamatkan negara daripada kedurjanaan Umno-Barisan Nasional.

Pemimpin dan perwakilan PAS dari seluruh negara, harus membuka minda mereka seluas-luasnya dan harus memuhasabah diri, memikirkan apakah ciri-ciri yang melayakkan mereka menjadi penyumbang kepada peneraju perubahan dalam negara.

Sesungguhnya keberadaan PAS dalam negara ini, bukan untuk menjadi parti yang menumpang arus yang diciptakan oleh rakan seperjuangan, tetapi sudah sampai masanya PAS menjadi pemain utama yang mencipta arus rakyat.

Untuk itu, kepimpinan dan seluruh ahli PAS harus berganding bahu, bukan sahaja membentuk jati diri mereka sebagai muslim yang komited dengan sahsiah yang unggul, malah harus mempunyai elemen-elemen yang dikagumi rakyat keseluruhannya.

PAS wujud untuk memartabatkan Islam, memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan, bukan untuk dalam kalangan PAS sahaja, tetapi ianya untuk seluruh rakyat Malaysia.

Dalam menghadapi pemilihan kali ini, seluruh perwakilan harus meletakkan keutamaan menyediakan PAS, untuk terus memainkan peranan utama dalam pentas politik negara bersama Pakatan Rakyat.

PAS harus semakin memperkukuhkan kerjasama dengan parti-parti KeADILan dan DAP. PAS harus ke hadapan dalam menjalim hubungan dengan NGO, khususnya dari kalangan bukan Melayu, bukan Islam.

Untuk mendepani cabaran ini, untuk meletakkan PAS terus unggul di persada politik negara, PAS harus membentuk agenda perjuangannya sesuai dengan aspirasi rakyat.

Agenda yang menepati kehendak atau aspirasi rakyat adalah suatu agenda yang meletakkan keutamaan memberi khidmat terbaik kepada seluruh rakyat dengan adil dan saksama tanpa memilih warna kulit, kaum mahu pun agama.

Rakyat mahu melihat terus melihat bagaimana kerajaan negeri yang diterajui PAS di Kelantan, sepenggal di Terengganu dan kini di Kedah, mengamalkan dasar negara berkebajikan mengikut kehendak Islam.

Keadilan Islam yang diterajui perjuangannya menerusi PAS harus dilaksanakan, ditawar dengan sebaik-baiknya agar seluruh rakyat Malaysia memahaminya.

Apabila rakyat sudah faham dan menikmati kebaikan dan kebajikan berasaskan Islam, sekali gus sebarang persepsi buruk terhadap Islam itu sendiri akan dapat dihapuskan.

Dengan penghapusan jurang ini, ia semakin mendekatkan PAS dengan rakyat. Perjuangan PAS adalah untuk semua. Untuk memperjuangan hak semua rakyat pemimpin PAS harus dekat dihati rakyat.

Maka perwakilan Muktamar PAS kali ini mempunyai peranan yang amat besar. Iaitu memilih pucuk pimpinan dan menetapkan agenda yang mampu memartabatkan PAS ke tahap yang lebih unggul.

Moga-moga perjuangan Islam yang dibawa PAS akan diterima dan diiktiraf, serta meletakkannya sebagai peneraju unggul dalam Kerajaan Pusat bersama Pakatan Rakyat pada PRU akan datang.

Selamat bermuktamar!

Tahniah Salleh Yaakob



Saya memulakan posting untuk bulan Jun ini dengan entri yang lain dari biasa iaitu dengan memilih tajuk berkenaan berkahwin empat. Jarang orang dapat berkahwin empat, dan Sallehj Yaacob adalah salah seorang daripadanya, Tahniah dan selamat pengantin baru Salleh! Ada kawan-kawan perempuan yang mencebik bibir bila diajukan persoalan ini dan mereka makin tak selesa bila saya katakan "dalam bab ini saya juga kena berguru dengan Salleh". Hanya sekadar berangan-angan sahaja.

Saya terkesan baru-baru ini ada kenyataan dari seorang Doktor yang bertugas di LPPKN yang memperjelaskan isu kekurangan peningkatan kadar kelahiran di Malaysia dan hubung kaitnya dengan isu wanita kahwin lambat dan juga kurangnya lelaki yang sesuai untuk menjadi suami. Lelaki ramai menghuni pusat serenti, kaki rempit, dadah dan sebagainya bukan sesuai menjadi calon suami. Manakala di menara gading sememangnya ramai kaum wanita sekarang ini.

Jadi kaum lelaki yang 'kompeten' agak berkurangan di menara gading,malah ada lelaki yang berpewatakan "lembut" juga tidak diminati untuk dijadikan suami. Untuk itu kadar kelahiran di negara kita akan terus menguncup kalau tidak dicari jalan mengatasinya.

Nah, satu cara terbaik ialah poligami seperti diamalkan Salleh Yaacob!itu antara jalan peneyelesaiannya dan ada pelbagai lagi. Mana yang mampu boleh dan kaum wanita jangan pula mempersoalkannya!kerana ini dibenarkan dalam agama Islam, dan berlaku adillah dalam poligami itu.

Tepuk dada tanya selera dan iman...

(dibawah petikan berita mengenai Salleh dlm mstar)
Khamis Jun 2, 2011
Salih Yaacob Belum Fikir Anak Dengan Isteri Keempat
Oleh WAHIDUZZAMAN (wahi@thestar.com.my)

PETALING JAYA: Pengacara dan penyampai radio Sinar FM, Salih Yaacob, 50, memberitahu dia belum mempunyai perancangan untuk mendapatkan anak selepas menikahi isteri keempatnya, Samihah Sheikh Ali, 25, atau Emi, Isnin lalu.

Ujar Salih, memandangkan majlis pernikahannya belum pun sampai seminggu, justeru dia dan isteri barunya itu belum memikirkan sebarang perancangan buat masa ini.

"Semuanya (majlis) baru saja selesai. Saya belum tahu lagi sebab masih terlalu awal.

"Kalau ada rezeki dikurniakan anak, saya terima dengan penuh kesyukuran," katanya yang dihubungi mStar Online, Rabu.

Ditanya pula adakah dia dan Emi akan menangguhkan perancangan untuk mendapatkan anak memandangkan isterinya itu masih menuntut di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA), Salih berkata, dia tidak terfikir tentang perkara tersebut.

"Saya tidak tahu lagi buat masa ini. Kalau ditakdirkan untuk dapat anak pada waktu ini, kami terima. Apa pun semuanya bergantung kepada rezeki Allah," jawabnya ringkas.


Salih dan isterinya, Samihah atau Emi pada majlis resepsi mereka di sebuah hotel di Taman Abad, Johor Bahru pada 30 Mei lalu.

Salih dan Emi berkenalan di Pulau Pangkor, Perak pada November tahun lalu dan hubungan mereka menjadi semakin rapat sejak itu.

Pada 30 Mei lalu, Salih melengkapkan kuota poligami empat orang isteri selepas menikahi Emi di Masjid Jamek Bandar Kulaijaya, Johor Bahru, Johor.

Salih berkahwin dengan isteri pertamanya, Norizah Mamat, 46 pada 1989 dan dikurniakan empat anak, isteri kedua, Norraha Hamat, 43, pada 1993, enam anak dan isteri ketiga, Norfara Wahida, 33, pada 2007, dikurniakan seorang anak.

Pelakon itu turut merancang untuk menganjurkan majlis besar-besaran yang dihadiri oleh tiga isterinya yang lain, rakan artis dan para media di Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat.

Selain sibuk dengan tugasan hariannya di studio radio Sinar FM, Salih juga bakal muncul dalam program bual bicara terbaru iaitu SY I Follow untuk Astro Ria tidak lama lagi.