Wednesday, June 15, 2011

Khutbah Jumaat tiada motif politik, kata mufti S'gor


Saya tidak pasti apakah ada hubung kaitnya dengan penyiaran kartun yang dikatakan ada unsur penghinaan pada Islam yang disiarkan dalam Utusan Malaysia itu dengan khutbah jumaat yang dibaca diseluruh Masjid di Selangor pada jumaat lepas. Menmang saya sendiri mendengar khutbah jumaat lepas di Masjid Al Firdaus, BBS dan tidak apa yang tidak kena dengan khutbah itu.

Cuma bagi mereka yang totok sekali keumnoannya yang rasa pedih telinga. Barangkali kalau penyokong biasa atau pengikut boleh menerimanya. Itu pandangan yang saya perolehi dari kawan-kawan yang ada kedudukan dalam UMNO. Namun bagi Utusan malaysia lain ceritanya apabila pemberitanya menyatakan isi khutbah dikatakan merujuk pada kes qazaf Datuk Seri Anwar. Ke situ pula perginya walaupun khutbah tidak menyebut apa-apa dan tidak merujuk kes mana pun. Sekadar menyatakan hukum tentang tuduhan zina dan qazaf dari sudut pandangan Islam.

Mungkin tidak berpuas hati dengan isu mesej dalam khutbah itu menyebabkan akhbar itu berani menyiarkan kartun yang menyinggung perasaan umat Islam yang seolah memperkecilkan pengetahuan ulama Islam. Cara Utusan dalam hal ini tidak kena tempatnya dan seolah-olah mahu berkonfrontasi dengan pihak berkuasa Islam dan juga ulama.

(berikut dipetik kenyataan Mufti Selangor seperti disiar Malaysiakini)

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid menegaskan khutbah Jumaat mengenai dosa fitnah yang dibacakan di masjid-masjid seluruh negeri Selangor minggu lalu, tidak mempunyai motif politik sebagaimana yang didakwa oleh Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan, khutbah itu sekadar mendidik ummah negeri ini tentang bahaya gejala fitnah dan syarat-syarat Islam yang perlu dipatuhi dalam menuduh seseorang berzina.

"Saya bersangka baik bahawa khatib bertujuan mahu memberikan penjelasan kepada masyarakat agar kita lebih berhati-hati supaya jangan sampai membuat sebarang tuduhan yang tidak ada bukti (atau) saksi kerana jika seseorang itu membuat tuduhan zina ataupun qazaf mestilah ada bukti (dan) saksi,” kata beliau kepada TV Selangor.

Justeru, Tamyes menyifatkan tindakan Utusan Malaysia menggambarkan masjid di Selangor 'diperkudakan' demi kepentingan politik pihak tertentu adalah tidak benar dan bertujuan mencetuskan kontroversi semata-mata.

Artikel 'Masjid Selangor diperkudakan' ditulis oleh Pengarang Utusan, Zulkifli Jalil. Beliau mendakwa khutbah itu bertujuan membersihkan nama Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada dikaitkan dengan isu video lucah Datuk T.

Khutbah Jumaat itu menyifatkan tindakan umat Islam yang membuat kenyataan berbentuk fitnah bercanggah dengan syariat Islam.

“Perhatian ini wujud kerana ada kecenderungan sebahagian umat Islam membuat kenyataan berbentuk fitnah yang sangat jelas bercanggah dengan syariat Islam tidak kisah sama ada ia dilakukan sama ada oleh individu, kumpulan, persatuan dan pihak-pihak lain,” kata khutbah standard yang disampaikan di masjid-masjid di seluruh negeri Selangor itu.

“Fitnah ialah mengadakan satu berita palsu atau bohong terhadap seseorang yang mempunyai perasaan permusuhan dengan motif-motif yang buruk.

“Fitnah boleh menimbulkan qazaf dan ia bererti membuat pertuduhan terhadap seseorang melakukan zina atau liwat tanpa empat saksi adil dan orang yang menuduh telah melakukan jenayah qazaf dan fitnah,” menurut khutbah rasmi itu.

Tamyees hari ini berkata tuduhan melulu yang dibuat oleh Zulkifli dan pihak-pihak tertentu dalam Umno kononnya khutbah itu berbau politik adalah tersasar.

Beliau berkata kandungan teks khutbah yang dibaca oleh khatib disemak dan diteliti oleh Jawatankuasa Panel Khutbah yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum diedarkan kepada masjid-masjid untuk dibaca setiap minggu.

"Sebenarnya kandungan khutbah ini adalah yang disemak oleh satu lajnah ataupun jawatankuasa penilai khutbah di Jabatan Agama Islam Selangor yang dipengerusikan Pengarah JAIS sendiri, ahli jawatankuasanya terdiri daripada ahli akademik."

Tamyes bersetuju bahawa khutbah Jumaat tidak harus memecah-belahkan umat Islam namun "kalau niat imam atau khatib yang membacanya adalah sebagai peringatan kepada kita agar lebih berhati-hati apabila membuat tuduhan, itu suatu perkara yang digalakkan oleh agama."

No comments:

Post a Comment