Saturday, January 29, 2011

Kelate Gomo Selangor 2-0 Piala Sumbangsih, Tahniah Kelantan!


Piala Sumbangsih atau dikenali juga Piala Sultan Haji Ahmad Shah sah menjadi milik Kelantan untuk sesi 2011 apabila pasukan Red Warriors telah menumbangkan Selangor, The Red Giants 2-0 malam tadi. Tahniah pada pasukan Kelantan, walaupun tanpa Jurulatih lamanya B Sathianathan yang terpaksa akur dengan hukuman FAM, dan di bawah Jurulatih baru Datuk M Karathu, Kelantan muncul Juara Piala Sumbangsih. Ini adalah langkah kanan pasukan Kelantan untuk musim 2011 ini.

Walaupun dibarisi beberapa pemain baru setelah 5 tonggak utama meninggalkan pasukan Kelantan, ianya tidak menjejaskan rentak Kelantan setakat ini. Mereka nampaknya semakin bertenaga dengan tenaga muda yang baru.

Adalah diharapkan pada perlawanan seterusnya Kelatan dapat meningkatkan lagi mutu permainan agar dapat mengekalkan prestasi tahun 2010 lalu.

Apapun Tahniah sekali lagi kepada Juara Piala Malaysia 2010 dan Juara Piala Sumbangsih 2011 itu.

KELANTAN terus mencipta sejarah, kali ini berjaya menjuarai Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama setelah menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Jaringan penalti Norshahrul Idlan Talaha dan sepakan percuma Badhri Radzi sudah cukup untuk menggagalkan hasrat Selangor meraih kejuaraan sumbangsih itu buat kali ketiga berturut-turut.

Tuah jurulatih baru, Datuk M. Karathu membawa kejayaan kepada Kelantan manakala aksi pemain Selangor kendalian K. Devan tampak lesu dan serba tidak menjadi.

Perlawanan yang dimeriahkan dengan kehadiran 35,000 penonton itu, menyaksikan Kelantan mendahului seawal minit kelapan menerusi sepakan penalti Norshahrul setelah bek kanan Selangor, Razman Roslan menjatuhkan Nurul Azwan Roya.

Tertekan dengan jaringan awal itu, Selangor cuba bangkit dan mendapat peluang terbaik pada minit ke-31 menerusi tandukan Safee Sali tetapi sekadar menggegar palang gol Kelantan.

Sebaik babak kedua bermula, Selangor memasukkan Fitri Shazwan Raduwan menggantikan Safiq Rahim manakala Kelantan pula memasukkan Khairul Izuan Rosli menggantikan Danial Fadzly Abdullah pada minit ke-58.

Permainan terhenti hampir 10 minit pada minit ke-62 setelah penyokong Kelantan bertindak membaling botol minuman dan mercun ke arah padang.

Begitupun ia tidak menghalang Kelantan untuk mendapatkan gol kedua pada minit ke-83 menerusi sepakan percuma Badhri dari sebelah kiri yang gagal diagak dengan baik penjaga gol Selangor, Iqbal Suhaimi.

Jaringan tersebut terus mematikan langkah Selangor meskipun terus menggandakan asakan untuk mencari gol.

Trofi kejuaraan disampaikan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah diiringi Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tan Sri Khalid Ibrahim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

“Turun selaku juara Piala Malaysia, tekanan hebat terpaksa dipikul Kelantan. Tapi para pemain telah menunjukkan keyakinan diri yang tinggi.

“Ini merupakan kali pertama Kelantan muncul juara dan saya hadiahkan piala ini buat seluruh penyokong setia Kelantan," kata Karathu.

Devan pula berkata: “Gol awal Kelantan menerusi sepakan penalti telah mematikan rentak permainan kami. ”

Pada perlawanan tersebut, penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang beraksi cemerlang telah dipilih sebagai Pemain Terbaik Astro.

Gobalakrishnan keluar PKR, Esok PRK Tenang


Adalah kena pada masanya. "Timingnya" ada baik! itu yang dapatd dikatakan apabila YB Gobalakrishnan, MP Padang Serai menyatakan keluar dari PKR. Esok adalah hari pengundian di PRK Tenang. Sememangnya begitulah...dekat-dekat hari mengundi adalah "event" yang diciptakan untuk menjadi "penting" bukan sahaja melariskan akhbar tetapi juga untuk "di spin" bagi mendapat "mileage" pihak-pihak yang berkepentingan.

Namun sebenarnya telah ramai yang memperkatakan beliau akan keluar PKR. Sama seperti Zulkifli Nordin dulu, cuma YB Zul disepak keluar kerana sering memburukkan keadaan dalam parti. Walaupun Gobala tidak menyatakan dia akan menyertai konsensus Bebas atau menyertai atau mera BN, umum mengetahui dia telah berada dalam rantaian itu. Malah semua 6 M P Bebas itu seolah telah terlalu mesra BN, malah lebih BN dari MP BN sendiri.

Sebenarnya semua 6 orang MP yang dipecat PKR atau keluar, semuanya adalah proses "pembersihan" dalam parti. Mereka ini menjadi duri dalam daging dan menjadi masalah peribadi atau menghadapi masalah lain. Masalah itu dimanipulasi oleh pihak satu lagi iaitu musuh PKR bagi menenakn YB-YB ini dan hasilnya mereka keluar parti. Tetapi yakinlah dalam PRU13 nanti mereka tidak dapat apa-apa. Kalau sekarang mereka mungkin menjadi aset pada satu pihak itu tetapi dalam PRU13 nama mereka akan dilupakan sama sekali.

Saya yakin selepas PRU13 6 orang MP itu akan dilupakan terus oleh dunia politik. Mereka hanya menjadi alat untuk sementara waktu sahaja dan untuk wereka kembali pada parti asal, sudah malu dan tak akan diterima lagi. Lalu hilanglah riwayat politik mereka.
(dibawah sebhg petikan malaysianinsider)
Oleh G ManimaranJanuary 29, 2011
N. GobalakrishnanKUALA LUMPUR, 29 Jan — Ahli Parlimen PKR Padang Serai N Gopalakrishnan sebagaimana telah dijangkakan sejak awal tahun lalu mengumumkan keputusan keluar parti itu berkuat kuasa hari ini.

“Ya, saya melepaskan semua jawatan dan saya sudah keluar PKR... sekarang saya wakil rakyat Bebas,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider tengah hari ini.

Ketika ditanya sama ada akan menyertai mana-mana parti atau Konsensus Bebas, Gobalakrishnan berkata: “Buat masa ini saya akan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas, saya bergerak sendiri... saya Bebas.”

Sebelum ini beliau berkata tidak akan keluar parti, biar pucuk kepimpinan memecatnya ekoran kecaman keras terhadap parti.

Beliau menolak akan menyertai parti Kita yang kini diketuai oleh Datuk Zaid Ibrahim, yang November lalu turut keluar PKR.

Gobalakrishnan (gambar) juga menghadiri majlis pelancaran parti itu di ibu negara 19 Januari lalu.

“Saya tidak menyertai (parti Kita),” katanya lagi.

Menjawab soalan sama ada sudah memaklumkan PKR tindakannya, wakil rakyat itu menambah: “Parti sudah tahu, saya sudah membuat pemakluman menerusi blog (dan Twitter) dan juga media, mereka tahu.”

Pagi tadi bekas calon naib presiden PKR itu mengumumkan melepaskan semua jawatannya dalam parti komponen Pakatan Rakyat itu.

Beliau yang juga ketua PKR cabang Padang Serai pada Mei lalu didenda RM3,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Pulau Pinang kerana didapati bersalah terhadap pertuduhan menghalang anggota polis sebagai penjawat awam menjalankan tugas pada tahun 2002.

Dengan itu beliau berhadapan dengan risiko hilang kelayakan sebagai wakil rakyat. Rayuannya masih didengar.

Keputusan Gobalakrishnan hari ini, yang sebenarnya telah dijangkakan ramai sejak setahun lalu, diumumkan ketika tinggal sehari lagi sebelum pengundi kecil DUN Tenang keluar mengundi pada pilihan raya kecil.

Friday, January 28, 2011

PRK Merlimau: 6 Mac undi, 26 Feb penamaan calon


Tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Melaka ditetapkan pada 6 Mac depan.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 26 Februari.

Perkara itu diumumkan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof melalui satu kenyataan yang dikeluarkan di Labis lewat malam ini.

Abdul Aziz juga berkata SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Melaka pada 21 Januari lepas berhubung kekosongan kerusi DUN itu pada hari sebelumnya, lapor Bernama.

"Berikutan dengannya, SPR telah mengadakan mesyuarat khas mengenainya pada malam ini dan menetapkan bahawa satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi
kekosongan kerusi berkenaan," katanya.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan selepas mengalami serangan jantung pada 20 Januari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008 itu, calon parti PAS Jasme Tompang tewas di tangan Mohamad Hidhir dengan majoriti 2,154 - peningkatan hampir 3,000 undi berbanding pencapaian pembangkang empat tahun sebelumnya.

Friday, January 21, 2011

DUN Tenang, PAS dan BN berentap


Pada hari ini penamaan calon bagi PRK DUN Tenang, Labis, Johor. Nampaknya pertandingan 2 penjuru akan berlaku walaupun ura-ura ada calon bebas tetapi sehingga jam 11 pagi hanya dua calon yang pasti bertanding.

PAS telah menamakan ketua Muslimat PAS Labis, Normala Sudirman, 38, bagi mewakili Pakatan Rakyat manakala BN pula meletakkan bekas bendahari Pemuda Umno Labis Mohd Azahar Ibrahim, 39, bagi mempertahankan kerusi BN itu.

Sejak seawal jam 6 pagi lagi, penyokong parti masing-masing berkumpul di markas dan ibu pejabat parti masing-masing.

Semua calon dikehendaki menyerahkan borang mereka mulai jam 9 pagi hingga 10 pagi. Ini diikuti oleh tempoh bantahan selama sejam jika ada. Nama-nama calon yang layak beertanding kemudiannya akan diumumkan selepas jam 11 pagi nanti. Jika ada pertandingan, pengundian akan dijalankan pada 30 Januari depan.

Kerusi Tenang kosong ekoran kematian Datuk Sulaiman Taha di Hospital Pakar Ampang Puteri di Ampang pada 17 Disember lalu kerana jangkitan kuman dalam darah serta suhu badan yang tidak stabil.

Seramai 14,753 pengundi yang melibat 14,735 pengundi biasa dan 18 pengundi pos, layak memilih ADUN Tenang.

Seramai 5,635 pengundi Cina di Tenang dilihat menjadi kunci untuk mengurangkan majoriti BN sekiranya ia dapat mempertahankan kerusi tersebut dalam pilihan raya kecil 30 Januari depan.

Pengundi Melayu, yang majoritinya merupakan penduduk perkampungan Melayu dan peneroka tanah rancangan Felda, adalah penyokong tradisi Umno.

Proses penamaan calon akan diadakan di Majlis Daerah Labis manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis akan dijadikan pusat penjumlahan undi.

Persoalannya mampukan PAS membuat kejutan di Tenang. Hanya pengundi yang akan menentukannya, tetapi dilihat dari segi calon, PAS lebih kedepan apabila memilih calon muslimat sebagai mewakili PAS dan PR secara telus dan diterima ramai. Sedangkan calon BN , nampaknya ada sedikit cakap-cakap kurang senang kerana dia bukannya calon "popular" dan dikatakan bukan aktivis parti.

Bagaimanapun harus dingat bahawa Johor adalah kubu UMNO sejak dahulu lagi dan mungkinkah kali ini Johor sebagai kubu UMNO akan mengalami keretakan! Semuanya ada kemungkinan dan yang menentukan adalah pengundi.

Wednesday, January 19, 2011

Ku Li: Kenyataan media saya disalah tafsir?


Dalam satu kenyataan pada media selepas memberi keterangan pada pasukan Polis yang menyiasatnya YB Ku Li telah ,menyatakan bahawa "media salah tafsir kenyataannya". Itu adalah perkara biasa yang seringkali menjadi amalan para ahli politik apabila "tersepit" oleh pandangannya sendiri. Hendak tak hendak dicarilah pelbagai alasan bagi mempertahankan hujah atau mengalihkan sedikit mauduk asalnya.

Apa pun beliau mungkin tersilap langkah apabila memperkatakan atau mempersoalkan tentang pewaris Sultan Kelantan. Apapaun alasannya ianya telah menyebabkan perasaan terluka baginda Sultan Muhammad Ke V sehingga pingat kebesaran Ku Li ditarik balik. Ekoran dari kenyataan itu jugalah Ku Li "dikunjungi Polis" bagi membuat siasatan lanjut kenyataannya dahulu.

Kalau pada masa lalu Ku Li sanggup menyaman akhbar termasuk akhbar Hong Kong dalam soal BMF dahulu bagi membersihkan namanya, tetapi kali ini, apabila ditanya pemeberita beliau seolah tidak bersedia menyaman akhbat Cina Sin Chew Daily atas apa yang dikatakan salah tafsir itu. INi menandakan beliau sendiri juga tidak tegas dalam memperkatakan salah tafsir atau beliau sememangnya 'tersalah cakap'. Apapun diharapkan selepas ini tiada lagi kes mempertikaikan keabsahan Sulan Muhamad Ke V yang sememangnya layak dan berhak atas takhta kerajaan Kelantan dan disayangi segenap lapisan rakyat jelata.

(dibawah petikan Malaysian insider)

KUALA LUMPUR, 19 Jan — Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah memberitahu polis hari ini bahawa kenyataannya mengenai krisis istana Kelantan tahun lalu telah “disalah tafsir” oleh akhbar harian Sin Chew Daily.

Anggota kerabat diraja Kelantan itu memberikan kenyataan kepada pegawai penyiasat Saiful Nizam Mislah dari Kota Baru di kediamannya di Jalan Langgak Golf di sini petang ini selama kira-kira 90 minit.

“Saya memberitahu polis bahawa saya ada membuat kenyataan tetapi daripada terjemahan menunjukkan ia telah disalah tafsir,” kata Tengku Razaleigh kepada pemberita selepas kenyataannya dirakamkan.

Beliau juga menafikan mempersoalkan pelantikan Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Muhammad V September lalu.

“Mengapa mesti saya membuat dakwaan liar terhadap keluarga saya sendiri,” kata beliau yang mesra dikenali sebagai “Ku Li” ketika ditanya sama ada mempertahankan kenyataannya yang disiarkan akhbar itu pada 24 September lalu.

“Mengapa mesti saya mempersoalkan pelantikan. Saya tidak . . . adakah anda lihat di mana-mana?” kata Tengku Razaleigh sambil menekankan, beliau hanya bercakap mengenai perlembagaan dan peruntukan pelantikan dan penurunan takhta seorang raja.

Dalam kenyataan dikeluarkan pada sidang media hari ini, Tengku Razaleigh juga berkata: “Bagi membuat penjelasan, saya ingin mengatakan bahawa apabila saya membuat kenyataan, saya tidak sedar adanya sebarang pindaan pada Perlembagaan Negeri Kelantan yang akan memberi kesan ke atas Sultan. Saya difahamkan perkara ini berada di Mahkamah Persekutuan dan saya tidak mahu membuat spekulasi tentang bakal keputusannya.”

Antara yang hadir di rumah Tengku Razaleigh ketika kenyataan diambil ialah Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, Thamrin Ghafar dan bekas ketua menteri Sabah Datuk Seri Osu Sukam.

Pada sidang media di sini awal bulan lalu, Tengku Razaleigh memberitahu, beliau masih berpendapat Tuanku Ismail Petra adalah pemerintah Kelantan yang sah dan bukannya anakanda baginda Tengku Muhammad Faris Petra.

Pada 7 Disember lalu, Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, berkata tindakan Tengku Razaleigh yang masih mempertikai kedudukan Sultan Kelantan dari segi undang-undang adalah hak dan pandangan peribadi beliau.

Katanya, ini kerana kedudukan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, telah pun diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Tengku Razaleigh yang juga bekas menteri kewangan dalam kenyataan kepada medianya masih mempersoalkan status kedudukan Sultan Kelantan dari undang-undang.

Tengku Razaleigh mengeluarkan kenyataan itu selepas diminta mengulas keputusan Sultan Muhammad V memperkenankan penarikan balik dua anugerah kebesaran negeri, Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) dan tauliah pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K) (Al-Muhammadi I).

Ia berikutan kenyataannya yang disiarkan akhbar tersebut dan menyinggung perasaan Sultan Kelantan.

Tuanku Muhammad Faris Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.

Tengku Razaleigh, 73, yang juga Ketua Umno Gua Musang adalah datuk saudara kepada Sultan Muhammad V sebelah bondanya, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Friday, January 14, 2011

S'gor bantu orang Islam henti kerja di premis arak

Kerajaan Selangor akan menubuhkan sebuah tabung khas untuk membantu pekerja beragama Islam yang sedar untuk meninggalkan pekerjaan di premis dan pusat hiburan yang menjual minuman keras.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaaan Selangor prihatin dengan perbincangan mengenai pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah yang tidak membenarkan umat Islam bekerja di premis berkenaan.

"Kami telah meminta ahli Exco negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Yaakob Sapari, Dr Halimah Ali dan Hajjah Rodziah Ismail untuk menubuhkan satu sekretariat yang akan mengadakan perjumpaan dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membincangkan isu ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, menteri besar berkata, LZS akan diminta untuk bersama-sama menubuhkan tabung khas tersebut.

Katanya, kerajaan negeri sedar kebanyakan orang Islam yang bekerja di tempat sedemikian membuat keputusan tersebut atas sebab ekonomi.

Rezeki halal

Oleh itu, tegas menteri besar lagi, tabung ini akan memainkan peranan agar mereka tidak akan terbeban dengan penguatkuasaan undang-undang ini.

"Kami menghormati Enakmen Jenayah Syariah yang bertujuan memelihara umat Islam untuk mencari rezeki yang halal.

"Pada masa yang sama, sebagai kerajaan prihatin dan adil, kita perlu memberi tempoh yang cukup kepada semua pihak termasuk pemilik premis dan pekerja yang terlibat," katanya.

Berikutan itu, Khalid berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua datuk bandar dan yang dipertua pihak berkuasa tempatan Isnin depan untuk mendapat pandangan mereka bagi memastikan penguatkuasaan enakmen tersebut dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Kenyataan menteri besar itu bertujuan meredakan percanggahan pendapat berhubung penakrifan larangan orang Islam bekerja di tempat-tempat yang menyajikan minuman keras.

Jika semalam, exco perumahaan dan kerajaan tempatan, Ronnie Liu berkata umat Islam dibolehkan berbuat demikian kerana larangan berkenaan yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah diarahkan ditarik balik, namun hari ini, exco hal ehwal Islam, adat Melayu, infrastruktur dan kemudahan awam, Datuk Hasan Mohamed Ali mempunyai definisi yang berlainan.

Tindakan wajar

“Berhubung dengan isu orang-orang Islam yang dilarang bekerja di tempat-tempat menjual minuman keras seperti yang dikuatkuasakan di MPSJ, saya sebagai exco yang menjaga
hal ehwal Islam di negeri Selangor mendapati bahawa tindakan tersebut adalah wajar.

“Saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pimpinan MPSJ yang telahpun menguatkuasakan peraturan ini. Saya difahamkan peraturan ini telah melalui tiga proses perbincangan di peringkat jawatankuasa yang telah mendapat pengesahan dan kelulusan dari semua pihak termasuk ahli-ahli majlis yang bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan media.

Liu pula semalam mengesahkan pekeliling menarik balik larangan itu telah dikeluarkan kepada presiden MPSJ, Md Adnan Ikhsan dengan alasan “kerajaan negeri tidak menyedarinya.”

"Kami tidak dirujuk (berhubung larangan itu). Sebab itu, kita minta mereka tarik dulu,” katanya, sambil menambah isu berkenaan turut dibincangkan pada mesyuarat exco Rabu lalu.

Malaysiakini/-

Wednesday, January 12, 2011

Juara bola: Kelantan sumbang RM300,000

Para pemain Pasukan Red Warriors yang telah menjulang Piala Malaysia untuk tahun 2010 yang baru lalu akan mendapat agihan berbentuk kewangan daripada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dalam masa terdekat. Ini berikutan dengan pihak kerajaan negeri juga telah mengumumkan pemberian insentif 200,000 kepada para pemain tersebut menerusi KAFA.

Bersempena dengan permulaan Liga baru musim 2011 yang akan bermula hujung bulan ini, adalah amat sesuai sekali giagihkan insentif itu pada para pemain yang telah berjaya menjulang nama Kelantan selaku Juara Piala Malaysia 2010.

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 12 Jan: Kerajaan Kelantan bakal menyumbang sebanyak RM300,000 sebagai meraikan dua kejayaan berasingan dalam perlawanan bola sepak tahun lalu.

Sebanyak RM200,000 akan diberikan sebagai insentif kepada pemain pasukan Red Warriors yang telah berjaya menjulang Piala Malaysia 2010 dan RM100,000 kepada Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan kerana kejayaan menjulang Piala Emas Raja-raja.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri Abdul Fatah Mahmood, berkata kerajaan negeri telah menerima surat jawapan dari Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) semalam.

Menurutnya, majlis penyerahan intensif berkenaan akan diadakan sebelum perlawanan pertama tahun ini dan ianya dijangka sebelum 29 Januari ini.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat exco ketika diminta mengulas berhubung intensif kerajaan negeri kepada pemain sebanyak RM200,000 yang kini masih belum mendapat sebarang maklum balas dari pihak Kafa.

Pada masa yang sama Abdul Fatah berkata mesyuarat exco hari ini memutuskan kerajaan negeri juga akan memberikan ‘hadiah’ kepada Persatuan Bola Sepak Melayu di atas kecemerlangan pasukan itu mengembalikan Piala Emas Raja-Raja kepada Kelantan.

“Jumlah yang dipersetujui sebanyak RM100,000 kepada persatuan bola sepak Melayu,” ujarnya.
< Prev Next >

Thursday, January 6, 2011

Ekoran Julang Piala AFF Suzuki, pemain dapat habuan kiri-kanan


Posting awal tahun 2011 ini saya tidak ingin menyentuh tentang perkara yang sangat diperkatakan orang masa ini iaitu isu pertemuan pemimpin PAS-UMNO dan juga isu SUK Selangor. Biarlah bloger lain menyentuhnya sampai puas dulu. Penat memikirkan hal politik yang tidak habis-habis.

Kali ni saya nak menyentuh tentang kejayaan pasukan Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki pada TAHUN 2010. Tahniah pada semua pemain pasukan harimau Malaya dan juga Rajagopal selaku Jurulatih dan juga Datuk Subhan Kamal selaku pengurusnya. Kemenangan tersebut memang dihargai oleh seluruh rakyat Malaysia.

Namun untuk memperkatakan kemenangan itu adalah petanda kebangkitan bola sepak Malaysia masih lagi terlalu awal. Bayangkan pada awal peringkat kumpulan pasukan Malaysia terumbang-ambing dan hanya bila masuk separuh akhir baru agak mantap dan seterusnya muncul Juara. Apakah itu sudah bangkit? Dan juga terlalu nakal dan tak masuk akal untuk mengatakan kemenangan ini adalah kejayaan 1Malaysia. Hanya mereka yang nak membodek sahaja mengatakan begitu.

Saya percaya bola sepak di negara kita masuh jauh lagi untuk maju. Bayangkan era 80an kita selesa ke atas Korea Selatan atau Jepun, tetapi kini kedua-dua pasukan itu adalah kelompok terbaik Piala Dunia. Pasukan Malaysia masih terkial-kial. Hanya tahun 2010 berjaya muncul Juara peringkat ASEAN dan setelah menang pingat emas Sukan SEA juga diperingkat Asean.

Bagaimanapun kemenangan Piala Suzuki benar-benar memberi tuah pada para pemain. Selain Kementerian Belia dan Sukan yang telah menjanjikan habuan wang tunai, pihak kerajaan negeri juga berlumba-lumba memberi imbuhan pada anak negeri masing-masing yang menjadi pemain kebangsaan itu. Kelantan, Kedah, Terengganu, dan Perak juga dilaporkan akan memberi imbuhan. Antara imbuhan dari kerajaan-kerajaan negeri itu termasuklah rumah, tapak tanah serta wang tunai.

Alangkah bertuahnya para pemain yang menerima imbuhan itu. Semoga imbuhan ini akan menaikkan lagi semannat mereka untuk terus maju ke hadapan dan meningkatkan lagi mutu permainan bola sepak Malaysia. Sama ada pihak yang menawarkan imbuhan itu benar-benar ikhlas atau mahu menumpang "mileage" atas perkara ini hanya Allah saja yang tahu. Apa pun para pemain mendapat manfaat daripadanya.

Pada pihak FAM selaku pihak bertanggungjawab terhadap kemajuan bola sepak di Malaysia tidak boleh lagi mendabik dada atas kejayaan ini. Banyak lagi kerja yang perlu dilakukan supaya ianya tidak mundur ke belakang. Tetapi sekiranya pada tahun 2011 ini atau tahun depan Malaysia gagal, lebih baik pihak pengurusan FAM berundur secara baik bagi memberi peluang orang lain menguruskannya pula.