Blog Archive

Sunday, September 27, 2009

Bila Tok Guru minta Ibrahim Ali undur dari MP


Semalam buat kali keduanya Tok Guru MB Kelantan dalam satu majlis Hari Raya mengulangi lagi supaya Datuk Ibrahim Ali, MP Pasir Mas mengosongkan parlimen P.Mas bagi diadakan pilihan raya kecil. Dahulu beliau telah menyatakan sekali iaitu semasa mengulas kenyataan Exco Datuk Takiyudin Hassan yang meminta Ibrahim letak jawatan MP berikutan Ibrahim lantang menentang PAS, sedangkan kemenangan Ibrahim dulu atas tiket PAS.

Dan semalam juga Ibrahim juga membalasnya dengan menyatakan keengganannya mengosongkan kerusi parlimen P Mas dan mana-mana pihak pun tidak boleh berbuat apa-apa jika Ibrahim enggan mengosongkan. Bagaimanapun jika diteliti gesaan Tok Guru bukannya bertujuan politik semata-mata , malah lebih penting dari itu iaitu dari segi hukum agama. Ibrahim mewakili Pasir Mas hasil dari undian yang diberikan penyokong PAS dan hanya sedikit penyokong Ibrahim sendiri. Semasa pertandingan 3 penjuru dulu Ibrahim dan juga calon UMNO kalah pada Ust Ismail Nuh dari Pas. Ini bermakna kalau batang tubuh Ibrahim semata-mata mustahil dia akan jadi Wakil Rakyat Pasir Mas.

Tok Guru menyatakan Ibrahim yang menang sebagai wakil rakyat hasil sokongan para penyokong PAS itu dari segi hukumnya tidak diterima amalannya serta gajinya pun jika para pengundinya dulu tidak setuju dengan tindakan Ibrahim. Kalau mengikut hukum Islam memanglah berat...kes Ibrahim ni. Tetapi sudah menjadi adat dunia, mana-mana yang menang susah akan berhenti atau undur diri walaupun orang yang sokongnya dulu tidak lagi memberi mandat lagi padanya. Itu belum lagi dikira wakil rakyat yang menang dan jadi wakil rakyat dengan cara menipu, rasuah dan sebagainya. Bagai mana dengan gaji dan elaun mereka...atas dunia mereka boleh kata apa saja...akhirat esok..

Oleh itu gesaan Tok Guru itu perlu juga dilihat sebagai satu dakwah kepada Ibrahim supaya diakhirat Ibrahim tidak terpaksa memohon maaf dari seluruh rakyat Pasir Mas, itu pun jika mereka semua sudi memaafkan Ibrahim.

Justeru Ibrahim perlu memikirkan kembali perjuangan politiknya supaya selari dengan rakyat yang memberi undi kepadanya dahulu. Kalau perlu buat satu referendum kepada seluruh rakyat dalam kawasan parlimennya, adakah mereka setuju dengan cara politik Ibrahim sekarang atau tidak. Jika referendum itu mendapati rakyat tidak setuju Ibrahim patut undur dan jika setuju Ibrahim boleh teruskan.

Bagaimana pun percayalah, jika kita tidak konsisten dalam perjuangan dan berintegriti, tiada pihak yang akan menerima kembali. Ibrahim akan tahu nasibnya dalam PRU 13 akan datang, sama ada UMNO akan terimanya sebagai calon ( kerana Ibrahim sekarang berbaik-baik dengan UMNO) atau dia akan bertanding atas tiket Bebas dan menagkah Ibrahim jika berlaku pertandingan 3 penjuru..pasti kalah. Sejarah dahulu menyaksikan Ibrahim kalah dalam pertandingan 3 penjuru itu.

Saturday, September 26, 2009

Tun Dr.Mahathir hentam lagi...Samy intai jalan keluar



Pada hari ini 26 September Tun Dr.Mahathir membantai Datukl Samy Vellu lagi. Kali ini dalam Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitrinya kediaman beliau di ibu negara. Dr.Mahathir mengulas mengenai penubuhan Parti Makkal Sakti pada Mei lalu yang akan dilancarkan Oktober ini. Mahathir menyifatkan penubuhan parti baru ini sebagai langkah yang baik memandangkan banyak sokongan terhadap penubuhan parti baru ini. Ianya juga katanya sebagi langkah mengekalkan sokongan kaum India terhadap kerajaan.

Parti baru ini dijadualkan akan dilancarkan Perdana Menteri pada 10 Oktober ini di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang. Dr Mahathir ditanya wartawan apakah penubuhan parti baru ini akan memberi kesan terhadap pengaruh MIC selaku parti utama kaum India di negara ini, Mahathir menjelaskan bahawa beliau fikir pengaruh MIC sudah semakin luntur.

Apabila ditanya tentang cadangan Samy Vellu untuk bercuti selama 2 bulan daripada melaksanakan tugas-tugas sebagai presiden parti, beliau menyatakan tempoh itu tidak mencukupi. Malah Mahathir seterusnya menghentam Samy, " Ia patut dilanjutkan kepada kira-kira 20 tahun, 2 bulan tidak cukup". "Dia tidak boleh...dia sudah duduk di situ (jadi presiden) 30 tahun, jauh lebih lama daripada saya. Saya 22 tahun pun sanggup letak jawatan (sedangkan) masa saya letak jawatan bukanlah orang benci sangat tetapi saya meletak jawatan. Selagi dia duduk di situ lagi lama, lagi orang benci"

Walau bagaimanapun kenyataan Mahathir tentang masa dia meletak jawatan, orang bukannya benci sangat kepadanya masih boleh diperdebatkan lagi. Betul kah begitu. Dari ayat digunakannya menunjukkan orang benci tetapi tidak "sangat" benci. Namun ada andaian yang menyatakan sekiranya Dr.Mahathir tidak meletak jawatan dahulu dan mengepalai BN dalam PRU, BN akan kalah kerana "mood" rakyat kala itu begitu tidak sukakannya lagi, lebih kurang sama dengan "mood" semasa PRU 12 tahun 2008 lalu.

Beranikah Samy sekali lagi menyanggah pendapat Mahathir dalam hal ini dan memberikan alasan kukuh yang Mahathir juga dibenci rakyat pada waktu itu. Kalau tidak masakan beliau gagal untuk menjadi perwakilan UMNO di bahgian Kubang Pasu yang pernah diketuainya sendiri. Bayangkan seorang bekas Perdana Menteri gagal mendapat sokongan untuk menjadi perwakilan bahagian UMNO. Mungkin beliau memberi alasan rasuah wang menyebabkan beliau gagal, tetapi kalau benar orang UMNO sayangnya mengapa nak jadi perwakilan pun gagal.

Namun saya rasa Samy tidak berani menyanggahnya dengan keras, lagipun Samy seakan nampak telah ditunjuk jalan keluar apabila Parti Makkal Sakti bakal dilancar Perdana menteri Oktober nanti. Kalau Samy betul betul berani bolehlah menyeberang kepada Pakatan Rakyat...akan panas lagi politik Malaysia.

Calon BN bagi PRK Bagan Pinang: Ada Masalahkah!


BN dijadualkan akan mengadakan mesyuarat pada 29 September bagi memilih calon BN bagi PRK Bagan Pinang yang telah dijadualkan akan diadakan pada 11 Oktober depan dan penamaan calonnya akan diadakan pada 3 Oktober. Dalam keadaan BN mempunyai kedudukan yang selesa bagi DUN ini berdasarkan PRU lalu, masalah penentuan calon pula telah menjadi isu besar.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin awal-awal lagi menunjukkan rasa bersetujunya dengan Tan Sri Mohd. Isa sebagai bakal calon BN kerana baginya Isa merupakan calon yang boleh diharapkan untuk memenanngi PRK ini. Manakala Tun Dr.Mahathir juga sesari awal telah menekankan supaya Isa tidak dipilih kerana rekod "politik wang" Isa yang akan menyebabkan masyarakat memandang serong pada BN. Dan lagi usaha-usaha BN bagi membanteras politik wang akan menjadi sia-sia dan hanya retorik politik sahaja apabila orang yang terlibat politik wang dipilih semula sebagai calon.

Seorang lagi tokoh UMNO iaitu YB Tengku Razaleigh Hamzah juga turut bersuara menyatakan tidak setuju beliau dengan cadangan Isa sebagai calon BN bagi PRK Bagan Pinang ini lantaran keterlibatan Isa dengan politik wang dan bagi KU LI , BN perlu menjaga integriti bagi menjamin sokongan rakyat. Manakala bagi Timbalan PM yang juga Timbalan Presiden UMNO, TS Muhyiddin Yassin seakan cuba berhelah dengan meminta UMNO Bahagian menmyenaraikan 3 calon, bukannya Isa seorang sahaja senarai calon yang dihantar. Ini bagi membolehkan pucuk pimpinan senang untuk membuat keputusan. Apakah ini menandakan beliau juga tidak setuju dengan Isa sebagai calon.

Saya sebelum ini ada membuat posting secara berseloroh dengan menyatakan sekiranya UMBO Bahagian Teluk Kemang tetap mahukan Isa, maka bolehlah dicadangkan 3 nama iaitu Isa, anaknya dan isterinya sebagai memenuhi 3 nama itu. Semuanya dari keluarga Isa. Nampak macam kartun sahaja cadangan saya ini, tetapi itulah jalannya jika UMNO Bahagian berkeras mahukan Isa yang juga merangkap Ketua Bahagian Teluk Kemang. Ini kerana pada hari semalam 25 September, Ketua Wanita Bhagaian Teluk Kemang, Rohani Yaakob, menyatakan UMNO Bahagian Teluk Kemang tetap tidak berganjak dari keputusan awalnya yang tetap mahu mencalonkan nama Isa sebagai bakal calon BN. Bagaimanapun katanya pemimpin atasan berhak memilih calon yang sesuai dengan mengambil kira pandangan bahagian berkenaan.

" Kita sudah ada kata putus. Seluruh bahagian Teluk Kemang sebulat suara mahukan Tan Sri Isa diletakkan sebagai calon". Ini menggambarkan ketegasan dari UMNO Bahagian yang tetap menyokong Isa baik Pemuda, Wanita dan juga Bahjagian secara keseluruhannya. Apa akan terjadi sekiranya nama Isa tercicir? Ini yang memeningkan kepala pucuk pimpinan untuk memutuskan soal calon ini.

Dan Dr.Mahathir tak henti-henti "menyerang Isa" dan hari ini beliau menyarankan Isa supaya tidak bertanding dalam PRK ini. " Jika saya Isa, saya akan menggesa parti supaya jangan mencalonkan saya. Mengenai keputusan Bahagian yang tetap dengan keputusan menyokong pencalonan Isa, Dr. Mahathir berkata, mereka berpandangan singkat dan hanya melihat kepentingannya dan kepentingan bahagian sahaja." Jika parti meletakkan calon yang tidak bersih , maka keseluruhan parti akan dikutuk".

Kita tunggulah keputusan pada 29 September nanti, apakah nama Isa tetap akan muncul atau gugur ditengah jalan. Walaupun Dr.Mahathir banyak membuat saranan, PM DS Najib ada pertimbanmgan sendiri dan ada kalanya tidak ikut Dr.Mahathir keseluruhannya. PM juga berhak untuk membuat keputusannya sendiri tanpa terikut dengan rentak tari orang lain. Namun apakah keputusan bakal menguntungkan BN baik dalam jangka masa pendek atau jangka masa panjang perlu difikir semasak-masaknya.

Parti bagi kaum India bertambah satu lagi...

Walaupun bilangan masyarakat India di negara ini adalah yang ke 3 terbesar, selepas Melayu, dan Cina tetapi nampaknya bilangan parti politik yang memperjuangkan masyarakat keturunan India telah bertambah satu lagi menjadikannya sekurang-kurang ada 3 yang besar sekarang iaitu MIC, PPP, IPF dan kini Parti Makkal Sakti yang bakal dilancar Oktober ini. Ini tak termasuk parti KIMMA yang memperjuangkan kepentingan masyarakat India Muslim yang telah lama memohon menyertai BN tetapi belum diluluskan kerana adanya tentangan dari MIC.

Kalau dikirakan ukurannya 5 parti yang mewakili kepentingan masyarakat India itu agak terkehadapan berbanding dengan kaum lain di Malaysia. Ini membuktikan demokrasi yang terus berkembang dalam tanah air, walaupun ada yang melihatnya sebagai akan membawa perpecahan kepada masyarakat India.

Parti baru yang dikenali sebagai Parti Makkal Sakti yang ditubuhkan sejak 3 bulan lalu oleh bekas pemimpin Hindraf, sebuah pertubuhan yang diharamkan kerajaan. Mengikut presiden Parti Makkal Sakti, RS Thananthiran, parti ini telah mempunyai lebih 50,000 orang ahli sejak ia ditubuhkan dan akan dilancarkan pada 10 Oktober 2009oleh YAB Perdana Menteri DS Najib.

Apakah nanti parti ini akan menjadi saingan kepada MIC dan apakah para pemimpin MIC dan juga PPP yang terpinggir akan menyertai parti baru ini. Dan adakah parti baru ini akan dipilih oleh BN menjadi regu barunya. Ini semua bergantung kepada masa dan keadaan, dan sekiranya ia berjaya menarik sokongan masyarakat India tidak mustahil ia akan dapat menggerhanai MIC suatu masa nanti.

Seperti yang diketahui umum, masyarakat India telah menyokong perjuangan Hindraf dan apabila ramai pemimpin Hindraf menyeberang kepada PKR, maka masyarakat India juga turut menyokong PKR yang mana telah menyebabkan BN kehilangan sokongan masyarakat India yang begitu teruk dalam PRU yang lalu. Para penyokong Hindraf juga telah melupai MIC gara-gara pertelingkahan dalam MIC sendiri dan penguasaan Datuk Samy Vellu yang begitu lama dalam MIC.

Sekiranya bekas para pemimpin MIC yang tersingkir dalam perebutan jawatan baru-baru ini seperti Dato' Subramaniam dan Dato' Sonthinathan yang tewas baru-baru ini menyertai parti baru ini, serta Datuk T. Murugiah yang bertelingkah dengan Presiden PPP Datuk M Kayveas, juga turut serta; maka Parti Makkal Sakti bakal mencorakkan aliran baru dalam politik kaum India dalam negara.

Semuanya bergantung pada keadaan dan sokongan penyertaan masyarakat India secara keseluruhannya. Sekiranya PM melancar parti baru ini, sedikit sebanyak akan menggambarkan sokongan PM kepada parti baru ini bagi memulihkan sokongan kaum India kepada BN. Bagaimana pula nasib MIC nanti, apakah MIC akan membuat "kejutan" dengan menyeberang kepada Pakatan Rakyat sekiranya BN memilih parti baru ini sebagai regu barunya. Nampaknya iklim politik masyarakat India di Malaysia akan berubah cuaca dalam beberapa bulan akan datang ini. Sama samalah kita lihat perkembangannya.

Datuk Lee Chong Wei, apa dah jadi?


Pada awal tahun 2009 DatuK Lee memulakan langkah yang baik dalam karier badmintonnya dengan memenenangi beberapa kejuaraan Super Series seperti Terbuka Malaysia, Indonesia , Terbuka Switzerland dan juga Macau. Lebih manis dalam Terbuka Macau beliau berjaya menewaskan musuh utamanya Lin Dan dari China dalam perlawanan akhir. Apakah pada masa itu Lin Dan tidak cukup "fit" bagi memberi tentangan sengit.

Saya berkata begitu kerana Chong WEi seakan mempunyai masalah bila berdepan Lin Dan yang sering mengalahkannya. Walaupun beliau begitu gah sehingga dapat menewaskan beberapa jaguh Eropah dan Indonesia termasuk Taufik Hidayat di gelanggang di Jakarta sendiri; tetapi agak sukar menewaskan lin Dan dan rekod masih memihak kepada Lin Dan dengan beberapa kemenangan sahaja memihak Lee Chong Wei.

Bagaimanapun selepas Kejohanan Dunia di Hyderabad, India baru-baru ini prestasi Chong Wei "flip flop" dan timbul tenggelam. Di Kejohanan Dunia itu sendiri beliau tewas kepada Sonny Dwi Koncoro peringkat separuh akhir. Walaupun di eropah baru-baru ini beliau menjadi juara tetapi series yang kurang terkenal dan tidak dihadiri pemain ternama lain. Dalam Terbuka China minggu lepas Chong Wei tewas kepada Lin Dan dalam Terbuka China Masters pada separuh akhir. Ternyata badi Lin Dan masih tidak dapat dilenyapkan beliau.

Semalam pada Terbuka Jepun di Tokyo, Chong Wei kalah kepada Simon Santoso dari Indonesia dalam pusingan ketiga. Nampaknya akhir- akhir ini beliau asyik kecundang pada pemain Indonesia sahaja. Mengikut pengurus pasukan ke kejohanan di Jepun itu yang juga orang kuat BAM, Chong Wei mengalami sakit lutut. Apa benar masalah ini atau sekadar alasan pegawai itu sahaja. Jika benar sakit mengapa masuk ke gelanggang, dan saya kira sekiranya beliau menang dengan Simon, masalah sakit lutut itu tidak akan timbul sama sekali.

Apapun biarlah doktor yang pakar menentukannya. Sementara itu difahamkan BAM mungkin merehatkan beliau dari bertanding di beberapa kejohanan lain seperti Korea dalam masa terdekat ini. Ini bagi membolehkannya sembuh sebelum layak turun ke gelanggang.

Namun punca sebenar selain masalah sakit perlu juga diperbaiki termasuk masalah ketahanan psikologi dan sebagainya. Dan Chong Wei juga tidak patut dibebankan dengan menyertai begitu banyak kejohanan. Memadai dengan hanya menyertai yang begitu penting sahaja yang melibatkan kelompok pemain terbaik dunia. Perlu diingat juga bahawa Chong Wei walaupun pernah bergelar pemain nombor satu dunia, tetapi belum lagi menang atau menjadi juara Kejohanan Dunia, Kejohanan All England, Pingat Emas Sukan Olimpik yang begitu berprestij itu.

Maka kerana itu beliau perlu bertanding di kejonan besar sahaja yang melibatkan kelompok pemain terbaik dunia sekiranya ingin menjadi juara kejohanan yang berprestij itu. Kalau tidak impian beliau menggapai piala berprestij itu akan tinggal angan-angan sahaja. BAM perlu memikirkannya satu perancangan yang terbaik bagi Chong Wei dalam hal ini.

"Terapi Peluk": Percayakah anda?


Sememangnya dalam dunia ini banyak perkara yang pelik-pelik berlaku. Kadang-kadang perkara yang di luar kebiasaan dan ada kalanya ia ada asasnya walaupun tidak dapat dibuktikan secara empirikal. Satu perkara pelik tersebut ialah " Terapi Peluk" yang diamalkan dan dipercayai berkesan bagi mereka yang menghadapi masalah jiwa dan keserabutan fikiran.

Dalam akhbar The Star Online semalam disiarkan rencana tentang seorang pemimpin spiritual Hindu yang telah mengamalkan Terapi ini lebih 30 tahun. Amma Amritanandamayi Dewi atau lebih dikenali sebagai Amma atau Ibu adalah seorang pemimpin spiritual Hindu yang mengamalkan terapi tersebut. Dalam sehari beliau "Mememluk" kira-kira 50,000 orang yang datang berjumpanya. Dan setelah lebih 30 tahun dia mengamalkan terapi ini telah lebih 30 juta orang telah dipeluknya. Semuanya yang datang untuk meminta beliau "peluk" itu bagi mengubati jiwa dan rohani masing-masing.

Bila membaca kisah ini saya teringat sakan sebuah filem Hindi yang pernah saya tonton di TV iaitu " Munna Bai" lakonan Sanjay Dutt sebagai heronya. Munna Bai dalam filem ini juga mengamalkan "Terapi Peluk" dan berjaya memulihkan penyakit dan menenangkan jiwa orang yang dipeluknya. Itu dalam filem, tetapi yang dibicarakan ini keadaan sebenar yang terjadi di India.

Amma dikenali juga oleh masyarakat di India sebagai "Santa Peluk" di kalangan pengikut pemimpin kerohanian Hindu ini. Dia akn memeluk sesiapa sahaja tanpa mengira agama, darjat, bangsa dan keturunan seseorang; asalkan mereka datang berjumpanya untuk "dipeluk" , beliau akan memeluknya.

Menurut keluarganya, Amma yang dilahirkan pada 27 September 1953, sejak dari kecil lagi menunjukkan sifat kasih sayang kepada semua orang tanpa mengira sesiapapun mereka. Pembawaan sikapnya itu berterusan sehinngalah beliau dewasa dan mula mengamalkan terapi ini sejak 30 tahun lalu. Beliau kini dipuja pengikutnya dan dianggap sebagai "saint" atau santa atau lebih dikenali sebagai Santa Peluk. Sama ada anda percaya atau tidak terpulanglah, tetapi di India ia dipuja ramai walaupun keberkesanannya masih diragui sebenarnya.

Setakat diketahui Pelukan seorang Ibu terhadap anak kecilnya memang memberi kesan ke atas psikologi anak-anak yang akan berasa aman dan selamat dalam pelukan ibu serta merasai kesan kasih sayangnya.

Friday, September 25, 2009

Kemalangan jalan raya di musim perayaan


Pelbagai kempen dan seruan kerajaan serta pihak-pihak berkenaan bagi mempastikan kemalangan jalan raya khususnya pada musim perayaan berkurangan nampaknaya tidak begitu berkesan. Masalahnya tetap sama dan puncanya juga agak sama iaitu sikap pengguna jalan raya itu sendiri. Sebagai satu perbandingan mudah dalam Ops Sikap 17 iaitu musim raya Aidil Fitri tahun 2008 seramai 208 orang telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Dalam Ops sikap 20 raya tahun 2009 ini angka kematian sehingga kelmarin ialah 210 jumlah kematian dan masih ada dua hari lagi Ops sikap 20 itu.

Adalah dijangkakan angka kematian akan lebih tinggi untuk esok dan lusa kerana masing-masing akan bergegas pulang ke Ibu kota bagi bekerja pada Isnin. Semua jalan masuk ke ibu kota dijangka akan mengalami kesesakan yang teruk dan kemalangan juga dijangka akan meningkat lagi.

Kalau dalam masa musim perayaan Aidil Fitri sahaja angka kematian kira-kira 200 orang, dicampur dengan kematian akibat kemalangan musim perayaan lain seperti tahun Baru Cina, Deepavali dan sebagainya , mungkin angka itu bertambah sekali atau dua kaliganda lagi.

Katakanlah pada musim-musim perayaan itu angka kematian 500 orang setahun dan angka itu agak munasabah dan ianya agak besar sekali serta mengalahkan wabak H1N1 yang setakat ini menyebabkan 72 kematain. Hanya pada musim perayaan Aidil Fitri tahun ini tiada lagi kemalangan yang membabitkan kenderaan besar seperti bas yang biasanya akan meragut banyak nyawa. Dari segi itu pihak berwajib khususnya JPJ telah berjaya mengekang kemalangan yang membabitkan bas pada musim perayaan ini.

Pada musim perayaan masa hadapan pihak kerajaan perlu memikirkan semula langkah-langkah lain yang perlu diperkanalkan bagi membendung angka kemalangan jalan raya khususnya pada musim perayaan besar seperti ini.

Catatan perjalanan pulang ke Ibu kota selepas raya

Selepas cuti berhari raya bersama ayah ibu tercinta serta saudara mara di kampung, maka tibalah harin ya untuk kembali ke ibu kota bagi meneruskan tugas masing-masing. Bagi saya yang bertugas di KB juga terpaksa ke KL bagi menghantar isteri dan anak-anak yang bertugas serta bersekolah di sana.

Memandangkan perjalanan pulang tempoh hari agak perit dengan kesesakan jalan raya, maka kami merancang untuk kembali ke ibu kota lebih awal sedikit dan memilih hari khamis 24 September, iaitu hari raya ke 5. Cukuplah 5 hari beraya di kampung laman dan beraya pula dengan sahabat handai dan kenalan di KL. Alhamdulillah perjalanan pulang seperti kami jangkakan agak melegakan dan kami juga turun awal jam 9 pagi dari Kota Bharu dan sampai di Kuala Lumpur jam 3.30 petang iaitu kira-kira 6 jam setengah sahaja dan berhenti sekali mengisi minyak di Gua Musang.

Perjalanan balik ke ibu kota berjalan lancar dan tidak mengalami masalah. Mungkin kalau pulang sabtu atau ahad ini agak sesak bukan sahaja dari Kota Bharu ke Gua Musang malah sepanjang perjalanan, kalau mengikut masa yang lepas. Cuma kami bertemu dua kejadian kemalangan kecil sepanjang perjalanan gara-gara pemanduan yang tidak berhemah pengguna jalan raya sendiri.

Cuma bila sampai di kawasan kami Selayang BBS, tidak banyak kedai makan yang dibuka dan kami sekeluarga mengalas perut di Kedai Ayamas, makan nasi ayam kerana bila sampai rumah penat nak masak. Lagipun rumah kami di belakang kedaikedai tersebut sahaja, jadi terus makan dan bila balik rumah bolehlah mandi dan solat zuhur walaupun agak lewat sedikit iaitu jam 3.30 petang.

Catatan perjalanan beraya pulang ke kampung


Sememangnya Hari Raya menggamit para perantau untuk pulang ke kampung halaman untuk berhari raya bersama sanak saudara. Walaupun saya telah bertugas di Kota Bharu sejak sebulan lalu, tetapi masih berulang alik ke Kl kerana isteri dan anak-anak masih di KL dan begitulah rutin mingguan saya. Sama ada balik ke KL secara memandu atau menaiki bas dan juga kapal terbang tambang murah. Boleh dikatakan setiap minggu saya akan turun ke KL bertemu keluarga dan jika ada urusan rasmi mungkin lebih dari sekali seminggu.

Apabila hari raya menjelang tiba, runtunan rasa ingin berhari raya dikampung cukup terasa bagi anak-anak saya. Untuk itu saya dari K.Bharu datang ke KL bagi membawa mereka pulang. Bagi isteri dan dua anak yang kecil saya belikan tiket Airasia untuk mereka pulang bagi mengelakkan kesesakan. Selepas menghantar mereka ke LCCT pada jumaat 18 September, saya pulang ke rumah berkemas bersama dua orang anak lagi. Seorang yang baru tiba dari Jogja kerana sedang kuliah kedoktoran di UGM dan seorang lagi di UiTM, Shah Alam. Bagi mengelakkan kesesakan kami bercadang bertolak balik jam 3 pagi keran pada anggapan kami waktu itu tak ramai orang. Saya kena bawa balik kereta untuk senang berjalan semasa raya walaupun telah ada satu kereta di KB tetapi agak kecil untuk kami sekeluarga.

Jam tiga pagi, Jumaat 18 September kami bertolak dari rumah di Selayang dan setibanya di Tol Gombak, saya terkejut besar bila banyaknya kereta melepas tol. Jangkaan saya meleset kerana orang ramai mula pulang sejak Khamis lagi dan pada Jumaat Lebuh Raya Karak mula sesak hingga ke Bentung. Apa boleh buat saya terpaksa juga melaluinya kerana telah tiba di Tol Gombak, hendak patah balik pun agak susah juga. Nasi baiklah kereta Naza Rondo yang saya pandu jenis auto dan tidak terasa sangat peritnya kaki.

Dari jam 3.30 pagi di Tol Gombak kami sampai di Bentung jam 6.15 pagi, hampir 3 jam kami terpaksa melalui lebuh raya tiga lorong yang semuanya sesak. Klaau dalam keadaan biasa hanya 45 minit bagi perjalanan kira-kira 50 km itu. Mereka yang mengalami kerosakan kereta atau berehat tepi jalan tak usah kira memamng banyak sepanjang jalan. Yang berhenti tidur pun ada, mungkin mereka bertolak awal lagi iatu selepas solat maghrib. Selepas mengisi minyak di Bentung dan solat Subuh di Masjid Bentung, kami bertolak semula. Pada mulanya hendak pusing melalui jalan alternatif melalui Felda Mempaga, tetapi melihat pada awla subuh tak banyak kereta kami ikut jalan biasa sahaja. ( bagi orang Terengganu dan Kuantan, Pahang selepas Tol Bentung agak selesa kerana kereta bergerak lancar)

Ini bermakna masyarakat 3 negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang yang melalui jalan lebuh raya Karak telah menyebabkan kesesakan teruk antara Tol Gombak dan Bentung. Mereka yang mahu pulang ke Kelantan mula berpecah melalui jalan Bentung-Raub-Kuala Lipis-Gua Musang untuk ke Kota Bharu. Perjalanan dari Bentung agak lancar walaupun tidak dapat mencapai kelajuan had maksima 110 km sejam. Kelajuan kira-kira 80 km sejam agak baik kerana kereta tak putus-putus sehinggalah sampai ke Gua Musang.

Dari Gua Musang juga kami tak dapat laju kerana terlalu banyak kereta dan kami tiba di Kota Bharu jam 1 tengah hari. Malam itu saya tak tidur langsung dan perjalanan kami juga tidak berhenti selain berhenti solat Subuh dan isi minyak sahaja. Inilah pengalaman kali kedua saya memandu selama 10 jam (sebelum ini pernah 12 jam, bagi perjalanan yang pada kebiasaannya hanya 6-7 jam sahaja)). Alhamdulillah kami sampai juga di Kota Bharu walaupun penat memandu semalaman dan sempat juga anak-anak saya berbuka bersama datuk dan nenek mereka pada hari Sabtu iaitu hari terakhir puasa.

Memandangkan kesesakan serupa berulang kali, maka pada tahun hadapan kami bercadang untuk pulang lebih awal bergantung pada jadual persekolahan anak-anak ataupun menggunakan pengangkutan udara yang boleh ditempah lebih awal untuk mendapatkan tambang yang lebih murah. Segala-galanya bergantung pada keadaan.

Friday, September 18, 2009

Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir Batin



Kepada para pengunjung blog saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin, Semoga Hari Raya Tahun ini memberi kebahagiaan dan juga keberkatan dari Allah SWT kepada semua muslimin dan muslimat. Insya Allah.

Tun Dr.Mahathir Vs Samy Vellu


Pertembungan antara Tun. Dr. Mahathir dengan Datuk Samy Vellu nampaknya telah masuk pusingan yang ketiga. Entah berapa pusingan lagi mereka akan "bertembung" belum dapat dipastikan, juga siapa yang akan mengalah dahulu daripada memberikan komen dan pandangan balas. Saya teringat akan pertarungan tinju pada era kegemilangan Muhammad Ali dahulu dan biasanaya dalam sesuatu pertarungan Ali dengan lawan pada kebiasaannya antara 12 hingga 15 pusingan. Hanya zaman Mike Tyson sahaja pertarungan pendek masanya kerana tumbukan ganas dan kuat. Zaman Ali dahulu ada "seni" dan gayanya seperti menari-nari dan sebagainya.

Pertembungan antara Dr.Mahathir dengan Samy ini tidak dapat dipastikan lagi berapa pusingannya bergantung pada keupayaan mereka melontarkan hujah masing-masing. Saya teruja dan sedikit tergelak juga bila menjenguk blog Sdr Hishamuddin Rais bilamana beliau menyatakan "dua orang India bergaduh". Memanglah Samy dari kaum India dan Dr.Mahathir juga dikatakan kununnya berketurunan dari India juga. Kalau dua-dua dari "baka" sama ini, kalau ibarat jenis ayam laga; maka hebat berlaganya dan susah untuk ditentukan kalah-menang.

Pada hari ini Dr.Mahathir bersuara lagi dan kali ini beliau mengulangi gesaannya supaya Samy berundur dari presiden MIC. Beliau menyatakan "Samy akan menajdi liabiliti kepada Bn dalam pilihan raya umum akan datang disebabkan kepimpinannya gagal. "You gagal pimpin MIC sampai you sendiri kalah". Dr. Mahathir menyatakan lagi " Samy punya prestasi jauh lebih buruk daripada Pak Lah, tetapi dia tak mau pun nak lepas jawatan". Sedangkan Pak Lah telah melepaskan jawatannya berikutan prestasinya yang tidak begitu baik.

Dalm hal ini nampaknya Dr.Mahathir memberi kredit pada Pak Lah kerana telah berundur dari jawatan Perdana Menteri sehingga dibandingkan dengan Samy yang tidak mahu berundur dari presiden MIC. Dr.Mahathir berkata beliau berhak menegur sesiapapun demi kebaikan BN. "Pak Lah pun saya tegur, apa Samy Vellu saya tidak boleh tegur? ".


Dr.Mahathir juga seakan memberi teguran secara tersirat kepada pucuk pimpinan khususnya DS Najib yang sebelum ini pernah menyatakan beliau tidak akan campur tangan dalam urusan parti MIC kerana memegang pada prinsip tidak campur tangan dalam urusan parti kompenan BN. Dr. Mahathir berkata bahawa apabila ia sudah menjadi masalah kepada BN dan jika BN tak campur tangan, BN sendiri yang akan menjadi mangsa.

" Kalau sata tahu seseorang itu akan menyebabkan kekalahan BN,ia sudah menjadi masalah BN. Bukan masalah MIC lagi. Kita tak boleh dok tak intefere (campur tangan) saja,Ini urusan BN, kerana dia BN kalah." Oleh itu Dr. Mahathir berkata pemimpin BN perlu menegur Samy Vellu kerana sebagai pemimpin BN, mereka bukan bertanggungjawab terhada prestasi sendiri sahaja tetapi prestasi BN keseluruhannya".

Nampaknya sekali lagi Dr.Mahathir "memberi kuliahnya" kepada para pemimpin BN pada masa ini yang rata-rata terikut dengan prinsip tidak campur tangan seperti dikatakan Perdana Menteri DS Najib. Apakah ini "hint" dari Dr. Mahathir dan perlukah ada "hint" begini baru pemimpin BN akan bertindak bagi mengatasi kemelut ini. Saya rasakan BN sendiri juga amat parah, dari MCAnya. PPPnya, UMNOnya semuanaya bertelagah sesama sendiri dan pemimpin BN telah tenggelam punca untuk mengatasinya.

Manakala bagi Samy Vellu, beliau hari ini berkata bahawa beliau telah bincangkan pelan persaraannya dengan PM DS Najib pada Jun lepas dan dia tetap berpegang pada pelan itu. Beliau juga tidak menerangkan apakah pelan itu kerana baginya perkara ini ia antara beliau dengan Pengerusi BN.

Samy juga menyatakan rasa sedih dengan kenyataan Dr. Mahathir bahawa " beliau menjadi liabiliti kepada BN" pada masa ini. " Ketika BN menang ia dianggap satu aset.
Bagaimanapun Samy menyatakan dia tetap menghormati Dr. Mahathir.

Hubaya hubaya, PRU 13 akan tiba tidak lama lagi, dan sekiranya masalah ini tidak dapat diselesaikan BN akan tersungkur dan tidak akan dapat bangkit kembali dalam persada politik tanah air.

Bila sesekali Tun Daim berkata-kata


Tun Daim Zainuddin bekas Menteri Kewangan zaman Tun Dr.Mahathir jarang bercakap tetapi apabila beliau berkata=kaat ia ada isinya. Daim yang diam, bukannya diam begitu sahaja tetapi masih bernas jangkauan politik serta tafsirannya. Walaupun tidak lagi menjadi anggota kabinet beliau nampaknya mengikuti perkembangan politik tanah air. Orang politik katakan, manakan boleh lupa semua itu.

Dahulu saya teringat Daim pernah meramalkan bahawa beberapa buah negeri akan jatuh ke tangan pembangkang dalam PRU 2008. Ramai yang tidak begitu yakin dengan kata-kata Daim yang agak diam itu. Malah pihak pembangkang juga nampaknya tidak begitu ambil pusing dengan ramalan Daim. Bagaimanapun ia ternyata terjadi bila Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor telah jatuh ke tangan pembangkang dalam PRU ke-12 3008 lalu. Sementara Kelantan kekal dikuasai PAS dan Wilayah Persekutuan juga majoriti ahli parlimennya dimenangi parti pembangkang dari Pakatan Rakyat.

Ahad lalu dalam temubual dengan akhbar The Sun Online, Tun Daim sekali lagi berkata-kata yang agak menarik juga. Beliau menyatakan 80% golongan muda tidak menyokong BN.Anak-anak muda Melayu terutama lepasan Universiti yang tidak mempunyai pekerjaan telah marah kepada kerajaan ekoran tidak ada peluang pekerjaan telah menyertai PAS dan parti pembangkang lain. Menurut beliau keadaan begini terjadi(masalah penganguran) kerana kerajaan gagal memupuk bakat yang sepatutnya untuk pasaran kerja.Universiti juga tidak menyediakan kursus yang menepati kehendak industri menyebabkan graduan yang dilahirkan gagal mendapat pasaran pekerjaan.

Malah Daim juga menyatakan, bukan sahaja golongan muda menentang kerajaan bahkan sejuta ahli UMNO daripada 3 juta jumlahnya juga tidak mengundi UMNO. Ini disebabkan ramai ahli-ahli UMNO hilang keyakinan kepada parti itu serta kepimpinannya. Dan masalah terbesar yang dihadapi UMNO adalah "rasuah politik" atau dalam UMNO dikenali sebagai politik wang. Sementara di luar UMNO menurut beliau lagi, turut sama berpecah terutama MCA dan juga parti komponen lain. Ini menyebabkan BN mengalami masalah untuk menarik sokongan rakyat dan BN juga " terlalu perlahan" untuk berubah. Menurutnya "rakyat mahukan perubahan dan " sama ada BN atau Pakatan (PR), siapa yang lebih dahulu berjaya melaksanakan reformasi akan memenangi sokongan rakyat".

Pandangan berani itu sepatutnya ditelusuri oleh para pemimpin UMNO bagi mengkaji dan berusaha untuk menarik kembali sokongan rakyat. Walaupun Daim juga menyatakan kecewanya dengan PR yang memerintah di negeri-negeri tertentu di mana sebelum ini rakyat menaruh harapan yang besar; tetapi sekiranya BN juga gagal membuat perubahan maka BN akan gagal menyaingi PR dalam PRU 13 nanti.

Thursday, September 17, 2009

Akhirnya Samy Vellu memohon maaf pada Dr.Mahathir


Setelah beberapa kali berbalas kenyataan dengan bekas bossnya dahulu, semalam akhirnya telah menyatakan permohonan maaf kepada Tun Dr.Mahathir khususnya gara-gara cadangan "kalungan selipar" dipakai pada gambar Dr.Mahathir yang dilontarkan anak buahnya M Sukuraman, pemimpin MIC daripada Pahang.

M.Sukumaran juga semalam telah mengakui terlalu mengikut emosi semasa mencadangkan "kalungan selipar" itu dan memohon maaf dari Dr.Mahathir dan menyatakan akan berjumpa Dr.Mahathir sendiri bagi memohon maaf. Ini berikutan penggantungan keahliannya serta-merta oleh MIC ekoran cadangan celuparnya itu. Itupun setelah mendapat desakan keras dari para pemimpin tertinggi UMNO sendiri yang pada kali ini mempertahankan negarawan itu.

Kelmarin juga Dr.Mahatir yang pertama kali mengulas isu selipar ini menyatakan " beliau tidak merasa sedih atau marah dengan cadangan pemimpin MIC itu dan beliau berkata "bukan saya jadi apa-apa". Maksudnya di sini mungkin bagi Dr.Mahathir hanya cadangan kalungan, bukannya dibaling selipar sepertimana dibaling kasut seperti kes Presiden Bush dahulu. Tambah Dr.Mahathir lagi, beliau tidak merasa apa-apa juga kerana "kecaman" itu datangnya dari anggota parti lain.

Beliau seterusnya menyatakan " Ini bukan kali pertama sya dikecam. Dulu orang dah lupa macam mana pemimpin UMNO kecam saya" . "Nazri dan Menteri Besar Kedah dahulu nak buang saya daripada UMNO" . Tapi pada masa tu tak ada siapa bagi reaksi apa pun."
Dr.Mahathir juga menyatakan beliau sedih apabila orang partinya sendiri (UMNO) dan orang yang duduk dalam kabinetnya sendiri mengecamnya. Beliau lebih marah terhadap kecaman yang dilontarkan oleh anggota UMNO dan bekas anggota kabinetnya, daripada kecaman yang dibuat oleh anggota MIC.

Beliau juga mengulas hasrat M Sukumaran yang ingin bertemunya dan memohon maaf secara peribadi (dalam akhbar Sukumaran telah memohon maaf); Dr.Mahathir menyatakan "Minta maaf tak apa.Tak minta maaf pun tak apa. Bagi saya tak ada apa-apa. Saya sedih bila orang parti saya sendiri, orang yang duduk dalam kabinet saya sendiri kecam saya".

Bagi Dr.Mahathir luka lamanya dikecam anggota UMNO dan juga bekas anggota kabinetnya masih lagi terasa sehingga kini dan mungkin kerana itulah beliau sering mengulangi bahawa dalam kabinet PM DS Najib sekarang masih ada lagi seorang dua yang dikatakannya tidak sesuai dan "korup", tetapi Najib masih lagi mengekalkannya dan itu antara modalnya mengkritik pimpinan PM Najib sekarang, berbanding dengan "banyak modal" digunakannya semasa mengkritik PM Datu Abdullah Badawi dahulu.

Wednesday, September 16, 2009

Pengumuman cuti Jumaat melegakan perantau pulang raya


Kelmarin saya sempat posting masalah yang akan dihadapi oleh para perantau yang ingin pulang berhari raya di kampung halaman berikutan dengan hari Jumaat nmasih bersekolah. Kemudian pihak Kementerian Pelajaran memberi lampu hijau dengan membenarkan pihak sekolah memohon cuti peristiwa atau cuti gantian bagi membolehkan para perantau pulang berhari raya dan mengelakkan kesesakan. Pada hari ini kerajaan memutuskan hari jumaat adalah cuti bagi membolehkan perautau pulang dalam keadaan yang lebih menyenangkan.

Walupun ianya agak lewat tetapi agak melegakan juga kerana sekurang-kurangnya ia telah melegakan kami yang ingin pulang ke kampung. Bayangkan kalau hari jumaat masih bersekolah, maka hari sabtu adalah hari orang ramai berpusu-pusu hendaklah pulang dan akan menyebabkan kesesakan teruk sama ada Lebuh Raya Utara Selatan dan juga Pantai Timur.

Keadaan di mana perjalanan berkereta 14 jam atas jalan raya untuk pulang ke Kota Bharu mungkin dapat dielakkan dengan adanya cuti lebih awal seperti ini. Untuk masa hadapan keputusan perlulah dibuat awal bagi memudahkan perancangan para perantau untuk pulang. Agak melegakan lagi bila pihak pengurusan Tol Lebuh Raya khususnya bagi perjalanan ke Pantai Timur memberikan laluan percuma tanpa bayaran tol untuk perjalanan selepas jam 12 pada 18 September ini dan juga apabila pulang kembaliu ke Kuala Lumpur kelak.

Pelan untuk kembali ke kampung melalui di Kelantan melalui Grik atau pun Lojing, Gua Musang mungkin tidak menjadi kenyataan sekiranya keadaan trafik Lebuh Raya Karak berjalan lancar. Bagaimanapun ianya belum dapat dipastikan lagi kerana orang ramai dari 3 buah negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan akan menggunakannya pada 18 dan 19September ini. Sekiranya masih sesak jalan alternatif tadi masih relevan untuk difikirkan.

Pada para pengguna jalan raya semua pandulah kenderaan dengan berhemah dan bertimbanmg rasalah kepada pengguna jalan raya yang lain bagi mengelakkan kemalangan kerana kita semua ingin pulang berhari raya dengan selamat. Selamat pulang ke kampung laman kepada semua perantau dan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.

Tuesday, September 15, 2009

Dr. Mahathir terima terjahan pemimpin MIC


Sekonyong-konyong lepas Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun itu melontarkan pandangannya dalam akhbar Tamil Makkal Osai sejurus sebelum Perhimpunan Pemilihan MIC; beliau telah ditempelak oleh bukan sahaja Datuk Sri Samy Vellu tetapi juga para pemimpin Bahagian MIC. Sebelum itu beliau ditempelak Samy apabila Samy menyanggah apa yang disifatkan Dr.Mahathir beliau tidak membantu masyarakat India walaunpun Samy begitu lama menjadi Presiden MIC. Samy juga marahkan Dr. Mahathir kerana menyokong Dato' Subramaniam yang bertanding Timbalan Presiden iaitu musuh lama Samy.

Samy telah membandingkan beliau dengan Mahathir iaitu beliau hanya mempunyai seorang Timbalan sahaja sepanjang jadi Presiden MIC sedangkan Mahathir mempunyai ramai Timbalan PM semasa menjadi PM dan Samy menyatakan "Dr. Mahathir pakar dalam memusnahkan Timbalannya" berikutan "kecundangnya" beberapa Timbalan Mahathir sebelum ini. Malah ucapan PM DS Najib semasa merasmikan Perhimpunan MIC itu juga turut disanggah Samy dengan menyatakan seseorang pemimpin perlu dikenali dalam parti dahulu sebelum dikenali di kalangan masyarakat. Ini berikutan gesaan Najib supaya sesiapa yang hendak menjadi pemimpin janganlah hanya menjadi pemimpin di kalangan ahli parti sahaja, tetapi juga di kalangan masyarakat keseluruhannya.

Berikutan dengan apa yang disifatkan campurtangan luar khususnya Dr.Mahathir, maka para perwakilan MIC yang turut berucap dalam perbahasan semasa Perhimpunan MIC itu juga turut terbawa dengan sentimen menentang usaha memperlekeh Samy. Seorang daripadanya M. Sukumaran, Timbalan Ketua Bahagian MIC Paya Besar, Pahang yang telah menyerang Dr.Mahatir dalam ucapannya.

M. Sukumaran telah menyelar campurtangan Dr.Mahathir dalam pemilihan MIC itu dengan mencadangkan agar negarawan itu "dikalungkan dengan selipar" pada gambarnya. Umum mengetahui bahawa masyarakat India, pada bingkai gambar seseorang tokoh pemimpin mereka dikalungkan dengan "bunga" sebagai menghormatinya. Tetapi Sukumaran mencadang dikalungkan selipar yang seolah-olah satu penghinaan kepada negarawan ulung itu.
Mujur juga tidak dicadangkan dibaling selipar sebagaimana Muhtazeer, wartawan Iraq membaling kasut kepada Presiden Bush dahulu.

Semasa cadangan kalungan selipar itu diucapkan, Samy juga turut berada di pentas perhimpunan dan ini telah mengheret sama nama Samy dalam isu ini. Lebih-lebih lagi Samy merupakan Presiden MIC dan kalau beliau diam sahaja seolah-olah beliau mempersetujuinya.

Maka keesokannya riuhlah para pemimpin UMNO mempertahankan Dr.Mahathir dan menggesa Samy mengambil tindakan disiplin kepada Sukumaran. Orang yang pertama sekali bangkit mempertahan Dr. Mahathir ialah Datuk Razali Ibrahim, pemimpin muda dari Johor. Tetapi beliau hanya menyatakan perwakilan MIC mencerca Dr. Mahathir, tetapi Khairy Jamaludin kemudiannya juga mempertahan Dr.Mahathir dan mengatakan cadangan supaya dikalungkan selipar itu tidak dapat diterima oleh pemimpin UMNO. Baru masyarakat mengetahui duduk perkara sebenar cercaan itu dan barulah juga juak-juak pemimpin bawahan lain turut mengecam cadangan itu.

Berikutan desakan keras dari pimpinan UMNO termasuk pemimpin tertinggi, maka keesokannya Samy telah mengambil keputusan menggantung keahlian M Sukumaran dari MIC dan juga akn meminta Sukumaran memohon maaf dari Dr. Mahathir. Berikutan itu isu ini agak reda sedikit dan selang sehari kemudiannya M Sukumaran tampil memohon maaf dalam akhbar dan menyatakan kesediaan berjumpa Dr.Mahathir untuk memohon maaf.

PRK Bagan Pinang, siapa calon UMNO


PRK Bagan Pinang akan berlangsung 11 Oktober 2009 nanti. PRK ini adalah yang ke 9 dalam siri PRK selepas PRU 2008 yang lalu dan sehingga kini adalah merupakan PRK yang terbanyak dalam sejarah PRK dalam negara. PRK Bagan Pinang diadakan setelah penyandangnya Azman Mohd. Nor telah meninggal dunia pada 4 September 2009 lalu. Kawasan Bagan Pinang terletak di bawah parlimen Teluk Kemang yang merupakan kawasan kuat UMNO tetapi parlimen ini dapat ditawan PKR dalam PRU lalu.

Sementara DUN Bagan Pinang pula adalaah kawasan tradisi UMNO yang kemenangan mereka di situ banyak dibantu oleh undi pos yang berjumlah hampir 5000. Tanpa undi pos yang dipertikai ketelusannya payah UMNO nak menang dalam keadaan sekarang. SPR telah mengumumkan bahawa hari penamaan calon akan diadakan pada 3 Oktober, manakala pengundian pada 11 Oktober iaitu hari ahad. Nampaknya SPR kali ini memilih hari ahad bagi hari pengundian, sedangkan sebelum ini dalam beberapa PRK SPR pilih hari lain walaupun masyarakat dan parti yang bertanding hebdakkan hari cuti sama ada sabtu atau ahad.

Soal calon, nampaknya ia adalah pertandingan 2 penjuru antara PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dan UMNO yang mewakili BN. Kecuali jika ada pihak lain yang ingin bertanding sebagai calon Bebas, setakat ini belum kedengaran. Pihak PAS menyatakan partinya telah mempunyai nama-nama calon untuk dipilih oleh pucuk pimpinan. Orang kuat PR iaitu DS Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa pihak PR akan memberi tentangan sengit dan juga akan memberi "kejutan" kepada BN.

Manakala sebelah BN, calon yang cuba diketengahkan oleh UMNO Bahagian Teluk Kemang ialah Ketua Bahagian, TS Isa Samad. Hanya satu nama dikemukakan dan kemudian telah ditolak UMNO Pusat kerana memerlukan 3 nama. Persoalannya apakah ia satu syarat atau ada unsur lain. TS Muhyidin dikatakan menolak nama yang dicadang kerana gagal memenuhi syarat iaitu 3 orang calon. Bagaimana kalau UMNO Bahagian kemukakan nama Isa, Mohd. Najib anaknya dan nama isteri Isa misalnya. Apakata TS Muhyidin, cukup syarat 3 nama calon, tetapi semuanya berkaitan Isa. Semalam Isa dalam kenyataannya akan mengemukakan 3 nama kepada UMNO Pusat sebagai memenuhi keperluan.

Diharapkan penolakan pada nama yang tunggal dicalonkan UMNO Teluk Kemang itu bukan berdasarkan masalah "peribadi" tetapi prosedur semata-mata. Sekiranya tidak, maka persoalan calon akan menyebabkan UMNO akan berkrisis sesama sendiri dalam menghadapi PRK ini, dan jika ini terjadi janji Anwar untuk memberi "kejutan" akan dapat dilaksanakan.

Sunday, September 13, 2009

Jangkaan Kesesakan Jalan Raya Menjelang Raya


Seminggu lagi umat Islam di Malaysia akanm menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Menjelang tarikh itu ramai para perantau termasuk penulis sedang berkira-kira untuk balik kampung dan jalan raya mana yang sepatutnya digunakan bagi mengelak kesesakan. Apa tidaknya, semua perantau akan pulang beraya di kampung masing-masing menjelang hari besar tersebut dan Kuala Lumpur bakal lengang. Persoalan nak balik di rumah siapa bagi suami-isteri kita tinggalkan bagi mereka menyelesaikannya sendiri.

Yang lebih penting ialah jalan mana patut diikuti bagi mengelak kesesakan. Walaupun pihak PLUS ada menyarankan waktu bertolak bagi destinasi-destinasi tertentu seperti utara, timur dan selatan , tetapi biasanya tidak ramai yang mengikutinya. Bagi pengguna Lubuh Raya Utara-Selatan, tiada pilihan baginya kecuali menggunakan jalan lama yang juga akan sesak. Bagi pengguna jalan raya ke pantai timur, kami mempunyai beberapa pilihan iaitu melalui Karak, atau bagi perantau dari Kelantan boleh menggunakan Jalan melalui Grik-Tanah Merah atau melalui Lojing/Cameron Highland-Gua Musang. Namun untuk melalui jalan tersebut perlu juga menempuh kesesakan sedikit.

Saya pernah berada di atas jalan raya selama 13 jam semasa pulang beraya di Kelantan beberapa tahun lalu. Saat itu paling menyeksakan, untuk sampai ke Bentung sahaja yang jaraknya lebih kurang 50 km mengambil masa lebih 3 jam. Kawan-kawan dari Bentung, Raub dan Kuala Lipis setiap kali raya akan "menyumpah" orang Kelantan dan Besut, Terengganu kerana orang Kelantan dan Hesutlah yang menyebabkan mereka juga menanggung masalah kesesakan. Apa nak buat, jalan paling dekat untuk kami pulang adalah melalui jalan itu.

Kalau dalam keadaan biasa untuk sampai ke Kota Bharu melalui Bentung-Kuala Lipis-Gua Musang akan mengambil masa 6 jam tanpa henti (kalau berhenti solat dsb 7-8 jam).Tetapi kalau dekat raya begini akan mengambil masa 12-14 jam, sekali ganda masanya yang terpaksa diambil. Bagi yang merancang awal biasanya mereka akan balik awal semingu dengan kereta dan tinggalkan kereta di kampung. Untuk balik raya mereka menggunakan pengangkutan udara; itu boleh mengelakkan kesesakan.

Perkara utama yang menyebabkan kesesakan ialah "tarikh" persekolahan yang masih lagi belajar hari jumaat. Ramai merungut kenapa pihak Kementerian Pendidikan tidak peka pada keadaan itu. Jadi hari sabtu semua orang akan balik dan menggunakan jalan raya yang telahpun sesak. Kalau jumaat sudah tidak bersekolah sekurang-kurangnya bagi yang jauh boleh pulang hari khamis lagi dan ini boleh mengelakkan kesesakan. Warga guru juga berharap pihak Kementerian dan PPD bertimbanmg rasa dengan mengumumkan jumaat tidak bersekolah dan diganti masanya dengan hari lain selepas cuti raya bagi memudahkan mereka pulang ke kampung.

Apapun kita lihatlah nanti, jika jumaat masih bersekolah pasti hari sabtu orang akan berpusu-pusu pulang dan jalan raya akan sesak teruk tidak kira jalan masa sekalipun. Semoga para pengguna jalan raya semua akan memandu secara berhemah di jalan raya bagi mengelakkan kemalangan.Selamat menyambut hari raya, maaf zahir batin.

Saturday, September 12, 2009

Kumpulan Samy Menang Besar: Boleh Cakap Besar


Menjelang malam semalam Datuk Samy Vellu telah menyatakan "Mereka bukan menyampah dengan saya. Mereka menyampah dengan BN". Ada 2 keadaan apabila Samy berkata demikian. Pertamanya mungkin dia bercakap begitu kerana telah mengetahui kumpulan sokongannya memenangi semua jawatan penting MIC dalam pemilihan semalam. Jadi beliau seakan memberikan pukulan balik kepada pihak-pihak yang memperlekeh kepimpinannya dalam MIC dan menggesanya berundur. Mungkin juga ianya dituju kepada Tun Dr.Mahathir yang lantang mengkritiknya dua hari berturut-turut di samping akhbar-akhbar seakan tidak menyebelahi Samy.

Keduanya, mungkin Samy berkata secara jujur kerana bukan sahaja MIC yang ditolak rakyat dalam PRU umum lalu tetapi MCA, Gerakan dan juga UMNO. Kalau MIC sahaja ditolak rakyat mengapa di Kedah dan Kelantan orang-orang Melayu juga menolak UMNO. Jadi ada asasnya apabila Samy berkata " mereka bukan menyampah dengan saya, mereka menyampah dengan BN" dan ini juga berupa jawapan balasnya pada Dr.Mahathir dan kumpulan UMNO yang memperlekehnya.

Petang semalam juga apabila saya menjenguk Utusan Online, terkejut juga bila melihat tajuk "latest" newsnya menyatakan Dato' Subramaniam menang jawatan Timbalan Presiden. Apakah Utusan hanya membuat andaian. Bagaimanapun apabila malam Utusan Online menyiarkan Palanivel yang menang bukan Subra. Mungkin inilah juga yang menyebabkan Samy berang dengan Utusan sehingga menggelar "rasis dan abang besar" lantaran kritikan Utusan kepadanya.

Saya yakin selepas kumpulannya memenangi jawatan penting MIC, Samy akan terus memimpin MIC, malah akan mengenakan tindakan ke atas kumpulan penentangnya terutama Dato' Subra. Beliau pernah berkata akan merujuk Subra kepada Jawatankuasa Disiplin parti ekoran wawancara Dr.Mahathir dalam Makkl Osai yang seakan menyokong Subra dan harus diingat juga kumpulan orang-orang Subra yang memegang saham utama akhbar Tamil itu. Jika Subra disingkir dari keahlian MIC, ke mana arah tujunya nanti...apakah akan memasuki PKR. Sekiranya Subra menyeberang ke PKR ianya akan memberi pukulan ada BN sendiri.

Friday, September 11, 2009

Bila Tun Dr. Mahathir jawab balik bidasan Samy


Apabila Datuk Seri Samy Vellu melontar pandangan kerasnya terhadap Tun Dr.Mahathir kelmarin ekoran temubual Dr.Mahathir dalam akhbar Tamil Makkal Osai, ternyata ada sebab untuk beliau terasa dengan pandangan Dr.Mahathir. Dr. Mahathir seperti dilaporkan Agend Daily,menyatakan bahawa MIC akan kehilangan sokongan kaum India jika Samy Vellu terus menerajui parti itu. Katanya lagi, MIC kini juga dilihat semakin lemah dan kekuatan parti itu tidak dapat dipulihkan semula jika Samy Vellu terus kekal sebagai presiden. " Saya dengar ramai orang India cakap, dia orang tak suka nak sokong MIC pasal Samy Vellu"

Dr.Mahathir juga dalam wawancara itu seakan menggambarkan Dato' Subramaniam, musuh tradisi Samy Vellu seorang yang baik. Dan esok adalah hari pemilihan jawatan dalam MIC dan Samy menganggap Dr.Mahathir telah campurtanagn dalam hal ehwal MIC. Ini yang telah menyebabkan Samy Vellu terasa sangat dan "membidas" bekas bossnya dengan mengatakan Dr.Mahathir sebagai "pakar dalam seni memusnahkan timbalannya sendiri" (Timbalan PM)

Dr. Mahatir jika kita lihat yang telah lepas tidak akan tunduk pada apa-apa kritikan dari sesiapa pun. Dengan Pak Lah beliau hentam, TS Rafidah Aziz beliau pernah bertelagah dalam kes AP, DS Nazri Aziz juga dikatanya "kaki pukul"; malah dengan Tunku beliau pernah bertelagah. Dan beliau tidak akan berhenti melainkan lawannya mendiamkan diri. Dengan Samy Vellu ini kita lihat sejauh mana Samy dapat membuat bidasan terhadap kritikan Dr.Mahathir.

Pada hari ini di Petaling Jaya, Dr.Mahathir menjawab bidasan Samy dan menjelaskan bahawa beliau tidak merujuk sama sekali ulasannya dalam Makkal Osai itu kepada pemilihan dalam MIC esok. " saya tidak merujuk kepada pemilihan. Saya kata kelemahan MIC terletak pada Samy Vellu". Samy juga telah lama menguasai MIC iaitu 29 tahun.

"Sampai tidak ada siapa boleh ambil alih daripada beliau. Siapa jadi timbalan beliau, lama sikit, nampak orang itu popular, beliau cantaslah". Kritikan Dr.Mahathir ini seolah memulangkan semula pada Samy apa yang Samy kata pada Dr. Mahathir kelmarin, iaitu tentang timbalan PM yang gugur tengah jalan seperti Tun Musa Hitam, Tun Ghaffar Baba dan DS Anwar Ibrahim.

Dr. Mahathir juga mengatakan bahawa Samy pernah berbohong kepadanya berkenaan beliau tidak pernah menolong masyarakat India. Sedangkan menurut Dr.Mahathir beliau bukan sahaja menolong orang Melayu tetapi juga semua kaum di Malaysia.

Nampaknya jawab menjawab antara tokoh negarawan itu dengan Samy Vellu akan berterusan sekiranya Samy membalas balik esok. Dan perlu diingat bahawa Dr.Mahathir tidak akan mengalah kepada sesiapa pun. Soalnya sekarang beranikah Samy terus berkonfrontasi dengan Dr.Mahathir.

Bila Datuk Seri Samy Vellu dan Tun Dr. Mahathir Bertelagah



Kalau sebelum ini Datuk Samy Vellu tidak ambil kisah pun bila Tun Dr. Mahathir, Mantan PM membidasnya. Tetapi kali ini dia bangkit membidas kembali Dr. Mahathir. Semuanya gara-gara pemilihan dalam parti MIC yang akan berlangsung esok.

Semalam, dalam akhbar Tamil, Makkal Osai, Dr.Mahathir telah diwawancara oleh akhbar itu dan antara apa yang diungkapkan oleh Dr. Mahathir selain memuji Dato' Subramanian, seorang calon Timbalan Presiden MIC ialah mengkritik kepimpinan Samy Vellu yang "kununnya" memimpin MIC terlalu lama. Ini memberi gambaran seolah-olah Dr. Mahathir menyokong Datuk Subra yang merupakan "musuh lama" Samy Vellu.

Lantas Samy Vellu naik angin semacam. Dia akan Dato' Subra ke Jawatankuasa Disiplin parti kerana guna pengaruh luar dan sebagainya. Pemuda MIC juga marah-marahkan Dr. Mahathir. Samy Vellu juga hari ini telah "memukul bekas bossnya" dengan mengatakan Dr.Mahathir merupakan "pakar dalam seni "Memusnahkan timbalannya". Dr. Mahathir katanya mempunyai 4 orang timbalan semasa memegang jawatan selama 22 tahun. " Apa berlaku pada Musa Hitam(Tun), Ghafar Baba(Tun) dean Anwar Ibrahim (Datuk Seri)"

Inilah kali pertama Samy menembak "peluru meriam" kepada bekas bossnya dulu. Sebelum ini beliau pernah dikritik Dr.Mahathir tetapi tidak memberi reaksi. Mungkin kali ini suasana agak genting kerana pemilihan parti MIC esok. Bagaimanapun Samy menyatakan beliau asih menganggap mantan PM itu pemimpin agung dan amat menghormatinya.

Dalam negara yang mengamalkan demokrasi, semua orang berhak memberikan pandangan dan Dr.Mahathir juga berhak memberikan pandangannya. Cuma pandangannaya diwaktu pemilihan MIC semakin hampir menyebabkan ada pihak yang tidak senang, terutama bagi pihak yang menerima kritikan. Apa lagi Dr. Mahathir sendiri pernah dikatakan "kununnya" mempunyai pertalian darah dengan India menyebabkan beliau mungkin terpanggil untuk memberikan pandangan.

Cuma kali ini Samy Vellu yang lebih pekat darah Indianya mungkin melawan balik dengan kata-kata yang agak "bisa" juga pada Dr.Mahathir. "Saya hanya mempunyai seorang timbalan sahaja selama 25 tahun", sedangkan Dr.Mahathir 3 orang".

Saya percaya sekirangan kumpulan yang disokong Samy Vellu menang dalam pemilihan jawatan MIC nanti, beliau akan lebih berani "membersihkan" musuh dalam parti dan juga akan lebih "lepas cakap" sekiranya ada pihak luar mengkritiknya. Pada Dr. Mahathir juga berhat-hati apabila mengkritik Samy Vellu, nanti terdedah pekung-pekung yang lain atau sekurang-kurang Samy akan "memulangkan paku buah kerasnya".

Monday, September 7, 2009

DS Najib ke Kelantan, Luluskan Jambatan



Petang kelmarin 7 September 2009, DS Najib PM Malaysia telah membuat kunjungan ke Manek Urai, Kelantan dan berjumpa dengan masyarakat dalam Majlis Berbuka Puasa di SMK Sultan Yahya Petra, Kuala Krai. Umum mengetahui bahawa dalam PRK Manek Urai lalu beliau tidak datang ke Kelantan dan kempun BN diterajui oleh TPM. Walaupun BN kalah dalam PRK tersebut dengan 65 undi, namun ianya memberi kemenagan moral kepada para penyokong BN tatkala mengalami kekalahan demi kekalahan dalam PRK.

Untuk itulah DS Najib datang ke Kuala Krai bagi menghargai sokongan para pengundi di situ yang telah memberi harapan kepada BN untuk PR yang akan datang. Dalam kempen PRK tersebut juga TPM telah berjanji untuk membina jambatan dua hala bagi menggantikan jambatan sehala sedia ada yang telah berusia lebih 20 tahun. Ia akan memberikan kemudahan perhubungan Manek Urai Lama dengan Manek Urai Baru dan juga kawasan sekitarnya.

Kedatangan DS Najib petang kelmarin telah meluluskan peruntukan jambatan tersebut sebanyak RM 8 juta, di samping meluluskan peruntukan membaiki Masjid Temalir sebanyak 600,000 dan kemudahan kompleks sukan di Manjor sebanyak 300,000. Pengumuman ini disambut gembira para penduduk setempat tanpa mengira anutan politik.Dalam ucapannya Najib menyatakan bahawa kerajaan ikhlas membantu rakyat dan janji yang dibuat akan tetap ditunaikan.

Para penduduk Manek Urai khususnya dan Kelantan amnya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri tersebut. Rara-rata mengucapkan terima kasih kepada PM yang telah meluluskan peruntukan besar tersebut. Harapan rakyat setempat ialah kerja-kerja pembinaannya hendaklah dilaksanakan dengan segera tanpa menunggu Pilihan Raya Umum yang dijangka 2013 nanti. Ini kerana masa semakin suntuk bagi BN untuk berbudi kepada rakyat sebabnya jika ianya terlewat dilaksana kemungkinan akan menjadi modal politik dalam PRU akan datang. Sekurang-kurangnya dilaksanakan pembinaannya tahun 2011 dengan jangkaan penyediaan pelan dan proses tawaran tender akan siap dalam tahun 2010.

Kalau ia lewat dilaksanakan dibimbangi para pengundi yang mengundi BN dalam PRK baru-baru ini akan melarikan undinya kepada pihak lain. Masyarakat kini sudah pandai menilai tugas dan tanggungjawab kerajaan dan projek pembangunan seperti ini tidak boleh lagi dijadikan modal bagi menarik sokongan. Pernah terjadi di Kelantan tiang elektrik ditebang penduduk yang kecewa kerana terlalu lama berdiri tanpa disambung bekalan elektriknya.

Begitu juga semasa PRK Pengkalan Pasir, Pasir Mas dalam tahun 2003 telah dimenangi oleh BN melalui calonnya Hanafi Mamat yang menewaskan calon PAS Hanifa Ahmad walaupun sebelum itu kerusi tersebut milik PAS. Dan dalam PRK tersebut BN telah juga berjanji akan membina jambatan bertingkat melintasi jalan kereta api sekiranya menang. Dan kebetulan BN menang dalam PRK itu, tetapi kemungkinan juga disebabkan janji yang tidak ditunaikan; maka dalam PRU 2004 kerusi Pengkalan Pasir dimiliki kembali oleh PAS menerusi calonnya yang sama iaitu Hanifa Ahmad yang tewas dalam PRK sebelum ini. Ini uniknya politik di Kelantan sekiranya rakyat hanya digula-gulakan dengan janji sahaja tanpa pelaksanaan, nescaya rakyat akan menolaknya dalam pilihan raya.

Adalah diharapkan pengumuman PM kali ini akan dilaksanakan dalam kadar yang segera kerana dengan pelaksanaan segera dapat menggambarkan keprihatinan kerajaan dan juga boleh memujuk hati rakyat khususnya kawasan pedalaman yang masih dahagakan pembangunan. Jangan biarkan rakyat kecewa kerana sekali kecewa sampai bila-bila mereka akan mengenangnya.

Esok UPSR Semoga Bebas H1N1


Esok anak-anak kita semua akan menduduki Ujian Peperiksaan UPSR seluruh negara. Kita berdoa semoga mereka bukan sahaja akan mencapai kejayaan yang cemerlang tetapi juga mereka bebas dari wabak H1N1 atau Selsema Babi. Negara kita telah 4 hari bebas dari angka kematian akibat selsema babi itu. Di harapkan dengan keberkatan Ramadhan anak-anak kita akan selamat menduduki peperiksaan.

Ini berikutan pada awal merebaknya penyakit ini, golongan kanak-kanak sekolah rendah adalah yang paling ramai terlibat sehingga banyak buah sekolah terpaksa ditutup. Bagaimanapun menjelang Ramadhan dan dalam bulan Ramadhan juga, wabak ini agak reda sedikit. Seperti dalam posting saya kelmarin, saya yakin di samping ikhtiar kita, keberkatan Ramadhan dan Rahmat Allah telah menyebabkan wabak ini beransur reda. Kalau nak diikutkan Bazaar Ramadhan dibuka setiap hari seluruh negara dan ramai orang berkunjung setiap hari tetapi tidak menyebabkan penularan wabak ini. Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah SWT di atas limpah kurnia-Nya itu dan diharapkan wabak ini semakin reda selepas Ramadhan ini.

Sunday, September 6, 2009

Membaca Al-Quran : Jadikan amalan


Bersempena dengan Nuzul Quran penulis ingin memperkatakan tentang amalan membaca Al-Quran khususnya di kalangan masyarakat Malaysia hari ini. Dalam bulan Ramadhan ini rata-rata masrakat muslim baik di Malaysia dan juga di seluruh dunia mengerjakan amalan berpuasa di samping memperbanyakkan amalan membaca Quran. Mungkin kalau nak disebutkan "membudaya" Al-Quran tidak berapa tepat maksud dan tafsirannya. Untuk itu amalan lebih sesuai kerana ianya dikaitkan dengan pahala.

Di kalangan masyarakat Arab, amalan membaca Quran khususnya dalam bulan Ramadhan amatlah terpuji. Bahkan mereka juga sesetengahnya "bercuti" dari kerja bagi mengimarahkan Ramadhan yang datangnya setahun sekali. Mengikut cerita seorang ustaz yang pernah belajar di Mesir, beliau ada bertanyakan pemilik rumah sewanya kenapa ada orang Arab yang bercuti dari kerja selama sebulan dan amalan yang dilakukan setiap hari ialah qiamullail, solat tarawih waktu malam, dan siangnya berada di masjid membaca Al-Quran. Jawapan Arab tadi " Saya telah bekerja selama 11 bulan untuk bekalan di dunia, tidak bolehkah saya bercuti sebulan dan beramal sepenuhnya untuk bekalan akhirat saya".

Di Malaysia amalan membaca Quran ini sememangnya dilakukan baik di masjid-masjid atau pun rumah. Cuma ianya belum berkembang seperti mana di negara-negara Arab yang telah mengamalkannya segenap tempat hatta di perhentian bas sekalipun. Pernah seorang Ustaz menceritakan dalam ceramahnya bagaimana dia cuba mempraktikkannya dan semasa sedang menunggu bas di perhentian, dia membuka Quran dan membacanya. Orang Cina dan India yang datang nak menunggu bas juga agak kehairanan dan berlalu begitu sahaja. Orang Melayu-Muslim pula merenung tajam kepadanya dan akibat renungan itu dia mengambil keputusan memberhentikan bacaan ayat-ayat sucinya. Bertanya lelaki Melayu itu kepadanya " Anak, anak membaca Quran ini nak minta sedekah ke? " Nah begitu sekali tanggapan songsang masyarakat kita terhadap amalan mulia ini.

Pernah suatu ketika dahulu, apabila ada orang datang ke rumah dan memberi salam, kita sangkakan mereka peminta sedekah, kata orang Kelantan " Tok Fakir minta sedekah", tetapi Alhamdulillah amalan memberi salam telah berjaya dihidupkan dalam masyarakat Islam di Malaysia.

Bersempena dengan Nuzul Quran dan hari-hari Ramadhan yang masih berbaki lagi ini, marilah kita sama-sama membaca Quran sama ada di masjid, surau dan juga di rumah serta pejabat. Amalan baik ini juga sepatutnya diteruskan selepas dari bulan Ramadhan ini. Wasallam.

Saturday, September 5, 2009

H1N1: Penurunan kesnya sebagai Rahmat Allah sempena Ramadhan


Banyak perkara yang berlaku kadang-kadang di luar jangkaan dan pemikiran kita. Kadang-kadang ia berlaku kerana Allah mahu memperlihatkan kebesaran-Nya kepada kita supaya kita sentiasa berfikir serta mematuhi perintah-perintah Allah. Bayangkan sebelum Ramadhan boleh dikatakan setiap hari ada kes kematian akibat H1N1 atau Selsema Babi ini, sekurang-kurangnya 2 atau 3 kematian sehari.

Namun apabila tiba sahaja bulan Ramadhan dari 1 hingga 4 Ramadhan tiada kes kematian dalam negara berlaku. Menakjubkan bagi mereka yang berfikir dan yakin dengan kebesaran Allah SWT. Benarlah apa yang disebut dalam hadis bahawa pada permulaan Ramadhan adalah rahmat Allah, pertengahannya keampunan dan pengakhirannya terlepas dari api neraka. Selepas itu ada satu dua kes kematian sahaja dan sehingga 15 Ramadhan kes kematian akibat Selsema babi kekal 73 orang.

Kalau nak dikirakan, berapa ramai orang berkunjung ke Bazar Ramadhan yang ada disegenap pelusuk tanah air yang boleh menyebabkan merebaknya virus ini. Tetapi ia tidak berlaku, syukur kita kepada Allah SWT atas rahmatNya sempena Ramadhan ini. Saya teringat menjelang Ramadhan dulu ada ura-ura dan pendapat dari pihak Kementerian Kesihatan supaya Solat Tarawih di Masjid dan Surau dicadang dilakukan dirumah sahaja bagi mengelak berlakunya penyebaran wabak ini. Ini memandangkan sekolah dan kolej sebelum ini pun ditutup bagi mengelakkan penyebaran wabak maut ini.

Sekali lalu cadangan itu munasabah sama ada dari segi fiqahnya dan juga mudaratnya, kerana Solat Tarawih hanya sunat sahaja dan boleh dilaksana dirumah. Tetapi apabila pada event lain seperti konsert hiburan dan sebagainya tiada pula cadangan supaya dibatalkan kerana dibimbangi penularan wabak ini. Nah, begitu naifnya pemikiran kita dalam hal ini yang tidak berpandukan agama.

Sekarang ternyata Solat Tarawih pada Ramadhan tidak menyebabkan menularnya wabak ini. Rahmat Allah mengatasi segala-galanya dan dalam hal ini sebagai muslim kita perlu yakin dengan pertolongan Allah SWT. Untuk itu juga ura-ura membatal atau mengurangkan jemaah haji dari berhimpun di Makkah dalam urusan mengerjakan haji dan umrah juga tidak perlu. Yakinlah akan pertolongan Allah di samping kita berikhtiar bagi menanngani wabak ini.

PM DS Najib & isteri ke Kelantan hari Nuzul Quran


Apakah ole-ole yang akan di bawa PM DS Najib dalam kunjungannya ke Kelantan pada hari isnin ini yang juga hari cuti sempena Nuzul Quran. Mungkin juga kedatangan PM pada kali ini adalah sebagai "membalas budi" pengundi Manek Urai yang memberi sedikit moral kepada UMNO walaupun masih tewas pada PAS dalam PRK baru-baru ini.

Kedatangan DS Najib mengikut maklumat JPP Kelantan adalah bagi Majlis Berbuka Puasa di SMK Sultan Yahya, Kuala Krai iaitu sekolah yang menjadi pusat penamaan calon dan juga penjumlahan undi semasa PRK Manek Urai dulu. Walau pun agak lewat, kedatangan PM kali ini boleh mengubat hati pemimpin UMNO tempatan yang bekerja keras dalam PRK dulu. Memang, selepas PRK tiada tokoh pusat datang ke Manek Urai lagi, yang ada hanya pemimpin Kelantan seperti Tok Pa dan Datuk Awang Adik yang mengadakan majlis di kawasan Manek Urai ini.

Yang lain termasuk TPM yang dulunya berkampung dan menjadi seolah-olah Bapa Angkat Manek Urai telah hilang menyepi. Betul mereka sibuk, tetapi rakyat Manek Urai terasa juga nak tengok muka. Jangan hanya masa PRK sahaja datang dan berkampung dan bila selesai terus hilang. Soal rakyat masih tidak memberi kepercayaan kepada parti UMNO perkara lain, tetapi jengoklah sesekali ke sini. Jangan hanya PRU umum nanti baru nak datang kembali, saya percaya rakyat akan terus menolak dan tidak percaya lagi pemimpin seperti itu. Begitu juga dengan pemimpin besar lain yang pada PRK Manek Urai dulu sering kali ulang alik, datanglah berkunjung sesekali datang ke Kelantan.

Berbalik pada lawatan DS Najib pada isnin ini ke Kuala Krai adalah amat dialu-alukan. Kalau boleh sebagai PM, majlis itu menjemput juga semua lapisan masyarakat dan kempimpinan semua parti dalam kawasan itu supaya perpaduan dapat ditingkatkan lagi. Sekiranya pemimpin dari parti tertentu sahaja maka, ianya tidak akan ke mana dan perpaduan sukar untuk dipertemukan, malah dalam UMNO sendiri pun Bahagian Kuala Krai mempunyai dua tiga kumpulan seperti Kumpulan Ketua Bahagian sekarang, kumpulan bekas Ketua Bahagian dan kumpulan bekas wakil rakyat. Atau kedatangan DS Naji untuk mendamaikan kumpulan-kumpulan itu sepertimana TS Muhyidin berusaha mendamaikan kumpulan di Terengganu.

Adalah molek juga jika majlis berbuka puasa PM di Kuala Krai itu juga menjemput Tok Guru Menteri Besar, YB Ku Li, dan juga veteren UMNO seperti TS Mohamad Yaakob dan TS Hussein Ahmad bagi memeriahkan majlis dan mempertautkan ikatan perpaduan di kalangan para pemimpin dan rakyat. Persoalan mengenai urusan parti seperti Mesyuarat atau perjumpaan Bahagian UMNO, boleh dilaksanakan selepas Majlis Berbuka puasa.

Diharapkan juga lawatan DS Najib kali ini juga dapat memberikan khabar baru tentang tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan. Saya difahamkan PM akan ke Kuala Krai dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa dengan menggunakan helikopter. Kalau menggunakan heli Nuri tu harap-harap pesawat itu diservice dengan baik, dan dalam keadaaan baik juga untuk membawa PM dan rombongan.

Friday, September 4, 2009

Kg. Buah Pala akhirnya hilang menjelang minggu depan



Pertelingkahan penduduk Kg Buah Pala akhirnya akan sampai ke penghujungnya. Mereka akhirnya terpaksa tunduk kepada keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada mereka. Walaupun pada khamis kelmarin hanya seorang penduduk sahaja yang bersetuju menerima tawaran pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd dan hanya sebuah rumah sahaja dirobohkan dan 4 orang penduduk ditahan. Tetapi pada jumaat 22 penduduk telah bersetuju menerima tawaran pemaju.

Mengikut Thomas Chan, pengarah syarikat pemaju, dalam mesyuaratnya dengan para penduduk 22 tuan punya rumah telah bersetuju dan menandatangani surat mereka akan berpindah secara aman. Pihak pemaju menawarkan mereka sebuah rumah teres 2 tingkat dan wang tunai RM8000 gantirugi bagi perpindahan tersebut. Mengikut pihak pemaju juga kerja-kerja merobohkan rumah akan dilaksanakan pada minggu hadapan dan tapak tanahnya akan dimajukan secepat yang mungkin. Bagaimana pun penduduk akan diberikan sedikit masa bagi tujuan perpindahan tersebut.

Kelmarin, M Sugumaran,Pengerusi Persatuan Penduduk Kg Buah Pala menyatakan mereka tidak ada pilihan melainkan terpaksa akur kepada keputusan mahkamah bagi mengosongkan tapak tanah Kg Buah Pala. Walaupun penduduk kecewa dengan keadaan ini tetapi terpaksa menerima tawaran daripada pihak pemaju.

Dengan ini akan berakhirlah episod perebutan tapak tanah seluas 2.6 hektar tersebut dan nama Kg Buah Pala akan tinggal dalam kenangan bersama sejarahnya yang tersendiri.

Bakar Bendera Malaysia...tunjuk perasaan mahasiswa Indonesia


Isu penciplakan tarian pendet seperti yang dituduh Indonesia kepada Malaysia memasuki babak baru dengan sekumpulan mahasiswa Indonesia telah berarak ke kedutaan Malaysia di Jakarta. Balingan telur busuk dan juga memacakkan bendera Indonesia di pagar kedutaan mengambarkan suasana yang tidak sepatutnya berlaku. Malah tuduhan penciplakan ini bukan lagi setakat tarian pendet bahkan lagu Negaraku juga dituduh ditiru dari Lagu Terang Bulan dari Indonesia.

Bagaimanapun ianya masih boleh dipersoalkan lagi kerana ada maklumat yang menyatakan lagu Terang Bulan ini juga berasal dari Mamula Moon yang telah dihasilkan oleh seorang komposer berbangsa Peranchis.

Sebelum itu dua hari menjelang Hari Kemerdekaan Malaysia 31 Ogos , sekumpulan mahasiswa di Banten telah membakar bendera Malaysia dalam satu tunjuk perasaan. Perkara ini sepatutnya diselesaikan dengan cara yang baik antara pemimpin kedua-dua belah pihak, bukannya dengan tunjuk perasaan seperti itu. Bahkan jika perlu Malaysia dan Indonesia pergi sahaja ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi memutuskan soal apa ayang dikatakan penciplakan budaya itu. ( sebelum ini dalam kes Pulau Sipadan keputusan ICJ memihak kepada Malaysia)

Cara tunjuk perasaan beremosi dengan kata-kata "Ganyang Malaysia" seolah-olah mengingatkan kita kepada peristiwa KOnfrontasi semasa era Presiden Sukarno dahulu.
Bagaiman pun dalam sehari dua ini tiada lagi perkembangan tunjuk perasaan itu, kemungkinan para mahasiswa itu sedikit terkejut dengan gempa bumi kuat yang melanda daerah Sukabumi dan Tasik Malaya.

Diharapkan para pemimpin kedua-dua negara tidak terpengaruh dengan suasana yang ditimbulkan oleh para penunjuk perasaan khususnya kumpulan mahasiswa itu yang terikut-ikut dengan emosi semata-mata, tanpa memikirkan kesannya dalam hubungan bernegara.

Kunjungan TPM ke Terengganu gagal?


Petang semalam 3 September 2009, TPM TS Muhyiddin Yassin serta Naib Presiden UMNP Datuk Hishamuddin telah berkunjung ke Terengganu dalam apa yang disifatkan oleh pengamat politik tanah air sebagai usaha untuk mententeramkan pergolakan hebat yang berlaku dalam politik Terengganu khususnya 2 puak dalam UMNO yang bersengketa tiada penghujungnya.

Namun semasa lawatan TPM dan Menteri Dalam Negeri itu seolah telah dipulau oleh 14 orang ADUN Terengganu yang menyokong kumpulan Datuk Idris Jusoh. Yang hadir cuma Menteri Besar dan EXCO Negeri iaitu puak Menteri Besar serta pemimpin UMNO Bahagian yang menyokong Datuk Ahmad Said. Hanya seorang wakil rakyat yang hadir yang bukan dari penyokong Menteri Besar. Ketidakhadiran ramai ADUN ini menunjukkan TPM sendiri gagal untuk "mendamaikan" perbalahan antara mereka.

Mengikut wakil rakyat yang hadir itu "pemboikotan" majlis yang dihadiri TPM dan juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri (Datuk Hishamuddin) tidak pernah terjadi sebelum ini. Ini membuktikan apa yang hendak disorok oleh pemimpin UMNP Pusat tentang pergolakan di Terenganu tidak berjaya malah membuka pekung di dada. Pemulauan ini juga mengikut wakil yang hadir itu sebagai mesej kepada kepada kepimpinan Menteri Besar yang tidak dapat diterima oleh sebilangan besar wakil rakyat UMNO Terengganu.

Wakil rakyat yang memulau majlis itu juga nampaknya tidak yakin krisis yang mendalam itu dapat diselesaikan oleh TPM. Mengikut laporan Malaysiakini yang memetik kata-kata wakil rakyat yang hadir " kalau setakat nak tunjuk muka,datang makan-makan, nak huha-huha baik kami tak payah pergi". Kalau itu pendiriannya maka masalah ini akan memakan masa untuk selesai.

Mungkin Perdana Menteri sendiri terpaksa campurtangan dan turun ke Terengganu bagi mengatasinya; itu pun jika boleh diselesaikan. JIka tidak, pilihan raya peringkat merupakan jalan yang paling sesuai mengatsi kemelut ini.