Blog Archive

Sunday, September 6, 2009

Membaca Al-Quran : Jadikan amalan


Bersempena dengan Nuzul Quran penulis ingin memperkatakan tentang amalan membaca Al-Quran khususnya di kalangan masyarakat Malaysia hari ini. Dalam bulan Ramadhan ini rata-rata masrakat muslim baik di Malaysia dan juga di seluruh dunia mengerjakan amalan berpuasa di samping memperbanyakkan amalan membaca Quran. Mungkin kalau nak disebutkan "membudaya" Al-Quran tidak berapa tepat maksud dan tafsirannya. Untuk itu amalan lebih sesuai kerana ianya dikaitkan dengan pahala.

Di kalangan masyarakat Arab, amalan membaca Quran khususnya dalam bulan Ramadhan amatlah terpuji. Bahkan mereka juga sesetengahnya "bercuti" dari kerja bagi mengimarahkan Ramadhan yang datangnya setahun sekali. Mengikut cerita seorang ustaz yang pernah belajar di Mesir, beliau ada bertanyakan pemilik rumah sewanya kenapa ada orang Arab yang bercuti dari kerja selama sebulan dan amalan yang dilakukan setiap hari ialah qiamullail, solat tarawih waktu malam, dan siangnya berada di masjid membaca Al-Quran. Jawapan Arab tadi " Saya telah bekerja selama 11 bulan untuk bekalan di dunia, tidak bolehkah saya bercuti sebulan dan beramal sepenuhnya untuk bekalan akhirat saya".

Di Malaysia amalan membaca Quran ini sememangnya dilakukan baik di masjid-masjid atau pun rumah. Cuma ianya belum berkembang seperti mana di negara-negara Arab yang telah mengamalkannya segenap tempat hatta di perhentian bas sekalipun. Pernah seorang Ustaz menceritakan dalam ceramahnya bagaimana dia cuba mempraktikkannya dan semasa sedang menunggu bas di perhentian, dia membuka Quran dan membacanya. Orang Cina dan India yang datang nak menunggu bas juga agak kehairanan dan berlalu begitu sahaja. Orang Melayu-Muslim pula merenung tajam kepadanya dan akibat renungan itu dia mengambil keputusan memberhentikan bacaan ayat-ayat sucinya. Bertanya lelaki Melayu itu kepadanya " Anak, anak membaca Quran ini nak minta sedekah ke? " Nah begitu sekali tanggapan songsang masyarakat kita terhadap amalan mulia ini.

Pernah suatu ketika dahulu, apabila ada orang datang ke rumah dan memberi salam, kita sangkakan mereka peminta sedekah, kata orang Kelantan " Tok Fakir minta sedekah", tetapi Alhamdulillah amalan memberi salam telah berjaya dihidupkan dalam masyarakat Islam di Malaysia.

Bersempena dengan Nuzul Quran dan hari-hari Ramadhan yang masih berbaki lagi ini, marilah kita sama-sama membaca Quran sama ada di masjid, surau dan juga di rumah serta pejabat. Amalan baik ini juga sepatutnya diteruskan selepas dari bulan Ramadhan ini. Wasallam.

No comments:

Post a Comment