Blog Archive

Saturday, September 12, 2009

Kumpulan Samy Menang Besar: Boleh Cakap Besar


Menjelang malam semalam Datuk Samy Vellu telah menyatakan "Mereka bukan menyampah dengan saya. Mereka menyampah dengan BN". Ada 2 keadaan apabila Samy berkata demikian. Pertamanya mungkin dia bercakap begitu kerana telah mengetahui kumpulan sokongannya memenangi semua jawatan penting MIC dalam pemilihan semalam. Jadi beliau seakan memberikan pukulan balik kepada pihak-pihak yang memperlekeh kepimpinannya dalam MIC dan menggesanya berundur. Mungkin juga ianya dituju kepada Tun Dr.Mahathir yang lantang mengkritiknya dua hari berturut-turut di samping akhbar-akhbar seakan tidak menyebelahi Samy.

Keduanya, mungkin Samy berkata secara jujur kerana bukan sahaja MIC yang ditolak rakyat dalam PRU umum lalu tetapi MCA, Gerakan dan juga UMNO. Kalau MIC sahaja ditolak rakyat mengapa di Kedah dan Kelantan orang-orang Melayu juga menolak UMNO. Jadi ada asasnya apabila Samy berkata " mereka bukan menyampah dengan saya, mereka menyampah dengan BN" dan ini juga berupa jawapan balasnya pada Dr.Mahathir dan kumpulan UMNO yang memperlekehnya.

Petang semalam juga apabila saya menjenguk Utusan Online, terkejut juga bila melihat tajuk "latest" newsnya menyatakan Dato' Subramaniam menang jawatan Timbalan Presiden. Apakah Utusan hanya membuat andaian. Bagaimanapun apabila malam Utusan Online menyiarkan Palanivel yang menang bukan Subra. Mungkin inilah juga yang menyebabkan Samy berang dengan Utusan sehingga menggelar "rasis dan abang besar" lantaran kritikan Utusan kepadanya.

Saya yakin selepas kumpulannya memenangi jawatan penting MIC, Samy akan terus memimpin MIC, malah akan mengenakan tindakan ke atas kumpulan penentangnya terutama Dato' Subra. Beliau pernah berkata akan merujuk Subra kepada Jawatankuasa Disiplin parti ekoran wawancara Dr.Mahathir dalam Makkl Osai yang seakan menyokong Subra dan harus diingat juga kumpulan orang-orang Subra yang memegang saham utama akhbar Tamil itu. Jika Subra disingkir dari keahlian MIC, ke mana arah tujunya nanti...apakah akan memasuki PKR. Sekiranya Subra menyeberang ke PKR ianya akan memberi pukulan ada BN sendiri.

No comments:

Post a Comment