Blog Archive

Sunday, September 13, 2009

Jangkaan Kesesakan Jalan Raya Menjelang Raya


Seminggu lagi umat Islam di Malaysia akanm menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Menjelang tarikh itu ramai para perantau termasuk penulis sedang berkira-kira untuk balik kampung dan jalan raya mana yang sepatutnya digunakan bagi mengelak kesesakan. Apa tidaknya, semua perantau akan pulang beraya di kampung masing-masing menjelang hari besar tersebut dan Kuala Lumpur bakal lengang. Persoalan nak balik di rumah siapa bagi suami-isteri kita tinggalkan bagi mereka menyelesaikannya sendiri.

Yang lebih penting ialah jalan mana patut diikuti bagi mengelak kesesakan. Walaupun pihak PLUS ada menyarankan waktu bertolak bagi destinasi-destinasi tertentu seperti utara, timur dan selatan , tetapi biasanya tidak ramai yang mengikutinya. Bagi pengguna Lubuh Raya Utara-Selatan, tiada pilihan baginya kecuali menggunakan jalan lama yang juga akan sesak. Bagi pengguna jalan raya ke pantai timur, kami mempunyai beberapa pilihan iaitu melalui Karak, atau bagi perantau dari Kelantan boleh menggunakan Jalan melalui Grik-Tanah Merah atau melalui Lojing/Cameron Highland-Gua Musang. Namun untuk melalui jalan tersebut perlu juga menempuh kesesakan sedikit.

Saya pernah berada di atas jalan raya selama 13 jam semasa pulang beraya di Kelantan beberapa tahun lalu. Saat itu paling menyeksakan, untuk sampai ke Bentung sahaja yang jaraknya lebih kurang 50 km mengambil masa lebih 3 jam. Kawan-kawan dari Bentung, Raub dan Kuala Lipis setiap kali raya akan "menyumpah" orang Kelantan dan Besut, Terengganu kerana orang Kelantan dan Hesutlah yang menyebabkan mereka juga menanggung masalah kesesakan. Apa nak buat, jalan paling dekat untuk kami pulang adalah melalui jalan itu.

Kalau dalam keadaan biasa untuk sampai ke Kota Bharu melalui Bentung-Kuala Lipis-Gua Musang akan mengambil masa 6 jam tanpa henti (kalau berhenti solat dsb 7-8 jam).Tetapi kalau dekat raya begini akan mengambil masa 12-14 jam, sekali ganda masanya yang terpaksa diambil. Bagi yang merancang awal biasanya mereka akan balik awal semingu dengan kereta dan tinggalkan kereta di kampung. Untuk balik raya mereka menggunakan pengangkutan udara; itu boleh mengelakkan kesesakan.

Perkara utama yang menyebabkan kesesakan ialah "tarikh" persekolahan yang masih lagi belajar hari jumaat. Ramai merungut kenapa pihak Kementerian Pendidikan tidak peka pada keadaan itu. Jadi hari sabtu semua orang akan balik dan menggunakan jalan raya yang telahpun sesak. Kalau jumaat sudah tidak bersekolah sekurang-kurangnya bagi yang jauh boleh pulang hari khamis lagi dan ini boleh mengelakkan kesesakan. Warga guru juga berharap pihak Kementerian dan PPD bertimbanmg rasa dengan mengumumkan jumaat tidak bersekolah dan diganti masanya dengan hari lain selepas cuti raya bagi memudahkan mereka pulang ke kampung.

Apapun kita lihatlah nanti, jika jumaat masih bersekolah pasti hari sabtu orang akan berpusu-pusu pulang dan jalan raya akan sesak teruk tidak kira jalan masa sekalipun. Semoga para pengguna jalan raya semua akan memandu secara berhemah di jalan raya bagi mengelakkan kemalangan.Selamat menyambut hari raya, maaf zahir batin.

No comments:

Post a Comment