Blog Archive

Tuesday, September 15, 2009

Dr. Mahathir terima terjahan pemimpin MIC


Sekonyong-konyong lepas Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun itu melontarkan pandangannya dalam akhbar Tamil Makkal Osai sejurus sebelum Perhimpunan Pemilihan MIC; beliau telah ditempelak oleh bukan sahaja Datuk Sri Samy Vellu tetapi juga para pemimpin Bahagian MIC. Sebelum itu beliau ditempelak Samy apabila Samy menyanggah apa yang disifatkan Dr.Mahathir beliau tidak membantu masyarakat India walaunpun Samy begitu lama menjadi Presiden MIC. Samy juga marahkan Dr. Mahathir kerana menyokong Dato' Subramaniam yang bertanding Timbalan Presiden iaitu musuh lama Samy.

Samy telah membandingkan beliau dengan Mahathir iaitu beliau hanya mempunyai seorang Timbalan sahaja sepanjang jadi Presiden MIC sedangkan Mahathir mempunyai ramai Timbalan PM semasa menjadi PM dan Samy menyatakan "Dr. Mahathir pakar dalam memusnahkan Timbalannya" berikutan "kecundangnya" beberapa Timbalan Mahathir sebelum ini. Malah ucapan PM DS Najib semasa merasmikan Perhimpunan MIC itu juga turut disanggah Samy dengan menyatakan seseorang pemimpin perlu dikenali dalam parti dahulu sebelum dikenali di kalangan masyarakat. Ini berikutan gesaan Najib supaya sesiapa yang hendak menjadi pemimpin janganlah hanya menjadi pemimpin di kalangan ahli parti sahaja, tetapi juga di kalangan masyarakat keseluruhannya.

Berikutan dengan apa yang disifatkan campurtangan luar khususnya Dr.Mahathir, maka para perwakilan MIC yang turut berucap dalam perbahasan semasa Perhimpunan MIC itu juga turut terbawa dengan sentimen menentang usaha memperlekeh Samy. Seorang daripadanya M. Sukumaran, Timbalan Ketua Bahagian MIC Paya Besar, Pahang yang telah menyerang Dr.Mahatir dalam ucapannya.

M. Sukumaran telah menyelar campurtangan Dr.Mahathir dalam pemilihan MIC itu dengan mencadangkan agar negarawan itu "dikalungkan dengan selipar" pada gambarnya. Umum mengetahui bahawa masyarakat India, pada bingkai gambar seseorang tokoh pemimpin mereka dikalungkan dengan "bunga" sebagai menghormatinya. Tetapi Sukumaran mencadang dikalungkan selipar yang seolah-olah satu penghinaan kepada negarawan ulung itu.
Mujur juga tidak dicadangkan dibaling selipar sebagaimana Muhtazeer, wartawan Iraq membaling kasut kepada Presiden Bush dahulu.

Semasa cadangan kalungan selipar itu diucapkan, Samy juga turut berada di pentas perhimpunan dan ini telah mengheret sama nama Samy dalam isu ini. Lebih-lebih lagi Samy merupakan Presiden MIC dan kalau beliau diam sahaja seolah-olah beliau mempersetujuinya.

Maka keesokannya riuhlah para pemimpin UMNO mempertahankan Dr.Mahathir dan menggesa Samy mengambil tindakan disiplin kepada Sukumaran. Orang yang pertama sekali bangkit mempertahan Dr. Mahathir ialah Datuk Razali Ibrahim, pemimpin muda dari Johor. Tetapi beliau hanya menyatakan perwakilan MIC mencerca Dr. Mahathir, tetapi Khairy Jamaludin kemudiannya juga mempertahan Dr.Mahathir dan mengatakan cadangan supaya dikalungkan selipar itu tidak dapat diterima oleh pemimpin UMNO. Baru masyarakat mengetahui duduk perkara sebenar cercaan itu dan barulah juga juak-juak pemimpin bawahan lain turut mengecam cadangan itu.

Berikutan desakan keras dari pimpinan UMNO termasuk pemimpin tertinggi, maka keesokannya Samy telah mengambil keputusan menggantung keahlian M Sukumaran dari MIC dan juga akn meminta Sukumaran memohon maaf dari Dr. Mahathir. Berikutan itu isu ini agak reda sedikit dan selang sehari kemudiannya M Sukumaran tampil memohon maaf dalam akhbar dan menyatakan kesediaan berjumpa Dr.Mahathir untuk memohon maaf.

No comments:

Post a Comment