Blog Archive

Monday, September 7, 2009

DS Najib ke Kelantan, Luluskan Jambatan



Petang kelmarin 7 September 2009, DS Najib PM Malaysia telah membuat kunjungan ke Manek Urai, Kelantan dan berjumpa dengan masyarakat dalam Majlis Berbuka Puasa di SMK Sultan Yahya Petra, Kuala Krai. Umum mengetahui bahawa dalam PRK Manek Urai lalu beliau tidak datang ke Kelantan dan kempun BN diterajui oleh TPM. Walaupun BN kalah dalam PRK tersebut dengan 65 undi, namun ianya memberi kemenagan moral kepada para penyokong BN tatkala mengalami kekalahan demi kekalahan dalam PRK.

Untuk itulah DS Najib datang ke Kuala Krai bagi menghargai sokongan para pengundi di situ yang telah memberi harapan kepada BN untuk PR yang akan datang. Dalam kempen PRK tersebut juga TPM telah berjanji untuk membina jambatan dua hala bagi menggantikan jambatan sehala sedia ada yang telah berusia lebih 20 tahun. Ia akan memberikan kemudahan perhubungan Manek Urai Lama dengan Manek Urai Baru dan juga kawasan sekitarnya.

Kedatangan DS Najib petang kelmarin telah meluluskan peruntukan jambatan tersebut sebanyak RM 8 juta, di samping meluluskan peruntukan membaiki Masjid Temalir sebanyak 600,000 dan kemudahan kompleks sukan di Manjor sebanyak 300,000. Pengumuman ini disambut gembira para penduduk setempat tanpa mengira anutan politik.Dalam ucapannya Najib menyatakan bahawa kerajaan ikhlas membantu rakyat dan janji yang dibuat akan tetap ditunaikan.

Para penduduk Manek Urai khususnya dan Kelantan amnya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri tersebut. Rara-rata mengucapkan terima kasih kepada PM yang telah meluluskan peruntukan besar tersebut. Harapan rakyat setempat ialah kerja-kerja pembinaannya hendaklah dilaksanakan dengan segera tanpa menunggu Pilihan Raya Umum yang dijangka 2013 nanti. Ini kerana masa semakin suntuk bagi BN untuk berbudi kepada rakyat sebabnya jika ianya terlewat dilaksana kemungkinan akan menjadi modal politik dalam PRU akan datang. Sekurang-kurangnya dilaksanakan pembinaannya tahun 2011 dengan jangkaan penyediaan pelan dan proses tawaran tender akan siap dalam tahun 2010.

Kalau ia lewat dilaksanakan dibimbangi para pengundi yang mengundi BN dalam PRK baru-baru ini akan melarikan undinya kepada pihak lain. Masyarakat kini sudah pandai menilai tugas dan tanggungjawab kerajaan dan projek pembangunan seperti ini tidak boleh lagi dijadikan modal bagi menarik sokongan. Pernah terjadi di Kelantan tiang elektrik ditebang penduduk yang kecewa kerana terlalu lama berdiri tanpa disambung bekalan elektriknya.

Begitu juga semasa PRK Pengkalan Pasir, Pasir Mas dalam tahun 2003 telah dimenangi oleh BN melalui calonnya Hanafi Mamat yang menewaskan calon PAS Hanifa Ahmad walaupun sebelum itu kerusi tersebut milik PAS. Dan dalam PRK tersebut BN telah juga berjanji akan membina jambatan bertingkat melintasi jalan kereta api sekiranya menang. Dan kebetulan BN menang dalam PRK itu, tetapi kemungkinan juga disebabkan janji yang tidak ditunaikan; maka dalam PRU 2004 kerusi Pengkalan Pasir dimiliki kembali oleh PAS menerusi calonnya yang sama iaitu Hanifa Ahmad yang tewas dalam PRK sebelum ini. Ini uniknya politik di Kelantan sekiranya rakyat hanya digula-gulakan dengan janji sahaja tanpa pelaksanaan, nescaya rakyat akan menolaknya dalam pilihan raya.

Adalah diharapkan pengumuman PM kali ini akan dilaksanakan dalam kadar yang segera kerana dengan pelaksanaan segera dapat menggambarkan keprihatinan kerajaan dan juga boleh memujuk hati rakyat khususnya kawasan pedalaman yang masih dahagakan pembangunan. Jangan biarkan rakyat kecewa kerana sekali kecewa sampai bila-bila mereka akan mengenangnya.

No comments:

Post a Comment