Blog Archive

Friday, September 25, 2009

Catatan perjalanan beraya pulang ke kampung


Sememangnya Hari Raya menggamit para perantau untuk pulang ke kampung halaman untuk berhari raya bersama sanak saudara. Walaupun saya telah bertugas di Kota Bharu sejak sebulan lalu, tetapi masih berulang alik ke Kl kerana isteri dan anak-anak masih di KL dan begitulah rutin mingguan saya. Sama ada balik ke KL secara memandu atau menaiki bas dan juga kapal terbang tambang murah. Boleh dikatakan setiap minggu saya akan turun ke KL bertemu keluarga dan jika ada urusan rasmi mungkin lebih dari sekali seminggu.

Apabila hari raya menjelang tiba, runtunan rasa ingin berhari raya dikampung cukup terasa bagi anak-anak saya. Untuk itu saya dari K.Bharu datang ke KL bagi membawa mereka pulang. Bagi isteri dan dua anak yang kecil saya belikan tiket Airasia untuk mereka pulang bagi mengelakkan kesesakan. Selepas menghantar mereka ke LCCT pada jumaat 18 September, saya pulang ke rumah berkemas bersama dua orang anak lagi. Seorang yang baru tiba dari Jogja kerana sedang kuliah kedoktoran di UGM dan seorang lagi di UiTM, Shah Alam. Bagi mengelakkan kesesakan kami bercadang bertolak balik jam 3 pagi keran pada anggapan kami waktu itu tak ramai orang. Saya kena bawa balik kereta untuk senang berjalan semasa raya walaupun telah ada satu kereta di KB tetapi agak kecil untuk kami sekeluarga.

Jam tiga pagi, Jumaat 18 September kami bertolak dari rumah di Selayang dan setibanya di Tol Gombak, saya terkejut besar bila banyaknya kereta melepas tol. Jangkaan saya meleset kerana orang ramai mula pulang sejak Khamis lagi dan pada Jumaat Lebuh Raya Karak mula sesak hingga ke Bentung. Apa boleh buat saya terpaksa juga melaluinya kerana telah tiba di Tol Gombak, hendak patah balik pun agak susah juga. Nasi baiklah kereta Naza Rondo yang saya pandu jenis auto dan tidak terasa sangat peritnya kaki.

Dari jam 3.30 pagi di Tol Gombak kami sampai di Bentung jam 6.15 pagi, hampir 3 jam kami terpaksa melalui lebuh raya tiga lorong yang semuanya sesak. Klaau dalam keadaan biasa hanya 45 minit bagi perjalanan kira-kira 50 km itu. Mereka yang mengalami kerosakan kereta atau berehat tepi jalan tak usah kira memamng banyak sepanjang jalan. Yang berhenti tidur pun ada, mungkin mereka bertolak awal lagi iatu selepas solat maghrib. Selepas mengisi minyak di Bentung dan solat Subuh di Masjid Bentung, kami bertolak semula. Pada mulanya hendak pusing melalui jalan alternatif melalui Felda Mempaga, tetapi melihat pada awla subuh tak banyak kereta kami ikut jalan biasa sahaja. ( bagi orang Terengganu dan Kuantan, Pahang selepas Tol Bentung agak selesa kerana kereta bergerak lancar)

Ini bermakna masyarakat 3 negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang yang melalui jalan lebuh raya Karak telah menyebabkan kesesakan teruk antara Tol Gombak dan Bentung. Mereka yang mahu pulang ke Kelantan mula berpecah melalui jalan Bentung-Raub-Kuala Lipis-Gua Musang untuk ke Kota Bharu. Perjalanan dari Bentung agak lancar walaupun tidak dapat mencapai kelajuan had maksima 110 km sejam. Kelajuan kira-kira 80 km sejam agak baik kerana kereta tak putus-putus sehinggalah sampai ke Gua Musang.

Dari Gua Musang juga kami tak dapat laju kerana terlalu banyak kereta dan kami tiba di Kota Bharu jam 1 tengah hari. Malam itu saya tak tidur langsung dan perjalanan kami juga tidak berhenti selain berhenti solat Subuh dan isi minyak sahaja. Inilah pengalaman kali kedua saya memandu selama 10 jam (sebelum ini pernah 12 jam, bagi perjalanan yang pada kebiasaannya hanya 6-7 jam sahaja)). Alhamdulillah kami sampai juga di Kota Bharu walaupun penat memandu semalaman dan sempat juga anak-anak saya berbuka bersama datuk dan nenek mereka pada hari Sabtu iaitu hari terakhir puasa.

Memandangkan kesesakan serupa berulang kali, maka pada tahun hadapan kami bercadang untuk pulang lebih awal bergantung pada jadual persekolahan anak-anak ataupun menggunakan pengangkutan udara yang boleh ditempah lebih awal untuk mendapatkan tambang yang lebih murah. Segala-galanya bergantung pada keadaan.

No comments:

Post a Comment