Blog Archive

Friday, July 31, 2009

1 Ogos menemukan 2 kumpulan: pro dan anti ISA

Tanggal 1 Ogos ditunggu ramai. Para demonstran baik pro dan anti ISA dijangka bertembung. Pasukan Polis juga sudah sedia. Jalan raya dijangka lagi sesak di ibu kota esok. Pengangkutan awam dijangka susah bergerak...ohh esok pengangkutan awam juga mula kuat kuasa naik tambang! Petang tadi saya ke bank di Kepong, berhampiran dengan Jaya Jusco Kepong...jalan sesak di situ kerana satu pemeriksaan polis dilakukan, dua lorong jalan jadi satu lorong sahaja.

Apapun kita harapkan perhimpunan esok dalam suasana aman, kalau sedikit bising tu biasalah, cuma jangan sampai bertempur tak kira sama ada dengan pasukan keselamatan atau sesama yang anti dengan pro. Masa demonstrasi pun taklah lama sangat dua tiga jam sahaja jika semuanya berjalan lancar. Bagi yang tiada berhajat ke sana, duduk rumah ajelah bagi mengelakkan kesesakkan lalu lintas. bagi yang ada urusan lain cuba elakkan jalan-jalan yang berkenaan. Kesesakan tu biasalah di KL ni, tak demonstrasi pun sesak juga, kalau ada kemalangan atau lori tumpah minyak dan lain-lain. Hujan pun buatkan sesak juga jalan...

Bagi para pendemonstran semua selamat berdemonstrasi... dan jangan berkelahi!

Thursday, July 30, 2009

PM di Kota Bharu 1 Ogos, apa "buah butirnya"



Pada 1 Ogos 2009, PM DS Najib telah membuat lawatan rasmi ke Kelantan. Beliau pada awalnya merasmikan Persidangan 4 Bahagian UMNO di Kompleks Sekolah-Sekolah Wakaf Mek Zainab dan pada tengah hari Perjumpaan bersama rakyat di padang sekolah sama. Majlis yang dinamakan Mesra pemimpin bersama rakyat dan program merakyatkan seni budaya ini adalah bertujuan mempertemukan pemimpin utama negara itu dengan pelbagai lapisan rakyat. Perlu juga diingat bahawa semasa kempen PRK Manek Urai PM tidak datang ke Kelantan, dan kedatangan kali ini ada signifikannya.

Seperti dalam posting semalam di bawah tajuk "isu royalti minyak Kelantan, bagaimana kesudahan" saya ada menyatakan kedatangan PM mungkin ada kaitannya juga isu ini. Jangkaan saya tepat apabila PM telah disambut MB Kelantan di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa dan antara perbincangan 4 mata mereka ialah berkaitan isu tersebut.
Dalam laporan kebanyakannya blog ada dinyatakan bahawa Tok Guru MB Kelantan ada menulis surat kepada PM dan juga kepada Ku Li berkaitan isu minyak. Ku Li telah menjawab surat Tok Guru dan menyatakan terus terang bahawa beliau adalah orang yang tanda tangan perjanjian bagi pihak PETRONAS dan Datuk Mohd. Nasir MB Kelantan bagi pihak kerajaan negeri pada tahun 1975. Sehubungan itu KU Li menyatakan bahwa Kelantan secara legalnya berhak mendapatkan royalti 5 % itu berdasarkan Petroleum Development Act.

Pada hari ini semasa lawatan PM, "buahbutir"nya terjawab. PM menyatakan dalam nada yang positif bahawa isu royalti minyak Kelantan itu masih dalam kajian dan ianya akan dimaklumkan kepada kerajaan Kelantan bila siap kajian. Itu adalah jawapan politik sebenarnya, kerana sebagai PM beliau boleh menyatakan persetujuan atau tidaknya pada ketika itu juga.Bagaimanapun ianya merupakan satu tanda "positif" dalam hubungan dua hala dalam semangat federalism antara kerajaan Kelantan dan Pusat.

Hendaknya janganlah terlaku lama kajian itu, mungkin selepas selesai PRK Permatang Pasir ianya boleh dirundingkan.( dalam masa PRK mungkin sukar dibincang apa lagi PRK itu antara UMNO lawan PAS). PM juga tidak meletakkan syarat yang ketat dalam meningkatkan hubungan Kelantan dengan Pusat, cuma mahukan pemimpin PAS menjaga hati dan perasaan UMNO. Ini menunjukkan satu sikap positif Pm berhubungan perkara ini dan seluruh rakyat Kelantan sebenarnya amat mengharapkan hubungan baik ini serta perolehan royalti minyak bagi peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan semua rakyat Kelantan.

Al Fatihah, YB Datuk Haji Hamdan, ADUN PAS meninggal


ADUN Permatang Pasir, YB Datuk Haji Hamdan Abdul Rahman dari PAS telah kembali ke rahmatullah pada pagi jumaaat yang mulia di IJN. AlFatihah...semoga ruh Allahyarham dirahmati dan diletakkan di sisi orang-orang beriman, amin. Dan takziah pada keluarga Allahyarham semoga bersabar menghadapi ujian.

Allahyarham telah menjadi Wakil Rakyat Permatang Pasir selama 3 penggal dan bagi PAS ianya satu kehilangan seorang pejuang yang berpengalaman dan yang telah banyak berbakti kepada masyarakat di kawasan itu.

Kekosongan kerusi itu akan menyebabkan satu lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) terpaksa diadakan dalam masa 60 hari dan pihak SPR dijangka akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi memutuskannya.

Isu royalti minyak Kelantan, bagaimana kesudahan?


Sejak dari kempen PRK Manek Urai isu royalti minyak yang dituntut kerajaan Kelantan masih lagi tiada hitam putihnya. Masing-masing pihak mempunyai pandangan sendiri dan tiada sebarang keputusan. Pihak PETRONAS yang diminta kerajaan pusat untuk memberikan penjelasan bahawa Kelantan tidak layak menerima royalti juga masih belum kata apa-apa. Pihak yang menuntut iaitu kerajaan Kelantan mendakwa mempunyai bukti yang kukuh mengapa Kelantan berhak mendapat royalti sebanyak 5%.

Pihak kerajaan pusat pula masih mengatakan ianya diluar perairan Kelantan, tetapi bukan berdasar hujah yang kukuh. Menteri Penerangan DS Rais Yatim semasa PRK Manek Urai baru-baru ini secara berlapek menyatakan pemberian royalti itu adalah ehsan kerajaan pusat. Sedangkan pemimpin UMNO lain kebanyakannya menyatakan Kelantan tidak layak berdasar hujah yang mereka sendiri pun tak berapa tahu.

Rasanya jika benar Kelantan tak layak, sudah awal-awal lagi PETRONAS buka mulut, apatah lagi bila diminta oleh TPM memperjelaskannya semasa kempen PRK Mu baru-baru ini. Jadi mengapa PETRONAS masih lagi membisu, ini menimbulkan sedikit kemunasabahan kepada pihak yang menuntut. Ditambah lagi dengan kenyataan KU Li seorang tokoh UMNO sendiri yang pernah menerajui PETRONAS yang seakan menyokong pada tuntutan itu demi untuk kesejahteraan rakyat Kelantan keseluruhannya. Tahniah kepada Ku Li atas sikap terus terang beliau, kerana seperti diketahui umum perjanjian dengan PETRONAS dikatakan dibuat semasa pemerintahan Datuk Haji Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan yang mengetuai parti BERJASA ketika itu. (Masa itu BERJASA dan UMNO berkongsi kuasa mentadbir Kelantan)

Banyak blog terutama dari Kelantan yang membuat perincian tentang isu tuntutan royalti ini, yang paling terperinci dan analitikal tuan-tuan boleh melihat dalam blog sdr.kickdefeela. Tahniah buat saudara yang telah membuat kajian dan penyelidikan yang begitu mendalam. Harap teruskan usaha-usaha perjuangan murni saudara.

Esok 1 Ogos PM DS Najib melawat Kelantan. Beliau dikatakan akan merasmikan persidangan 4 bahagian UMNO serentak di salah sebuah sekolah di Wakaf Mek Zainab sebelum bersama-sama dalam program Pemimpin Bersama Rakyat pada sebelah petangnya di tempat sama. Apakah esok PM akan membuka mulut mengenai isu tuntutan royalti minyak ini. Sama-sama kita tunggu.

Manek Urai...kembali sepi

Setelah berlalunya PRK MU kira-kira dua minggu yang lalu keadaan di sana kembali seperti sedia kala, tidak lagi sesibuk masa PRK. Para Menteri dan Orang-Orang Besar kedua-dua parti yang bertanding telahpun pulang ke rumah masing-masing. Tidak ada lagi yang sudi "menoreh getah" bersama masyarakat di sana atau menaiki motorsikal kapcai melewati kedai-kedai kopi sambil bertanyakan khabar. Semuanya sudah tiada...kembali sediakala.

Cuma bagi pihak yang memenangi DUN itu adalah sedikit kenduri dan dihadiri petugas parti dan Tok Wakil barunya serta pimpinan tempatan. Kemeriahan sebelum ini telahpun tamat, mungkin PRU 13 kelak suasana meriah itu kembali menjelma. Khabarnya jenuh juga kenduri kesyukuran di MU diadakan walaupun secara kecil-kecilan. Ini penting bagi mengeratkan perhubungan Tok Wakil baru dengan para rakyat yang diwakilinya. Begitu juga pada yang kalah, seeloknya jangan terus menyepi, tetapi terus dampingi masyarakat MU dan kalau boleh para menteri yang selalu turun baru-baru ini perlu turun semula membantu masyarakat di sana apa yang patut. Barulah rakyat akan mengenang jasa-jasa mereka, jangan hanya untuk "undi" sahaja mereka turun dan bila selesai bayang pun tidak lagi kelihatan.

Jangan tunggu lama sangat untuk turun kembali ke MU walaupun calonnya kalah. Majoriti 65 undi itu pasti dapat di atasi sekiranya UMNO jujur dan tulus ikhlas membantu masyarakat MU. PRU 13 kelak mungkin akan dapat ditawan, tetapi dengan syarat sentiasa mendampingi rakyat MU dan membantu mana yang patut dibantu. Kalau tidak akan berulang episod "Pengkalan Pasir" bilamana UMNO menang PRK, tetapi dalam PRU12 lalu tewas pula. Ingatlah, rakyat sekarang semakin cerdik dan bermaklumat. Gaya politik tahun 70an dan 80an sudah tidak sesuai lagi. Bantulah rakyat MU sebaik mungkin...jangan biarkan mereka sepi...

Liberalisasi ekonomi, apa dah jadi BERNAS


Rasanya tidak ramai masyarakat yang memperkatakan tentang Dasar Liberalisasi Ekonomi yang diperkenalkan oleh PM DS Najib. Dalam blog pun tak berapa sangatdan hanya sekadar paparan biasa tanpa anilisis kritikal.Mungkin perkara ini agak "susah" untuk diperkata dan difahami maka ianya berlalu begitu sahaja. Namun ada juga berupa teguran dari Dr.Mahathir yang mengatakan Liberalisasi ekonomi itu tidak baik untuk negara. Ku Li juga menyatakan pandangan tidak setujunya juga.

Tiba-tiba dalam sehari dua ini masyarakat mungkin sudah dapat mencium hasil awal liberalisasi, orang politik apa lagi, ianya akan dijadikan modal besar dalam perbahasan parlimen nanti. Berpeluhlah Menteri yang jaga "BERAS" nak menjawabnya nanti! Tiba-tiba sahaja keluar berita Padi Beras Negara(BERNAS) sebuah agensi yang penting bagi menjaga keperluan beras negara hampir tergadai pada pihak asing.Ini gara-gara syer BERNAS telah berjaya dibeli syarikat asing iaitu Wang Tak Co. Ltd dari Hong Kong. Inilah akibatnya bila kerajaan amal liberalisasi membenarkan syarikat asing mengambilalih syer di pasaran saham.

Kita patut belajar dari bekas tuan kita iaitu bagaimana Britain telah membuat peraturan menyekat pemilikan modal asing selepas negara kita berjaya menguasai ladang getah Guthrie dalam apa yang dinamakan "serangan subuh" dan masa itu MB Selangor sekarang TS Khalid mengetuai usaha membeli syertersebut di pasaran London. Thaksin jatuh juga gara-gara pemilikan saham telekom Thai oleh pihak Singapura yang mana Thaksin menjual syernya.

Penguasaan pihak asing ke atas BERNAS seharusnya menyedarkan pihak pemerintah tentang apa yang perlu diliberalisasi dan apa yang tidak boleh sama sekali diliberalisasikan. janganlah hanya membuat dasar bertujuan memikat pelabur asing, tetapi kita sendiri yang akan terjerat nanti.

Bagi meredakan suasanaagaknya Menteri MITI menyatakan BERNAS berhasrat untuk membeli semula separuh dari 31% ekuiti yang dimiliki Syarikat dari Hong Kong itu sebagai langkah stretegik melindungi pembekalan beras negara. Soalnya mengapa sesudah terjual dan dipersoalkan masyarakat baru kerajaan berhasrat membeli balik. Dan tentu sekali syer yang akan dibeli itu lebih tinggi dari semasa ianya dijual dahulu. Kalau tidak kapitalis tidak akan menjualnya...kerana mereka inginkan keuntungan.

Hubaya-hubaya akan liberalisasi ekonomi ini, jangan sampai semua harta penting negara dikuasai pihak asing. Dulu...Hospital juga terpaksa dibeli semula bagi menjamin pemilikan dan strategik negara. Sampai bila kita tak mahu belajar dari kesilapan lalu.

"Pergi jahanamlah UMNO", siapa yang kena?


Bila TG Nik Aziz mengungkapkan perkataan di atas pada 26 Julai 2009, tatkala ditanya pemberita, beliau secara bersahaja menyatakan kerajaan negeri pimpinannya sedia bekerjasama dengan kerajaan pusat bagi memajukan Kelantan demi kepentingan rakyat seluruhnya dan beliau juga katakan perbezaan politik bukan penghalang kepada kerjasama ini.

Berdasarkan kepada apa yang dikatakan itu, akhbar perdana banyak yang membuat kesimpulan sendiri bahawa TG Nik Aziz sudah berlembut dan sedia bekerjasama dengan UMNO. Berdasarkan maklumat akhbar jugalah para pemimpin UMNO termasuk TPM telah menyambutnya dengan komen yang "tak cukup tapak tangan, nyiru ditadahkan" seolah-olah PAS sedia bekerjasama dengan UMNO. Bila mana keesokan harinya bila TG Nik Aziz memperjelaskannya bahawa " Salam kerjasama ini bukannya antara UMNO dan PAS,tetapi antara kerajaan Kelantan dengan kerajaan pusat, tak timbul masalah UMNO ini, pergi jahanamlah UMNO".

Sekonyong-konyong pemimpin UMNO tersedar apa yang tersirat disebalik ungkapan kerjasama TG Nik Aziz. Ini membuatkan mereka "terkena" dan "malu sendiri" dengan apa yang dikomennya sebelum ini. Apa lagi TPM sudah katakan ianya akan dibincang dalam MT UMNO yang akan bermesyuarat minggu ini. Satu pengajaran berguna sebenarnya...jangan terlalu bergantung pada laporan akhbar dalam memberi response, mereka ada agenda nak lariskan akhbar. Lihat dua tiga haris lepas Utusan Melayu memohon maaf pada TG Nik Aziz pasal laporan salahnya berkaitan nasihat TGNA berkaitan kerajaan perpaduan.

Seorang wartawan akhbar arus perdana telah menempelak pemimpin UMNO supaya jangan nampak terlalu "terhegeh-hegeh" hendakkan kerjasama dan perpaduan dengan PAS. Mungkin wartawan ini baru sedar (memang rasanya dia sedar sebelum inipun, tetapi terpaksa menulis yang muluk-muluk sahaja)kerana beliau memang banyak menulis berkaitan politik Kelantan.

Terkejutkan dengan "tembakan peluru" yang mengenai tepat ke muka itu menyebabkan bangkitlah para pendekar UBN lain dan menyalahkan TG Nik Aziz atas penggunaan ayat yang dikatakan berunsur maki itu. ( bukan ayat Makiyyah - ayat Quran yang diturun di Makkah)Keesokannya juga banyaklah akhbar arus perdana melaporkan komen-komen para pemimpin UBN baik di Kelantan mahupun luar Kelantan.

Apapun mereka telah "terkena" dengan ayat di atas ekoran terlalu mengikut laporan akhbar dan tanpa mengkajinya terlebih dahulu

Satu Malaysia bimbangi selsema babi

Sehingga hari ini 30 Julai 2009, sebanyak 11 buah kem PLKN, puluhan buah sekolah dan IPTA seluruh negara serta terbaru Kolej Latihan Perubatan di Alor Setar juga terpaksa ditutup sekurang-kurangnya seminggu gara-gara mengawal merebaknya selsema babi. Apa nak jadi...tiap hari semakin banyak pula sekolah dan IPTA ditutup. Kalau kena masa peperiksaan UPSR atau PMR nanti bagaimana? Sudah kah ada perancangan yang rapi Kementerian Kesihatan dengan Kementerian Pelajaran bagi menghadapi situasi ini.

Kalau dalam kes PLKN tu tak apelah juga, mereka bukannya ada peperiksaan sebagaimana sekolah. Paling kurangpun mereka akan tambahkan masa latihan bagi menggantikan masa penutupan. Walaupun setakat ini daripada 1302 kes itu hanya 4 kematian sahaja terlibat tetapi ianya nampak semakin membimbangkan.

Kita berharap kerajaan mengambil langkah yang lebih tegas dan segera bagi menangani wabak yang semakin menular ini. Nampaknya Kementerian Kesihatan perlu bekerja lebih keras lagi dalam hal ini. Kempen-kempen perlu diperbanyakkan lagi dan meluas di kalangan masyarakat. Mengapa kalau dalam Kempen Berhenti Merokok, Kementerian Kesihatan berbelanja besar (tetapi tidak berjaya juga) dengan pelbagai iklan dan sesi penerangan. Kini dengan slogan kerajaan yang baru "rakyat diutamakan", Kementerian Kesihatan tidak perlu berkira sangat tentang perbelanjaan itu jika ianya untuk kepentingan rakyat dan kesejahteraan hidup rakyat. Jangan biarkan rakyat satu Malaysia membimbangi wabak selsema babi ini.

Selsema babi, apa dah jadi


Dalam diam Selsema Babi telah merebak. Sehingga kini Kementerian Kesihatan mencatatkan 1302 kes semuanya dan dari jumlah itu 4 kematian berlaku. Dari jumlah ribuan kes itu sebanyak 574 disifatkan kes import dan 728 merupakan jangkitan tempatan. Dari keseluruhan jumlah kes , pihak kementerian juga menyatakan 98% telah dapat dikawal atau telah sembuh, hanya 19 kes masih dalam rawatan.

Tetapi itu setakat hari ini. Esok, lusa, minggu depan belum tahu lagi. Mungkin lebih banyak merebak atau sebaliknya. Mengikut keadaan ianya nampak seakan semakin merebak dan pihak Kementerian Kesihatan perlu bertindak pantas mengawal keadaan atau sekurang-kurangnya jangan menjadikan keadaan semakin panik di kalangan masyarakat. Mana tidaknya, semakin hari semakin banyak penutupan sekolah, institusi pengajian awam dan swasta dan terkini Kolej Pembantu Perubatan Alor setar.

Sepatutnya "loceng kecemasan" perlu dibunyikan dan langkah tegas diambil. Jangan dibiarkan ianya semakin mewabak...ambillah iktibar dari peristiwa JE dahulu. Pihak berkuasa kerajaan negeri juga masa inilah seharusnya mengambil langkah proaktif menyelia kawasan ternakan babi haram dan yang tidak bersih. Jangan ikut sangat dendangan barat yang mengatakan babi bukannya punca penyakit ini, kerana babi adalah sumber ekonomi mereka. Mahukah kita gadaikan nyawa masyarakat ramai demi para penternak babi yang hanya segelintir. Tidak serik lagikah dengan JE yang menyerang Bukit Pelanduk dahulu dan yang menerima akibatnya bukan sahaja para penternak tetapi orang ramai juga.

Satu langkah segera menyedarkan masyarakat perlu dibuat menyeluruh dalam hal ini. Biarlah kerajaan berbelanja sedikit untuk melaksanakan kempen ini kerana ia amat berguna kepada seluruh masyarakat, di samping tindakan segera yang lain. Mengapa dalam Kempen Berhenti Merokok, Kementerian Kesihatan berhabis jutaan ringgit untuk menjayakannya(tetapi tak berjaya juga...Anehnya tidak ada pula Kempen Berhenti Minum Arak oleh Kementerian Kesihatan dibuat besar-besaran)

Unggulkah badminton kita di kejohanan dunia


Agak lama saya tidak update lebih kurang seminggu lebih, kerana berada di luar stesen dan juga mengalami demam( bukan H1N1 atau selsema babi)Pada kali ini saya nak perkatakan tentang pasukan badminton kita. Apakah masih unggul lagi pemain badminton kita menghadapi musuh-musuh tradisi Indonesia dan China. Kalau dilihat pada Siri Kejohanan lepas seperti di Terbuka Indonesia dan juga Terbuka Malaysia, pemain utama negara Datuk Lee Chong Wei nampak agak konsisten setelah menjuarai dua kejohanan terbuka tersebut dan "badi" kepada pemain Indonesia telah dapat dipadamkan apabila Taufik Hidayat dapat dikalahkan Chong Wei di Indonesia sendiri.

Namun agak masih membimbangkan apabila bertemu pemain China terutama juara dunia Lin Dan yang rekod pertemuannya lebih memihak kepada Lin Dan. China juga mempunyai ramai pemain pelapis yang baik dan berkaliber. Apakah Kejohanan Dunia di Hyderabad, India nanti Chong Wei dapat menjulang nama Malaysia di arena badminton dunia.Kita mengharapkan sentuhan Chong Wei kali ini dengan bimbingan Jurulatih Datuk Misbun Sidek akan menjadi dan bakal bergelar Juara Dunia.Pun begitu setiap lawan tidak boleh dianggap mudah kerana Chong Wei juga pernah kalah pada pemain tidak ternama.

Sekiranya kali ini sentuhan Chong Wei menjadi dan diikuti pula pasangan bergu sama ada lelaki atau wanita, Malaysia akan melonjak namanya dipersada badminton dunia. Sama-samalah kita mengharapkan kejayaan mereka di Hyderabad, India nanti.

Saturday, July 18, 2009

Kematian tragis...undang tafsiran


Berita kematian tragis Teoh Beng Hock berhampiran Bangunan Pejabat SPRM telah menggemparkan khalayak politik tanah air. Pihak pasukan keselamatan telah mengeluarkan arahan supaya tidak ada sesiapapun yang membuat tuduhan tertentu sebelum siasatan polis terhadap kes ini selesai.

Di sini apa yang perlu ialah keadilan mesti ditegakkan dan siasatan hendaklah telus supaya dapat mengelakkan prasangka terhadap kredebiliti jabatan kerajaankhususnya SPRM sendiri. Walau bagaimanapun kenyataan rasmi dari SPRM agak tenggelam dan mereka menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk siasatan. Masyarakat ingin mengetahui duduk perkara sebenar dan kes ini perlu diberi keutamaan. Sekiranya ia dilambat-lambatkan maka tidak dapat tidak ia akan mengundang tohmahan yang tidak baik dan pihak kerajaan sendiri akan lebih susah untuk menjelaskannya.

Dalam pada itu semakin banyak badan-badan profesional seperti majlis peguam dan sebagainya mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kes ini dengan menyeluruh seperti mana dalam kes Mata Lebam DS Anwar Ibrahim dahulu. Jika Siasatan ini ditubuhkan ia lebih menjamin kebebasan dan ketelusan siasatan.Ianya juga dapat memberikan gambaran yang kerajaan lebih terbuka dan mempunyai hasrat yang bersungguh-sungguh dalam urusan menegakkan keadilan undang-undang. Ianya juga dapat mengelakkan tohmahan pihak luar tentang amalan undang-undang dalam negara yang dipandang serong khususnya oleh negara barat.

Sesungguhnya jika siasatan segera dilakukan dan dapat memberi penjelasan sebenar punca-punca terjadinya kematian yang tragis itu, dapat mengelakkan prasangka pihak-pihak tertentu. Apalagi dengan kes-kes lain yang belum selesai seperti kes Kugan, Sharlini dan lain-lain yang menuntut pihak berkuasa menyeleraikan kekusutan itu dari berpanjangan.

Friday, July 17, 2009

Rakyat "Satu Malaysia" bakal hadapi kenaikan tarif elektrik

Rabu ini Kabinet akan membuat keputusan sama ada setuju atau tidak untuk meluluskan kenaikan tarif elektrik seluruh negara. Ini berikutan dengan proposal yang telah dimajukan oleh pihak TNB dan telah dikaji dan diluluskan oleh Majlis Ekonomi Negara. Datuk Peter Chin, Menteri Tenaga yang bertanggungjawab dalam hal ini menyatakan kerajaan bercadang mengurangkan subsidi harga bahan bakar kepada TNB dan beliau menyatakan kenaikan tarif ini ialah bagi menampung kos pengurusan dan juga harga bahan api semasa di peringkat antarabangsa. (anehnya harga petrolium masih US60 setong)

Beliau juga menyatakan kenaikan ini jika diluluskan Kabinet nanti akan berkuatkuasa pada 1 Ogos 2009. Semua penguna elektrik sama ada komersial atau biasa akan mengalami kenaikan. Bagaimanapun beliau memberi jaminan kenaikan ini tidak akan menjejaskan atau membebankan golongan berpendapatan rendah.

Seingat saya, ayat yang serupa diulang setiap kali kerajaan ingin menaikkan sesuatu sama ada harga barang, petrol, tambang pengangkutan awam dan sebagainya. Tetapi betulkah ianya tidak membebankan dan adakah kerajaan membuat kajian selepas kenaikan dan jika ia sebaliknya (membebankan)bolehkah kenaikan itu ditarik balik?

Sama-samalah kita tunggu keputusannya, di samping itu berdoalah supaya tiada kenaikan tarif kerana kenaikan tambang pengangkutan awam baru saja diumumkan kelmarin. Apa yang terburu-buru sangat nak naikkan yang lain pula...seperti kata orang, "tanah kubur masih lagi merah, dah nak kawin lagi!".

1 Ogos 2009 rakyat akan dapat "hadiah" berganda?

Kenaikan tambang pengangkutan awam telahpun diumumkan naik 30% oleh kerajaan kelmarin. Manakala kuatkuasanya ialah pada 1 Ogos depan. Rakyat telah banyak memperkatakan kenaikan ini, sama ada yang menyokong atau yang menentangnya. Tetapi yang pasti lebih banyak yang menentang.

Semalam pula dalam Bussiness Times Newspaperyang dipetik oleh Malaysia Insider, Datuk Peter Chin, Menteri Tenaga telah membayangkan kenaikan tarif elektrik dalam negara dalam masa terdekat. Ini berikutan kerajaan bercadang untuk mengurangkan subsidi harga bahan bakar kepada Tenaga Nasional Berhad. Menurut beliau proposal telah dihantar oleh TNB pada penghujung April dan sepatutnya kenaikan ini telah dilaksana bulan lepas tetapi kerajaan menundanya.

Pada hari ini beliau dipetik oleh media tempatan sebagai berkata, proposal itu akan dibentang dalam mesyuarat kabinet rabu ini(Majlis Ekonomi Negara telah meluluskannya) dan jika kerajaan meluluskannya kuatkuasa kenaikan itu bermula 1 Ogos 2009. Alasan yang diberikan untuk kenaikan tarif ini ialah kenaikan kos pengurusan dan bahan api diperingkat antarabangsa. Bagaimanapun semua orang mengetahui harga petrol masih sekitar US60 bagi satu barrel. Kalau kos pengurusan itu tak tahulah...mungkin gaji CEO nya dan lain-lain...

Kenaikan tarif ini juga melibatkan seluruh pengguna samaada pengguna biasa atau komersial. Manakala jumlah kenaikannya belum tahu lagi kerana Kabibet belum memutuskannya, namun menurut Menteri tersebut ianya tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah.

Apapun berita ini sama sekali tidak menggembirakan masyarakat ramai dan dikatakan tidak "mengutamakan rakyat". Bayangkan jika kerajaan meluluskan kenaikan tarif elektrik ini, rakyat "satu Malaysia" akan mendapat "hadiah" berganda iaitu kenaikan tambang pengangkutan awam dan juga kenaikan tarif elektrik pada hari jumaat,1 Ogos 2009. Sekiranya berlaku kenaikan tarif elektrik ini apakah sambutan kemerdekaan 31 Ogos nanti lampu-lampu bangunan dan rumah-rumah akan bergemerlapan atau semakin malap.

Pengumuman PM 100 hari pentadbirannya dibayangi kenaikan tambang pengangkutan awam

Baru-baru ini sempena 100 hari pentadbirannya PM DS Najib Razak telah mengumumkan beberapa perkara... Keesokannya beberapa akhbar arus perdana telah melaporkan besar-besaran "11 perkara" yang diberikan oleh kerajaan itu dengan mengaitkannya dengan slogan terkini "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan". Di antaranya ialah diskaun tol 20% kepada pengguna 80 kali sebulan, potongan 50% pembaharuan cukai tapak gerai peniaga dan lain-lain lagi. Sememangnya kita mengalu-alukan perkara berkaitan rakyat didahulukan dan pencapaian semua peringkat diutamakan kerana ianya akan menjadi pemangkin kepada kewujudan sebuah negara maju dan berkebajikan.

Walau bagaimanapun ianya perlu dijadikan agenda berterusan bukannya bermusim dan tidak dibayangi pula dengan perkara yang akan membebankan rakyat sama ada dalam bentuk apa sekalipun. Jika perkara ini dilaksanakan dengan baik nescaya sokongan kepada kerajaan dan juga PM akan melonjak naik daripada sekitar 60% sekarang, berbanding dengan 45% semasa mula-mula mengambil alih kuasa daripada Pak Lah.

Namun sekiranya tarif elektrik dinaikkan bulan depan, maka rakyat akan menerima dua kesan berganda iaitu kenaikan tambang pengangkutan awam dan elektrik sekaligus. Ini tentukan sekali amat membebankan terutamanya golongan berpendapatan rendah. Pihak kerajaan fikir-fikirkanlah kesannya nanti. Pada masa ini hanya pemimpin Kesatuan Sekerja dan Persatuan Pengguna sahaja telah mula bersuara lantang menentangnya, tetapi apabila dilaksana 1 Ogos nanti, kelak ramai yang bangkit membantah kenaikan ini bila ramai yang terjejas dan merasai sendiri keperitannya. Sekarang belum terasa kerana belum dikenakan atau dikuatkuasa lagi. Masyarakat kita biasalah, bila terkena batang hidung, apa lagi hidung itu pula berdarah, masa itu gelombang kemarahan mula bergelora.

Dan jika ada pihak-pihak yang menganjurkan sebarang bantahan, pada masa itu sukar lagi dibendung. Oleh itu sebelum ianya sukar dibendung, masih lagi tidak terlambat untuk mengkaji semula atau sekurang-kurangnya merendahkan sedikit kadar kenaikannya.

Thursday, July 16, 2009

Akan Cekapkah Pengangkutan Awam Bila Tambang Naik?

Kerajaan nampaknya telah mempersetujui permohonan dari pihak persatuan pengangkutan awam bagi menaikkan tambang bermula pada 1 Ogos 2009. Buat masa ini para pengguna masih lagi belum memperkatakannya, mungkin masih terbawa-bawa dengan isu-isu lain seperti PRK MU atau hal-hal politik semasa lain. Tambahan pula ianya akan berkuatkuasa Ogos nanti.

Kalau dalam hal lain seperti tuntutan CUEPACS dalam hal kenaikan gaji, pihak kerajaan selalunya melayani hanya sepatuh atau lebih sedikit segala tuntutan itu. Tetapi kali ini ia melayan semua permintaan itu iaitu kenaikan sehingga 30%.Apakah dengan kenaikan itu pihak pengangkutan awam dapat menjamin kecekapan perkhidmatannya kepada para pengguna. Sekiranya ia tidak juga cekap seperti dahulu, kenaikan ini hanyalah bagi memenuhi tuntutan pengusaha sahaja yang rata-rata terdiri dari golongan yang sudah kaya-raya kecuali para pemandu teksi yang mempunyai permit individu. Tauke-tauke bas, konsortium teksi dan tauke bas ekspress jarak jauh adalah golongan kaya.

Apakah pada kali ini para pengusaha diutamakan dan rakyat terbanyak diminta berkorban sedikit, tatkala ekonomi negara masih lagi suram! Yang paling dibimbangi adalah bas jarak jauh yang tambangnya akan naik. Bayangkan dari KL-Kota Bharu tambangnya RM40 mungkin akan naik kepada RM50 atau lebih, sedangkan tambang airasia hanya RM20-60 jika menempahnya lebih awal sekurang-kurangnya 3 minggu sebelum. MAS juga boleh dapat harga RM 69 jika berkebetulan dengan offer yang dibuat. Itu baru ke destinasi Kota Bharu, bagaimana pula dengan Alor Setar, Pulau Pinang, Johor Bahru dan lain-lain. Dibimbangi nanti para pengusaha bas jarak jauh ini akan mengeluh kemudian akibat kekurangan para penumpang yang beralih kepada pengangkutan udara tambang murah ini.

Bagi para ibubapa yang mempunyai ramai anak tentu akan mengeluh bila tambang bas sekolah dinaikkan. Nak hantar sendiri ke sekolah tak sempat kerana mengejar masa untuk ke pejabat walaupun ramai ibubapa yang mempunyai kenderaan sendiri. Itupun kenderaan lama yang berusia lebih 10 tahun yang juga telah naik insuransnya bila ditambah charge loading 50%. Walhasilnya kitalah yang terpaksa menjimatkan belanja bagi "mengurus" segala kenaikan ini. Itu belum kira bayaran tol lagi...ada diskaun 20% pun bagi yang layak, yang guna 80 kali sebulan. Yakni satu hari empat kali lalu tol baru layak! Macam dulu bagi diskaun pada kenderaan yang lalu lepas jam 1 malam
(macam tak nak bagi saje)

Bagi mengurangkan beban rakyat bawahan ini, pihak kerajaan perlulah memikir cara bagi membantu masyarakat terutamanya golongan miskin dan berpendapatan sederhana ini.Bagi golongan kaya atau pertengahan rasanya mereka amsih boleh menguruskan beban kenaikan ini.

Wednesday, July 15, 2009

Perlukah Tambang Pengangkutan awam naik

Pihak kerajaan sedang memperhalusi permohonan pengusaha pengangkutan awam untuk menaikkan tambang sebanyak 30% seperti dipohon.Rasanya umum tidak bersetuju dengan cadangan kenaikan ini dan jika ia naik sekalipun tidak perlulah begitu tinggi. Persoalannya jika pengangkutan awam baik perkhidmatannya masyarakat tidak begitu kisah sangat, tetapi rata-rata pengangkutan awam masih ditakuk lama. Hatta PM telah turun padang baru-baru ini meninjau pengangkutan awam.

Dalam masa kerajaan mempopularkan slogan "rakyat didahulukan" apakah tambang pengangkutan awam perlu dinaikkan begitu tinggi. Saya baru pulang ke KB minggu lepas menggunakan bas dan tambangnya RM 40. Sedangkan mingu sebelum itu saya pulang dengan airasia hanya RM42 sahaja.Dan kalau rajin surf internet MAS pun dapat semurah RM69 untuk perjalanan sehala ke KB.

Apakah dengan kenaikan tambang pengangkutan ini akan membuatkan pengguna mengalihkan kepada penggunaan pesawat tambang murah. Jika ini terjadi apakah pengusaha bas jarak jauh akan terpaksa bersaing dengan pesawat yang tambangnya lebih kurang sama sahaja. Kelak pengusaha bas gulung tikar! Kita bersetuju jika pengangkutan awam dpastikan terlebih dahulu cekap barulah tambang dinaikkan.

Apakah kos pengurusan terlalu tinggi yang menyebabkan pihak pengusaha pengangkutan awam mahu menaikkan tambang. Harga petrol masih stabil dan tol katanya akan ada diskaun 20%(itupun ada syaratnya). Diharapkan pihak kerajaan perlu "bertimbang rasa" pada pengguna pengangkutan awam agar kenaikannya agak munasabah jika terpaksa juga dinaikkan.

Tuesday, July 14, 2009

Selsema Babi...tahap mana merebaknya di negara kita

Perkembangan di sekeliling kita dan isu-isu lainnya menyebabkan kita seakan terleka dari memperkatakan selsema babi. Bermula dari istilah H1N1 yang dimomokkan oleh pihak antarabangsa (bagi mengindahkan sebutan/mengelakkan perkataan BABI yang mereka sangat suka makan itu. ISLAM haramkan BABI dan keturunannya)dan kita ikuti, dan kini kita kembali pula gunakan istilah selsema babi.

Sedar tak sedar ianya telah merebak ke PKLN dan beberapa hari lepas telah sampai ke SK Sultan Sulaiman Terengganu hingga sekolah iu terpaksa ditutup seminggu. Awas penduduk Pantai Timur...selsema babi telah mula menular hingga ke Pantai Timur. Ini kerana umum mengetahui penduduk Pantai Timur lebih 90% adalah Melayu-Islam dan mereka tidak terdedah sama sekali dengan babi. Walaupun dikatakan wabak ini bukannya berpunca dari babi yang diternak, tetapi tidak dapat dipastikan lagi dan tiada pengesahan yang nyata mengenainya. bagaimana dengan yang dikatakan "wabak tempatan" yang bukannya di bawa dari luar negara.

Kalau berdasarkan wabak JE dulu, ianya berpunca dari Ladang Ternakan Babi yang terlalu kotor dan tercemar hingga wujudnya virus maut yang menggemparka negara itu. Oleh itu tidak mustahil jika tiada langkah waspada ladang babi tempatan juga bakal mewujudkan virus tempatan selsema babi. Kalau virus selsema babi dari luar negara itu berjangkit ke ladang babi tempatan dan menghasilkan "generasi ke 2" virus itu hasil dari klon tempatan, maka virus itu akan "lebih kebal" lagi. Walau pun andaian ini seakan kartun, ianya tidak mustahil boleh berlaku.

Untuk itu, masyarakat perlu menjaga kebersihan persekitaran kediaman dan pihak kerajaan juga perlu bertindak tegas ke atas mana-mana ladang ternakan babi yang kotor dan ladang ternakan haram supaya virus yang dikatakan dari luar negara itu tidak "diternak dan diklon" bersama virus tempatan seperti Nipah yang pernah memasyhurkan satu Malaysia dipersada dunia dengan JEnya pada suatu ketika dahulu.

Cerita Thaksin di Malaysia

Dalam posting saya sebelum ini pada 9 Julai 2009 yang memperihalkan beberapa keganjilan yang berlaku, dan termasuklah dakwaan pihak berkuasa Thailand bahawa pada 4 Julai 2009, bekas Perdana Menterinya Thaksin telah berada di Malaysia dan dikatakan menginap di Hotel Shangri-La. Bila pihak Thailand meminta pihak berkuasa Malaysia untuk menangkap Thaksin dan pasukan Polis Malaysia menyerbu hotel tersebut Thaksin telah berjaya melepaskan diri. Bagaimana beliau boleh "boleh" dengan begitu mudah.

Pihak berkuasa Malaysia seakan menyepi dan tidak mengulas apa-apa tentang berita yang disiarkan dalam Akhbar Thailand dan tuduhan Timbalan Menteri Dalam Negeri Thailand,Thaworn Sennien. Akhbar di Thailand seperti The Nation telah menyiarkan berita ini dan kenyataan Thaworn yang seolah-olah menyalahkan polis Malaysia yang menyebabkan Thaksin dilaporkan "bolos' ke destinasi lain.(dikatakan ke Fiji dan terus ke Dubai)

Pada hari ini kita seakan lebih jelas sedikit bila Thaksin sendiri telah mengesahkan bahawa beliau menginap semalaman disebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini dan mendapat perlindungan dari anggota polis Cawangan Khas. " Jet peribadi saya singgah untuk mengisi minyak di Malaysia dan mereka menghantar 20 anggota polis untuk mengawal saya". Thaksin dikatakan berlepas ke Fiji pada hari berikutnya (yang dikatakan Thailand "bolos" tanpa dapat dikesan polis Malaysia)

Persoalannya, mengapa kita tidak memberikan penjelasan tentang "kekeliruan" itu sehingga ia menjejaskan nama baik pasukan keselamatan kita. Apakah benar apa yang dilaporkan dikatakan Thaksin itu, dan jika benar, apa pula implikasinya dengan hubungan dengan kerajaan Thailand sekarang.

Kita berharap pihak kerajaan terutamanya Kementerian Luar atau Kementerian Dalam Negeri dapat menjelaskan kedudukan ini supaya nama baik negara tidak dituduh sewenang-wenangnya sebagai "pelindung" kepada seseorang yang dikehendaki oleh kerajaan Thailand dan ianya bercanggah dengan semangat hubungan baik kerajaan Malaysia dan Thailand yang berjiran.

Keputusan PRK agak mengejutkan! ulasan akhir

Agak mengejutkan juga keputusan PRK MU yang telah diumumkan. Pada pandangan awal para penganalisa, PAS dijangkakan menang tetapi sekitar 1000 undi sahaja. Bagi saya dalam PRK seperti ini jika 500-600 undi pun dikira agak baik. Saya juga mengagakkan jika BN menang pun majoriti tidak besar sekitar 100 undi.Tetapi keputusan malam ini menunjukkan PAS menang dengan 65 undi sahaja. Ianya agak mengejutkan! Satu post-mortem segera perlu dilakukan dengan cara yang telus tanpa berselindung.

Bagi BN ia menunjukkan masih ada peluang lagi untuk mengulangi sejarah 2004 dahulu jika usaha dilipatgandakan lagi. Namun harus diingat pada PRK ini segala "meriam besar" telah turun silih berganti ke MU dan dalam Pilihan Raya umum ke 13 nanti, suasananya berlainan sekali. Hanya tenaga tempatan yang ditagih untuk melaksanakan segala-segalanya.

Apapun tahniah pada YB Mohd. Fauzi yang telah memenangi PRK ini dan berkhidmatlah dengan sebaik-baiknya kepada semua golongan rakyat tanpa mengira fahaman politik.Dan berusahalah membantu masyarakat MU mempertautkan kembali perpaduan dan perhubungan bagi meneruskan keja-kerja memajukan lagi masyarakat MU yang terkenal dengan penghasilan keluaran pertanian ini.

Monday, July 13, 2009

Firasat keputusan MU

Hari ini hari terakhir kempen PRK MU. Kelmarin BN janjikan pembinaan jambatan RM 7 juta telah diberikan kepada penduduk Manek Urai Lama bagi menggantikan jambatan sempit satu lorong di kampung itu. Ramai yang menyifatkan ianya sebagai satu rasuah politik yang tidak sepatutnya dijanjikan sama ada oleh pihak kerajaan pusat atau negeri. Ia adalah satu tanggungjawab pemerintah terhadap rakyatnya sama ada pemerintah itu yang menguasai pusat ataupun negeri.

Hari ini dalam nada yang lebih lunak dilontarkan oleh PM di majlis perasmian Kompleks Pejabat Persekutuan Anak Bukit, bahawa penduduk Manek Urai seharusnya memberi kepercayaan kepada BN bukannya mengekalkan status quo, yakni mengekalkan PAS mewakili DUN tersebut. Walaupun beliau tidak datang langsung ke MU pada PRK ini yang tidak diketahui sebabnya; dari jauh beliau seolah masih berharap penduduk Manek Urai sudi sekali lagi (selepas tahun 2004) menerima BN.

PAS pula menerusi MB Kelantan Tok Guru Nik Aziz telah mengisytiharkan esok sebagai cuti peristiwa bagi semua pejabat negeri dan persekutuan di Kelantan. Ini bagi membolehkan penduduk asal MU yang bertebaran di daerah lain kembali mengundi. Usaha memberikan cuti ini nampaknya seakan lebih telus kerana PAS terkilan dengan pihak SPR yang memilih hari bekerja sebagai hari mengundi. Sebab saya berkata demikian kerana PAS tidakpun mengetahui orang yang akan balik mengundi itu menyokong PAS, orang BN pun dapat menggunakan kemudahan cuti yang diberikan ini.

Dari risik-risik pada saat akhir, firasat saya berat mengatakan PAS akan memenangi PRK ini jika separuh pengundi atas pagar menyokong PAS, tetapi majoritinya mungkin sekitar 1000 undi atau lebih sedikit sahaja. Bagaimanapun jika pengundi atas pagar memihak kepada BN lebih dari separuh, BN berkemungkinan besar akan memenangi PRK ini tetapi dengan majoriti yang tipis sekitar 200-300 undi sahaja. Kawan-kawan saya yang membuat liputan di sana, ramai mengatakan PAS akan menang tak kiralah berapa majoritipun kerana ini PRK kecil dan agak susah mendapat majoriti besar. Apapun semuanya terletak di tangan para pengundi MU. Selamat mengundi kepada penduduk MU...soal pilihan, tepuk dada tanya iman!

Sunday, July 12, 2009

Bila Janji-Janji Ditaburi

Suasana hari-hari terakhir kempen PRK Manek Urai bertambah rancak. Pemimpin pusat dan negeri silih berganti datang mengunjungi dan rakyat Manek Urai semakin banyak ditaburi janji. Apakah janji-janji itu akan dilaksanakan pada suatu hari nanti ataupun ianya akan tinggal dalam lipatan kenangan para pengundi. Hanya masa yang akan mengadili, dan tentunya di Padang Mahsyar, Allah Yang Masa Esa akan menghitung dan menentukan nasib untung dan rugi, anak-anak adam selama di dunia ini!

Alhamdulillah, sepanjang kempen PRK ianya berjalan dengan anamn tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini. Amat jauh bezanya dengan suasana tahun-tahun 60an dan 70an dahulu. Ini menunjukkan bahawa rakyat semakin matang dan bertambah celik politik. Tidak mustahil suatu hari ini kita akan dapat menyaksikan debat umum antara calon-calon yang bertanding sebagaimana yang biasa kita lihat di negara-negara yang lebih maju, bahkan di Indonesia dalam Pilihan Raya Presiden Indonesia baru-baru ini.

Berbalik kepada soal janji ini. Adalah lebih baik sekiranya janji itu dilaksanakan segera dalam masa kempen atau selepasnya dan janganlah diletakkan syarat-syarat tertentu pula. Ini kerana pengalaman sebelum ini yang pernah dilalui seperti mana pengundi di Pengkalan Pasir, Pasir Mas dahulu masih segar dalam ingatan. Banyak janji diberikan tetapi selepas selesai PRK itu semuanya hilang entah ke mana dan rakyat di sana tetap dengan masalah air banjir bertakung ketika hujan lebat dan masalah jejantas keretapi.(kini kerajaan negeri melalui JKR sedang melaksanakan projek lintasan keretapi ini)Tidak hairanlah pengundi yang mengundi BN dalam PRK Pengkalan Pasir lalu telah mengundi PAS pula dalam PRU yang lalu.

Untuk itu baik BN atau PAS, belajarlah dari janji-janji terdahulu dan janganlah menggula-gulakan rakyat dengan seribu janji tetapi amat berat untuk ditepati. Janji yang ditaburi dan tidak ditepati kelak akan memakan diri sendiri, lambat laun akan dihukum oleh rakyat menerusi peti undi.

Friday, July 10, 2009

Pembatalan PPSMI bukan pertimbangan politik ?

Semasa mengumumkan pembatalan PPSMI rabu lepas TPM yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa pembatalan PPSMI menjelang 2012 nanti bukannya satu pertimbangan politik. Ianya diulangi lagi beberapa pemimpin lain termasuk Ketua Penerangan UMNO Ahmad Maslan. Bagaimanapun bacaan umum rakyat adalah sebaliknya. Tokoh pejuang bahasa Pak Samad Said tidak berpuasa hati dengan apa yang disifatnya "penangguhan" itu yang ada beberapa kemungkinan lain kelak. Bagi beliau mengapa tidak dikuatkuasakan pada 2010 sahaja kalaupun tidak serta merta. Beliau juga mencadangkan satu lagi Perhimpunan membantahnya sepertimana yang dilakukan pada Mac lalu.

Umum juga mengetahui PRK Umum ke 13 bakal dilaksanakan sekitar tahun 2013, dan apakah ini juga da kaitannya. Bagaimana jika rakyat tidak mempercayai ianya akan dihapuskan, dan terus mengundi Pakatan dalam PRU 13. Tidakkah ini akan memakan diri sendiri, sedangkan ianya boleh dihapuskan lebih awal dan kerajaan dapat mewar-warkan bahawa ia sejajar dengan hasrat rakyat terbanyak. Saya rasa jika isu ini ingin dijadikan "umpan" ternyata ia gagal sama sekali. Baik untuk PRU 13 atau pun PRK Manek Urai sekarang. Umpan tidak menjadi dan tidak dimakan oleh ikan yang ternyata lebih cerdik sekarang.

Kelmarin Pengarah PRK Manek Urai, Datuk Mustapha Mohamad menyatakan pembatalan PPSMI akan menguntungkan BN dalam PRK ini. Betulkah? TPM kata ianya tidak mengambil kira pertimbangan politik. Apapun rasanya isu ini tidak diambil pusing oleh rakyat Manek Urai, kerana isu lain yang lebih penting bagi mereka pada masa ini. Pembatalan itu hanya berlaku 2012, lambat lagi..., hanya kita ingatkan janganlah ianya macam pengumuman penghapusan yuran oleh Menteri terdahulu yang menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan. Orang kampung naik pening,kata dah hapus yuran...daftar anak sekolah kena bayar pula!

Apapun isu PPSMI dan keputusannya itu masih boleh dikaji semula dan jika kajian mendapati rakyat terbanyak menyokong ianya disegerakan, maka seeloknya utamakanlah hasrat rakyat terbanyak itu.

Menyusuri Chuchuh Puteri, di Manek Urai

Pada petang isnin 6 Julai baru-baru ini saya telah berkereta dari Kota Bharu ke Chuchuh Puteri di Manek Urai. Kebetulan saya memang bercadang untuk ke sana dan seorang kawan mengajak saya meninjau suasana di kawasan PRK itu selepas penamaan calon pada paginya di SMK Sultan Yahya Petra, Kuala Krai.

Jalan Kuala Krai- Gua Musang agak "jam" sedikit walaupun waktu itu telah 2 petang dan masih banyak kereta yang membawa bendera PAS baru pulang dari Kuala Krai. Di tepi Jalan utama pihak polis mengawal lalu-lintas terutama berhampiran pos-pos parti yang bertanding keadaan semain sesak dan kereta memperlahankan kelajuan bagi melihat suasana. Ada pos-pos PAS yang mengadakan Jamuan Teh, mungkin bagi memungut derma bagi jentera parti berkempen. Manakala pos-pos BN agak kurang dikerumuni penyokong, mungkin mereka masih belum pulang dari Kuala Krai agaknya.

Manakala kedai-kedai kopi dideretan jalan sentiasa penuh dengan pelanggan. Saya bertanyakan seorang pelanggan sebuah kedai kopi tentang pendapatannya. "Lumayan Encik" katanya, dan kalau boleh biar kerap ada PRK murah rezeki kami. Di kedai kopi juga agak senang untuk diteka penyokong PAS atau BN hanya dengan melihat cara pemakaian sahaja. Kalau berkopiah atau serban kebanyakannya adalah penyokong PAS, manakala yang berseluar dan kemeja tanpa kopiah atas kepala biasanya penyokong BN.

Kami menyusuri masuk ke Chuchuh Puteri yang terletak disimpang sebelah kiri kalau datang dari arah Kuala Krai. Ada dalam 8-10 km juga masuk ke dalam dan melalui sebuah bukit yang dikenali sebagai Bukit Tonggek. Mungkin bukit inilah yang diceritakan oleh para peneroka awal di sini bahawa mereka berjalan kaki dahulunya melintasi bukit ini sehingga tonggek punggung mendakinya, lalu lekat nama Bukit Tonggek. Keadaan jarak rumah agak jarang, hampir setengah kilometer baru berjumpa sebuah rumah, tetapi bila dah sampai ke tengah kampung baru terjumpa rumah yang agak dekat antara satu sama lain terutama berdekatan sebuah sekolah rendah di dalam kampung itu. Petang itu juga ada majlis perasmian Perpustakaan Desa kampung itu oleh Menteri Penerangan dan kami sempat melihat sekejap suasananya. Agak menghairankan juga walaupun penduduknya agak jarang, boleh dikatakan setiap 2 atau 3 km pasti ada satu pos kawalan keselamatan dan sekurang-kurangnya 2 atau 3 anggota Polis mengawalnya. Saya mwngandaikan polis ini mungkin bagi mengawal keadaan kampung supaya tidak berlaku pergaduhan antara dua anggota parti yang bertanding.

Kereta saya terus meluncuri kampung Chuchuh Puteri sehingga melewati Lata Rek, sebuah kawasan perkelahan yang indah. Saya sempat berhenti dan melihat keadaan di sana. Ramai yang mandi-manda dan berdasarkan no plat kereta, kebanyakannya bukan asal Kelantan. Mungkin mereka ini para penyokong parti yang datang menolong berkempen dan mengambil peluang mandi air terjun yang sejuk di sini. Ini kerena saya terlihat juga kain rentang penyokong BN dari Johor, Perak dan lain-lain yang menjadi "bapa angkat" peti-peti undi di sini.

Secara keseluruhannya sepanjang perjalanan dalam Kampung Chuchuh Puteri banyak bendera dan kain rentang PAS berbanding BN. Poster dan kain rentang BN hanya sedikit banyak kelihatan bila kami menyusur keluar ke Lakloh. Baru saya tahu ianya seakan satu bulatan, masuk dari simpang Chuchuh Puteri tetapi boleh keluar melalui Lakloh. Ini baru pertama kali saya melalui jalan kampung ini, itupun kerana ingin melihat keadaan sebenar suasana PRK dengan mata kepala sendiri. Insya Allah sebelum hari PRK saya akan posting beberapa perkara menarik lagi hasil kunjungan saya itu.

Mengapa insuran kereta lama melambung tinggi...

Bagi mereka yang tidak memiliki kereta motor mungkin merasainya, tetapi kalau yang mimilikinya lebih dari 2 buah ianya satu bebanan juga. Lebih-lebih lagi kereta itu yang berusia 10 tahun lebih. Pihak insurans katanya tidak lagi menerima kereta-kereta tua yang berusia lebih 10 tahun atau harganya kurang dari RM10,000. Biasanya rakyat terbanyaklah yang memiliki kereta lama sebegitu kerana kurang mampu untuk memiliki yang baru.

Walaupun kerajaan telah memberi jaminan insurans berkelompok boleh diambil di Pejabat Pos, tetapi ternyata harganya juga tinggi. Bayangkan charge loading dikenakan sebanyak 50% kepada kereta-kereta lama yang hendak diperbaharui insurans ini. Kalau insuransnya kira-kira RM200, kena dicampur dengan charge loading RM100
(50%) akan menjadikannya RM300. Kalau 2 kereta bermakna RM600, itu belum masuk lagi Lesen Kenderaan Motor (roadtax) yang akan kena sekurang-kurangnya RM100 lebih lagi jika kenderaan bawah 1300cc. Walhasilnya masyarakat terpaksa membayar lebih untuk kereta motor dan yang memiliki kereta lama dan berusia ini kebanyakannya "orang kampung" atau masyarakat bawahan. Sepatutnya kerejaan mengkaji balik perkara ini dan merundingkan dengan syarikat insurans bagi mengurangkan bebanan masyarakat pengguna.

Soal tol yang kena bayar lagi terpaksa diambil kira, kini charge loading insurans pula dikenakan pada kenderaan lama. Bebanan semakin bertambah, nasib baik harga minyak masih rendah, jika tidak akan lebih menyiksakan lagi pengguna kenderaan. Bagi merealisasikan usaha "rakyat diutamakan" diharapkan pihak kerajaan dapat mengkaji semula cadangan pengenaan loading insurans yang tinggi sehingga 50% pada kenderaan yang berusia lebih 10 tahun itu.

Bila Dr.Mahathir bersuara, Dan Ku Li juga berkata-kata

Dalam dua tiga hari ini mantan PM Tun Dr.Mahathir telah bersuara lantang menyuarakan pandangannya dalam soal-soal penting negara. Beliau masih lagi ungkitkan soal terdapatnya "orang tertentu" dalam Kabinet yang dikatakannya tidak bersih dan tidak nampak bersih. Perkara ini pernah dikatakannya bermula dari sejak pembentukan Kabinet oleh PM Dato' Seri Najib. Pada kali ini selain memperkatakan soal itu kembali, beliau juga menyuarakan pandangan tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk menggantikan Presiden PETRONAS dengan Omar Ong. Beliau juga tidak bersetuju dengan tindakan Kerajaan dalam dasar Liberalisasi Ekonomi khususnya pasaran saham dan dua tiga hari ini beliau tidak bersetuju dengan penghapusan PPSMI.

Bahkan lebih dari itu beliau seakan "memberikan" KPI kepada Perdana Menteri yang akan genap 100 hari pada 11 Julai iaitu besok. Beliau menyatakan pentadbiran 100 hari DS Najib "lebih banyak yang negetif dari yang positif". Apakah ini benchmark beliau kepada PM yang disokongnya itu, tatkala orang disokongnya telah naik menjadi PM, dan setelah beliau berjaya "mengundurkan" Pak Lah. Ironinya esok PM DS Najib akan memberikan KPI pada kabinetnya, dan hari ini Dr.Mahathir memberikan pandangannya terhadap PM.

Pada hari ini juga Ku Li yang agak menyepi dari PRK Manek Urai walaupun DUN Manek Urai(Parlimen Kuala Krai) itu berjiran dengan Parlimen Gua Musang yang diwakilinya; juga telah mula bersuara. Anehnya beliau bukan memperkatakan tentang PRK Manek Urai tetapi soal pentadbiran negara. Beliau menyatakan,meraikan perayaan 100 hari PM sepatutnya bagi meneliti Gagasan 1Malaysia terhadap beberapa isu seperti "kegagalan perlembagaan di Perak" dan juga unsur-unsur rasuah dalam Port Klang Free Zone (PKFZ. Beliau nampak agak berlapik berbanding kenyataan Dr.Mahathir dan menggunakan bahasa yang lebih sedap didengar. Bagaimanapun semua tahu beliau memang tidak bersetuju dengan cara BN menguasai Negeri Perak dan beliau konsisten dalam pandangannya itu. baginya rakyat Perak lebih berhak memutuskannya melalui Pilihan Raya.

Beliau juga agak tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan " Malaysia New Deal" khususnya liberalisasi ekonomi dan juga dasar yang mengikut meritokrasi. Pandangannya dalam hal ini nampaknya senada dengan apa yang diperkatakan oleh Dr.Mahathir.

Bagaimana dua orang tokoh negarawan ini boleh bertentang pendapat dengan apa yang dilaksanakan oleh kerajaan. Ini yang menjadi perhatian rakyat bawahan. Apa lagi mereka berdua juga adalah dari kem yang sama iaitu penyokong setia UMNO/BN. Kalau ia datangnya dari pihak lawan atau orang dari negara luar tidak menghairankan! Hal ini rasanya memerlukan satu penelitian kembali oleh kerajaan terhadap dasar-dasar yang baru dilaksanakan. janganlah hanya kerana tekanan-tekanan politik khususnya dari komponen sendiri menyebabkan kita semakin "beralah". Apapun pandangan dua tokoh ini akan terus diperhatikan oleh masyarakat dan masyarakat pada hari ini lebih "celik" sejajar dengan era globalisasi masa kini.

Thursday, July 9, 2009

Malaysia: Perkara Ganjil Kebelakangan ini...

Kata pepatah Melayu, kalau tidak angin masakan pohon bergoyang. Begitulah beberapa perkara ganjil dikatakan "kononnya" berlaku dalam negara. Saya tidak mengatakan ianya berlaku tetapi tuduhan kuasa luar termasuk juga media antarabangsa menyebabkan kita terasa seolah-olah tudingan jari pihak luar itu mengenai batang hidung kita selagi kita tidak menafikannya dengan membuktikannya secara jelas.

Antara yang telah dimanipulasi oleh media luar ialah isu perdagangan manusia yang mana Malaysia dituduh menjadi transit. Warganegara lain seperti dari Afghanistan, India, Iran dan sebagainya memasuki Malaysia secara sah dan kemudian dikatakan diseludup ke Australia. Ini yang dituduh oleh Amerika dan media negara tersebut yang meletakkan nama negara dalam senarai negara-negara yang kononnya memperdagangkan manusia. Mungkin dalam hal ini kita terlalu "liberal" sehingga memberikan visa kepada pelancong begitu mudah iaitu boleh memohon setibanya di negara ini. Walaupun ianya dikatakan untuk menarik pelancong tetapi ternyata ia juga telah disalahgunakan.

Malaysia juga turut terpalit dengan tuduhan bahawa sebuah bank di negara ini terlibat dalam urusniaga senjata dengan Korea Utara. Pembekal atau pembeli persenjataan negara komunis itu dikatakan menggunakan bank di Malaysia. Sedangkan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengeluarkan arahan pengimportan dan pengeksportan barangan senjata kepada Korea Utara. Ini lah perkara yang menyebabkan Amerika mempersoalkan keterlibatan Malaysia.

Paling terkini beberapa hari lalu pihak Thailand menuduh bekas Perdana Menterinya Thaksin Shinawatra berada di Kuala Lumpur dan meminta pihak berkuasa di Malaysia menahannya. Soalnya bagaimana pihak Thailand dapat tahu yang Thaksin berada di Kuala Lumpur dan menginap di hotel tertentu, sedangkan apabila pihak berkuasa Malaysia menggeledahnya ternyata beliau tiada. Apa yang ilmu ghaib dipakai Thaksin jika benar beliau berada di negara ini.

Isu-isu pelik seperti di atas boleh memberikan gambaran yang tidak baik kepada negara dan kerajaan seharusnya memberikan penerangan dan perincian yang telus dan boleh diterima. Kalau setakat penafian sahaja belum mencukupi kerana dalam dunia globalisasi sekarang orang boleh mendapat pelbagai maklumat lain. Jika perlu siarkan satu pembuktian yang jelas dan edarkan juga kepada media luar yang seringkali memomokkan negara ini.

RKT Di Manek Urai Persis Rancangan Tanah Ayer Lanas

Apabila saya membaca tulisan Zulkifli Sulong dalam The Malaysian Insider berjudul Jejak Kasih Di Manek Urai, saya teringat akan kisah pembukaan Tanah Ayer Lanas. Bezanya kalau di RKT Manek Urai ditubuhkan 1960-70 iaitu kira-kira hampir 40 tahu dahulu; Ayer Lanas pula dibuka seawal tanah air kita merdeka iaitu tahun 1957.

Kalau peneroka RKT Manek Urai dan sekitarnya menyahut cabaran Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Asri Haji Muda adalah terdiri dari para pemuda PAS yang mana setiap Kawasan PAS menghantar 10 pemudanya; maka Rancangan Tanah Ayer Lanas pula terdiri dari kalangan anggota UMNO yang datang dari setiap daerah di Kelantan dan terdirilah Blok-Blok mengikut nama Daerah yang kekal sehingga kini.Bagi peneroka RKT Manek Urai seperti RKT Sungai Sok, Chuchuh Puteri,Sungai Pria , Lata Rek dan sekitarnya; mereka diberi 8 ekar tanah untuk diusahakan. Di Ayer Lanas mereka diberi 10 ekar tanah termasuk untuk tapak rumah, untuk kebun dan bercucuk tanam.

Peneroka Ayer Lanas datang melalui jalan raya sehingga Tanah Merah dan selepas itu mereka terpaksa berjalan kaki berhari-hari ke Ayer Lanas kerana masa itu tiada jalan lagi. Begitu juga di Manek Urai, penerokanya datang melalui keretapi sehingga Manek Urai Lama, dan selepas itu berjalan kaki sehari semalam untuk ke Chuchuh Puteri dan sebagainya.

Pendek kata keadaan pada masa itu memang sukar dan mencabar. tetapi berkat kesabaran dan kegigihan tanah-tanah rancangan ini telah berjaya pada masa ini. Ayer Lanas telah berkembang pesat, begitu juga dengan Manek Urai. Kedua-dua kawasan ini merupakan antara pengeluar buah-buahan seperti durian, duku, dokong dan segala hasil pertanian yang banyak dan di pasarkan sehingga ke Kota Bharu dan juga Kuala Lumpur.Itulah berkatnya berbudi kepada tanah. Hasilnya bukan sahaja untuk dimakan manusia tetapi juga dapat dinikmati burung-burung dan unggas dan tentunya tuan punya kebun mendapat pahala kerana dapat dimanafaatkan bersama oleh makhluk Allah yang lain.

Kalau di Ayer Lanas yang para peneroka awalnya kebanyakannya pemuda-pemuda UMNO telah membawa kemenangan kepada UMNO di kawasan itu. Tuan Haji Abdul Samad, salah seorang peneroka awal Ayer Lanas telah menjadi Wakil Rakyat UMNO selama 4 penggal di Ayer Lanas semasa Kelantan di bawah pentadbiran BN. Kini Ayer Lanas menjadi kubu kuat YB Dato' Mustapha Mohamad, Menteri MITI.

Berbalik pula di Manek Urai, hasil dari benih semaian pemuda PAS pada zaman datuk Asri telah menjadikan Manek Urai antara kubu kuat PAS. Semasa PAS tewas teruk dalam Pilihan Raya tahun 1978, PAS hanya menang dua kerusi iaitu Sering di Pengkalan Chepa dan Manek Urai. Kalau nak diikutkan Sering ada juga pondok Pak Nik Lah dan Pulau Melaka sebagai kawasan penyokong setia PAS, tetapi Manek Urai PAS memenanginya kerana sentuhan pimpinan mesra rakyat Gemuloh Ismail Yaakob(Pok Su Weil). Mungkin atas faktor itulah calon PAS pada PRK kali ini juga dipilih dari kalangan orang yang "mesra rakyat" bagi mengikuti jejak Gemuloh tadi.

Apapun, pada 14 Julai nanti kita akan mengetahui pilihan sebenar rakyat Manek Urai bagi mewakili suara hati mereka dalam DUN Negeri Kelantan.

Isu PPSMI : Pertentangan Pendapat Mantan PM

Semalam kerajaan telah mengumumkan PPSMI akan dihapuskan pada 2012. Pengumuman ini memang telah lama dinantikan oleh para pejuang bahasa dan rakyat terbanyak. Para pejuang bahasa barangkali mahu ianya dihapuskan serta merta atau pada tahun 2010, tetapi pengumuman itu sedikit melegakan juga. PPSMI yang mula diperkenalkan pada 2003itu telah gagal mencapai matlamatnya mengikut beberapa kajian oleh pihak IPTA tempatan dan pakar-pakar bahasa.

Pada hari yang sama Tun Dr.Mahathir mantan Perdana Menteri telah menulis dalam blognya, yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan itu.Beliau juga menepis tanggapan Menteri Pelajaran bahawa beliau telah diconsult dan memahaminya. Hari ini Dr. Mahathir sekali lagi menyatakan pandangan kontranya dengan keputusan kerajaan. Bahkan beliau membuat undian dalam blognya dan juga menyatakan " kerajaan tidak mendengar suara rakyat".

Anehnya bukankah satu demonstrasi besar-besaran sedikit masa dahulu juga merupakan akar umbi "suara rakyat" hinggakan para pejuang bahasa terkemuka termasuk Datuk A.Samad said dihujani gas pemedih mata. Itu merupakan satu manisfestasi suara rakyat yang agak besar dan menyebabkan PM waktu itu menyeru Kementerian Pelajaran membuat kajian bagi menghindarkan kebangkitan rakyat semakin merebak. Rasanya golongan yang menyokong PPSMI patut juga mengadakan demonstrasi seperti yang dibuat para penentang PPSMI dahulu. Itu pun jika ada sambutan dari orang ramai! Kalau setakat undian dalam blog untuk menyatakan sokongan atau tidak,rasanya belum mencukupi lagi.

Pertentangan ini pastinya sengit. Kalau Pak Lah sebelum ini disanggah dengan sengit sekali ekoran pembatalan "jambatan bengkok" kini pertentangan dengan kerajaan PM Dato' Seri Najib bermula dengan gara-gara DS Najib mengekalkan "beberapa nama sebagai Menteri yang dikatakan korup" dan selepas itu isu Liberalisasi Ekonomi khususnya Pasaran Saham dan kini isu PPSMI.

Agak getir juga pihak kerajaan apabila menerima bidasan Dr.Mahathir tersebut. Apalagi pada masa ini kerajaan masih terkial-kial dalam usaha untuk meraih kembali sokongan rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke 12 dahulu. Dalam beberapa siiri PRK Kecil juga BN kecundang semuanya kecuali satu di Batang Ai, Sarawak. Kini kegetiran itu teruji lagi di Manek Urai.

Pilihan Raya Presiden Indonesia dan PRK Manek Urai

Pilihan Raya Presiden Indonesia (PPI) telah berlangsung semalam dalam suasana aman. Tahniah kepada pihak pemerintah Indonesia yang berjaya menyelenggarakan PPI itu dengan aman dan baik sekali. Pada perkiraan tak rasmi Presiden Susilo telahpun mendahului calon lain. Beliau telah memperolehi 51 peratus undi dan sekiranya peratusannya bertambah besar kemungkinan pusingan kedua PPI tidak akan dilaksanakan dan beliau akan diisytharkan pemenangnya,

Persoalannya di sini bukan siapa-siapa pemenangnya, tetapi hubungan akkrab dengan tetangga Malaysia. Dalam kempen PPI baru-baru ini beberapa isu panas berkaitan Malaysia telah diungkitkan bagi memancing undi. Isu itu termasuklah soal Ambalat, penderaan pembantu rumah Indonesia di Malaysia dan sebagainya. Diharapkan setelah selesai PPI tersebut pemimpin Indonesia perlulah mengeratkan semula hubungan yang sedia terjalin.Hal ini sudah terbayang bila mana pihak Indonesia dikatakan akan menarik balik pemberhentian penghantaran pembantu rumahnya serta perbincangan menyelesaikan isu Ambalat.

Cuma satu perkara yang agak "menggelikan" juga bila Pak Susilo Bambang Yudhoyono ada menyatakan pada hari terakhir kempen bahawa lawannya banyak menggunakan ilmu hitam dan beliau dan orang-orangnya telah membaca Al-Quran dan Solat Hajat dirumah bagi mengatasi penggunaan ilmu hitam ini. Nah, ternyata dalam PPI di sana soal ilmu hitam juga berbangkit, walaupun pada waktu lain kita lihat ada ketelusan bila ketiga-tiga calon Presiden telah mengadakan Debat terbuka sebagaimana lazim di USA.

Say teringat di Malaysia juga dulu ada wakil Rakyat yang tertipu dengan ilmu hitam bomoh sehingga beliau sendiri dibunuh oleh bomoh tersebut gara-gara ingin menang dalam pertandingan jawatan dalam partinya.

Berbalik pada PRK Manek Urai, hari ini masuk hari ke 3 kempen PRK tersebut dan masing-masing pihak bekerja keras bagi mencapai kemenangan. Di atas kertas nampak calon PAS sedikit mendahului dari segi sokongan dan para penyelidik bebas memberikan 55-45 kepada calon PAS sehingga hari ke 3 kempen ini.Masa masih panjang dan banyak gerak kerja yang perlu dilaksanakan.Tidak mustahil keadaan akan berubah pada saat saat akhir dan faktor pengundi yang berada di luar yang akan kembali mengundi juga mustahak. Saya akan cuba memberikan berita terkini untuk posting yang akan datang.

Wednesday, July 1, 2009

Kebimbangan Dasar Liberalisasi Ekonomi

Kerajaan kelmarin menerusi Perdana Menteri telah mengumumkan dasar liberalisasi ekonomi dan kewangan negara dengan harapan untuk menarik lebih banyak pelabur asing. Kenaikan had pegangan ekuiti asing dalam syarikat broker saham telah dinaikkan daripada 49% sebelum ini kepada 70%, manakala pemilikan dalam pemborongan industri pengurusan dana diliberalisasikan sepenuhya iaitu 100%. Walau bagaimanapun ianya dikatakan akan diberikan kepada yang layak sahaja.

Dalam pada itu juga kerajaan telah sebuah institusi pelaburan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) dengan modal awal RM500 juta. Soalnya apakan perlu ianya diliberalisasikan sebegitu tinggi sekali peratusannya. Dan bagaimana nanti impaknya ke atas usaha-usaha kerajaan selama ini untuk menaikkan pencapaian 30% pegangan bumiputera.

Mungkin bagi para pelabur dan mereka yang kaya raya bergembira dengan liberalisasi ini dan inilah masanya bagi mereka mengaut keuntungan. Rasanya kita masih ingat lagi nama George Soros yang pernah dikatakan "penyangak" oleh kerajaan pimpinan Tun Dr.Mahathir Mohamad dahulu dan apakah nanti orang-orang sepertinya dapat dikenalpasti sekiranya ingin memasuki dan memiliki sebarang ekuiti dalam negara.

Saya hanya menyatakan rasa kebimbangan dalam hal ini, sekiranya ianya tidak dilaksanakan dengan telus. Sedangkan dalam masa sebelum inipun kita pernah mendengar hebohnya pemilikan hospital swasta oleh pihak Singapura sedikit masa dahulu sehingga pemiliknya terpaksa menjual balik sahamnya. Kita juga perlu peka dan mengambil iktibar dari sejarah yang berlaku di Thailand bilamana Thaksin telah jatuh akibat salah satu sebabnya kerana penjualan pegangan sahamnya dalam Telekom Thai kepada pihak Singapura, selain beberapa sebab lain. Ini kerana dibimbangi rahsia kerajaan bocor pada pihak asing bila pegangan saham Telekom Thailand bertukat tangan.

Bagi pihak yang arif dalam hal ini bolehlah memberikan padangan dan perlulah mengambil kira faktor jangka masa panjang juga demi kepentingan masa hadapan anak cucu kita kelak dikemudian hari. Atau mungkinkah dasar ini bersifat sementara sahaja bagi memberi "suasana kondusif" seperti yang diperkatakan itu.