
Dalam diam Selsema Babi telah merebak. Sehingga kini Kementerian Kesihatan mencatatkan 1302 kes semuanya dan dari jumlah itu 4 kematian berlaku. Dari jumlah ribuan kes itu sebanyak 574 disifatkan kes import dan 728 merupakan jangkitan tempatan. Dari keseluruhan jumlah kes , pihak kementerian juga menyatakan 98% telah dapat dikawal atau telah sembuh, hanya 19 kes masih dalam rawatan.
Tetapi itu setakat hari ini. Esok, lusa, minggu depan belum tahu lagi. Mungkin lebih banyak merebak atau sebaliknya. Mengikut keadaan ianya nampak seakan semakin merebak dan pihak Kementerian Kesihatan perlu bertindak pantas mengawal keadaan atau sekurang-kurangnya jangan menjadikan keadaan semakin panik di kalangan masyarakat. Mana tidaknya, semakin hari semakin banyak penutupan sekolah, institusi pengajian awam dan swasta dan terkini Kolej Pembantu Perubatan Alor setar.
Sepatutnya "loceng kecemasan" perlu dibunyikan dan langkah tegas diambil. Jangan dibiarkan ianya semakin mewabak...ambillah iktibar dari peristiwa JE dahulu. Pihak berkuasa kerajaan negeri juga masa inilah seharusnya mengambil langkah proaktif menyelia kawasan ternakan babi haram dan yang tidak bersih. Jangan ikut sangat dendangan barat yang mengatakan babi bukannya punca penyakit ini, kerana babi adalah sumber ekonomi mereka. Mahukah kita gadaikan nyawa masyarakat ramai demi para penternak babi yang hanya segelintir. Tidak serik lagikah dengan JE yang menyerang Bukit Pelanduk dahulu dan yang menerima akibatnya bukan sahaja para penternak tetapi orang ramai juga.
Satu langkah segera menyedarkan masyarakat perlu dibuat menyeluruh dalam hal ini. Biarlah kerajaan berbelanja sedikit untuk melaksanakan kempen ini kerana ia amat berguna kepada seluruh masyarakat, di samping tindakan segera yang lain. Mengapa dalam Kempen Berhenti Merokok, Kementerian Kesihatan berhabis jutaan ringgit untuk menjayakannya(tetapi tak berjaya juga...Anehnya tidak ada pula Kempen Berhenti Minum Arak oleh Kementerian Kesihatan dibuat besar-besaran)
No comments:
Post a Comment